Kehilangan Abam bukan hanya ditangisi oleh suluruh rakyat, insan terdekat terutamanya isteri Abam antara insan yang paling terkesan akan kehilangan ini. Sudah tentu bukan mudah menelan kenyataan ini, apatah lagi melihat anak yang masih kecil tercari-cari ayahnya.
Buat masa sekarang, mungkin cara mendiamkan diri adalah jalan terbaik untuk meredakan kesedihan yang ada. Biar pun anaknya masih kecil dan belum faham apa yang berlaku tetapi pasti dia juga merasai. Allahuakbar! Sedihnya.
“Anak arwah sudah mula tercari-cari bapanya,” kata pelawak, Ali Puteh yang juga adik kepada Allahyarham Abam.
Ali, 31, atau nama sebenarnya Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan berkata, anak Abam, Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey Syed Umar Mokhtar Al-Juffrey yang kini berusia lapan bulan lebih banyak diam dan tidak meragam.
Kakak Ipar Banyak Diam, Hamzah Tak Meragam
Menurut Ali, kakak iparnya yang juga balu arwah, Siti Nurhidayah Mohd Ali juga banyak mendiamkan diri.
“Sudah hari keempat, kakak ipar lebih banyak diam. Begitu juga dengan anaknya yang tidak meragam. Dia sama macam Abam yang banyak diam.
“Cuma, dia sudah mulai tercari-cari sebab sampai sekarang rumah sentiasa dipenuhi orang menziarah. Dari pagi sampai malam. Mungkin dia pun hairan kenapa setiap hari ramai orang. Tapi, disebabkan dia masih kecil jadi tidak tahu apa yang berlaku,” katanya kepada Harian Metro.
Ditanya mengenai hasil bedah siasat punca kematian arwah, Ali berkata, mereka masih belum mendapat sebarang keputusan.
“Kami tidak dapat apa-apa keputusan lagi. Dimaklumkan paling lambat dalam tempoh tiga minggu lagi,” katanya.
Ali berkata, pesanan terakhir diterima daripada arwah adalah menjaga ibunya, Sabariah Arshad, 63, yang kini tidak sihat dan terpaksa berkerusi roda.
“Arwah pergi mengejut tanpa sebarang pesan. Namun, minggu lalu dia ada cakap kepada emak yang jiwanya kosong dan tidak fikir apa-apa lagi. Dia juga pesan kepada emak dan sampaikan pada saya supaya banyak rehat. Jangan terlalu penat bekerja.
“Malah, minggu lalu juga dalam kumpulan Whatsapp keluarga, dia mengatakan sekarang giliran saya menjaga emak pula. Jangan lupa bagi emak makan ubat. Saya jawab, okay dan tidak ada masalah. Kebetulan emak sudah sebulan tinggal di rumah saya,” katanya.
Sumber: Harian Metro
MW: Semoga Siti Nurhidayah sentiasa dipermudahkan urusan. Ternyata menerima kehilangan orang tersayang bukanlah sesuatu yang mudah dan sudah tentu mengambil masa yang lama. Al-Fatihah.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI