
Inkues Zara Qairina: Saksi ke-10 dedah arwah pernah dipanggil senior dan menangis di asrama. Prosiding hari ke-12 inkues kematian pelajar Tingkatan Satu, Allahyarham Zara Qairina Mahathir, mendengar keterangan daripada saksi ke-10 yang memberitahu mahkamah bahawa arwah pernah dipanggil oleh pelajar senior dan kelihatan menangis di asrama selepas kejadian.
Inkues Zara Qairina: Saksi Ke-10 Dedah Arwah Pernah Dipanggil Senior Dan Menangis Di Asrama
Menurut peguam keluarga, Shahlan Jufri, saksi berkenaan akan menyambung keterangannya esok di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan. Katanya, saksi ke-10 juga merupakan seorang saksi kanak-kanak yang dipanggil memberi keterangan.
Shahlan turut mengesahkan beberapa pakar tulisan tangan bebas dijadualkan hadir di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu hari ini selepas selesai menjalankan analisis mereka.
“(Peguam kami) Mohd Syarulnizam Mohd Salleh akan memberi taklimat kepada media pagi ini,” katanya.
Minggu lalu, beliau memaklumkan bahawa pakar tersebut ditugaskan meneliti ketulenan dokumen bertulis termasuk buku nota, diari dan dokumen peribadi Zara Qairina bagi tujuan inkues. Langkah ini penting bagi memastikan sebarang analisis psikologi dibuat berdasarkan dokumen yang sahih.
Terdahulu, pada hari ketiga prosiding, saksi dari Jabatan Kimia Petaling Jaya, Nurul Atiqah, memberi keterangan selepas memeriksa 21 bahan bukti seperti helaian kertas koyak, buku latihan, buku nota dan teks sekolah. Beliau menyatakan terdapat persamaan pada tulisan tangan yang dipertikai dengan tulisan dalam dua buku teks serta sebuah buku latihan milik arwah.
Namun, sebuah buku yang dikenali sebagai ‘W3’ didapati ditulis bersama oleh Zara Qairina dan rakannya, apabila muka surat pertamanya mengandungi nama serta tulisan kedua-dua pelajar tersebut.
Dalam pada itu, peguam Datuk Ram Singh yang mewakili seorang pelaku kanak-kanak yang dikaitkan dengan kes ini berkata, anak guamnya yang merupakan saksi kanak-kanak pertama, dibebaskan kira-kira jam 3.30 petang selepas memberi keterangan selama dua hari.
Untuk rekod, Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri di sekolahnya, SMKA Tun Datu Mustapha pada 16 Julai lalu sebelum disahkan meninggal dunia keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth.
Sumber: Berita Harian
Baca artikel lain juga: Kes Zara Qairina: Jenazah Alami Pereputan Tidak Seperti Diviralkan, Ini Pandangan Sudut Syarak
Kes Zara Qairina: Didakwa Ejek Adik Kak M Sebelum Ayat Kalau Aku Touch, Kau Berdarah Muncul Warden
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI