Hari kedua prosiding inkues kematian pelajar tingkatan satu, Allahyarham Zara Qairina Mahathir, mendedahkan fakta baharu yang sekaligus menepis pelbagai spekulasi.
Pakar patalogi Hospital Queen Elizabeth, Dr. Jessie Hiu, menjelaskan bahawa mesin basuh yang ditemui di tempat kejadian hanyalah mesin basuh kegunaan rumah biasa, bukannya jenis industri.
“Berat si mati lebih kurang 53 kilogram. Saya tidak pasti sama ada tubuh seberat itu boleh dimuatkan ke dalam mesin basuh, tetapi yang pasti, mesin tersebut tidak akan berfungsi dengan beban seberat itu,” katanya ketika memberi keterangan di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.
Selain itu, Dr. Hiu turut melakukan demonstrasi di mahkamah bagi menunjukkan bagaimana kemungkinan Zara boleh terjatuh, sekali gus membantu mahkamah memahami situasi sebenar.
Kematian tragis Zara sebelum ini mengundang pelbagai spekulasi di media sosial, termasuk dakwaan kononnya beliau meninggal dunia selepas dimasukkan ke dalam mesin basuh. Pendedahan pakar ini sedikit sebanyak menolak andaian tersebut, sekaligus mengembalikan fokus kepada bukti saintifik dalam mencari punca sebenar kematian.
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE