Kehadiran YB Nurul Izzah Anwar ke program World Quran Hour (WQH) bukanlah kali pertama untuknya. Namun, tahun ini cukup berbeza tidak seperti tahun-tahun sebelumnya. Ditambah dengan keberadaan seorang ayah dalam program yang sama. Itulah menambahkan lagi momen bahagia dan kekuatan emosi buat anak sulung Datuk Seri Anwar Ibrahim ini.
Lagi-lagi tema mahupun mesej yang dibawa oleh WQH itu sendiri mempunyai simbolik yang berpadanan dengan kehidupan keluarga yang cukup teruji ini. 20 tahun bersabar dengan ujian tuhan, apabila ditahan di dalam penjara.
Namun akhirnya apabila telah dibebaskan keluarga ini memilih untuk memaafkan. Bukankah hal ini sesuatu yang indah untuk dijadikan renungan. Agar kita sama-sama memelihara diri daripada penyakit hati.
Ads
“Hari ini memang amat bermakna buat saya kerana program ini disambut bersama ayah saya berbanding tahun lalu.
“Kepulangan beliau (Anwar) ke pangkuan UIAM disatukan dengan tema untuk meraikan dan menghidupkan al-Quran dan ia sangat-sangat istimewa,” katanya.
Ads
Hari itu, di program WQH Datuk Seri Anwar Ibrahim membacakan surah Ali ‘Imran ayat 103 hingga 105. Surah Al-Hujurat dari ayat 18 hingga 49 diangkat sebagai tema WQH. Yang mana, surah ini mendidik umat Islam memilih jalan perdamaian ketika timbul perselisihan faham.
Bacalah Al-Quran Bukan Saja Di Bulan Ramadhan
Program WQH yang berlangsung di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak ini telah berlangsung dengan jayanya. Seiring dengan kejayaan itu, Ahli Parlimen Permatang Pauh ini turut menyampaikan ucapan tahniah kepada penganjur, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas.
Ads
“Ini adalah kali kedua saya sertai World #QuranHour dan ia cukup bagus dalam usaha memastikan orang Islam di negara ini dapat membaca dan menghayati al-Quran dengan baik.
“Justeru, saya mengajak lebih ramai lagi untuk kita sama-sama membaca dan memahami al-Quran bukan sahaja di bulan Ramadhan ini tetapi juga diteruskan pada bulan-bulan yang lain,” katanya.
Sumber/Foto : SInar Harian
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Jururawat adalah insan yang paling dekat dengan pesakit terutamanya jika pesakit itu ditahan di wad untuk mendapatkan rawatan selanjutnya. Ketua Jururawat Azneza Aziz yang bertugas di Wad Perubatan 5, Wad Neuro dan Endokrin Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) punyai kisah yang boleh dijadikan pengajaran kepada semua.
Kerjaya Azneza sebagai jururawat bermula setelah tamat pengajian kursus kejururawatan di Hospital Canselor Tuanku Mukhriz PPUKM.
“ Jururawat ini adalah cita-cita saya semenjak kecil. Malah masa kecil dahulu saya selalu main-main jadi jururawat. Kini sudah hampir 17 tahun saya berkhidmat. Cabaran yang paling besar saya alami adalah apabila berhadapan dengan orang yang meninggal dunia.
” Sebenarnya semasa mula bekerja, perkara sebegitu amat susah untuk saya hadapi. Ditambah pula saya jenis orang yang akan menangis kalau melihat pesakit meninggal dunia. Memang sedih. Peristiwa yang paling saya ingat sekali adalah seorang pesakit wanita yang tua.
“Wanita tersebut menghidap penyakit buah pinggang. Setiap pagi seperti biasa saya akan melihat pesakit. Saya akan bercakap dengan wanita tersebut. Tetapi pagi itu, saya hendak beri dia sarapan pagi. Tiba-tiba saya lihat dia sudah meninggal dunia. Sedih juga perasaan saya mengetahuinya kerana sewaktu kematiannya anak-anak tidak ada di sekeliling.
“Perkara yang paling sukar saya hadapi juga adalah apabila hendak mengajar mengucap kepada pesakit yang dalam keadaan nazak. Sebenarnya kesukaran yang dihadapi adalah untuk menahan sebak dan air mata yang mahu keluar apabila berada dalam situasi sebegitu.
“Ini adalah tanggungjawab kita sebagai seorang Islam dan juga seorang jururawat untuk mengingatkan pesakit sementara warisnya tidak ada di sisi,” ujarnya yang mengakui pengalaman itu sangat berharga.
MENANGIS DENGAR TAKBIR RAYA
Azneza masih ingat kali pertama dia menyambut raya sebaik berkhidmat sebagai jururawat.
“Kami mempunyai giliran untuk bertugas di wad semasa hari raya. Jika tahun ini kami dapat cuti raya maknanya tahun hadapan kami kena bertugas. Biasanya jururawat baharu memang kena bertugas pada hari raya.
“Saya ingat lagi ketika masih baharu jadi jururawat memang saya tidak dapat balik raya. Sedih juga pada mulanya. Ditambah pula sebelum bekerja kita sudah biasa pagi raya itu dapat mencium tangan emak dan ayah di kampung yang terletak di Kuantan, Pahang.
“Memang saya tidak boleh mendengar orang bertakbir dan lagu raya sebab saya akan menangis. Saya ingat lagi ketika hari raya pertama saya kerja syif pagi. Bila balik dari kerja petang itu saya terus tidur sebab tidak mahu mendengar takbir sebab takut sebak.
“Pagi esoknya sampai sahaja di wad, suasana raya itu telah terasa apabila waris yang datang melawat pesakit mengenakan berbaju raya. Mereka turut membawa juadah raya. Masa itu barulah saya rasa seronok,”ceritanya.
SUAMI DAN ANAK-ANAK MEMAHAMI
Perasaan sedih itu semakin lama semakin berkurangan setelah lama bekerja. Apabila dia telah berkahwin dan kemudian gilirannya perlu bekerja di pagi raya, Srikandi bernama Azneza menerimanya dengan hati terbuka.
“Pagi saya bekerja, pada sebelah petang saya dan suami balik beraya di kampung yang terletak di Raub. Dapatlah juga merasa suasana raya. Kalau orang lain dapat bersalam dengan emak dan ayah pagi raya, saya pula hanya dapat melakukannya pada waktu malam.
“Suami dan anak faham situasi saya. Biasanya sekarang kalau saya bekerja pada hari raya, mereka akan menunggu saya dan kemudiannya kami beraya bersama-sama di KL. Suami sudah faham, kalau berkahwin dengan seorang jururawat, itulah yang dia lalui,”katanya.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Allahu, sayu rasa hati bila mendengar berita melibatkan kemalangan maut melibatkan kaum keluarga tatkala Syawal semakin menghampiri.Apatah lagi segala persiapan dan keperluan barangan raya telah dibeli namun hasrat untuk menyambut lebaran tidak kesampaian apabila ajal dan maut telah menjemput tiba. Lebih memilukan, pasti sedih dan terkilan rasa hati ketika kejadian berlaku didepan mata, namun cubaan untuk menyelamatkan insan tersayang gagal kerana ketidakupayaan kudrat untuk membantu.
“Saya cuba bantu ibu yang ketika itu tersepit akibat besi penghadang jalan menembusi kereta, namun gagal,” kata Mohd Shahrul Ikhram Mazlan, 20, yang terbabit dalam kemalangan mengorbankan ibu dan tiga adiknya, di Kilometer 161.3, Lebuh Raya Pantai Timur (LPT), dekat Maran, Pahang, pagi semalam, yang mengorbankan ibu dan tiga adik beradiknya.
Beliau berkata, ketika itu dia baru dua minit berbual dengan ibunya sebelum tiba-tiba terdengar seperti bunyi letupan lalu kereta mereka terbabit kemalangan. Mohd Shahrul Ikram berkata, dia yang memandu kenderaan dinaiki mereka sekeluarga terkilan dan sedih kerana tidak dapat menyelamatkan ahli keluarganya itu. Katanya, sebelum tragedi itu ibu dan adik-adiknya sangat teruja berbelanja sepanjang berada di Kuala Lumpur sejak Jumaat lalu, sebelum bertolak pulang kira-kira jam 1 pagi hari kejadian.
“Kami sekeluarga tiba di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Temerloh kira-kira jam 3 pagi dan sempat bersahur di situ.Selepas bersahur kami semua solat Subuh dan menyambung tidur di dalam kereta sehingga jam 8 pagi. Saya memandu menyambung perjalanan ke Kemaman. Ketika memandu, ibu tiba-tiba terjaga dan bertanya kami di mana dan saya jawab kita di Maran dan ibu kemudiannya menyambung tidur,” katanya.
Dia yang hanya cedera ringan memandu tidak laju kerana teringat pesanan ibu supaya memandu perlahan dan sebaik tiba di tempat kejadian, kereta tiba-tiba tersasar ke tepi dan sebaik tersedar dia mendapati sudah merempuh penghadang jalan.
“Ketika itu kami semua tersepit di tempat duduk dan ibu serta tiga adik beradik lain ketika itu tidak sedarkan diri sebelum kami semua dikeluarkan orang ramai dan anggota bomba,” katanya.
Kemalangan kira-kira jam 8.30 pagi semalam itu, mengorbankan ibunya Azian Abdulah, 50, serta tiga adik beradiknya, Fatin Najwa Mazlan, 27, Fatin Nur Ardiana Mazlan, 15 dan Mohamad Danish Najmi Mazlan, 10.Seorang lagi adiknya, Fatin Nur Athirah, 19, cedera parah dan kini menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh.
Sementara itu,tiada kata yang dapat menggambarkan kesedihan Mazlan Mohd Rashid, 54, apabila kehilangan isteri dan tiga anak tercinta sekali gus dalam kemalangan di kilometer 161.3, Lebuhraya Pantai Timur dari arah Kuala Lumpur ke Kemaman di sini,selepas kereta Perodua Myvi dinaiki terbabas sebelum melanggar besi pembahagi jalan, semalam.
Lebih memilukan kesemua mereka dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah di Taman Gemilang, Bandar Cheneh Baru, dekat Kemaman, selepas membeli-belah di ibu negara bagi menyambut Aidilfitri.
Menceritakan saat akhir ketika bersama keluarganya, dia memaklumkan enam beranak itu bertolak ke Kuala Lumpur pada Jumaat lalu dan memaklumkan ingin membeli barangan keperluan untuk persiapan sempena Syawal.
“Saya kebiasaan tidak ikut (pergi membeli belah) dan beri keizinan kepada isteri dan anak-anak untuk keluar membeli belah…saya di sini (rumah) menjalankan perniagaan runcit dan tunggu kepulangan mereka sahaja membawa pakaian yang dibeli.
“Kali terakhir isteri telefon jam 11 malam tadi memaklumkan akan bertolak balik ke rumah… saya difahamkan mereka juga ada singgah di kawasan rehat dan rawat (RnR)Temerloh untuk berehat sebelum dimaklumkan pagi ini mereka terbabit dalam kemalangan,” katanya ketika ditemui di perkarangan Hospital Jengka, di sini.
Dalam nada sebak Mazlan berkata, dia reda dengan pemergian isteri dan anak mereka pada bulan Ramadan ini dan mengharapkan semua mereka di tempatkan di kalangan orang beriman.
“Anak sulung saya (Fatin Najwa) baharu tamat pengajian di sebuah universiti swasta dalam bidang kejuruteraan dan dia dalam perancangan untuk memulakan kerjaya, namun apakan daya Allah SWT lebih menyayanginya dan menjemput mereka di bulan baik ini.
“Anak bongsu saya (Mohamad Danish Najmi) juga sebelum ke Kuala Lumpur berpesan kepada saya untuk jagakan kucingnya dan memberi makan… kenangan ini yang tidak dapat saya lupakan sampai bila-bila,” katanya.
Jenazah empat beranak tersebut telah disolatkan di Surau Ar Ridhuan, Bandar Cheneh Baru pada 10.30 malam dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Cheneh Baru, Chukai, pada 11.50 malam tadi. Jenazah mereka yang siap dibedah siasat di Bilik Forensik Hospital Jengka, Pahang, dimandi dan dikafankan sebelum dikebumikan dalam satu liang.
Sementara itu, suami Allahyarham Azian, Mazlan Mohd Rashid, 54, berkata dia bersyukur jenazah isteri dan tiga anaknya dapat dikebumikan dalam satu liang.
“Ramadan kali ini sangat menguji kekuatan dan kesabaran saya menghadapi dugaan Allah yang mengambil isteri serta tiga anak kesayangan sekali gus,” katanya sebak.
Beliau turut menyampaikan ucapan terima kasih kepada semua pihak sama ada di Pahang atau di Terengganu yang membantu melicinkan proses tuntutan mayat ahli keluarganya sehingga selesai pengebumian.
Mingguan Wanita mengucapkan salam takziah buat keluarga ini, semoga roh mereka ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman pada bulan yang mulia. Semoga kita lebih berhati-hati dijalanraya, pandu dengan cermat dan dapat meraikan Syawal bersama-sama keluarga tersayang.
Menjadi suatu kelaziman dan bagaikan satu budaya bagi kebanyakan daripada kita untuk menziarahi kubur sanak saudara dan keluarga pada Hari Raya, terutamanya selepas Solat Sunat Aidilfitri. Namun, terdapat pelbagai khilaf dan perbezaan pendapat para ulama mengenai hukum menziarahi kubur khususnya pada Hari Raya ini.
Ada yang mengatakannya hukumnya Makruh dan dianggap bidaah kerana tiada nas yang menunjukkan Rasulullah SAW menziarahi kubur pada hari raya. Ada juga yang berpendapat hukumnya adalah harus dan dibolehkan.Ini kerana tidak ada perintah dan larangan secara khusus di samping mengambil pendapat umum berkenaan dengan perintah ziarah kubur.
Menziarahi kubur itu pada asalnya disunatkan pada bila-bila masa bagi mengingatkan kita pada hari akhirat.
Sabda Nabi S.A.W:
نَهَيْتُكُمْ عَنْ زِيَارَةِ الْقُبُورِ فَزُورُوهَا
“Aku dahulu melarang kamu menziarahi kubur, namun ziarahi sekarang”
(Riwayat Muslim)
Pada peringkat awal Nabi s.a.w melarang kerana bimbang kesan jahiliah dahulu masih mempengaruhi masyarakat. Apabila kefahaman Islam sudah kukuh, baginda mengizinkan kerana ia membantu mengingatkan hari akhirat.
Ertinya, jika sesiapa yang apabila ke kubur akan terpengaruh dengan amalan khurafat, maka mereka ia sepatutnya mengelakkan diri dari menziarahi kubur. Jika ia menyebabkan mengingatkan hari akhirat, maka ia digalakkan.
Walaupun menziarahi kubur itu pada asalnya sunat, namun baginda Nabi s.a.w tidak pernah mengkhususkan supaya diziarahi khubur pada hari raya. Perbuatan mengkhususkan hari raya sebagai hari ziarah kubur tidak bersumberkan dari ajaran Nabi s.a.w.
Apatahlagi dengan pelbagai upacara yang menyanggahi sunnah Nabi s.a.w yang diadakan oleh sesetengah masyarakat di kubur pada hari raya. Bahkan, jika kita melihat kepada konsep hari raya yang diterangkan, maka perbuatan bersedihan di kubur adalah menyanggahi tujuan hari raya.
Sumber: Blog Minda Tajdid (Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin)
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!