
Influenza A H1N1 ragut nyawa adik Nurhan, keluarga redha “belum sempat jumpa penawar kami hilang anak. Tragedi menyayat hati buat adik Nurhan Eshan Bin Nakquiyuddin, 4 tahun yang dilaporkan meninggal dunia akibat jangkitan Influenza A H1N1 di Hospital Umum Sarawak.
Keluarga reda menerima ketentuan Ilahi walaupun pemergian ini amat perit untuk diterima. “Belum sempat jumpa penawar, kami hilang anak,” luah bapanya di media sosial.

Kes Influenza A H1N1 bukan kes terpencil. Malaysia kini berdepan lonjakan mendadak dengan 97 kluster dikesan di seluruh negara dan Selangor mencatatkan 43 kluster setakat minggu epidemiologi ke-40 tahun 2025.
Pemergian anak kecil ini yang belum sempat mendapatkan rawatan membuatkan keluarga redha dengan ujian walau luluh hati. Adik Nurhan Eshan Bin Nakquiyuddin, 4 tahun dilaporkan meninggal dunia akibat jangkitan Influenza A H1N1 di Hospital Umum Sarawak.
Dalam satu coretan bapanya, Nakquiyuddin dirinya menjelaskan rasa rindu terhadap anak kecilnya yang dijemput kembali kepada Sang Pencipta di usia kecil.
“Belum puas bermanja namun kami perlu menerima hakikat pahit ini,” katanya yang turut berkongsi coretan di media sosialnya.
“Kmk waris Nurhan Eshan Bin Nakquiyuddin dengan rendah hati kmk nak berterima kasih kepada yang telah mendoakan kesembuhan untuk anak kmk. Semoga doa yang baik semua berbalik kepada kalian. Tapi kita hanya merancang, ketentuan Allah adalah mutlak.
“Pemergian anak kmk adalah disebabkan Influenza A H1N1 yang berlaku dalam masa yang singkat. Belum sempat jumpa penawar kmk hilang cahaya mata yang tersayang. Tapi ya cuma asbab kerana semua dah tertulis di Luh Mahfuz.

“Terima kasih ya Allah Tuhan sekalian alam sebab dah pinjamkan Adek untuk kami sekeluarga walaupun sekejap. Peninggalan yang memberikan kesan dalam jiwa, pahit yang terpaksa ditelan. Belum puas kmk orang nak bermain dengannya tapi kami Redha Ya Allah..
“Ya Allah, tenangkanlah hati kami yang rindu pada anak syurga ini. Lapangkanlah dada kami untuk menerima hakikat yg telah tertulis. Pinjaman Allah yang terindah. Ayah, ibu abang Eiman, Mbah Nenek semua sayang adek.”
Allahyarham adik Nurhan Eshan menghembuskan nafas terakhir selepas kesihatannya merosot secara mendadak. Jenazah diuruskan di Hospital Umum Sarawak sebelum dibawa pulang ke Kampung Pendam Ulu Sadong untuk dikebumikan.
Ucapan takziah turut dizahirkan oleh Pengarah Jabatan KEMAS Negeri Sarawak dan seluruh warga kerja yang mendoakan agar keluarga Allahyarham tabah menghadapi kehilangan yang tidak terduga ini di mana arwah merupakan belajar di Tadika Kemas.
Susulan kejadian menimpanya, Sarawak turut dilaporkan sedang berdepan peningkatan kes Influenza A dengan enam buah sekolah dilaporkan terjejas setakat ini.

Influenza A H1N1 Bukan Selsema Biasa
Pakar kesihatan menjelaskan bahawa Influenza A H1N1 bukan sekadar demam ringan. Ia merupakan penyakit berjangkit yang boleh membawa komplikasi serius seperti radang paru-paru, sawan, malah kematian, terutamanya dalam kalangan kanak-kanak dan warga emas.
Menurut laporan WHO, setiap tahun dianggarkan 1 bilion kes influenza berlaku di seluruh dunia dengan 290,000 hingga 650,000 kematian akibat komplikasi penyakit ini. Justeru, masyarakat disarankan agar tidak memandang ringan gejala influenza.
Kanak-Kanak Paling Terdedah Dengan Influenza
Kebanyakan kluster Influenza A H1N1 di Malaysia berlaku di sekolah, tadika dan taska. Kanak-kanak mudah dijangkiti serta menjangkiti ahli keluarga lain di rumah. Dalam kes adik Nurhan, gejala demamnya bermula secara tiba-tiba dan kesihatannya merosot dengan cepat sebelum sempat menerima rawatan penuh.
Situasi Terkini Influenza di Malaysia
Setakat minggu epidemiologi ke-40/2025, sebanyak 97 kluster Influenza A dilaporkan di seluruh negara. Negeri tertinggi ialah Selangor (43 kluster), diikuti Kuala Lumpur & Putrajaya (15), Pulau Pinang (10), Johor (9), dan Kedah (5). Strain dominan ketika ini ialah Influenza A H1N1 dan H3.
Cara Jangkitan Influenza A H1N1
Virus ini merebak melalui titisan pernafasan apabila seseorang batuk, bersin atau bercakap. Ia boleh hidup di permukaan selama 2 hingga 8 jam, menjadikan mainan, alat tulis atau botol air di tadika sebagai medium penyebaran. Individu yang dijangkiti boleh menulari orang lain sehari sebelum gejala muncul hingga 7 hari selepas sakit.
Gejala Influenza A H1N1 Yang Perlu Dikenali
Antara simptom yang biasa dialami termasuk demam tinggi secara tiba-tiba, batuk, sakit tekak, sakit kepala, dan keletihan melampau. Berbeza daripada selesema biasa, Influenza A H1N1 boleh menyebabkan keletihan berpanjangan dan komplikasi serius seperti pneumonia atau sawan akibat demam tinggi.
Komplikasi Influenza A H1N1
- Radang paru-paru (pneumonia)
- Jangkitan telinga dan sinus
- Sawan akibat demam panas
- Serangan jantung bagi pesakit kronik
- Kematian mengejut jika tidak dirawat segera
Rawatan & Pencegahan Influenza A H1N1
Rawatan utama ialah antiviral seperti oseltamivir (Tamiflu) yang berkesan jika dimulakan dalam 48 jam pertama. Antibiotik tidak sesuai kerana influenza disebabkan oleh virus. Rawatan sokongan termasuk rehat mencukupi, pengambilan air yang banyak, serta ubat demam dan batuk mengikut nasihat doktor.
Langkah Pencegahan
- Jangan hantar anak ke sekolah jika bergejala.
- Pastikan anak berehat dan minum air mencukupi.
- Segera bawa ke hospital jika anak lemah, sesak nafas atau muntah berterusan.
- Ajar anak menjaga kebersihan diri, termasuk menutup mulut ketika batuk dan mencuci tangan.
- Pertimbangkan vaksin Influenza A H1N1 tahunan untuk anak kecil, ibu hamil, warga emas dan pesakit kronik.
Kesedaran Influenza A H1N1 Perlu Dipertingkat
Tragedi pemergian adik Nurhan menjadi peringatan kepada semua ibu bapa bahawa influenza bukanlah penyakit ringan. Kesedaran awal, vaksinasi dan rawatan segera mampu menyelamatkan nyawa. Influenza boleh dicegah, namun ia menuntut keprihatinan setiap ibu bapa dalam melindungi anak-anak daripada bahaya virus ini.
BACA ARTIKEL MENARIK DI SINI :-
Demam Panas Secara Tiba-Tiba, Kenal Pasti Simptom INFLUENZA Lambat Rawat Boleh Sebabkan Kematian!
Influenza Penyakit Bermusim. Cegah Sebelum Terkena!
Abby Abadi Diuji Influenza Selepas Selesai Konsert Elite
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI