
Imani perlukan RM2000 sebulan untuk terus hidup, ibu tunggal hanya mampu buat affiliate demi anak-anak.
Setiap kali Imani menangis meminta susu, Nur Shahera Mad Nasir hanya mampu berdoa agar masih ada rezeki untuk membeli keperluan anaknya.
Sebagai ibu tunggal kepada tiga cahaya mata, wanita berusia 34 tahun itu perlu menyediakan kira-kira RM2,000 setiap bulan demi memastikan bayi bongsunya yang menghidap hydrocephalus terus mendapat susu khas S26, lampin pakai buang dan segala keperluan harian.
Imani yang kini berusia empat bulan disahkan menghidap hydrocephalus iaitu keadaan apabila cecair serebrospinal berkumpul secara berlebihan di dalam otak sehingga menyebabkan tekanan meningkat, saiz kepala semakin membesar dan berisiko merosakkan tisu otak.
Selain susu khas S26, Shahera turut perlu menyediakan lampin pakai buang, tiub penyusuan, membayar sewa rumah serta keperluan harian lain yang keseluruhannya mencecah kira-kira RM2,000 setiap bulan.
Dalam keadaan anak memerlukan penjagaan sepanjang masa, Shahera tidak mampu keluar bekerja seperti orang lain. Namun, dia juga tidak sanggup melihat anak-anaknya menahan lapar. Jalan yang ada hanyalah berniaga secara affiliate dari rumah sambil menjaga Imani.
Imani Perlukan RM2,000 Sebulan Untuk Terus Hidup

Komisen 30 Sen pun diambil demi kelangsungan hidup
Ketika dihubungi Mingguan Wanita, Shahera yang menetap di Kampung Chenis, Pahi, Kuala Krai, Kelantan berkata, dia memilih menjadi affiliate kerana hanya pekerjaan itu membolehkannya menjaga Imani tanpa perlu meninggalkan rumah.
“Komisen ada yang cuma 30 sen, ada juga seringgit lebih. Walaupun sedikit, saya tetap bersyukur sebab itulah rezeki kami. Asalkan boleh beli susu Imani dan keperluan anak-anak, saya akan terus buat,” katanya.
Menurut Shahera, apabila Imani terlena, dia akan memulakan siaran langsung di TikTok menjual pelbagai barangan seperti tudung, pakaian dan aksesori.
“Kalau Imani terjaga atau menangis, saya akan dukung dia sekali ketika buat live. Tidur saya memang tak pernah lena sebab setiap dua hingga tiga jam saya perlu beri dia susu melalui tiub. Tapi saya anggap semua ini amanah Allah,” katanya tenang.

Doktor Pernah Beritahu Hayat Imani Tidak Lama
Berkongsi detik awal kelahiran anak bongsunya itu, Shahera berkata kelainan pada Imani hanya disedari ketika kandungannya memasuki usia 30 minggu.
“Ketika itu doktor sudah terangkan keadaan anak saya, tetapi sudah terlambat untuk berbuat apa-apa terhadap kandungan.
“Selepas Imani dilahirkan dengan berat tiga kilogram, dia terus dihantar ke Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU). Sebelum itu doktor beritahu hayat anak saya mungkin tak lama. Kulit kepalanya terlalu nipis dan tiada pembedahan boleh dilakukan,” katanya.
Namun di sebalik kata-kata itu, Shahera percaya Allah masih meminjamkan anaknya untuk terus berada di sisi.
“Ketika saya masuk melawat Imani di NICU, doktor minta saya peluk dan dukung dia kerana keadaannya semakin lemah. Masa itu bacaan pernafasannya sekitar 50 hingga 60.
“Lepas saya peluk, bacaan itu perlahan-lahan naik ke 80, kemudian 90. Saya anggap itu satu keajaiban daripada Allah. Sampai hari ini saya percaya Imani masih kuat sebab Allah masih beri peluang kepada dia untuk hidup.”

Lilit Kepala Kini Cecah 61 Sentimeter
Selepas dibenarkan pulang ke rumah, kehidupan Shahera berubah sepenuhnya.
Imani perlu disusukan setiap dua hingga tiga jam menggunakan tiub khas. Bagi mengurangkan kos, Shahera membeli sendiri tiub penyusuan menerusi platform dalam talian.
Pada mulanya Imani menggunakan susu lain, namun doktor kemudian mencadangkan susu khas S26 yang lebih sesuai dengan keadaannya.
“Sebulan Imani perlukan empat hingga lima kotak susu. Harga sekotak lebih RM80.
“Semakin usianya membesar, dia semakin kerap tersedak susu. Ukuran lilit kepalanya juga semakin bertambah. Masa lahir dulu 45 sentimeter, sekarang sudah 61 sentimeter.
“Doktor beritahu mereka tak boleh buat apa-apa sebab kulit kepala Imani terlalu nipis,” katanya.
Anda mungkin berminat dengan
Ujian Tidak Terhenti Di Situ
Belum reda diuji dengan keadaan kesihatan anak, Shahera turut berdepan kegagalan rumah tangga.
Dia yang baru selesai menjalani tempoh berpantang kini melalui tempoh edah selepas bercerai.
“Saya sebelum ini bekerja di Kuala Lumpur. Selepas habis berpantang 98 hari, saya terpaksa berhenti kerja sebab tiada siapa boleh menjaga Imani.
“Sekarang saya tinggal di kampung, menyewa rumah dan pada masa sama menjaga ibu yang uzur serta hanya mampu bergerak menggunakan kerusi roda. Ayah pula sudah lama meninggal dunia.”
Anak keduanya yang kini berusia lima tahun tinggal bersamanya, manakala anak sulung berusia lapan tahun dijaga oleh seorang saudara.
Selagi Ada Kudrat, Saya Akan Terus Berusaha
Bagi Shahera, hidupnya mungkin penuh dengan ujian, namun dia percaya setiap kesusahan pasti disertai jalan keluar.
Apa yang diharapkannya bukanlah kemewahan, tetapi peluang untuk terus membeli susu, lampin dan segala keperluan yang diperlukan Imani bagi meneruskan kehidupan.
“Selagi saya ada kudrat, saya akan terus berusaha. Saya percaya Allah tak pernah tinggalkan hamba-Nya,” katanya penuh harapan.
Orang ramai yang ingin meringankan beban Shahera sekeluarga boleh menghulurkan sumbangan ke akaun Nur Shahera Mad Nasir (CIMB Bank: 7626319273).
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!

