Bila anak kecil menangis tengah malam, tidur mak ayah pun terganggu sama. Lagi susah hati bila si kecil tak tahu pun nak cerita penyebab tangisannya yang panjang itu.
Boleh rabaklah mata mak ayah dok tahan mengantuk. Kalau kejadian seumpama itu mak ayah alami, yang mana anak menangis malam tak henti-henti. Boleh cuba ikhtiarkan air penawar ini.
Dikongsikan oleh Ustaz Mujahidin Al Banjari, Pusat Perubatan Islam Al Mujahidin.
“Ramai bertanya saya balik macam mana cara mudah ayat untuk penawar baby nangis malam, baby kembung perut, susah tidur malam, kerap mimpi tidak elok, kerap gelisah tanpa sebab, kerap sakit kepala.. boleh amalkan cara di bawah.”
Ikhtiarkan Petua Elak Anak Menangis Malam
Cara ini jika diamalkan juga dapat mengelakkan gangguan makhluk halus.
Ads
Ambil Air suam segelas kemudian ambil secubit garam letakkan di dalam air suam tersebut Baca Al Fatihah – 1x Selawat Syifa – 3x
Al ikhlas – 3x
Kemudian baca “Laa Haula Walaa Quwwata illa Billaah”
Selesai baca di atas lalu minum air tersebut.
Ads
Panduan Tambahan
√ Jika baby demam berbalik-balik dan nangis malam, selesai baca di atas sapukan air suam tersebut di seluruh badan. Terutama sapu di muka baby dan belakang baby.
√ Izin Allah inshaaAllah baby anda akan berhenti tangisannya. Jika demam izin Allah akan kebah demam nya.
√ Manakala jika kita ada gangguan dalam badan, sebaik selesai minum air tersebut, jika gangguan ada dalam badan, kita akan sedawa selepas minum, kita akan rasa loya nak muntah,p erut kembung tak selesa, tengkuk belakang belikat rasa lenguh dan berat.
Ads
√ Seandainya diamalkan berterusan setiap hari buat dengan yakin, inshaAllah izin Allah gangguan di dalam badan kita akan sembuh.
√ Jika tak sembuh cari lah perawat Islam berhampiran anda inshaaAllah mereka akan membantu anda..
√ Ibu yang sedang hamil elok amalkan juga minum setiap kali sebelum tidur.
Moga cara mudah ini bermanfaat untuk kalian semua ishaaAllah Aamiin
Ibu ini, Bonda Nor berhajat mahu bersedekah untuk gembirakan anak-anak. Setelah tertunai niat, diuji pula dengan ‘terpaksa keluar duit lebih’.
Itulah ujian tuhan beri untuknya belajar makna ikhlas sebenar-benar ikhlas dalam urusan bersedekah. Lagi-lagi untuk kegembiraan anak-anak.
Balik dari Kemaman, Dak Abah membelok ke kawasan rekreasi Masjid Terapung. Apa lagi, terus saja anak-anak bising nak naik motor yang ada disediakan khidmat sewanya di situ.
“Bagi sajalah, bang. Bukan selalu,” pujuk mama.
“Mahal, sayang. Lebih RM100 tu. Membazir je,” bantah Dak Abah. Maklumlah, baru pagi itu dia melayankan anak-anak ke zoo, dan shopping masa mama berseminar!
“Takpe. Kali ni mama belanja. Kan hari ni Jumaat. Elok bersedekah. Lebih afdhal sedekah pada keluarga sendiri,” balas mama. Aduhai. Masa nilah terasa pentingnya perempuan ada duit poket sendiri!
Anak-anak bersorak. Keluar kereta, terus pilih jenis motor yang digemari. Bermain dengan riang ria.
Dak Abah melayankan saja.
Mama? Awal-awal dah minta excuse.
“Mama nak rehat dalam kereta ya. Penat.”
Memang, penat berseminar dan berjaga malam masih terasa. Mahu pulihkan tenaga semula.
Dari dalam kereta, mama tengok saja mereka melintas dan saling memintas.
Entah macam mana, Izhan tersalah kawal motornya. Terlanggar sebuah kereta. Allah. Berkejar kami tengok. Telek punya telek, ya, memang kemik sedikit.
Semua dah tercengang. Dak Abah dah mula menegur kecuaian Izhan.
Mama pula terus masuk ke dalam kereta semula. Capai kertas dan pen.
“Maaf sangat, anak saya terlanggar kereta tuan. Kemik sedikit. Mohon hubungi saya..”
Nombor telefon kami dicatatkan dan mama minta Dak Abah selitkan kertas itu pada pemegang kereta yang kami pun tak tahu siapa tuannya.
Aduhai.. gara-gara mahu bersedekah RM100 untuk kegembiraan anak-anak, tiba-tiba entah berapa ratus pula duit yang terbang kerana perlu membaiki kereta orang!
Menyesal?
Tak! Mama masih mampu senyum dan tergelak. Syukur yang kemik cuma kereta. Anak mama okey saja.
Eh.. tiba-tiba mama teringat peristiwa masa di pantai yang baru saja terjadi sebelum itu. Masa tu, mama pergi ke satu gerai untuk beli baju Nona. Masa bayar, mama lebihkan RM5 pada penjualnya.
“Takpe kak, saya sedekah. Hari Jumaat ni, elok sedekah.”
Bersungguh mama yakinkan dia untuk terima setelah bersungguh dia menolaknya. Lega, akhirnya dia terima.
Usai beli baju, mama singgah ke gerai ABC yang mama dah order sebelumnya lagi.
“Berapa, dik?”
“RM10, kak.”
Mama jenguk dalam poket. Alamak. Tak cukup RM5!
Teringat duit RM5 yang baru disedekahkan pada kakak yang jual baju itu.
Aduhai. Gigih zip ketat-ketat hati ini agar tidak menyesal kerana telah memberi tadi. Laju-laju kaki melangkah jauh ke kereta semata-mata kerana terpaksa ambil RM5 untuk top up duit ABC.
Menyesal?
Subhanallah. Mohon Allah jauhkan kita daripada ibadah yang sia-sia!
Itulah yang berlaku semalam. 2 ujian keikhlasan hati dalam masa satu hari!
Demikianlah tuan puan. Kita buat kebaikan pasti akan teruji juga sesekali. Sebab apa? Sebab Allah nak tengok sejauh mana kita mampu redha dan mengikhlaskan hati.
Menyesal sebab bersedekah, tak pasal-pasal jadi rugi atau susah?
Menyesal sebab bagi orang hutang, tak pasal-pasal kita yang rugi dan susah?
Jangan!
Ingat tak apa pesan Rasulullah? Jangan kesal pada sesuatu musibah!
Daripada Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu bahawa Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam pernah bersabda:
”Mukmin yang kuat lebih disukai oleh Allah daripada mukmin yang lemah. Namun pada kedua-duanya ada kebaikan. Berjaga-jagalah terhadap perkara yang boleh mendatangkan kebaikan kepada engkau, pintalah pertolongan daripada Allah.
Sekiranya engkau ditimpa sesuatu musibah, maka jangan engkau berkata:”KALAULAH aku lakukan begini maka sudah pasti lain yang berlaku. Tetapi katakanlah:
”Itu merupakan takdir Allah dan Dia melakukan apa yang dikehendaki-Nya, sesungguhnya ‘KALAU’ akan membukakan pintu amalan syaitan.” [Riwayat Muslim]
Justeru, bila teruji seperti ini, pujuk hati untuk cepat-cepat redha. Lepaskan rasa yang terbuku itu pergi, nescaya Allah segera hantarkan ganti.
Sungguh. Itu yang selalu saya cuba buat. Bila sudah beri, khalas! Khalas itu ikhlas. Maknanya cukup. Bila dah bagi, jangan fikir-fikir lagi. Titik.
Alhamdulillah, petang semalam juga, mama terima panggilan daripada seorang penganjur program.
“Maaf, bonda. Lama sangat kami menangguh untuk bayar payment hari tu.”
Payment?
Subhanallah.
Tuan puan, ini memang surprise daripada Allah semalam. Betapa eloknya Dia susun cerita hingga ianya menjadi jalinan kisah yang istimewa untuk menunjukkan kekuasaan-Nya.
Sungguh, saya betul-betul tak sangka langsung yang saya akan dibayar untuk program tersebut! Ingatkan dijemput untuk bagi talk secara percuma. Memang saya tak harap pun bayaran apa-apa. Lagipun program tu dah lama. Saya pun dah lupa!
Tapi sungguhlah.. rezeki Allah sentiasa ada alamatnya!
Justeru, selalu saya pesan, jangan serabut sangat pasal rezeki. Jangan sibuk nak kaut itu ini. Wang ringgit biar fungsinya sekadar alat untuk teruskan kelangsungan hidup saja. Jangan sampai memenuhi jiwa kita sampai nak bersedekah pun kita berkira!
Tuan puan, zuhud itu bukan bermakna kita kena pakai baju lusuh, kereta kecil atau rumah buruk. Zuhud itu bukan bermakna kita tak boleh hidup mewah dan mesti hidup serba susah.
Bukan.
Zuhud itu maknanya, kita serba tak kisah. Hati kita tidak terikat dengan dunia. Jika ada, syukur. Jika Allah ambil semula, kita akur.
Nak dapat hati tenang, banyakkan bersedekah, kurangkan berkeluh kesah. Insya-Allah. Kita cuba naaaa.
Setiap mak ayah pastinya mahukan yang terbaik buat anak-anak. Namun, bukan mudah untuk mendidik anak-anak agar mendengar kata, mengikut ajaran agama yang sepatutnya. Meskipun anak-anak masih kecil, perlu terapkan didikan agama dan batasan dalam pergaulan yang memenuhi syariat. Jika perlu, lebih bertegas dengan mereka terutama dalam bab solat, aurat, pergaulan dan sebagainya.Lebih-lebih lagi, jika mempunyai anak perempuan.
Baru-baru ini, pengasas produk kecantikan dan kesihatan, D’ Herbs Healthy Sdn. Bhd. Dato’ Sri Aliff Syukri Kamarzaman, 32 ada berkongsi pendirian dalam mendidik anak perempuannya, Qadejah El-Zahra, 9.
Ramai yang mengetahui Qadejah El-Zahra atau nama panggilannya Cess, merupakan satu-satunya, anak kandung perempuan jutawan kosmetik ini.Dalam video yang dikongsikan, Aliff Syukri sedang menyapu ubat sambil meminta maaf dan memujuk anaknya, selepas merotan puteri kesayangan ini. Ia berpunca kerana Qadejah tidak menjaga batasan aurat.
“Anak perempuan saya kena jaga yang terbaik”
“Maafkan abah cess, abah teramat sayang cess tapi ni semua untuk masa depan cess.Hari ni abah rotan cess sebab abah nak ces faham erti maruah seorang perempuan.”
“Qadejah ni ada satu habit kadang-kadang dia buka tudung je depan lelaki yang tak kenal…mungkin dia tak faham sebab dia kecik lagi tapi dari kecik ni saya kena didik la supaya dia tahu batas-batas tutup aurat.”
“Saya nak anak perempuan saya jadi yang terbaik, pandai agama dan tahu jaga kehormatan diri.Harap-harap dia dapat pengajaran dan belajar dari kesilapan.”
Terdahulu, Datin Sri Nur Shahida dan Dato’ Sri Aliff Syukri berkahwin pada Ogos 2007. Selain, Qadejah El-Zahra, pasangan ini dikurniakan dengan 3 cahaya mata lain iaitu Ammar Ahyan 11, Ibraheem Adham, 7 dan Yusoff al-Qardawi,1 serta seorang anak angkat Ameena, 1.
MW: Melentur buluh biar dari rebungnya. Mendidik anak biarlah daripada kecil agar anak tahu batasan agama yang sepatutnya. Semoga Qadejah El Zahra menjadi anak solehah dan taat pada perintah agama hendaknya.
Kebiasaannya anak akan hilang selera setiap kali mengalami sakit. Mak pulak gundah gulana dengan keadaan ini, perut anak tetap kena isi supaya dia mendapat nutrisi secukupnya untuk kembali sihat. Salah satu cara memancing selera anak-anak masa mereka sakit adalah menyediakan makanan yang sesuai dengan masalah kesihatan yang dialami anak-anak. Kerana setiap masalah kesihatan yang kanak-kanak alami mempunyai menu yang berbeza sesuai dengan situasi penyakit mereka.
Demam selesema
Perkara asas untuk melawan demam selesema adalah rehat yang cukup selain makanan yang penuh nutrisi. Keperluan tenaga dan protein anak lebih tinggi berbanding dalam diri mereka yang sihat kerana metabolism mereka sedang meningkat. Untuk memberikan rasa yang selesa setiap kali makan, pilihlah menu berkuah untuk anak-anak. Aneka sup pasti dapat menambah selera mereka.
Batuk
Batuk merupakan mekanisme pertahanan badan untuk saluran pernafasan. Ia merupakan gejala penyakit atau reaksi badan terhadap iritasi yang berlaku di tekak. Sama juga seperti demam selesema, untuk membuatkan si kecil lebih kuat, mereka memerlukan tenaga dan protein yang lebih daripada biasa. Agar lebih selesa semasa makan, pilihlah makanan lembut dan berkuah untuknya. Selain menu utama, mama juga boleh memberi si kecil minuman panas yang mengandungi halia dan madu. Elakkan makanan yang boleh mencetuskan batuk seperti makanan bergoreng, makanan manis dan juga makanan sejuk.
Cirit- birit
Ketika system pencernaan si kecil terganggu akibat cirit-birit, sebaiknya mama memilih makanan yang mudah dicerna dan diserap. Buah dan sayur yang berserat rendah sangat sesuai untuk diberikan kepada anak-anak yang mengalami cirit-birit. Makanan seperti pisang, epal, lobak merah, kacang pis dan kentang adalah contoh terbaik untuk diberikan kepada si kecil anda. Hindari makanan pedas dan masam, makanan berserat tinggi dan juga makanan tinggi lemak yang mengandungi susu dan santan.
Sembelit
Sembelit biasanya berlaku kepada kanak-kanak yang tidak suka makan sayur dan buah. Untuk mengatasinya, pilih makanan yang tinggi seratnya seperti buah betik, limau, buah plum dan apricot. Jangan lupa juga untuk menggalakkan si kecil anda minum air yang banyak antara 1 hingga 1.5 liter setiap hari untuk melancarkan penghadaman mereka.
Sakit tekak
Cuaca yang panas sering menyebabkan tekak si kecil mudah sakit. Jika mereka mengalami masalah ini pilihlah makanan yang mudah untuk ditelan seperti bubur dan jus. Meminum air kosong secukupnya juga perlu untuk memulihkan keadaan si kecil yang sakit tekak. Selain makanan tinggi karbohidrat seperti bubur nasi, sup kentang dan sebagainya, anda juga digalakkan memberi anak-anak dengan makanan yang mengandungi tinggi vitamin C seperti oren, strawberi, tomato, kiwi dan brokoli.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!