Di sebalik kejayaan sesebuah organisasi, ada insan-insan yang saban hari berjuang di meja kerja, di tapak projek, mahupun di bilik mesyuarat. Namun tekanan, keletihan melampau dan masalah kesihatan mental sering kali menjadi ancaman senyap yang melemahkan tenaga kerja.
Menyedari hakikat itu, Pusat Kesihatan, Fisioterapi dan Rehabilitasi Bersepadu (IDEAL) bersama perusahaan sosial Thrive Well melangkah setapak ke hadapan dengan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di IDEAL Bangsar baru-baru ini.
Fokus Kesihatan Fizikal & Mental
Pengasas IDEAL, Dr. Faizi Rosli, menegaskan bahawa kesejahteraan pekerja perlu dilihat secara menyeluruh, bukan hanya tubuh badan, tetapi juga ketahanan psikologi.
Ads
“Inisiatif ini dijangka mampu mengurangkan ketidakhadiran pekerja, mencegah burnout, serta meningkatkan produktiviti. Pekerja yang sihat adalah tulang belakang sesebuah organisasi yang berjaya,” katanya penuh keyakinan.
Bagi Ellisha Othman, Pengarah Urusan Thrive Well, kesihatan mental sama pentingnya dengan kesihatan fizikal.
“Syarikat korporat perlu lebih peka terhadap kesejahteraan pekerja. Melabur dalam program kesihatan fizikal dan mental bukan sekadar menjaga pekerja, tetapi juga menyediakan organisasi untuk lebih tahan menghadapi cabaran ekonomi global,” ujarnya.
Ads
Ads
Majlis menandatangani MoU turut disaksikan wakil daripada syarikat korporat ternama seperti PETRONAS, DELEUM, KUB Holdings, Gadros Holdings dan Energise Sdn. Bhd. Kehadiran mereka menandakan sokongan padu terhadap usaha memperkukuh budaya kerja yang sihat di Malaysia.
Penanda Aras Baharu
Kerjasama antara IDEAL dan Thrive Well ini bukan sekadar perjanjian di atas kertas, tetapi diyakini bakal menjadi penanda aras baharu dalam kesejahteraan korporat. Ia menegaskan bahawa kesihatan pekerja adalah satu pelaburan strategik kerana dari tubuh yang sihat dan jiwa yang stabil, lahirlah produktiviti, inovasi dan kejayaan jangka panjang.
Di tanah perkuburan yang dingin pagi tadi, hajat seorang ibu terlaksana. Kubur anaknya, Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin, digali semula untuk mencari kebenaran yang masih tertutup kabur.
Ummu Haiman Bee, seorang ibu yang kehilangan anak sulungnya dalam keadaan penuh tanda tanya, berdiri tabah menyaksikan proses yang memilukan. Sehelai demi sehelai tanah merah disingkap, seakan-akan mengusik semula luka yang belum sempat sembuh.
Hari ini, jenazah anak yang pernah didakap penuh kasih, dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk menunggu detik penting yang dijadualkan esok. Proses bedah siasat kali kedua akan dilaksanakan oleh empat orang pakar forensik.
Foto: Kredit Berita Harian
Antara mereka, seorang pakar mewakili pihak keluarga, Datuk Seri Dr. Bhupinder Singh, yang diharap dapat merungkai segala misteri yang menyelubungi pemergian arwah.
Jenazah Syamsul ditutupi dengan bungkusan khas yang disediakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum dibawa menaiki van untuk dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dengan diiringi kawalan ketat polis.
Keadaan jasad Syamsul berada dalam keadaan baik selepas dikeluarkan dari keranda.
“Esok, pukul 9 pagi barulah segalanya bermula,” ujar peguam keluarga, Datuk Naran Singh, dengan nada berat.
Bagi seorang ibu, menunggu sehari terasa seperti seribu tahun. Bukan mudah merelakan jasad anaknya dibedah semula. Namun demi sebuah jawapan, demi mencari keadilan, Ummu Haiman pasrah menunggu esok dengan doa dan air mata yang tidak pernah kering.
Hari ini, jasad anak yang pernah didakap penuh kasih sudah dibawa pergi sekali lagi. Esok, seorang ibu akan kembali menanti, dengan hati yang tak pernah berhenti berdoa agar terbongkar akhirnya kebenaran di sebalik pemergian insan tersayang.
Tragedi yang meragut nyawa adik Zara Qairina Mahathir, 13, terus mendapat perhatian apabila lima remaja perempuan bawah umur dihadapkan ke Mahkamah Kanak-Kanak di sini, hari ini.
Dalam prosiding tertutup di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Elsie Primus, kesemua tertuduh yang berusia bawah 18 tahun itu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menggunakan perkataan mencela terhadap Allahyarhamah Zara Qairina pada malam 15 Julai lalu, di sebuah sekolah di Papar.
Mengikut kertas pertuduhan, mereka didakwa secara bersama menggunakan perkataan yang boleh mengganggu perasaan arwah, antara jam 10 hingga 11 malam. Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 507C (1) Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad, memaklumkan kepada media bahawa setiap tertuduh dibenarkan ikat jamin RM5,000 dengan deposit RM1,000 serta seorang penjamin tempatan. Beliau turut menegaskan, hanya perkara itu boleh didedahkan kerana mahkamah telah mengeluarkan perintah larangan berhubung butiran lain dalam prosiding.
Pihak pendakwaan dikendalikan oleh Nor Azizah bersama Nik Haslinie Hashim dan Deepa Nair Thevaharan, manakala barisan peguam bela terdiri daripada nama-nama berpengalaman termasuk Datuk Ram Singh, Joan Goh, Prem Elmer Ganasan, Azhier Farhan Arisin, Abdul Fikry Jaafar Abdullah, Farah Nazriah Chun Lee, Fareez Salleh dan Sylyester Kuan.
Mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula pada 25 September dan 16 Oktober, manakala pendengaran kes dijadualkan bermula 8 hingga 12 Disember serta 15 hingga 19 Disember depan.
Nama Gula Cakery kian harum sebagai jenama F&B tempatan, seiring dengan perjalanan luar biasa pengasasnya, Nor Arieni Adriena Mohd Ritzal . Dari sekadar simpanan kecil dan oven di rumah keluarga, beliau kini berdiri megah mengemudi sebuah empayar pencuci mulut dengan jualan mencecah RM4 juta sebulan.
Baru-baru ini, usaha gigih itu turut mendapat perhatian dan pujian daripada bekas Menteri Kesihatan, YB Khairy Jamaluddin. Katanya, Gula Cakery adalah bukti nyata bagaimana impian, disulami kerja keras dan konsistensi, mampu mencipta keajaiban.
“Saya rasa sangat terharu apabila YB Khairy Jamaluddin puji usaha kami. Beliau memang seorang pemimpin yang saya hormati. Pada masa yang sama, pujian itu buat saya rasa saya perlu buat lebih baik lagi supaya Gula Cakery terus kekal kukuh dan berkembang,” kongsi Arieni, penuh rendah hati.
Dari Dapur Rumah Ke Empayar Jutaan Ringgit
Kisah Gula Cakery bermula dengan modal RM20,000, hasil simpanan sendiri. Setiap keuntungan disimpan semula untuk membuka cawangan baharu, malah Arieni berani menyertai pertandingan demi meraih modal tambahan dan peluang bimbingan.
Apa yang membuatnya kekal relevan hingga hari ini? Rahsianya terletak pada inovasi berterusan, keberanian mendengar maklum balas pelanggan, serta pasukan yang konsisten.
“Prinsip saya mudah, never stop learning. Saya belajar resipi baharu, operasi dan kepimpinan. Mindset ini buat saya berani ambil peluang dan sentiasa perbaiki diri serta bisnes,” jelasnya.
Cabaran F&B: Bertahan Dengan Konsistensi
Mengemudi perniagaan F&B bukan jalan mudah. Industri yang kompetitif menuntut Gula Cakery sentiasa mencipta kelainan, menjaga kualiti, dan memperbaiki pengalaman pelanggan.
“Cabaran paling besar adalah untuk terus relevan. Kami atasi dengan inovasi berterusan, tingkatkan pengalaman pelanggan, serta pastikan servis dan kualiti sentiasa konsisten,” katanya lagi.
Baginya, kejayaan bukan sekadar soal resipi sedap, tetapi misi yang jelas untuk membawa nama jenama tempatan berdiri sama tinggi dengan jenama antarabangsa.
Pesan Buat Anak Muda: Jangan Tunggu Sempurna
Arieni juga menitipkan nasihat buat anak muda yang masih ragu-ragu memulakan langkah dalam dunia bisnes.
“Jangan tunggu semua sempurna. Saya pun mula dengan modal kecil dan pengalaman terhad. Passion itu penting tetapi tak cukup, perlu ada konsistensi dan disiplin untuk bertahan. Mulakan langkah pertama dan belajar dari setiap cabaran, di situ letaknya kekuatan sebenar,” ujarnya penuh semangat.
Nilai Yang Kekal Sama: Kejujuran & Kualiti
Walau kini bergelar usahawan berjaya, prinsip yang dipegang Arieni tetap utuh. Jujur dan menjaga kualiti.
“Setiap kek mesti rasa sedap sama seperti hari pertama. Pelanggan mesti rasa dihargai. Itu yang buat orang percaya dan kembali lagi,” katanya.
Melihat ke hadapan, Arieni mahu menjadikan Gula Cakery sebagai jenama F&B tempatan terbaik dan pusat sehenti untuk kek, makanan serta pencuci mulut.
“Kami mahu membuka lebih banyak outlet di setiap negeri. Biar bila orang fikir tentang sambutan atau perayaan, nama Gula Cakery terus jadi pilihan pertama,” katanya penuh keyakinan.
Sokongan Keluarga, Rahsia Kekuatan Seorang Wanita
Tidak lengkap kejayaan seorang wanita tanpa sokongan dan dorongan dari keluarga sebagai penguat semangat untuk berjaya. Bagi ibu kepada tiga cahayamata ini, keluarga adalah tunggak utama yang mendorong kejayaannya ini.
“Mereka kata, sokongan terbaik dalam hidup datang daripada keluarga. Dan itulah yang saya rasakan setiap hari. Sejak mula melangkah dalam dunia perniagaan, ibu adalah insan pertama yang menjadi tulang belakang.
Beliau sentiasa meletakkan anak-anak sebagai keutamaan, malah pernah menjadi “washer” saya pada hari-hari awal ketika saya membakar tanpa henti. Hari-hari memasak, hari-hari juga ibu yang mencuci periuk dan kuali.
Ayah pula, meskipun bekerja jauh di luar negara dan terkenal dengan sikap tegasnya, tidak pernah sekali pun berkata “tidak”. Diam-diam beliau sentiasa menyokong, menjadi contoh teladan sebenar buat saya.
Dan tentunya, insan paling istimewa, suami yang paling menyokong dalam setiap langkah. Tidak perlu lagi diperkenalkan. Sikapnya yang berlawanan dengan saya menjadikan kami saling melengkapi. Sentiasa ada di sisi, memberi sorakan dan semangat dalam setiap pengembaraan baharu.
Sungguh, tanpa keluarga, tidak mungkin saya mampu berdiri seteguh hari ini. Kerana di sebalik setiap kejayaan seorang wanita, ada doa, kasih, dan sokongan keluarga yang tidak pernah putus,”ujar Arieni mengakhiri bicara.
Uqasha Senrose meragui status perkahwinan dakwa tarikh nikah berbeza seperti dicatat dalam sijil nikah. Terbaru menerusi perkongsian di Instagram Uqasha Senrose mendakwa berlaku kesilapan...