Ibu sedih anak perempuan 14 tahun dah 50 hari tak balik rumah, gagal dihubungi melalui telefon. Seorang pelajar tingkatan dua, Nor Alieya Maisarah Mohd. Hassan, 14 tahun, dilaporkan hilang sejak 8 Mei lalu selepas dipercayai keluar dari rumahnya di Taman Seri Telok Emas, Melaka, bersama beg sekolah dan beberapa helai pakaian.
Ibunya, Noorlaili Mahat, 53, berkata, kali terakhir dia melihat anak bongsunya itu adalah sekitar jam 4 petang pada hari kejadian, sebelum dia keluar untuk bekerja.
Menurut Noorlaili, kehilangan Maisarah hanya disedari anak keduanya yang berusia 16 tahun, apabila dia mendapati Maisarah tiada di rumah dan gagal dihubungi melalui telefon.
“Ketika saya sedang bekerja, anak saya hubungi dan beritahu Adik (Maisarah) tak ada di rumah. Kami cuba telefon dia berkali-kali, tapi langsung tak dapat sampai sekarang,” katanya.
Tambah Noorlaili lagi, apabila dia pulang ke rumah, dia mendapati beg sekolah dan beberapa pakaian milik Maisarah turut hilang. Susulan itu, laporan polis telah dibuat pada hari yang sama.
Berkongsi lanjut, Noorlaili memaklumkan bahawa sebelum kejadian, Maisarah tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda pelik atau berkelakuan seperti sedang merajuk.
“Kami sekeluarga buntu, Adik bukan jenis yang bebas keluar sesuka hati. Setahu saya, dia juga tidak ada teman lelaki,” katanya.
Pihak keluarga kini merayu orang ramai yang mempunyai maklumat agar tampil membantu mengesan remaja tersebut.
Sumber: Kosmo online
Baca artikel lain juga: Kanak-kanak Perempuan 9 Tahun Maut Didera, Ibu Kandung & Bapa Tiri Direman
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE