
Ibu Muda Maut Kemalangan di Jalan Kandang–Ayer Molek
Hasrat tiga beranak untuk pulang ke rumah bertukar tragedi apabila seorang ibu muda maut dalam kemalangan, manakala anak lelakinya serta adik perempuannya cedera parah selepas motosikal dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di Jalan Kandang–Ayer Molek, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.20 pagi itu, mangsa, Nurul Anisha Durahman, 24, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala selepas motosikal Yamaha Y15ZR yang ditungganginya bertembung dengan Toyota Corolla Cross yang dipercayai memasuki laluan bertentangan.
Anak Lelaki & Adik Perempuan Parah Dalam Kemalangan
Anak lelakinya, Muhammad Aqil Auni Mohd Yusnaidi, 5, serta adik mangsa, Nurul Farah Natasha, 21, yang membonceng motosikal berkenaan, cedera parah dengan pendarahan di kepala dan patah kaki. Kedua-dua mangsa segera dikejarkan ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit, berkata siasatan awal mendapati ketiga-tiga beranak itu dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Duyong sebelum kemalangan berlaku.

SUV Didakwa Masuk Laluan Bertentangan
“Sebaik tiba di lokasi berhadapan sebuah kedai makan, sebuah SUV dipandu lelaki berusia 36 tahun dari arah Selandar ke Melaka dipercayai memasuki laluan bertentangan sebelum berlanggar dengan motosikal mangsa.
“Akibat pertembungan itu, penunggang motosikal meninggal dunia di tempat kejadian dan disahkan oleh petugas perubatan, manakala dua pembonceng parah dan dikejarkan ke Hospital Melaka untuk rawatan,” katanya semalam.
Pemandu SUV Ditahan, Ujian Toksikologi Negatif
Menurut beliau, pemandu SUV terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan dan telah ditahan bagi membantu siasatan lanjut. Sampel darah suspek turut diambil untuk ujian toksikologi.
“Hasil saringan awal air kencing terhadap suspek didapati negatif dadah. Kedua-dua kenderaan turut ditahan untuk pemeriksaan lanjut di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).
Mayat mangsa pula dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat,” katanya lagi.
Polis Minta Saksi Kemalangan Tampil
Christopher turut menyeru mana-mana saksi bebas yang menyaksikan kejadian agar tampil membantu siasatan. Kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara cuai sehingga menyebabkan kematian.
Tragedi ini menjadi peringatan kepada semua pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati dan mematuhi undang-undang trafik, terutama ketika memandu atau menunggang pada waktu malam. Ibu muda maut kemalangan ini wajar dijadikan iktibar untuk mengelakkan tragedi serupa daripada berulang.
Sumber: Harian Metro
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!







