Ibu Muda Berpantang Rai Dua Anugerah Utama UniSZA

Pengorbanan seorang ibu muda berpantang yang masih dalam tempoh pemulihan selepas melahirkan anak akhirnya membuahkan hasil apabila Nurshafikah Abd Manaf, 26, dinobatkan sebagai penerima dua anugerah tertinggi pada Majlis Idul Ilmi Konvokesyen Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) ke-17.

Dua Anugerah Berprestij Dalam Satu Hari

Graduan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Risiko dan Takaful) itu menerima Anugerah Terbaik Fakulti Perniagaan dan Pengurusan (Pingat Al-Khawarizmi) serta Anugerah Khas Kecemerlangan Industri, mengiktiraf kecemerlangannya sepanjang tempoh pengajian di UniSZA.

“Saya masih dalam pantang tapi tak sanggup lepaskan momen ini. Dapat dua anugerah pada hari yang sama memang satu sejarah hidup saya,” katanya ketika ditemui seusai majlis konvokesyen tersebut.

“Rezeki Anak, Hadiah Dari Allah”- Ibu Muda Berpantang Rai Dua Anugerah Utama UniSZA

“Rezeki Anak, Hadiah Dari Allah”

Menurut Nurshafikah, beliau disahkan hamil ketika berada di semester terakhir pada Januari lalu dan terpaksa menduduki peperiksaan dalam keadaan tidak sihat.

“Saya jawab sekadar termampu. Tak sangka hari ini diberi rezeki sebegini besar. Saya anggap semuanya rezeki anak, hadiah dari Allah selepas usaha bersungguh-sungguh,” ujarnya.

Ads

Dengan purata nilai gred kumulatif (CGPA) 3.70 dan rekod tujuh semester berturut-turut sebagai pelajar dekan, beliau mengakui perjalanan akademiknya bukan mudah, terutama ketika berdepan alahan serta keletihan di awal kehamilan.

Dorongan Suami Dan Keluarga

“Ada masa memang rasa nak mengaku kalah sebab badan lemah dan emosi tak stabil, tapi saya kuatkan semangat atas dorongan suami dan keluarga,” kongsinya.

Nurshafikah berkahwin dengan Hanis Mohd Naim, 26, pada Mac tahun lalu. Hanis kini bekerja sebagai jurutera sambil melanjutkan pengajian secara separuh masa di UiTM.

Ads

“Suami banyak bantu dari segi kewangan dan semangat. Selain kerja tetap, dia juga buat kerja sambilan sebagai pemandu e-hailing untuk tampung perbelanjaan saya semasa belajar,” katanya.

Bayi Jadi Saksi Kejayaan

Lebih menyentuh hati, ibu muda berpantang itu hadir ke majlis konvokesyen bersama bayi sulungnya yang baru berusia 30 hari bagi meraikan kejayaan itu bersama keluarga.

“Penat itu memang ada, tapi semua hilang bila saya dapat berdiri di pentas dengan anak di sisi,” katanya sambil tersenyum bahagia.

Ads

Sumber: Universiti Sultan Zainal Abidin

Ibu Muda Dalam Pantang, Nekad Hadir Konvokesyen, Naik Pentas, Rai Kejayaan Bersama Keluarga

 

Dapatkan cerita, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi

 

 

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di download sekarang!

KLIK DI SEENI