Suasana di perkarangan Unit Forensik Hospital Gua Musang petang itu begitu meruntun jiwa. Hanya bunyi esakan yang memecah sunyi, tatkala seorang wanita, Tuan Nor Syuhada Mohd Zain, 23, dibawa dengan katil hospital untuk menatap wajah suami dan dua anaknya buat kali terakhir di dunia.
Nor Syuhada, cedera parah dengan patah di tangan dan leher akibat kemalangan tragis di Jalan Gua Musang–Kuala Krai, berdekatan Felda Chiku 1, hanya mampu mengangkat tangannya perlahan.
Jari-jemari yang lemah itu mengusap lembut wajah anak sulung, Muhammad Aryan Fattah Abdul Qayyum, 5, dan si bongsu, Muhammad Aydan Fattah, 4, sebelum menyentuh dahi suami tercinta, Muhammad Faiz Nor Amran, 31.
Tiada kata yang terluah, hanya air mata mengalir di pipi pucatnya, tanda cinta yang terlalu dalam untuk diungkapkan.
Ads
Di sisi lain, ibu mentua Nor Syuhada, Shahima Hamid, 54, rebah sekali lagi kali kelima sejak tragedi ini berlaku saat melihat jenazah dibawa keluar untuk dimasukkan ke dalam van. Kesedihan itu terlalu berat untuk ditanggung.
Empat Jenazah Dikebumikan
Bapa mentua, Nor Amran Mat Nor, 58, berkata empat jenazah itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Padang To’La, Pasir Mas.
“Kami terima takdir ini dengan reda walau pahit. Itulah satu-satunya anak perempuan saya… Allah sudah mengambilnya. Isteri saya masih lemah, tapi kami akan terus memberi kekuatan kepadanya,” luahnya dengan mata berkaca.
Ads
Menurut Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo, bedah siasat bermula jam 4.50 petang dan selesai jam 7.15 malam. Tiga van jenazah yang membawa empat insan tersayang ini diiringi polis sehingga ke Pasir Mas, agar perjalanan terakhir mereka berlangsung dengan penuh tertib dan hormat.
Empat sekeluarga yang maut dalam kemalangan di Kilometer 34 Felda Chiku 1, dekat Gua Musang, Kelantan selamat di kebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kubang Bemban.
Jenazah Muhammad Faiz Nor Amran, 31 tahun, adiknya, Nor Aina Imra, 21 tahun dan dua anak kepada Muhammaf Faiz, Muhammad Aryan Fattah Abdul Qayyum, lima tahun, Muhammad Aydan Fattah, empat tahun tiba di tanah perkuburan pada 11.10 malam tadi.
Ads
“Harap Menantu Segera Sembuh & Tabah”-Shahima Hamid
Sementara itu, ibu kepada Muhammad Faiz, iaitu Shahima Hamid, 54, berkata walaupun sedih namun dia reda dengan pemergian dua anak serta dua cucunya.
Katanya, dia bersyukur urusan pengebumian berjalan lancar dan dihadiri ramai ahli keluarga dan masyarakat setempat. Katanya lagi, walaupun kehilangan satu satunya anak perempuan, dia reda kerana Allah lebih sayangkan anaknya itu.
“Syukur Alhamdulillah, saya redha, semua urusan dipermudahkan,” kata Shahima.
Beliau juga berharap menantunya, Tuan Nor Syuhada segera sembuh dan terus kuat dan mengucapkan terima kasih kepada pihak yang terlibat mempermudahkan urusannya dan keluarga.
Fasha Sandha tak pernah terfikir gelaran Datuk. Pelakon cantik baru saja menerima Penganugerahan Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri Perlis sempena Ulang Tahun Keputeraan ke-82 Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail di Istana Arau, Perlis.
Malah Fasha juga menerangkan pingat tersebut sebagai satu penghargaan tertinggi yang pernah diterimanya sejak bergelar anak seni lebih dua dekad lalu.
Fasha Sandha Tak Pernah Terfikir Gelaran Datuk
Ibu kepada tiga cahaya mata itu juga sangat bersyukur dengan pengiktirafan yang terima. Seperti mana dipetik menerusi Kosmo! Online Fasha akui dirinya sangat dihargai.
“Anugerah ini tidak buat saya rasa terbeban sebaliknya dihargai.
“Kalau nak cakap tentang kemungkinan akan diangkat menjadi ikon atau dapat gelaran datuk, saya rasa perjalananan itu masih terlalu jauh sebab ramai lagi orang yang lebih layak.
“Gelaran datuk? Terlalu berat dan tak pernah terfikir, tiada komen tentang itu,” katanya.
Enggan Tabik Dada
Pemilik nama sebenar Nur Fasha Sandha Hassan akui dirinya banyak kekurangan dan tidak mahu menabik dada.
“Alhamdulillah rezeki yang tidak disangka dan anggap hadiah untuk perkahwinan serta anak-anak.
“Saya masih banyak kelemahan berbanding kelebihan tetapi apabila terpilih menerima pengiktirafan sebegitu, saya syukur.
“Pengiktirafan tersebut jarang diberikan oleh pihak istana Perlis, memang satu perkara yang tidak pernah dijangka, kurniaan yang paling tinggi saya pernah dapat,” ungkap Fasha.
Kongsi Fasha lagi dirinya juga tidak mahu dilihat keterlaluan dalam memberikan komen kerana tidak mahu dilabel sombong.
“Saya risau nak cakap sebab takut kedengaran seperti riak namun anggap itu satu hadiah yang diberikan oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail,” sambung Fasha.
Pada masa yang sama Fasha sangat berbesa hati dengan penganugerahan itu dan menyuntik semangat untuk dirinya menjadi orang lebih baik.
“Mungkin saya dapat sebab sebelum ini banyak menulis tentang Perlis Indera Kayangan selain dibesarkan di negeri itu walaupun saya dilahirkan di Johor. Ini satu kenangan yang manis, Alhamdulillah,” sambung Fasha.
Program Malaysia #QuranHour yang sudah memasuki edisi ke-11 disyor untuk dimasukkan dalam kalendar rasmi pelancongan negara pada tahun-tahun mendatang.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, agenda tersebut perlu diangkat sebagai usaha mempromosikan pelancongan Islamik di Malaysia.
Sehubungan itu, katanya, cadangan berkenaan akan dibawa ke peringkat Kabinet untuk dipertimbangkan.
“Penganjur telah mencadangkan kepada saya supaya pada tahun-tahun mendatang ia dimasukkan dalam kalendar pelancongan Malaysia.
“Saya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kabinet, Insya-ALLAH akan membawa perkara ini dan sebenarnya tidak ada masalah besar untuk dimasukkan.
“Ia adalah sebahagian daripada Islamic tourism yang akan kita promosikan bersama-sama dengan beberapa acara lain sempena Maulidur Rasul dan peristiwa Islam lain di negara ini,” katanya selepas Malaysia #QuranHour 2025 di Masjid Negara.
Program anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) itu mengetengahkan misi #ResetRasa selari dengan tema besar iaitu “Merdeka Dengan Rasa” berpandukan tiga surah utama: surah al-Saff, surah al-Balad dan surah Ali’ Imran.
Malaysia #QuranHour 2025 menyeru pemimpin membina dasar dengan jiwa, penjawat awam melaksanakan amanah dengan rasa, manakala rakyat bangkit membela yang tertindas.
Dengan berpaksikan al-Quran, ia menjadi jalan menuju sebuah negara Madani yang benar-benar merdeka dengan rasa, membentuk bangsa berakhlak luhur, berempati tinggi dan meletakkan ALLAH SWT sebagai pusat perjuangan.
Mengulas tema “Merdeka Dengan Rasa”, Ahmad Zahid berkata, ia selari dengan sambutan kemerdekaan negara ke-68 dan menjelang Hari Malaysia ke-62.
“Kemerdekaan adalah untuk seluruh rakyat Malaysia. Kita tidak harus melayani perbezaan warna politik, budaya, bangsa atau agama sehingga menjejaskan perpaduan dalam meraikan kemerdekaan.
“Insya-ALLAH hubungan antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung, serta kepelbagaian keturunan di negara ini harus mencerminkan penyatuan pemikiran dan hati nurani agar kita benar-benar bertindak sebagai bangsa Malaysia,” tegas beliau.
Bukan sekadar sambutan Hari Raya biasa, tetapi sebuah perayaan penuh makna dan semangat apabila lebih 300 wanita berkumpul dalam satu majlis eksklusif anjuran Komuniti Wanita DIG (KWDIG) yang berlangsung meriah di UTM Hotel & Residence, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Bertemakan “Raya Meletop”, majlis ini diraikan dengan penuh gaya – menggambarkan keyakinan, ekspresi diri dan keanggunan wanita moden hari ini.
Majlis gilang-gemilang yang berlangsung di UTM Hotel & Residence Kuala Lumpur ini menghimpunkan lebih 300 wanita daripada pelbagai latar belakang — termasuk pemimpin NGO, usahawan dan ahli korporat— dalam suasana eksklusif bertemakan “Raya Meletop”, simbol ekspresi diri, keyakinan dan keanggunan wanita masa kini.
Lebih istimewa, turut diadakan penyampaian Anugerah Wanita Cemerlang Madani 2025 – KWDIG disampaikan kepada dua figura hebat — Puan Rosdziah Mohd Zainudin dari D.Alam Academy dan Puan Zawani Mohd Yusoff dari Wanis Shielout — atas kejayaan luar biasa mereka dalam memperkasa ekonomi komuniti wanita serta usaha membina empayar perniagaan masing-masing dengan penuh dedikasi dan iltizam.
Inspirasi Wanita
Menurut Pengasas KWDIG, Datin Ira Ghani, majlis ini bukan sahaja menyatukan komuniti, malah berperanan sebagai pemangkin inspirasi kepada lebih ramai wanita agar berani tampil ke hadapan.
“Tujuan utama majlis ini adalah untuk mengeratkan silaturahim dalam kalangan komuniti serta memberi pengiktirafan kepada wanita inspirasi yang berani melangkah jauh ke hadapan. Kami percaya kejayaan mereka akan menjadi pemangkin semangat kepada wanita lain untuk turut bangkit dan bersinar,” ujar beliau.
Majlis ini turut dimeriahkan dengan kehadiran Datuk Seri Dr Hajah Zurainah Musa selaku tetamu kehormat. Beliau juga merupakan Penasihat Komuniti Wanita DIG serta rakan strategik HAWA Malaysia dalam kluster keusahawanan dan ekonomi.
Anugerah Khas
Menariknya, ini merupakan kali ke-7 perjumpaan rasmi KWDIG sejak penubuhannya, namun buat julung kalinya, majlis ini menampilkan penganugerahan khas bagi mengiktiraf pencapaian luar biasa dalam kalangan ahli.
Acara turut mendapat sokongan strategik daripada pelbagai pihak termasuk DIG Holding Sdn Bhd, MZ Empire Resources, Mega Lux Auto, Oxwise, Aayana, DIG Medichome, dan Aura Seri.
Dalam usaha berterusan memperkasakan wanita, pelancaran projek khas DIG MediChome turut diumumkan. Inisiatif ini akan membantu wanita di seluruh negara dalam aspek kesihatan, ekonomi, kewangan dan kesejahteraan, disertai bimbingan secara percuma daripada mentor keusahawanan berpengalaman lebih 27 tahun yang telah berjaya melahirkan ramai usahawan wanita.
Komuniti Wanita DIG terkenal dengan pendekatan berimpak tinggi melalui pelbagai tema perjumpaan seperti Love Yourself, I Am Power, dan Wanita Aspirasi — membuktikan bahawa sokongan moral dan ruang motivasi mampu melahirkan wanita yang berdikari, dihormati dan disegani dalam masyarakat.
Majlis juga turut disokong oleh 12 penaja strategik DIG Holding, DIG MediChome, MegaLux Auto, NRC Cosmetic, MZ Empire, Aura Seri, Oxwise , Ayaana, Impact Media Communication dan DITAC Academy.
Pasangan yang kehilangan anak sulung tahun lalu kini dikurniakan tiga puteri hasil IVF Tunku Azizah. Kelahiran ini menjadi pengubat rindu Al-Fateh dan bukti keprihatinan Tengku Ampuan Pahang dalam membantu pasangan yang berjuang mendapatkan zuriat.