
Ibu Berpantang Redah Banjir Selamatkan Bayi 27 Hari Dalam Keadaan Cemas
Seorang ibu dalam tempoh berpantang terpaksa berdepan detik cemas apabila terpaksa meredah banjir sambil mendukung bayinya yang baru berusia 27 hari. Dalam keadaan hujan lebat, cuaca gelap dan tubuh menggigil kesejukan, dia berjalan kira-kira 50 meter demi menyelamatkan diri dan anak kecilnya.
Roslinda Ahmad, 35, yang menetap di Kampung Pulau Gajah, Kota Bharu, Kelantan berkata, air mula memasuki kawasan rumah sekitar jam 4 petang dan semakin naik menjelang malam. Menurutnya, keadaan itu luar daripada kebiasaan kerana sebelum ini air biasanya surut dalam tempoh singkat.
Air Naik Tiba-Tiba, Ibu Berpantang Terpaksa Keluar Rumah
“Saya tersedar bila rasa tilam dah basah. Air dah mula masuk rumah, cepat-cepat kejut suami dan bawa anak-anak keluar,” ujarnya ketika ditemui di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Sabak.
Suaminya, Mohamad Sulahemi Sulaiman, 38, membawa Roslinda dan lima anak mereka keluar menggunakan kereta yang diletakkan di kawasan lebih tinggi kira-kira 50 meter dari rumah. Perjalanan singkat itu bagaimanapun bukan mudah bagi Roslinda yang masih dalam pantang.

Ibu Berpantang Redah Banjir Dengan Bayi Dalam Dakapan
“Saya menggigil sangat, kaki pun dah kebas. Tapi tetap gagahkan diri. Syukur polis datang bantu dan ambil kami di pertengahan jalan sebab laluan ke PPS pun dah dinaiki air,” katanya.
Walaupun keadaan tubuh masih lemah dan sakit-sakit kerana baru melahirkan anak, Roslinda reda meneruskan tempoh berpantang di PPS. Tiga hari mereka berada di pusat pemindahan itu selepas berpindah sejak Sabtu.

Reda Hadapi Ujian Banjir Demi Keselamatan Anak
Roslinda sebelum ini melahirkan bayinya, Nur Syazwa Mohamad Sulahemi di Hospital Raja Perempuan Zainab II dengan berat 3.8 kilogram. Walaupun situasi banjir ini bukan sesuatu yang asing bagi penduduk kampung, ini merupakan kali pertama keluarganya terpaksa berpindah ke PPS untuk keselamatan.
“Mujur bayi tak meragam. Cucu dan menantu pun sekali duduk di PPS. Kami reda, yang penting semua selamat,” katanya.
Sumber: Sinar Harian
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!


Sumber: Public Health Malaysia.



