Ads

Suami Wajib Beri Isteri Upah Bersalin? Ini Penjelasan Mufti Wilayah

upah bersalin

Suami wajib beri isteri upah bersalin? Ini penjelasan Mufti Wilayah. Trend isteri meminta ‘upah bersalin’ daripada suami semakin menjadi bualan di media sosial.

Ada yang melihatnya sebagai tanda penghargaan atas pengorbanan isteri melahirkan zuriat, manakala tidak kurang juga yang mempersoalkan sama ada pemberian tersebut merupakan satu kewajipan menurut Islam.

Menjawab persoalan itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menerusi Irsyad Al Hukum Siri Ke-955 menjelaskan bahawa suami tidak wajib memberi upah atau bayaran kepada isteri kerana melahirkan anak.

Menurut Mufti Wilayah Persekutuan, melahirkan anak bukanlah satu tugas isteri yang wajib dibayar upah. Sebaliknya, ia termasuk dalam tanggungjawab seorang isteri dan amanah seorang ibu dalam institusi kekeluargaan.

Walau bagaimanapun, Islam amat menggalakkan suami menghargai pengorbanan isteri yang bertarung nyawa demi melahirkan zuriat. Penghargaan itu bukan sahaja boleh dizahirkan melalui hadiah atau wang, malah lebih bermakna apabila disertai sifat ihsan, kasih sayang dan layanan yang baik sepanjang tempoh kehamilan serta selepas melahirkan.

Suami Wajib Beri Isteri Upah Bersalin?

Suami Wajib Beri Isteri Upah Bersalin? Ini Penjelasan Mufti Wilayah
Suami wajib beri isteri upah bersalin? Ini penjelasan Mufti Wilayah

Melahirkan Anak Amanah Seorang Ibu

Dalam penjelasan tersebut, Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan bahawa anak merupakan anugerah dan amanah daripada Allah SWT kepada pasangan suami isteri. Kehamilan dan kelahiran pula adalah sunnatullah dalam proses kejadian manusia.

Firman Allah SWT dalam Surah al Ahqaf ayat 15 turut mengingatkan bahawa seorang ibu mengandung dan melahirkan anak dengan penuh kepayahan.

Berdasarkan tafsiran Syeikh Wahbah al Zuhaili yang dipetik dalam irsyad itu, ayat berkenaan menunjukkan bahawa hak seorang ibu sangat besar kerana menanggung kesukaran ketika mengandung, melahirkan, menyusukan serta membesarkan anak dengan penuh kesabaran. Atas sebab itu, Islam meletakkan kedudukan ibu pada darjat yang sangat tinggi.

Ads

Namun, pengorbanan besar seorang ibu itu tidak menjadikan proses melahirkan anak sebagai satu pekerjaan yang mewajibkan suami membayar upah.

Kewajipan Suami Adalah Menyediakan Nafkah

Sebaliknya, Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan bahawa syarak telah menetapkan tanggungjawab utama suami ialah menyediakan nafkah kepada isteri.

Firman Allah SWT dalam Surah al Baqarah ayat 233 menyatakan bahawa bapa bertanggungjawab menyediakan makan minum dan pakaian kepada ibu mengikut cara yang sepatutnya.

Selain itu, ulama turut menggariskan beberapa keperluan yang wajib ditanggung suami seperti makanan, pakaian, tempat tinggal, keperluan kebersihan diri, perkakasan rumah serta pembantu sekiranya isteri berasal daripada keluarga yang lazim mempunyai pembantu.

Ads

Bukan itu sahaja, suami juga bertanggungjawab membiayai kos rawatan berkaitan kehamilan dan proses kelahiran serta menyediakan makanan yang berkhasiat kepada isteri sepanjang tempoh berpantang mengikut kemampuan.

Justeru, kewajipan tersebut adalah sebahagian daripada nafkah yang diwajibkan syarak, bukannya bayaran khas kerana melahirkan anak.

Suami Wajib Beri Isteri Upah Bersalin? Ini Penjelasan Mufti Wilayah

Menghargai Isteri Adalah Amalan Yang Dituntut

Walaupun tiada kewajipan memberi upah bersalin, Mufti Wilayah Persekutuan menegaskan bahawa menghargai pengorbanan isteri merupakan amalan yang sangat terpuji.

Rasulullah SAW bersabda:

Ads

“Sebaik-baik kamu ialah orang yang paling baik terhadap isterinya dan aku adalah yang terbaik terhadap isteriku.” (Riwayat Ibn Majah)

Anda mungkin berminat dengan

Menurut Mufti Wilayah Persekutuan, penghargaan seorang suami tidak semestinya diterjemahkan melalui wang tunai atau hadiah yang mahal.

Sebaliknya, memberi layanan istimewa, menyediakan ruang berehat yang selesa, membantu menjaga bayi, memberi sokongan emosi serta sentiasa berada di sisi isteri ketika melalui fasa kehamilan dan selepas bersalin merupakan antara bentuk ihsan yang sangat digalakkan dalam Islam.

Bukan Kewajipan Tetapi Lambang Kasih Sayang

Kesimpulannya, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menegaskan bahawa suami tidak wajib memberi upah kepada isteri kerana melahirkan anak, kerana proses tersebut merupakan amanah seorang ibu dalam kehidupan berkeluarga.

Namun begitu, menghargai pengorbanan isteri yang mempertaruhkan nyawa demi melahirkan zuriat tetap digalakkan oleh syarak. Sama ada melalui hadiah, wang, perhatian mahupun layanan penuh kasih sayang, ia menjadi lambang ihsan seorang suami terhadap wanita yang berkongsi susah payah membina sebuah keluarga. Sumber :- Pejabat Mufti Wilayah.

Wallahu a’lam.

Dapatkan cerita, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di download sekarang!

KLIK DI SEENI
Ads

Cerita Lain

Warga Emas Diragut

Wanita Warga Emas Diragut Rantai Leher, Dua Lelaki Naik Motor Yamaha...

Sudah berumur pun sanggup buat, kasihan nasib warga emas diragut di hadapan sebuah rumah di Bandar Baru Permas Jaya, Masai. Merujuk pada gambar dan video yang tular, wanita umur 73 tahun itu sampai tergolek jatuh. Sampai hati sungguh...