
Duka menyelubungi dunia seni tanah air apabila penyanyi berbakat besar, Hafiz Suip, 35, mengesahkan pemergian ibunya yang tercinta, Halizawati Salleh, 62, malam tadi. Dalam satu hantaran ringkas di Facebook, Hafiz menulis penuh sebak.
“Innalillahiwainnailaihirojiun… Hilangnya doa seorang ibu.”

Arwah Halizawati dilaporkan menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 9.40 malam di Hospital Umum Kuching, Sarawak, selepas bertarung dengan penyakit kencing manis kronik. Pemergian wanita yang menjadi sumber kekuatan dan inspirasi Hafiz itu meninggalkan kesan mendalam bukan sahaja kepada keluarga, tetapi juga kepada peminat yang mengenali kasih dan pengorbanan di antara mereka.
View this post on Instagram
Sebelum ini, Allahyarham sempat mencuri perhatian ramai apabila muncul di atas pentas dalam kerusi roda, ketika Hafiz mendendangkan lagu ‘Pelangi Petang’, lagu kegemarannya, pada konsert solo penyanyi itu baru-baru ini. Detik itu menjadi simbol kasih abadi antara seorang ibu dan anak momen yang kini tinggal kenangan abadi.

Di sebalik sinar kejayaan dan populariti, tidak ramai mengetahui sisi pengorbanan Hafiz sebagai seorang anak yang setia menjaga ibu dan ayahnya yang uzur. Demi menunaikan tanggungjawab seorang anak, Hafiz memilih untuk berpindah pulang ke Kuching, agar dapat memberi perhatian penuh terhadap kedua orang tuanya.
Ibu Sebagai Keutamaan
Biarpun sibuk dengan dunia seni, Hafiz tetap meletakkan keluarga sebagai keutamaan. Dia sering berkongsi tentang ibunya yang menjadi tulang belakang sepanjang perjalanan kariernya.

Namun, penyakit diabetes yang lama dihidapi ibunya menyebabkan kaki kiri arwah terpaksa dipotong hingga ke paras lutut, ujian besar yang ditempuh dengan tabah oleh mereka sekeluarga.
Rakan artis dan peminat turut membanjiri media sosial dengan ucapan takziah serta doa buat keluarga Hafiz. Pengarah SAH Entertainment, Sufi Rashid, antara yang awal menzahirkan rasa sedih di platform Threads:
“Saya dimaklumkan bahawa ibu kepada Hafiz Suip kembali ke rahmatullah. Semoga Hafiz sekeluarga diberi kekuatan menghadapi ujian ini.”
Kini, doa seorang ibu yang menjadi peneman Hafiz dalam setiap langkahnya telah pergi menghadap Ilahi. Namun, pengorbanan dan kasih sayang yang tidak bertepi itu kekal hidup dalam setiap hela nafas dan perjuangan Hafiz sebagai anak seni dan anak yang berbakti.
Jenazah ibu kepada penyanyi terkenal, Hafiz Suip, iaitu Allahyarham Halizawati Salleh, 62, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Samariang, Petra Jaya, Sarawak, kira-kira jam 11 pagi tadi.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada jam 9.40 malam semalam di Hospital Umum Kuching, akibat komplikasi penyakit kencing manis.

Menurut sumber terdekat, arwah dimasukkan ke hospital beberapa hari lalu selepas mengadu tidak sihat sebaik pulang ke Sarawak.
“Beberapa hari selepas pulang dari Kuala Lumpur, arwah mengadu kurang sihat dan dirawat di hospital sebelum menghembuskan nafas terakhir malam tadi.
“Mujur Hafiz baru sembuh daripada COVID-19 dan Influenza, jadi dia sempat pulang untuk menguruskan ibunya,” kata sumber terdekat keluarga.
“Hilangnya seorang ibu, hilanglah separuh jiwa seorang anak.”
Al Fatihah.
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!









