Hidup berpasang-pasang adalah lumrah dalam kehidupan melalui ikatan pernikahan. Namun hidup ini tak selalu indah kerana kadang-kadang ada sahaja onak dan badainya dalam rumah tangga.

Campur tangan orang ketiga umpamanya sama ada ibu bapa pasangan, ipar duai waima kekasih lama pasangan  sudah pasti cenderung untuk meruntuhkan sesebuah rumah tangga jika di biarkan.

Siti Elizad, Erra Fazira dan Norman Hakim hari ini menerusi Cerita Dalam Kain di Mingguan Wanita Talkshow mengupas topik Campur Tangan Orang Ketiga. Tetamu undangan, Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Tuan Musa Awang, berkata sebanyak 15.2 peratus wanita bercerai dengan suami disebabkan lelaki memilih curang berbanding hanya 10 peratus penceraian lelaki disebabkan wanita curang.

Paling mengejutkan, peratusan campur tangan orang ketiga iaitu “orang luar” seperti keluarga lebih tinggi menyebabkan penceraian di kalangan pasangan suami dan isteri.

Menurutnya, kebiasaannya wanita yang kerap kali menjadi mangsa kerana wanita yang duduk di rumah dan melakukan kerja-kerja rumah. Kebiasaannya masalah menjadi lebih buruk apabila pasangan suami, isteri tinggal serumah dengan keluarga.

“Memang terdapat peruntukan undang-undang atau akta campur tangan orang ketiga yang cuba mengganggu rumah tangga atau membuatkan pasangan bercerai. Sekali pun melibatkan keluarga ahli keluarga sendiri.

“Tetapi tidak ramai yang mengambil tindakan ini kerana ianya melibatkan keluarga terdekat dan memilih untuk menyelesaikan secara baik. Ada setengahnya lebih selesa untuk move on dan anggap tiada jodoh,” jelas Musa Awang.

IKLAN

Nasihat Tuan Musa kepada mereka yang bermasalah:

  1. Pertama berbincang dengan suami dahulu jika ada ruang, jika tiada cari orang tengah yang dipercayai. Lebih baik gunakan orang luar dan bukan keluarga. 
  2. Berjumpa kaunselor
  3. Merujuk masalah ke pejabat agama
  4. Paling akhir barulah ke pejabat peguam jika masalah tersebut perlukan pengadilan. 

Hati-hati Yer Perosak Rumah Tangga, Ada Akta Campur Tangan Orang Ketiga Faham

Sengaja Memilih Untuk Berpisah

Manakala bagi artis dan selebriti, Elly Mazlein, yang pernah melalui fasa rumah tangga diganggu orang ketiga, turut berkongsi rasa.

Elly menceritakan dia sengaja memilih untuk berpisah kerana tidak mahu merosakkan diri sendiri lebih-lebih lagi ketika itu  sedang hamil tiga bulan. Kala itu dia terfikir untuk memilih jalan tengah kerana tidak mahu bersedih dan alhamdulillah segalanya kini berjalan lancar.

Nasihat Elly Mazlein kepada mereka di luar sana yang berdepan dengan masalah dalam rumah tangga, sebaiknya pertama sekali duduk berbincang dengan suami apatah lagi memiliki anak-anak.

IKLAN

“Buat lelaki pula, perlu dingat anda telah mempunyai anak. Jadi cubalah menjadi bapa yang terbaik untuk menjaga anak dan isteri. Berikan perhatian pada orang yang berada di depan mata dan jangan ambil peduli tentang orang luar.

“Saya bertuah keluarga memang dari awal tidak campur tangan dengan masalah saya dan bekas suami lalui. Tetapi abah saya memang banyak menyokong dan dia mengikut apa sahaja tindakan saya dan berikan saya ruang untuk pilih yang terbaik,” jelasnya lagi.

Kegagalan Perkahwinan Pertama

Manakala bagi Syed Aiman dan Atita Haris, biar pun mereka gagal dalam perkahwinan terdahulu tetapi mereka tidak pernah melalui fasa campur tangan orang ketiga.

Bagi Atita sendiri, jangan sesekali share dengan orang luar biar pun ibu bapa dengan apa sahaja masalah dihadapi. Lebih baik, jadikan suami sebagai kawan baik, so kita boleh share segala-galanya dengan suami.

IKLAN

Seterusnya bagi Syed Aiman pula, nasihat atau tip buat pasangan sebaiknya tinggal di rumah sendiri berbanding  sebumbung dengan keluarga. Sebenarnya hubungan kekeluargaan akan lebih erat berbanding tinggal sekali kerana kadang-kadang hal kecil boleh menjadi besar jika hidup bersama.

Bagi mereka yang ketinggalan menonton Mingguan Wanita Talkshow sebentar tadi, jangan lupa untuk ikuti siaran ulangan di Astro Prima 105 dan Prima HD 121 pada jam 5 petang.

 

 

 

 

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI