
Hasrat ‘healing’ bertukar tragedi, isteri maut, khemah dihempap pokok tumbang. Hasrat pasangan suami isteri untuk menenangkan fikiran dengan aktiviti perkhemahan bertukar tragedi apabila khemah mereka di tapak perkhemahan Pulau Santap, Janda Baik, ditimpa pokok tumbang pada pagi Jumaat.
Hasrat ‘Healing’ Bertukar Tragedi, Isteri Maut, Khemah Dihempap Pokok Tumbang
Dalam insiden sekitar jam 7.30 pagi itu, Herini Mohammad Ali, 38, berasal dari Banting, Selangor, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Suaminya, Koperal Saidi Long, 43, memberitahu mereka memilih untuk berkhemah buat kali pertama bersama dua keluarga lain atas cadangan doktor agar isterinya yang mengalami masalah hormon tiroid dapat berehat dan menikmati suasana alam.
“Kami pertama kali datang berkhemah di sini dengan dua keluarga lain dan aktiviti ini pun atas saranan doktor kerana isteri memerlukan rehat dan menikmati alam semula jadi kerana masalah hormon tiroid yang dihidapinya,” katanya ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik Hospital Bentong.
Menurut Saidi, sewaktu kejadian beliau bersama isterinya dan anak mereka, Muhammad Iman Syahfie yang berusia tujuh tahun sedang tidur di dalam khemah.
“Khemah kami terletak di hujung sekali. Sebelum kejadian, cuaca dalam keadaan baik tanpa hujan, angin atau ribut.
Saya dengar bunyi dahan patah, tidak sangka kena khemah kami. Sekelip mata saja berlaku, anak saya menjerit ketakutan. Saya cuba kejutkan isteri, tapi dia tidak memberi sebarang respons,” jelasnya.
Dalam suasana panik itu, rakan-rakan perkhemahan lain segera membantu dengan memotong dahan yang menimpa khemah sebelum berjaya mengeluarkan mereka bertiga.
“Mereka tarik keluar anak saya dulu, kemudian saya. Saya pun tidak berdaya kerana bahu patah dan tulang rusuk retak.
Sebelum ditarik keluar, saya sempat menarik kaki isteri tapi tetap tiada respons. Masa itu saya ingat dia masih tidur tapi tidak sangka dia sudah tiada,” katanya sebak.
Kejadian itu menyebabkan Saidi mengalami patah bahu dan retak tulang rusuk di bahagian kiri, manakala anaknya hanya mengalami cedera ringan di kaki.
Beliau menambah, mereka sebenarnya merancang pulang pada Khamis, namun menangguhkan kepulangan ke Jumaat tengah hari selepas berada di tapak perkhemahan sejak Isnin.
Sepanjang berada di lokasi tersebut, tiada perubahan sikap ditunjukkan arwah isterinya yang kekal ceria seperti kebiasaan. Jenazah akan dibawa pulang ke Kampung Olak Lempit, Banting untuk dikebumikan di tanah perkuburan Islam kampung berkenaan.
Sumber: Sinar Harian
Baca artikel lain juga: Ibu Sebak Anak Maut Dihempap Pokok Kelapa Sawit Reput -Dia Pakai Cantik, Wangi Sangat
Peniaga Meninggal Dihempap Pokok, Saya Jerit Panggil Ibu Tapi Hanya Temui Jasadnya Saja
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER danciao YOUTUBE
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI