Mulianya sikap pelakon, Datin Paduka Eina Azman dan suami Datuk Paduka Kaiser Gurmeet Abdullah yang membantu golongan susah dan memerlukan. Pasangan ini prihatin dengan penderitaan dua beradik Lela Safiya Azmi, 2, dan Muhammad Nayl Safiy Shahrul Azmi, enam bulan yang mengalami sakit kulit serius.
Sebelum ini, menerusi instagram ibu kepada pasangan kembar Arianna Aubrey dan Karl Kareef, 2 ada memuat naik hasrat untuk membantu adik beradik yang mengidap penyakit kulit ini.Akhirnya, hasrat Eina Azman dipermudahkan apabila dia berpeluang membawa mereka bertemu doktor pakar kulit, semalam.
Eina berkata, luahannya yang dimuat naik di laman instagram, baru-baru ini mendapat perhatian ibu dua kanak-kanak itu, Nurul Ain Abdullah, 29, yang bersetuju membawa mereka bertemu pakar kulit.
“Alhamdullilah harini eina dan husband berkesempatan untuk berjumpa dengan keluarga kak nurul.Sebentar tadi Eina bawa kak nurul dan suami serta dua orang anaknya berjumpa dengan doktor pakar kulit di sebuah klinik swasta di Subang Jaya”.
“Doktor cakap Mohammad dan kakaknya Lela Safiya boleh pulih tapi memakan sedikit masa.Kak nurul juga mempunyai masalah Ekzema dan Eina akan minta doktor untuk rawat dia juga”.
“Insyallah diberi rezeki yang lebih eina dan suami akan menghulurkan bantuan setiap bulan kepada keluarga kak nurul sehingga pulih. Insyallah”.
Ads
Tersentuh Hati
Pelakon yang popular menerusi drama, Rahsia Hati Seorang Perempuan itu berkata, hatinya tersentuh apabila mendapat tahu mengenai penderitaan yang ditanggung Lela Safiya Azmi, 2, dan Muhammad Nayl Safiy Shahrul Azmi, enam bulan.
Selepas berbincang dengan suaminya, Datuk Paduka Kaiser Gurmeet Abdullah,
Eina atau nama sebenarnya, Ainur Syakina Azman sepakat membawa dua kanak-kanak itu dan ibu mereka mendapatkan rawatan dengan pakar kulit.
“Sebagai ibu yang mempunyai sepasang anak yang sedang membesar, saya sebak melihat penderitaan dua beradik itu.
Ads
“Tidak dapat saya bayangkan sekiranya saya berada dalam situasi mereka. Itu yang menggerakkan hati saya untuk membantu keluarga ini.
“Saya difahamkan, ibu kanak-kanak itu turut menghidap ekzema sejak remaja, selain penglihatannya kurang jelas.
Ads
Mereka bergantung hidup kepada pendapatan suami Nurul, Shahrul Azmi Aziz, 27, yang menerima RM850 sebulan sebagai kelindan lori.
“Sedih apabila dimaklumkan, mereka sering dipandang rendah, malah dua beradik itu juga sukar tidur malam kerana tidak selesa dan pedih dengan keadaan kulit mereka,” katanya.
Eina juga berharap, usaha murninya itu dapat menarik lebih ramai anggota masyarakat untuk sama-sama membantu meringankan beban keluarga terbabit.
MW: Tahniah, buat Eina Azman dan suami atas keprihatinan ini. Semoga menjadi contoh buat ramai pihak agar sama-sama turut membantu meringankan beban golongan susah dan tidak berkemampuan.
Chef Wan bersyukur sel kanser belum merebak ke otak, selesai buat kemoterapi tulang belakang.
Berita Chef Wan mengidap kanser limfoma cukup membuatkan peminatnya berasa risau. Walau menyedari kanser sejenis penyakit boleh membawa maut namun Chef Wan kekal positif menjalani rawatan kemoterapinya kali pertama semalam.
Apa yang membuatkan dirinya bersyukur, sel kanser limfoma itu tidak merebak ke bahagian otaknya.
Chef Wan Bersyukur Sel Kanser Belum Merebak Ke Otak
Memetik laporan Harian Metro, Cef selebriti terkenal, Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan, 65, bersyukur sel kanser limfoma dihidapinya tidak menyerang bahagian otak.
Chef Wan berkata dia mendapat perkhabaran baik itu selepas menjalani rawatan kemo semalam. Menurutnya, dia ada berdepan kesakitan sewaktu rawatan namun tidak lama.
“Saya menjalani rawatan kemo pada tulang belakang sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya sel kanser limfoma saya cuba menyerang otak. Proses itu sangat cepat, cuma 15 minit.
“Selepas prosedur itu, saya terus tertidur selama empat jam. Pada jam pertama, saya boleh rasa kesakitan dan kurang selesa. Saya rasa sedikit pening-pening juga.
“Doktor kemudian memaklumkan keputusan ujian baik dan sel kanser belum sampai ke otak lagi. Saya sangat bersyukur mendapat berita itu,” katanya.
Dalam pada itu, Chef Wan juga sangat waspada mengambil ubat-ubatan dalam proses kemo dijalani agar tidak memberi kesan kepada organ dalaman.
“Sepanjang hari saya mengambil segala jenis pil untuk melindungi kemo itu daripada memberi kesan sampingan dan menjaga organ dalaman saya,” katanya.
Pada minggu lalu, Chef Wan berkongsi khabar sedih memaklumkan dirinya disahkan menghidap kanser limfoma selepas dua kali melakukan ujian electrocardiogram (ECG).
Doktor turut memaklumkan padanya bahawa dia mempunyai peluang untuk sembuh antara 70 hingga 80 peratus.
Sensasi! Wanita miliki 4 suami! Yakin perkahwinan sebelumnya telah bubar dengan sendiri tanpa daftar ke mahkhamah. Akhirnya hanya berkahwin 2 minggu sebelum suami memfailkan faraq perkahwinan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Kali ini team Kongsi Kasih bersama Perfume Paradise ke Pasir Puteh, Kelantan. Pertemuan berlaku di hadapan Markas Jejak Jalanan dengan bantuan Abe Hae. Dengan konvoi tujuh buah pacuan empat roda, team Kongsi Kasih ke rumah Pok Su iaitu seorang warga emas berumur 69 tahun yang tinggal bersama anak lelakinya di sebuah rumah usang yang telah dihuni berpuluh tahun.
Kehidupan Pok Su yang sangat daif dengan masalah bekalan air, keadaan rumah yang berlubang lubang, kayu reput dan terletak di pinggir semak dan hutan.
Air Mata Pok Su Mengalir Kenangkan Kesusahan Diri
Malah rumah Pok Su juga sangat berisiko kehadiran ancaman binatang berbisa. Team Kongsi Kasih sempat hulurkan bantuan seperti tilam, barang keperluan makanan dan pam air bagi membantu melengkapi serba sedikit keperluan Pok Su.
Kehadiran team Kongsi Kasih dan Perfume Paradise sangat dihargai oleh Pok Su. Malah air mata mengalir ketika dihulurkan bantuan.
“Isteri meninggal pada tahun 2013, keadaan rumah yang uzur bila hujan air akan masuk air dan kena tilam. Memang sedih dan tak sangka ada yang sudi datang hulurkan bantuan,” kongsi Pok Su yang sangat berterima kasih pada team Kongsi Kasih dan Perfume Paradise kerana sudi bertandang ke rumahnya.
Ibu Tunggal Mek Yah Berjaya Keluar Dari Belenggu Najis Dadah
Seterusnya team Kongsi Kasih dan Perfume Paradise turut menyantuni rumah Mek Yah yang terletak di Tanah Merah. Mek Yah merupakan seorang bekas penagih dadah yang telah berjaya keluar dari belenggu najis dadah.
Dahulu Mek Yah bekerja sebagai pemetik buah petai dan turut membersihkan hutan dan semak untuk kegunaan dan keperluan peneroka di kampung.
Kisah sewaktu menagih dadah memberi keinsafan buat Mek Yah yang sebelum ini pernah ditangkap polis dan kelima-lima anak Mek Yah telah berpecah belah dan terpaksa diambil oleh ahli keluarga dan ada yang di bantu hantar ke tahfiz untuk dibela sementara waktu sehingga Mek Yah dibebaskan selepas pulih.
Sebelum Abe menghulurkan bantuan, Mek Yah seorang ibu tunggal yang turut tinggal di sebuah rumah daif, namun dengan bantuan Abe Hae, Mek Yah telah berjaya mendapatkan sebuah rumah baru yang di berikan oleh kerajaan.
Kini kehidupan Mek Yah banyak berubah ke arah lebih positif. Anak-anak juga sangat gembira bila menyambut kehadiran team Kongsi Kasih dan Perfume Paradise.
Malah anak-anaknya juga sangat senang dan mengasihi Abe Hae yang mereka gelar ‘Ayoh’.
Abe Hae telah membawa tilam baru dan juga keperluan barangan makanan buat Mek Yah sekeluarga dan turut memberikan bantuan uniform sekolah buat anak-anak Mek Yah.
“Saya banyak jadikan pengalaman sebagai satu teladan. Sangat malu pada waktu ditangkap namun kini semuanya berubah. Saya berterima kasih kerana sudi hadir melawat dan memberi bantuan kepada saya sekeluarga,” kongsi Mek Yah.
Menjadi anggota pasukan keselamatan seperti polis dan tentera antara cita-cita paling popular dalam kalangan kanak-kanak lelaki. Ia sebaliknya dianggap tidak sinonim dengan wanita kerana memerlukan kelasakan dan ketangkasan.
Kini sebenarnya ramai wanita diangkat menduduki jawatan kanan dalam pasukan beruniform. Dek kerana sejak kecil melihat ibu dan arwah ayahnya segak mengenakan uniform, wanita perkasa, Siti Fazilah Mohd Redzuan, 32 telah menanam cita-cita untuk menyarung uniform yang sama.
Impiannya itu tercapai dan kini bergelar Kopral Penjara dan sekaligus mewarisi pekerjaan ibu dan arwah ayahnya yang merupakan anggota pegawai penjara. Anak kelahiran Alor Setar, Kedah ini juga berkahwin dengan seorang anggota pegawai penjara dan kini merupakan ibu kepada tiga cahaya mata.
Wanita yang kini bertugas di Penjara Tapah, Perak dari zaman sekolah telah terlibat dengan Kadet Polis dan Unit Trafik Sekolah. Akui memilih kerjaya lasak ini kerana minat yang mendalam dalam unit beruniform.
“Bak kata pepatah bapa borek anak rintik, begitu juga dengan saya. Sejak kecil saya melihat ibu dan juga arwah abah segak berpakaian baju seragam. Apatah lagi semasa zaman sekolah saya turut aktif dan terlibat dalam pakaian beruniform.
“Seleps tamat persekolahan saya terus memohon SPA untuk meminta beberapa jenis pekerjaan. Saya pernah pergi temuduga untuk memenuhi jawatan tentera laut dan polis tetapi tidak berjaya. Akhirnya mendapat tawaran sebagai Pegawai Penjara KA19. Saya melaporkan diri di Depot Pati Tahanan Lenggeng, Negeri Sembilan pada 6 Ogos 2007. Seterusnya menjalani latihan asas di Pusat Latihan Pegawai Penjara (PLPP) di Taiping, Perak dan berjaya menamatkan latihan selama tiga bulan.
“Apabila Depot Pati tahanan diserahkan pada pihak Imegresen saya di posting pula ke Penjara Tapah, Perak pada 31 Mac 2008 sehingga kini. Saya telah berkhidmat selama 12 tahun di Institusi Penjara Tapah dan kini bertugas di Unit Kawalan dan Pencegahan(UKP),” terang anak ketiga dari lima beradik ini.
Aktif & Cergas
Wanita yang mendapat pendidikan di SMK Tun Syarifah Rodziah sehingga tingkatan 6 ini, dahulunya memegang jawatan KA19 dan kini memangku jawatan KA20 sebagai Kopral Penjara. Ditanya tentang tugas dan tanggungjawabnya Siti Fazilah akui tugas pegawai penjara semenangnya cukup berat.
“Sebagai pegawai penjara kami bertanggungjawab membentuk satu pasukan yang berkemahiran untuk mengawal situasi yang menggugat keselamatan dan ketenteraman penjara dari dalam mahupun di luar tembok penjara. Selain itu melahirkan anggota yang aktif, cergas, bersatu sentiasa dan patuh pada arahan.
“Kami juga menjadi kekuatan tambahan jika berlaku sebarang insiden seperti rusuhan, mogok dan kelarian banduan. Kawalan pengiringan banduan berisiko seperti Banduan Akhir ke mahkamah atau rawatan di hospital. Melakukan pemeriksaan ke atas banduan baru masuk, melaksanakan pemeriksaan dan rondaan di setiap bangunan dan sel banduan supaya keselamatan terjamin. Kami juga membanteras segala artikel larangan yang di bawa mausk oleh banduan contohnya seperti tembakau, duit, telefon bimbit, dadah dan sebagainya,” ungkap Siti Fazilah.
Pernah Ikat Tali Pusat Bayi Yang Baru Lahir
Siti Fazilah yang peramah ini juga menerangkan untuk menjadi anggota badan beruniform seseorang itu perlu memiliki hati yang cekal.
“Syarat utama mesti punyai hati yang cekal, berani dan sanggup menerima kritikan dari pihak atasan mahupun masyarakat luar. Mental dan fizikal harus kuat dan tidak mudah putus asa. Pada masa yang sama harus ada sikap toleransi ke atas tahanan atau banduan yang ditahan.
“Antara pengalaman manis saya selama bekerja sebagai anggota pegawai penjara adalah pernah mengikat tali pusat bayi yang baru dilahirkan di sel penempatan banduan kerana tidak sempat membawa banduan tersebut ke hospital.
“Pengalaman sukar pula apabila melihat seorang ibu dan anak terpaksa dipisahkan atas sebab anak telah mencapai had umur yang ditetapkan yang membolehkan anak tersebut tidak boleh tinggal di dalam penjara,” kongsinya lagi.
Sentiasa Peka
Disentuh tentang cabaran sebagai anggota beruniform, Siti Fazilah akui banyak cabara yang perlu ditempuhi.
“Cabaran utama memerlukan kita sentiasa peka terhadap banduan supaya mereka mendengar arahan yang telah ditetapkan iaitu apabila mengiring banduan merbahaya ke hospital dan mahkamah.
“Cabaran paling sukar sebagai seorang wanita adalah membahagikan masa antara kerjaya dan keluarga. Saya juga harus utamakan keluarga walau macam mana letih dengan tugasan harian. Saya juga bekerja mengikut syif pagi dan mainshift. Anak-anak akan diletakkan dalam jagaan pengasuh sementara saya dan suami keluar bekerja. Namun kini saya sudah lali dengan kerjaya ini dan anak-anak juga memahami kerjaya kami suami isteri,” kata Siti Fazilah.
Sebagai seorang srikandi Siti Fazilah juga sentiasa menjaga pakaiannya agar kelihatan kemas selalu.
“Sememangnya kami mementingkan penampilan dan sentiasa kelihatan kemas. Selain itu saya juga sering menjaga tingkah laku diri semasa melayan karenah pelawat atau orang awam dengan sistematik dan sopan supaya tidak mencalarkan imej kita.
“Malah saya juga memegang tegas prinsip di mana perlu displin, tegas,amanah dan berbakti kepada jabatan dan agama,” akurnya.
Aktif Bersukan
Siti Fazilah juga berkongsi kisahnya yang aktif bersukan kerana memerlukan stamina yang kuat sewaktu menjalankan tugas.
”Dalam mengekalkan stamina tiada masalah bagi saya kerana saya adalah seorang yang aktif bersukan semenjak sekolah lagi. Saya terlibat dalam sukan bola jaring ke peringkat mewakili Jabatan Penjara Malaysia (MAKSAK),” akhiri Siti Fazilah.
Ibu ayah risau keselamatan di sekolah. Susulan kejadian pagi tadi tiada siapa menyangka hari persekolahan biasa itu akan berakhir dengan tragedi yang meragut nyawa...