Kisah mukanya melecur angkara kecuaian terima rawatan service mobile spa menjadi viral di laman sosial pada bulan Disember 2018 lalu. Siti Zalina tidak mahu mengaibkan sesiapa ketika rakannya menviralkan kisahnya itu. Cuma dia agak terkilan apabila beberapa page laman web online telah menyebarkan gambar suami dan anak-anaknya tanpa kebenaran di laman sosial.
“ Mereka tidak tahu cerita sebenar, dengan selambanya mereka berkata saya mencari benda murah dan sebagainya. Sebenarnya saya sangat menjaga bab berkaitan penggunaan produk kecantikan kerana kulit wajah saya jenis sensitif.
“ Motif kawan saya viralkan cerita saya itu bukan sebab mahu mengenakan semula orang yang buat rawatan itu. Tetapi kami tidak mahu perkara ini jadi pada orang lain dan mahu memberi kesedaran kepada semua.
“ Saya harap pada masa hadapan akan kesedaran dalam diri semua orang agar lebih berhati-hati apabila melakukan sebarang rawatan wajah terutamanya apabila menggunakan facial steamer,” ujarnya membuka bicara.
Tak Boleh Keluar Rumah
Sewaktu MW menemu ramah Siti Zalina, wanita ini sedang berehat di rumahnya setelah mendapat cuti sakit. Doktor menasihatinya agar tidak keluar rumah untuk mengelakkan wajahnya terkena cahaya matahari.
Ini kerana, ketika itu kulit barunya masih dalam proses pemulihan, jadi dia perlu bercuti selama sebulan bagi memastikan proses itu berlaku dengan baik. Doktor juga menasihatkan agar dia tidak mencuci muka dengan kerap. Jika boleh, cuci hanya menggunakan air sejuk sahaja.
Siti Zalina juga perlu menyapu ubat setiap hari bagi memastikan wajahnya tidak dijangkiti kuman. Selain itu, dia perlu mengambil ubat mata dan ubat tahan sakit. Besar juga kos yang perlu dikeluarkan bagi memastikan wajahnya pulih daripada kecederaan.
“ Selama enam bulan pertama, doktor tidak membenarkan saya memakai sebarang produk penjagaan kulit di muka. Doktor juga mengatakan dalam tempoh setahun, kulit wajah saya akan mengalami proses pertumbuhan yang tidak stabil.
“ Kulit saya juga akan bertukar-tukar warna kerana pigmennya sudah rosak. Sekarang ini saya tidak tahu kulit akan jadi warna apa. Kalau kita pernah tengok orang melecur kena air panas, kulit mereka sudah tidak sama warna. Begitulah yang boleh saya katakan mengenai kulit wajah saya selepas ini,” sambungnya sedih.
Suami beri sokongan.Anak-anak takut lihat wajahnya yang melecur.
Cedera
Mengimbau kejadian tersebut, Siti Zalina telah mengalami kecederaan pada mata, muka, hidung dan leher, seperti dalam gambar yang diviralkan di media sosial. Cuma dia tidak menunjukkan kecederaan pada leher kerana hendak menjaga aurat.
Ads
“ Muka sebelah kanan yang teruk. Berkaitan dengan parut, doktor tidak boleh menjangkakan apa yang bakal berlaku kerana kulit belum tumbuh. Parut itu satu masalah tapi kalau kita pandai jaga sudah pasti ia boleh pudar.
“ Namun masalah yang paling besar adalah warna kulit yang tidak akan sama dengan warna asal. Luka boleh pulih tetapi kulit wajah akan berbelang-belang, sama ada akan jadi putih atau gelap,” tambahnya.
Ditahan Di Hospital
Siti Zalina telah ditahan selama 11 hari di hospital. Hari pertama dia telah dikejarkan di jabatan kecemasan bagi melakukan pembedahan. Kulit yang terbakar akibat tersimbah air panas itu perlu dibuang segera. Pembedahan itu menyebabkan hanya tinggal isi sahaja pada wajahnya.
“ Memang sakit, tak boleh cakap. Hanya Tuhan sahaja yang tahu. Nasib baik saya dibius penuh. Kesakitan itu masih terasa walau pun doktor telah menyuntik ubat tahan sakit selepas pembedahan.
“ Selepas pembedahan, muka saya rasa pedih. Beberapa hari kemudian keluar air dan gelembung pada wajah. Ketika itu doktor yang jaga dan cuci muka saya. Dekat seminggu gelembung itu baru hilang. Doktor tidak memaksa kulit itu tanggal. Yang mana boleh tanggal, dia cuci sedikit demi sedikit,” terangnya.
Cerita Siti Zalina lagi, selepas pembedahan kulit wajah terutamanya pada bahagian dahi dan pipi seperti telah koyak. Tetapi bahagian matanya hitam kerana doktor tidak membenarkan bahagian sekeliling matanya diusik.
Ads
“ Nasib baik mata saya tidak buta sebab air panas itu masuk ke dalam mata saya,” ucapnya syukur.
Tak Sangka
Siti Zalina tidak pernah menyangka bahawa dia akan mengalami kejadian yang tidak dapat dilupakan ini.
“ Kisahnya begini. Saya sebenarnya tidak suka buat facial. Tetapi apabila seorang kawan sudah banyak kali menawarkan perkhidmatan facial yang dijalankannya, saya tak sampai hati nak tolak. Ikutkan saya keberatan hendak membuat facial pada hari tersebut sebab ada hal lain.
“ Tetapi setelah dipujuk rakan tersebut, saya akur. Dia datang rumah saya dan sebelum buat facial, saya perasan dia ada bawa ‘steamer’. Saya ingatkan basic facial sahaja.
“ Saya tidak pasti apa yang berlaku sebenarnya. Sama ada dia terlanggar, tertolak atau terlepas ‘steamer’ itu yang mengakibatkan ia terhempas ke atas muka saya. Air yang menggelegak dan mendidih itu telah tumpah di atas muka saya.
“ Bila sudah jadi begitu, saya terus cuci muka saya. Itu tindak balas automatik saya. Selepas cuci, saya telefon suami dan beritahu saya rasa sakit sangat dan hendak pergi ke hospital. Masa itu kawan saya yang buat facial itu masih ada di rumah saya.
Ads
“ Ketika dia mengemas barang-barangnya sebelum balik, dia hanya beritahu yang saya tak perlu bayar servis dia hari ini. Saya hanya diam sahaja pada ketika itu. Tak marah pun sebab anggap itu sebagai kemalangan dan tidak disengajakan. Tambahan pula ketika itu saya sedang menahan sakit yang teramat.
“ Kemudian kawan saya itu balik dan suami saya terus bawa saya ke hospital. Saya ingatkan keadaan saya itu tidaklah teruk tetapi apabila doktor pakar mengatakan bahawa saya perlu menjalani pembedahan dan sebagainya, saya mula rasa terkejut.
“ Doktor juga menasihatkan saya agar tabah menerima keadaan sekarang apabila mengetahui saya bekerja sebagai eksekutif insurans yang memerlukan saya berhadapan dengan pelanggan setiap hari,” luah Siti Zalina.
Sukar Terima Kenyataan
Tiga hari Siti Zalina menangis tidak dapat menerima hakikat setelah mendengar penerangan doktor. Dia juga tidak tahu apa yang bakal berlaku pada kariernya setelah mukanya jadi teruk.
Siti Zalina juga jadi stres apabila anak-anak juga takut melihat wajahnya ketika dia berada di hospital ketika itu.
“ Saya memang tidak boleh terima hakikat pada ketika itu. Perasaan saya sangat sensitif. Saya tertanya-tanya, kenapa perkara ini terjadi pada saya. Memanglah ini takdir tetapi saya risau bila fikirkan masa depan saya. Bagaimana dengan karier saya selepas ini,” kongsi Siti Zalina.
Sehingga kini Siti Zalina masih tidak yakin untuk keluar dan berhadapan dengan orang ramai.
“ Sekarang saya cuba kuatkan semangat demi anak-anak. Saya juga bersyukur kerana suami sentiasa memberikan sokongan emosi kepada saya. Dia sentiasa nasihatkan saya agar ingat pada Tuhan.
“ Dia kata perkara dah hendak jadi. Itu kuasa Tuhan. Sebagai makhluk-Nya kita tidak boleh buat apa. Suami saya positif orangnya. Malah sepanjang 11 hari di hospital, suami yang jaga saya, sanggup cuti demi menjaga saya. Saya kasihan juga pada suami kerana dia bekerja sendiri. Kalau dia tidak kerja, maknanya tak ada gaji. Tapi dia sentiasa ada di sisi saya ketika di hospital dan saya sangat menghargai pengorbanannya itu,” akhiri Siti Zalina.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Allahu, sayu rasa hati bila mendengar berita melibatkan kemalangan maut melibatkan kaum keluarga tatkala Syawal semakin menghampiri.Apatah lagi segala persiapan dan keperluan barangan raya telah dibeli namun hasrat untuk menyambut lebaran tidak kesampaian apabila ajal dan maut telah menjemput tiba. Lebih memilukan, pasti sedih dan terkilan rasa hati ketika kejadian berlaku didepan mata, namun cubaan untuk menyelamatkan insan tersayang gagal kerana ketidakupayaan kudrat untuk membantu.
Cuba Bantu Ibu Tersepit
“Saya cuba bantu ibu yang ketika itu tersepit akibat besi penghadang jalan menembusi kereta, namun gagal,” kata Mohd Shahrul Ikhram Mazlan, 20, yang terbabit dalam kemalangan mengorbankan ibu dan tiga adiknya, di Kilometer 161.3, Lebuh Raya Pantai Timur (LPT), dekat Maran, Pahang, pagi semalam, yang mengorbankan ibu dan tiga adik beradiknya.
Beliau berkata, ketika itu dia baru dua minit berbual dengan ibunya sebelum tiba-tiba terdengar seperti bunyi letupan lalu kereta mereka terbabit kemalangan. Mohd Shahrul Ikram berkata, dia yang memandu kenderaan dinaiki mereka sekeluarga terkilan dan sedih kerana tidak dapat menyelamatkan ahli keluarganya itu. Katanya, sebelum tragedi itu ibu dan adik-adiknya sangat teruja berbelanja sepanjang berada di Kuala Lumpur sejak Jumaat lalu, sebelum bertolak pulang kira-kira jam 1 pagi hari kejadian.
“Kami sekeluarga tiba di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Temerloh kira-kira jam 3 pagi dan sempat bersahur di situ.Selepas bersahur kami semua solat Subuh dan menyambung tidur di dalam kereta sehingga jam 8 pagi. Saya memandu menyambung perjalanan ke Kemaman. Ketika memandu, ibu tiba-tiba terjaga dan bertanya kami di mana dan saya jawab kita di Maran dan ibu kemudiannya menyambung tidur,” katanya.
Kereta Rempuh Penghadang Jalan
Dia yang hanya cedera ringan memandu tidak laju kerana teringat pesanan ibu supaya memandu perlahan dan sebaik tiba di tempat kejadian, kereta tiba-tiba tersasar ke tepi dan sebaik tersedar dia mendapati sudah merempuh penghadang jalan.
“Ketika itu kami semua tersepit di tempat duduk dan ibu serta tiga adik beradik lain ketika itu tidak sedarkan diri sebelum kami semua dikeluarkan orang ramai dan anggota bomba,” katanya.
Kemalangan kira-kira jam 8.30 pagi semalam itu, mengorbankan ibunya Azian Abdulah, 50, serta tiga adik beradiknya, Fatin Najwa Mazlan, 27, Fatin Nur Ardiana Mazlan, 15 dan Mohamad Danish Najmi Mazlan, 10.Seorang lagi adiknya, Fatin Nur Athirah, 19, cedera parah dan kini menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh.
Beli Barang Keperluan Persiapan Syawal
Sementara itu,tiada kata yang dapat menggambarkan kesedihan Mazlan Mohd Rashid, 54, apabila kehilangan isteri dan tiga anak tercinta sekali gus dalam kemalangan di kilometer 161.3, Lebuhraya Pantai Timur dari arah Kuala Lumpur ke Kemaman di sini,selepas kereta Perodua Myvi dinaiki terbabas sebelum melanggar besi pembahagi jalan, semalam.
Lebih memilukan kesemua mereka dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah di Taman Gemilang, Bandar Cheneh Baru, dekat Kemaman, selepas membeli-belah di ibu negara bagi menyambut Aidilfitri.
Menceritakan saat akhir ketika bersama keluarganya, dia memaklumkan enam beranak itu bertolak ke Kuala Lumpur pada Jumaat lalu dan memaklumkan ingin membeli barangan keperluan untuk persiapan sempena Syawal.
“Saya kebiasaan tidak ikut (pergi membeli belah) dan beri keizinan kepada isteri dan anak-anak untuk keluar membeli belah…saya di sini (rumah) menjalankan perniagaan runcit dan tunggu kepulangan mereka sahaja membawa pakaian yang dibeli.
“Kali terakhir isteri telefon jam 11 malam tadi memaklumkan akan bertolak balik ke rumah… saya difahamkan mereka juga ada singgah di kawasan rehat dan rawat (RnR)Temerloh untuk berehat sebelum dimaklumkan pagi ini mereka terbabit dalam kemalangan,” katanya ketika ditemui di perkarangan Hospital Jengka, di sini.
Dalam nada sebak Mazlan berkata, dia reda dengan pemergian isteri dan anak mereka pada bulan Ramadan ini dan mengharapkan semua mereka di tempatkan di kalangan orang beriman.
“Anak sulung saya (Fatin Najwa) baharu tamat pengajian di sebuah universiti swasta dalam bidang kejuruteraan dan dia dalam perancangan untuk memulakan kerjaya, namun apakan daya Allah SWT lebih menyayanginya dan menjemput mereka di bulan baik ini.
“Anak bongsu saya (Mohamad Danish Najmi) juga sebelum ke Kuala Lumpur berpesan kepada saya untuk jagakan kucingnya dan memberi makan… kenangan ini yang tidak dapat saya lupakan sampai bila-bila,” katanya.
Selamat Dikebumikan Dalam Satu Liang Lahad
Jenazah empat beranak tersebut telah disolatkan di Surau Ar Ridhuan, Bandar Cheneh Baru pada 10.30 malam dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Cheneh Baru, Chukai, pada 11.50 malam tadi. Jenazah mereka yang siap dibedah siasat di Bilik Forensik Hospital Jengka, Pahang, dimandi dan dikafankan sebelum dikebumikan dalam satu liang.
Sementara itu, suami Allahyarham Azian, Mazlan Mohd Rashid, 54, berkata dia bersyukur jenazah isteri dan tiga anaknya dapat dikebumikan dalam satu liang.
“Ramadan kali ini sangat menguji kekuatan dan kesabaran saya menghadapi dugaan Allah yang mengambil isteri serta tiga anak kesayangan sekali gus,” katanya sebak.
Beliau turut menyampaikan ucapan terima kasih kepada semua pihak sama ada di Pahang atau di Terengganu yang membantu melicinkan proses tuntutan mayat ahli keluarganya sehingga selesai pengebumian.
Mingguan Wanita mengucapkan salam takziah buat keluarga ini, semoga roh mereka ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman pada bulan yang mulia. Semoga kita lebih berhati-hati dijalanraya, pandu dengan cermat dan dapat meraikan Syawal bersama-sama keluarga tersayang.
Di balik wajah yang tenang, tersimpan lautan luka. Namun, itulah yang dipamerkan oleh Noraidah Lamat, 45, tatkala hadir ke Mahkamah Koroner Kota Kinabalu demi mengikuti prosiding inkues kematian anak tunggalnya, Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir.
Tiba seawal jam 8.50 pagi, ditemani wakil NGO dan barisan peguam, Noraidah melangkah dengan penuh wibawa. Tiada air mata yang ditonjolkan, sebaliknya hanya senyuman halus, seolah-olah memberi isyarat bahawa seorang ibu boleh berdiri gagah walau hatinya retak seribu.
Semangat Seorang Ibu
Sebelum melangkah masuk, beliau sempat menjawab salam wartawan yang setia menunggu sejak awal pagi. Senyumannya menjadi saksi bahawa seorang ibu mampu menyembunyikan kepedihan, kerana di hadapan umum yang mahu dilihat adalah semangat juang, bukan kesugulan.
Selesai prosiding, Noraidah terus kekal tenang meskipun suasana luar mahkamah riuh dengan sidang media yang dikendalikan wakil peguam keluarga, Shahlan Jufri.
“Ibu Zara bersemangat… memang inilah hari-hari yang dinantikan. Sejak awal lagi, keluarga Zara mahu inkues ini diteruskan.
Apabila permohonan penangguhan tidak dibenarkan, saya percaya ibu Zara gembira untuk meneruskan prosiding,” jelas Shahlan dengan penuh yakin.
Doa & Harapan
Ketenangan Noraidah bukan sekadar sikap, tetapi cerminan tekad keluarga untuk melihat kebenaran terbela. Baginya, perjuangan ini bukan hanya untuk Zara, tetapi juga untuk semua ibu yang mendambakan keadilan buat anak mereka.
Inkues berkenaan akan berlangsung sepanjang 3 hingga 30 September, dengan beberapa tarikh yang telah ditetapkan oleh Koroner Azreena Aziz. Dan di setiap detik prosiding itu, sudah pasti doa seorang ibu akan terus mengiringi perjalanan mencari jawapan yang tertangguh.
Inspirasi Buat Wanita
Kisah Noraidah mengingatkan kita bahawa cinta seorang ibu tidak pernah mati walaupun jasad anak telah tiada. Ia menjelma dalam bentuk kekuatan, ketabahan dan doa yang tidak putus.
Di saat ramai mungkin rebah dalam kesedihan, beliau memilih untuk berdiri. Kerana bagi seorang ibu, air mata tidak seharusnya membanjiri jalan, sebaliknya semangatlah yang harus menjadi pelita.
Jika masih ingat dengan adik Fattah Anas,4 yang video spontan keletah comelnya dulu VIRAL duduk dalam sangkar kucing. Menjadi selebriti media sosial yang telah mencecah 1.2 juta followers di Instagram, populariti si cilik yang lebih dikenali sebagai Anas bagaimanapun dicemburui segelintir pihak. Termasuk ada juga yang mengkritik ayahnya mengambil kesempatan ke atas anaknya.Terkini dikhabarkan ayah Anas, Mohamad Firdaus sedang menanggung sakit dipercayai akibat terkena buatan orang.
Perkara tersebut dikongsikan di Instagram fattahanas_boyyeah sendiri beserta kapsyen serta beberapa keping gambar jarum karat beserta darah.
Berikut perkongsian tersebut;
Allah Maha Kuasa..Demi Allah, yang baik-baik hanya untuk Dia. Yang hina tu saya.Ampunkan saya jika sakitkan hati kamu.. penat aku tanggung, penat aku bawa.
Tutup penat ni dengan senyuman untuk orang lain. HINAnya lagi. Ye takpe memang hina. Saya terima. Macam-macam dah kena, sakit.. memang sakit.
Habis? banyak dah habis..habis daaa. Jadi cukup lah tu. Mohon, merayu demi ANAS DAN ANEESA.
Kesian Anas , Kesian Aneesa.
Depa kena tempias tu.. depa nampak tempias ni. Kesiankanlah kat depa.
Ni kite rehat pejam mata, jap lagi bukak mate, kita senyum macam biasa.
Anas Sedar Perubahan
Sementara itu, di dalam posting lain, Mohamad Firdaus juga memberitahu bahawa Anas sedar perubahan yang berlaku setelah dirinya di sihir.
Sedar tak sedar sebenarnya dia macam paham perubahan yang ketara berlaku.Dia nampak mak ayah dia bergaduh teruk. Dia nampak ayah dia sentiasa nak sibukkan diri sebab nak sorang sorang. Dia nampak ayah dia jadi panas baran. Dia nampak macam macam. sampai pernah dia mengadu , nampak kelibat ‘hantu’.
Kalau ingat, ade video yang dia cerita dia mimpi ular hitam.
Tapi kami gitu-gitu je. Tak terpikir akan ada manusia yang sanggup buat perkara syirik walaupun macam-macam tanda Allah tunjuk kebesaran Dia.
Tapi takpe. Sakit yang ayah budak ni kena, dia pun tak pikir selama ni. Tak layan pun sebab banyak lagi hal lain yang positif nak kena pikir. Bukan tak sakit..sakit. Bukan tak terseksa, seksa. Ntah lah..
yang tahu jer tahu.
Pergi berubat sane sini duk main kot kot kot jer dan Alhamdulillah, dengan izin Allah, semalam pergi nak check mak, skali scan semua yang lain tak de ape, eh ayahnya kena.
Takpe.. tak de hal. Memang awak dah berjaya dah. Memang jatuh teruk dan nak rebuild balik semuanya memang makan masa dalam keadaan aku ni lembik. Adoi la.. Nak tak nak, dah kena baring macam orang sakit.Itu pun bangun lagi buat itu buat ini.
Takpelah.. saya REDHA, tapi please.. cukup lah tu.Bagilah peluang saya jaga anak saya sampai besar, sampai buat dia BERJAYA. Please..
Rezeki milik Allah. Dulu saya doa, saya dapat.Saya doakan semua kita yang ada masalah termasuk lah dari saya sendiri untuk dipermudahkan segala urusan di dunia, dilimpahkan dengan rezeki yang banyak.
MW: Jika betul semoga terbuka hati orang yang hantar untuk insaf dan memaafkan ayah adik Anas atas apa juga perbuatannya yang mengguris hati. Maafkanlah dia. Semoga keluarga adik Anas akan terus tabah dan kuat dan ayahnya kembali sihat dan sembuh.
Nahas SUV di Bukit Kawah meragut nyawa sepasang bakal pengantin apabila Toyota Fortuner yang dinaiki terjunam ke dalam gaung. Baca kronologi penuh, siasatan polis dan peringatan keselamatan jalan raya.