Pengasas jenama tudung terkenal Bawal Exclusive, Haliza Maysuri bersama suaminya menzahirkan rasa syukur apabila impian mereka untuk mewakafkan sebuah van jenazah akhirnya menjadi kenyataan.
Dalam satu perkongsian menyentuh hati di laman Instagram miliknya, Haliza meluahkan rasa keinsafan apabila mereka sendiri mengiringi van tersebut ke Masjid Bandar Bukit Puchong, tempat ia akan berkhidmat buat masyarakat setempat.
Apa yang lebih mengesankan, beliau sendiri duduk sebagai penumpang manakala suaminya memandu van tersebut—sebuah pengalaman yang cukup menyentuh jiwa dan memberi makna mendalam.
Ads
“Wakaf van jenazah ini, insya-Allah, akan terus memberi manfaat sampai bila-bila. Bayangkan berapa ramai yang akan dibantu, dan setiap kali ia digunakan, pahala mengalir… walaupun kita sudah tiada,” kata Haliza dengan penuh rasa syukur.
Masjid Bandar Bukit Puchong bukanlah asing bagi pasangan ini. Sejak 2014, ibu pejabat dan kilang Bawal Exclusive beroperasi berhampiran masjid tersebut. Di situlah titik mula rezeki mereka dilimpahkan Allah, dan di situlah juga mereka memilih untuk memberi kembali kepada komuniti setempat.
“Masjid ini dekat di hati saya. Saya juga telah wasiatkan, jika suatu hari saya dijemput Ilahi, saya ingin diuruskan dan disemadikan di sini – di tempat yang menjadi saksi usaha dan rezeki selama ini,” tambah beliau lagi.
Saham Akhirat
Sumbangan van jenazah ini turut dilihat sebagai satu bentuk amal jariah yang bukan sahaja memberi manfaat berterusan kepada masyarakat, tetapi juga menyemai kesedaran betapa pentingnya bekalan untuk akhirat.
Ads
“Semoga usaha kecil ini menjadi saham akhirat buat kami suami isteri, dan buat pelanggan yang tidak pernah jemu menyokong BE. Doakan kami terus istiqamah dalam berjariah, dan semoga kita semua tidak lupa bahawa sebaik-baik bekal untuk akhirat adalah amal soleh,” ujar Haliza mengakhiri perkongsiannya.
Inisiatif ini turut mendapat kerjasama Yayasan Bawal, yang aktif dalam menjayakan program-program kebajikan dan komuniti sejak beberapa tahun lalu.
Ads
Terdahulu, Bawal Exclusive Sdn Bhd merupakan antara penyumbang zakat terbesar Selangor berjumlah RM 1 Juta baru-baru ini. Majlis penyerahan tersebut telah disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj dan Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin binti Abdul Rahman Ramadan lalu.
Semoga sumbangan tersebut dapat dimanfaatkan untuk kebajikan ummah dan mendapat keberkatan daripada Allah SWT.
Bila usia anak 7 tahun, mk-mak mula merasakan mereka perlu berpuasa seperti orang dewasa lain. Sedangkan pada usia ini tidak wajib pun tapi boleh saja mak ayah mengajar berpuasa.
Tapi paling sedih, bukan setakat mak ayah yang paksa berpuasa pada anak 7 tahun tapi turut melibatkan guru terutamanya bila di sekolah. Sampaikan anak kena menipu kerana terlalu lapar dan dahaga.
Ada cara nak didik anak 7 tahun berpuasa. Lihat kemampuan dan jangan terlalu tegas sampai boleh membuatkan anak mula belajar menipu pula. Ikuti penjelasan daripada Ustazah Norul Huda Bakar, pensyarah Jabatan Undang-undang, Fakulti Syariah dan Undang-undang, KUIS.
Ada cara betul nak mendidik anak berpuasa terutamanya yang baru menjejak kaki ke sekolah.
Hukum fiqh telah menjelaskan bahawa kanak-kanak tidak diwajibkan berpuasa di bulan Ramadaan. Walaupun demikian, sekiranya kanak-kanak yang telah mumayyiz (yang telah tahu membezakan perkara baik dan buruk) berpuasa, maka sah puasanya.
Walaupun kanak-kanak tidak berkewajipan menunaikan ibadah puasa, menjadi kewajipan kepada ibu bapa pula untuk mendidik dan menyuruh anak-anak berpuasa di bulan Ramadan supaya mereka terbiasa melakukan ibadah berpuasa sehingga ke dewasa. Seperti kata pepatah: ‘Alah bias tegal biasa’.
Para ulama’ fiqh mencadangkan tahap umur kanak-kanak yang sesuai diajarkan dan disuruh berpuasa adalah pada umur 7 tahun. Dengan mengqiyaskan kepada hadith suruhan anak-anak mendirikan solat.
مُرُوا الصَّبِيَّ بِالصَّلاَةِ إِذَا بَلَغَ سَبْعَ سِنِينَ وَإِذَا بَلَغَ عَشْرَ سِنِينَ فَاضْرِبُوهُ عَلَيْهَا
Maksudnya: Ajarilah kanak-kanak untuk solat setelah dia berusia tujuh tahun, dan apabila dia berumur sepuluh tahun, pukullah dia (dengan pukulan yang tidak menyakitkan dan melukakan dengan tujuan untuk mendidik).
Bagi pandangan saya, oleh kerana suruhan anak-anak berpuasa tiada dalil secara langsung seperti mana suruhan anak-anak mendirikan solat, selain daripada menggunakan usia 7 tahun boleh juga dilihat daripada aspek uruf kebiasaan masyarakat.
Terdapat banyak cara mendidik anak berpuasa mengikut kaedah dan kesesuaian mak ayah. Namun yang penting ibu bapa perlu mewujudkan suasana beribadah dalam keluarga. Ini kerana bulan Ramadan bukan sahaja membawa suruhan berpuasa semata-mata tetapi juga suruhan ibadah yang lain seperti solat dan mengaji al-Quran.
Mak ayah perlu mengajarkan dan memastikan anak-anak mendirikan solat fardu lima waktu, mendirikan solat terawih, mengajarkan mengaji sama ada membaca iqra’, muqaddam atau al-Quran mengikut tahap anak-anak dan berpuasa mengikut kemampuan anak tersebut.
Mak ayah perlu sentiasa menerangkan kepada anak-anak tentang tuntutan berpuasa yang perlu menahan diri daripada makan dan minum. Mak ayah perlu memastikan anak-anak mengambil makanan yang seimbang dan minum air dengan secukupnya ketika sahur bagi memastikan anak-anak bertenaga ketika di sekolah.
Namun demikian, ibu bapa tidak boleh terlalu tegas dengan anak-anak sekiranya mereka tidak larat dan tidak mampu meneruskan berpuasa sehingga berbuka. Yang penting, bagi mereka lalui fasa menahan lapar dan dahaga terlebih dahulu. Sekiranya mereka tidak mampu meneruskan berpuasa, mak ayah boleh memberi kebenaran mereka berbuka. Proses ini perlu diteruskan sehinggalah anak-anak ini berjaya menyempurnakan berpuasa seharian.
Tak Semua Mampu Berpuasa Penuh
Asasnya anak-anak perlu diajar dan disuruh untuk berpuasa. Puasa dalam bahasa Arab ialah ‘al-siam’ yang membawa maksud menahan diri daripada makan dan minum. Justeru, anak-anak ini perlu diajarkan supaya menahan lapar dan dahaga.
Proses belajar berpuasa ini perlu beransur-ansur dan mengikut kemampuan anak-anakmak ayah dan guru-guru perlu memberikan motivasi kepada anak-anak untuk berpuasa kerana menahan lapar dan dahaga ini bukan perkara yang mudah dilakukan.
Begitu juga bagi anak-anak yang tidak mampu berpuasa sempurna perlu difahami dan diladeni mereka ini dengan sebaiknya seperti menyediakan air minuman untuk mereka minum supaya dapat menyegarkan badan mereka.
Bagi membantu anak-anak berpuasa dengan selesa, ibu bapa atau guru boleh berikan aktiviti yang ringan dan tidak banyak menggunakan tenaga. Berikan ruang anak-anak ini menyegarkan badan seperti mengambil wuduk, membasuh muka, mandi dan tidur. Supaya mereka lebih bertenaga meneruskan puasa sehingga selesai.
Sanggup Minum Sorok-sorok
Bagi pandangan saya, ini adalah cabaran dalam pendidikan ibadah kepada anak-anak. Berlaku perkara ini bukanlah petanda kegagalan dalam mendidik. Tetapi kayu ukur untuk meneruskan lagi usaha-usaha mendidik anak-anak. Dalam proses mendidik mak ayah dan guru-guru perlu mengambil tanggungjawab sentiasa menegur dan menasihati anak-anak ini supaya suruhan berpuasa tidak dirasakan sebagai paksaan.
Jika dirujuk hadith Nabi SAW tentang suruhan anak-anak solat:
مُرُوا الصَّبِيَّ بِالصَّلاَةِ إِذَا بَلَغَ سَبْعَ سِنِينَ وَإِذَا بَلَغَ عَشْرَ سِنِينَ فَاضْرِبُوهُ عَلَيْهَا
Maksudnya: Ajarilah kanak-kanak untuk solat setelah dia berusia tujuh tahun, dan apabila dia berumur sepuluh tahun, pukullah dia (dengan pukulan yang tidak menyakitkan dan melukakan dengan tujuan untuk mendidik).
Berdasarkan qiyas daripada hadith ini memberi kefahaman bahawa anak-anak boleh dihukum dengan hukuman yang tidak memudaratkan sekiranya berlaku keingkaran dalam beribadah.
Bagi pandangan saya dalam perkara ini, sekiranya anak-anak di bawah umur 10 tahun, mak ayah perlu menasihati dan menegur anak-anak ini supaya tidak mengulangi perkara tersebut.
Ajarkan anak-anak supaya meminta keizinan dan kebenaran terlebih dahulu sebelum berbuka. Bagi anak-anak berumur 10 tahun ke atas, mak ayah juga perlu menasihati dan boleh sertakan dengan sedikit hukuman ringan yang bersesuaian. Ini kerana mereka telah melakukan kesalahan dan hukuman tersebut sebagai pengajaran supaya mereka lebih menjaga perkara-perkara berkaitan dengan ibadah pada masa akan datang.
Dari aspek yang lain, bagi anak-anak yang tidak berpuasa (yang telah dimaklumi tidak berpuasa) memang seharusnya mereka ini makan secara sembunyi-sembunyi atau sorok-sorok. Ini adalah adab yang diajarkan dalam Islam. Bukan kerana mereka ini bersalah tidak berpuasa, tetapi lebih kepada menjaga atau menghormati orang yang sedang berpuasa dan menghormati bulan Ramadan yang sepatutnya kita berpuasa ketika itu. Perkara ini yang perlu dididik kepada anak-anak supaya mereka berakhlak dengan akhlak Islam yang sebenar.
.
Jangan Terlalu Memaksa
Bagi pandangan saya, cara terbaik adalah mengikut kesesuaian cara cikgu-cikgu dengan mengambil kira perkara-perkara asas dalam berpuasa:
i. Pendidikan berpuasa mesti dilaksanakan. ii. Selagi belum baligh mereka tidak wajib berpuasa. iii. Perlu berhikmah dengan mengikut kemampuan pelajar. Memberi ruang pelajar berbuka sekiranya pelajar tidak larat meneruskan berpuasa. iv. Para pelajar perlu sentiasa diingatkan tentang kewajipan berpuasa dan kelebihan beribadah di bulan Ramadhan v. Para pelajar juga perlu sentiasa diberikan motivasi dan dorongan supaya sentiasa bersemangat untuk beribadah khususnya berpuasa. vi. Guru-guru boleh merancang aktiviti yang bersesuaian dan menyeronokkan pelajar yang berpuasa .
Mingguan Wanita : Tak salah nak ajar anak berpuasa tapi janganlah tegas dan memaksa, elak dari anak menipu dan terpaksa pula minum sorok-sorok. Lagi sedih.
Sumber: Ustazah Norul Huda Bakar, Pensyarah, Jabatan Undang-undang, Fakulti Syariah dan Undang-undang, KUIS
Solat jenazah adalah sunat dan merupakan fardu kifayah. Inilah solat terakhir untuk meminta ampun dan doa buat si mati. Sudah tentulah solat ini turut dilakukan secara berjemaah.
Kadang-kadang kita lihat, beruntungnya si mati apabila ramai orang solat jenazah untuknya dan sudah tentulah ahli keluarga turut sama solat sebagai tanda penghormatan terakhir buat orang yang disayangi.
Bagi anak lelaki, belajarlah solat jenazah sebab kita tak tahu mungkin ada ahli keluarga yang meninggal untuk kita lakukan fardu kifayah ini.
Ada bezanya solat jenazah orang lelaki dan perempuan. Bagi anak lelaki yang tak tahu, bolehlah belajar. Inilah khidmat terakhir untuk orang tersayang.
Belajar lah wahai lelaki, apakah kau tak malu bila tak pandai nak solat untuk ahli keluarga lebih-lebih lagi untuk mak atau ayah meninggal. Itu sahaja lah penghormatan yang terakhir buat insan yang membesarkan dan menjaga kita.
Cara Ringkas Solat Jenazah :
1. Angkat Takbir “Allahuakbar” & Niat dalam hati :
Sahaja aku solat jenazah terhadap mayat ini, 4 takbir, fardhu kifayah kerana Allah Ta’ala.
Jadi makmum? tambah “sebagai makmum kerana Allah Taala”
Baca Alfatihah hingga akhir
2. Angkat Takbir Kedua “Allahuakbar”
Baca : Allahumma solli a’la Muhammad wa a’la ali Muhammad
Pendek pun tak pa, paling elok selawat ibrahimiah macam dalam tahiyyat akhir
3. Angkat Takbir Ketiga “Allahuakabar”
Baca doa (pendek pun tak pa, panjang lagi bagus) contoh dibawah ni :
Allahummargh firlahu warhamhu (untuk mayat lelaki)
Allahummargh firlaha warhamha (untuk mayat perempuan)
Untuk mayat kanak-kanak yang belum baligh, tidak dibacakan doa ini kerana mereka masih tidak dikira dosa pahala oleh malaikat, ada doa lain .
4. Angkat Takbir Ke Empat “Allahuakbar”
“Assalamualaikum warahmatullah ” Beri Salam kanan n kiri
Selesai
Jika jadi makmum, ikutlah di belakang imam, berdiri rapat rapat. dan ikutlah jugalah rukun di atas. Cukup rukun makalah sah lah solat tersebut. Semoga ia jadi penghormatan terbaik buat jenazah
Ingat!!.. solat jenazah tak ada rukuk dan sujud mcm solat biasa tau!!
Kita sebagai manusia sudah tentu tidak mampu memuaskan hati setiap orang. Kadang-kadang kita buat baik sekali pun mesti ada yang sakit hati atau boleh jadi timbul perasaan dengki.
Kita tak tahu hati orang, walaupun rambut sama hitam. Mungkin luaran orang itu amat baik tapi kita tak tahu dalamannya itu sakit hati pada kita.
Susahnya bila kita terlalu baik orang akan perkatakan. Ada yang sakit hati, cemburu, mara, dengki dan sebagainya.
Sebab itulah, kita sebagai makhluk Allah tidak akan terlepoas dari semua ini. Hanya sabar dan tak perlu nak melawan kerana ia akan menambahkan lagi rasa sakit hati. Inilah yang dikatakan ujian hidup.
Ingat apa yang berlaku ini sudah tertulis dan diaturkan olehNya. Ada pengajaran disebaliknya. Inilah yang dikongsikan oleh Siti Suryani Yaakop tentang perkara ini.
Setiap apa yang kita lakukan terutamanya bila berkaitan dengan kebaikan tidak semestinya akan disenangi oleh semua orang.
Kadang benda keliling kita ni timing dia tu ngam-ngam je jadi sebab Allah nak bagi kita pengajaran.
Apa yang berlaku dalam kisah yang selalu kita baca di media sosial, yang ada kita sendiri tidak tahu puncanya. Jadi, kita kena pandang dari sudut berbeza:
alam hidup kita sentiasa datang orang dan waktu begini. Yang kita buat baik dan kita ikhlas sayang dia sepenuh hati, tapi dia ambik pisau cucuk belakang kita. Macam-macam dia adu domba. Dia burukkan kita dan fitnah kita.
Mula-mula kita pun ingat dia akan ikhlas macam kita juga. Tapi akhirnya Tuhan tunjuk.
Benda apa pun dalam dunia ni sentiasa saya yakin kalau kita tak buat jahat kat orang, Tuhan pasti akan tunjuk kebenaran pada kita. Pasti akhirnya kita akan dapat tahu juga.
Kita ingatkan, kita tak ada masalah apa dengan dia, baik dengan dia, tolong dia dan kita
doakan dia. Sayang seikhlas rasa. Tapi rupanya dia tak sayang kita macam kita sayang dia.
Sakitkan?
Tapi takpa.
Kawan Tikam Belakang
Kata sahabat baik saya, dua sebab je orang tikam belakang kita.
Pertama sebab dia lemah.
Kedua sebab kita kuat.
Atau boleh jadi juga…
Pertama sebab kita baik sangat.
Kedua sebab kita jahat sangat.
Baik sangat, Allah bagi ujian. Supaya bila kita sabar, Allah tambah lagi ganjaran pahala dan naikkan kita punya darjat. Lalu Allah sediakan bekal baik buat kita di akhirat.
Jahat sangat, Allah bagi teguran. Supaya bila kita sedar, Allah beri keampunan dan bersihkan dosa dalam diri. Lalu Allah tambahkan sifat sabar sebagai sifat peribadi.
Dua-dua pun baik.
Sebab Allah Maha Baik.
DIA tak buat sesuatu saja-saja dan Dia buat sesuatu untuk kita ambil ibrahnya. Untuk kita dapat ganjarannya. Dan untuk kita jadi matang kerananya.
Tenang.
#kaknis
Mingguan Wanita : Betul, apa yang berlaku itu ada pengajaran dan ingatan. Paling penting, hati kena sabar atas apa yang berlaku. Insya Allah, ada ganjaran yang menanti, kita tak tahu.
Founder wanita antara ditahan terlibat pengedaran pil kuda di Kelantan, nilai rampasan RM6.16 juta. Memaparkan gaya hidup mewah termasuk menayang kenderaan mewah antara trend...