Tak sangka ya, asalnya cuma sebab gigi rongak tetapi anak boleh jadi sampai demam dan hilang selera makan. Haaa… itulah yang dilalui oleh Doktor Muhammad Uwais Al Qorni apabila anak lelakinya sampai ada nanah di gusi sebab giginya rongak.
Nak tahu kenapa sampai anak boleh demam, jemput baca perkongsian ini dan pastikan mak ayah boleh bertindak dari awal kalau gigi anak dah mula rongak…
Gigi Anak Rongak
Kadang kala anda pasti pernah melihat gigi anak anda rongak di beberapa batang gigi terutama si kecil anda yang suka memakan gula gula dan minuman manis. Mungkin ada mak ayah anggap perkara ini biasa sahaja sebab anda rasa nanti gigi baru akan tumbuh menggantikan gigi rongak itu.
Tetapi tahukah anda, gigi rongak tak boleh dibiarkan begitu sahaja sebab boleh menyebabkan terkumpulnya nanah dalam gigi tersebut. Keadaan ini disebut sebagai dental abscess.
Dental abscess boleh terjadi kepada sesiapa sahaja sama ada kanak-kanak mahupun dewasa, dan ia adalah satu penyakit yang memerlukan bantuan dan rawatan kecemasan kerana beberapa komplikasinya yang amat serius.
JENIS-JENIS DENTAL ABSCESS
Terdapat beberapa jenis dental abscess tetapi doc tidak akan menghuraikan secara terperinci kerana doc bukanlah orang yang arif tentang gigi, tetapi cukup sekadar maklumat sahaja. (Gambar 1)
1. Jenis pertama dinamakan gingival abscess. Gingival bermaksud gusi. Dalam kes ini, anda akan melihat beberapa benjolan kecil di gusi dan bewarna merah jambu kekuningan.
2. Jenis kedua dinamakan periodontal abscess. Periodontal bermaksud sekeliling gigi. Pesakit sebegini nanahnya terkumpul di sekeliling gigi yang masih sihat, dan melibatkan struktur di sekeliling gigi sahaja termasuklah gusi dan kawasan sekitarnya.
3. Jenis ketiga dinamakan periapical abscess. Penyakit ini biasanya dilihat apabila gigi telah rosak sepenuhnya dan akar gigi sudah mula mereput. Dalam kes ini, nanah akan keluar daripada celahan gigi yang rosak serta berbau busuk.
Ketiga-tiga jenis dental abscess ini boleh berlaku serentak mahupun satu persatu. Oleh itu, jika anda terlihat bahawa terdapat benjolan di gusi ataupun sakit pada kawasan gusi dan sekitar gigi yang sudah rosak, segeralah berjumpa doktor gigi berdekatan.
SIMPTOM DENTAL ABSCESS
1. Kerap demam
2. Kurang selera makan
3. Rasa sakit yang mencucuk terutama apabila menggigit atau menguyah makanan.
Ads
4. Gigi terasa sensitif terhadap makanan sejuk dan terlalu panas.
5. Bau busuk di sekeliling gigi ataupon gusi.
6. Benjolan atau bengkak di pipi disertai rasa sakit pada gusi atau gigi.
Untuk anak anda yang belum mampu bercakap, kalau tengok si kecil anda tak ceria, sering demam dan kurang selera makan, jangan lupa untuk memeriksa keadaan gigi dan gusi mereka. Mungkin terdapat bau busuk atau benjolan pada gusi dan gigi anak anda.
PUNCA DENTAL ABSCESS
Seperti yang anda sedia maklum, dental abscess adalah disebabkan pengumpulan nanah pada kawasan gigi ataupon di sekitarnya. Nanah adalah disebabkan oleh kehadiran bakteria yang dibunuh oleh system pertahanan badan. Jika terlalu banyak nanah terkumpul dalam suatu tisu yang tertutup, maka abscess (benjolan nanah) akan terhasil.
1. Menyusu botol atau susu badan sehingga lewat malam dan terbawa tidur adalah punca menyebabkan gigi rongak dan mudah haus di kalangan kanak-kanak.
2. Menggosok gigi dengan kuat atau menggunakan berus gigi yang kasar dan tidak sesuai adalah salah satu punca gigi boleh rosak dan dimasuki kuman bacteria.
3. Tidak menggosok gigi pula akan menyebabkan sisa makanan terlekat di celah gigi dan bercampur pula dengan kuman bacteria maka terhasilnya plak gigi ataupon taik gigi.
4.Penggunaan pencungkil gigi yang tidak bersih dan sambil lewa juga boleh menyebabkan berlakunya kecederaan pada gusi sekali gus menyebabkan kuman mudah masuk di celah kawasan luka tersebut.
Ads
5. Rawatan gigi yang tidak sempurna. Kadangkala setelah anda berjumpa doktor gigi untuk membuang plak gigi (scaling), anda merasakan bahawa gigi anda sudah bersih . Tetapi tekanan kuat sewaktu membuang plak gigi ini juga boleh menyebabkan kecederaan pada tisu gusi anda.
Oleh itu setelah selesai membuat rawatan gigi dan untuk mendapat kesihatan gigi optimum, anda harus lebih menjaga kesihatan gigi anda atau si kecil anda dengan sentiasa menggosok gigi setiap kali 30minit selepas makan.
RAWATAN DENTAL ABSCESS
Seperti yang doc katakan di atas, dental abscess adalah penyakit yang memerlukan rawatan segera, samaada terus ke jabatan kecemasan untuk dirujuk kepada doktor bedah gigi hospital atau berjumpa doktor gigi berdekatan. Doktor di klinik perubatan keluarga seperti doc tidak dapat merawat dental abscess tetapi kami dapat memberikan anda antibiotic dan ubat tahan sakit sahaja.
Bergantung dengan jenis abscess, beberapa kaedah rawatan digunakan.
1. Antibiotik makan(Oral). Bergantung dengan saiz abscess dan lokasi nanah tersebut, nanah yang kecil akan kecut atau pecah sendiri setelah mendapat rawatan antibiotic ataupon ubat kumur yang dibekalkan doktor gigi. Untuk kita di Malaysia,antibiotic jenis Augmentin , Unasyn atau Flagyl digunakan.
2. Pembedahan kecil (Incision and drainage). Nanah pada gusi yang lebih besar pula memerlukan gabungan antibiotic oral dan pembedahan kecil untuk mengeluarkan nanah tersebut.
3. Pembedahan (Surgery) Dalam kes periodontal abcess, anda perlu dirawat oleh doktor bedah gigi yang bertauliah untuk membuang nanah sahaja ataupon membuang sebahagian tisu gusi yang rosak di sekeliling gigi tersebut.
4. Rawatan salur akar. Rawatan ini dilakukan untuk gigi yang mereput, seperti contoh dalam kes periapical abscess di mana akar gigi dan gigi itu sendiri sudah rongak dan haus sepenuhnya. Rawatan ini melibatkan kos yang agak tinggi dan menyakitkan tetapi kebaikannya anda masih dapat menyimpan gigi anda. Rawatan ini boleh dibuat di klinik gigi swasta atau kerajaan.
Ads
5. Cabut gigi. Untuk kes dental abscess yang sangat teruk atau berulang, anda tiada pilihan selain mencabut gigi tersebut. Jika satu sahaja gigi yang rosak, anda masih boleh mencabut gigi di klinik gigi berhampiran tetapi jika banyak gigi yang rongak atau rosak, anda harus membawa anak anda berjumpa dengan doktor bedah gigi hospital untuk rawatan lanjut sebagai pesakit luar mahupun sebagai pesakit dalam.
KOMPLIKASI DENTAL ABSCESS YANG TIDAK DIRAWAT DENGAN SEMPURNA
Seperti mana abscess dan kumpulan nanah lain yang tidak dirawat dengan betul, jangkitan kuman bacteria boleh merebak ke seluruh badan.
1. Dental cyst. Apabila nanah yang terbentuk sebagai abscess tidak dibersihkan dengan sempurna, ia akan seterusnya membentuk kantung yang boleh membesar dan amat sukar dimusnahkan hanya dengan antibiotic makan. Pembedahan major mungkin diperlukan untuk membuang cyst yang besar dan bernanah di dalamnya.
2. Osteomyelitis. Jangkitan yang merebak ke seluruh badan boleh juga melibatkan tulang di sekitar gigi dan gusi seperti contoh tulang rahang(mandible), tulang pangkal hidung(nasal bone) dan tulang pipi (maxilla). Apabila ini berlaku, antibiotic harus diberikan secara dalam pembuluh darah (Intravenous).
3. Cavernous sinus thrombosis. Jangkitan kuman dalam darah boleh membentuk gumpalan darah pada satu jaringan pembuluh darah yang besar di bawah otak yang dipanggil cavernous sinus thrombosis. Kawasan ini perlu dibersihkan melalui pembedahan dan antibiotic untuk mengelakkan jangkitan sampai ke otak.
4. Brain abscess. Jangkitan kuman di mana-mana bahagian tisu muka dan telinga boleh menyebabkan jangkitan pada otak walaupon sangat jarang berlaku. Dalam keadaan ini, pesakit biasanya akan mula mengalami symptom seperti demam, sakit kepala dan lumpuh atau kesukaran bercakap. Pembedahan otak dan antibiotic sahaja yang dapat merawat komplikasi sebegini selain rawatan Hyperbaric oxygen therapy (HBOT) untuk mengurangkan tekanan dalam otak .
Ada beberapa kes yang doc sendiri saksikan di mana dental abscess ini tidak mendapat rawatan sempurna terutamanya apabila dirujuk ke bahagian pesakit luar jabatan kecemasan hospital. Hal ini mungkin kerana dental abscess ini bukan penyakit yang difahami oleh doktor biasa. Akan tetapi untuk doktor gigi, hal ini sangat dipandang serius terutama jika anda atau si kecil sudah mula menunjukkan bengkak di pipi dan kawasan mata.
Jadi, jika anda mengalami dental abscess dan terpaksa ke Jabatan kecemasan di hospital, pastikan anda meminta untuk dirujuk ke doktor gigi atau pakar bedah gigi yang bertugas untuk merawat anda dan si kecil.
Disclaimer :
Doc bukan doktor gigi dan tujuan doc membuat hantaran ini adalah disebabkan baru-baru ini anak bongsu doc dikejarkan ke hospital disebabkan penyakit ini.
Nota:
Tolong doakan juga kesembuhan anak doc yang diserang sawan beberapa kali kerana suhu badan beliau kerap naik mendadak setelah mendapat dental abscess ini.
Harap doa kalian dapat dipanjangkan dan diterima Allah SWT, mengiringi semangat kami sekeluarga dalam menempuh cabaran ini.
Dari Abu Hurairah ra, Nabi SAW, bersabda: “Barang siapa yang melepaskan satu kesusahan seorang mukmin, pasti Allah akan melepaskan darinya satu kesusahan pada hari kiamat. Barang siapa yang menjadikan mudah urusan orang lain, pasti Allah akan memudahkannya di dunia dan di akhirat. Barang siapa yang menutupi aib seorang muslim, pasti Allah akan menutupi aibnya di dunia dan di akhirat. Allah senantiasa menolong hamba Nya selama hamba Nya itu suka menolong saudaranya”. (HR. Muslim)
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Adat pasangan baru berkahwin, setiap waktu yang dilalui bersama cukup bahagia dan indah-indah belaka. Hinggakan hendak ke bilik air pun dah terasa rindu!Realitinya, seiring waktu berlalu banyak perkara yang akan ditempuhi dan perubahan yang dilalui sepanjang perkahwinan nanti.Ketika ini, mulalah bila jenguk bilik air pun dah kosong dan tak semeriah dulu.
Catatan menarik perkongsian Nur Shazmira Khalid ini menggambarkan realiti perkahwinan yang sebenarnya ramai pasangan suami isteri tempuhi.
Berikut perkongsian beliau;
BILA ISU ‘PERGI BILIK AIR DAH RINDU’
Adik cuma nak cerita, adik nikah masa umur 22 tahun. Umur 23 dah dapat baby. Sekarang dah 27 tahun. Jadi, usia pernikahan kami dah menjangkau 5 tahun. Mungkin kami berdua kecik dan nampak sedikit muda, hakikatnya otak mesti tua (untuk menempuh alam rumah tangga).
Awal Perkahwinan
Fasa di awal perkahwinan semuanya manis. Kentut pon wangi beb! Laki kau pakai boxer koyak pon tetap nampak sweet. Rambut patern macam mana pon kau tak kesah. Setiap masa kau akan tilik laki kau. Siap boleh tolong lilitkan tuala mandi kat pinggang. Mandi kau sabun dia, dia sabun kau. Kau shampoo rambut dia, dia shampoo rambut kau. Kau pakaikan baju dan seluar, potongkan kuku tangan dan kaki, sikatkan rambut, sarungkan stoking, sarungkan kasut, ikatkan tali kasut, startkan enjin kereta/motosikal. Oh! Bahagianya pengantin baru.
180 Darjah Berubah Waktu Mengandung
Tapi hidup kau akan berubah 180 darjah bila kau start mengandung. Masa tu kalau kau ada ‘morning sickness’ kau akan berubah dari segi mental dan fizikal. Kau tak boleh tengok muka dia lah. Kau tak boleh bau badan dia, kau tak boleh tengok patern rambut dia yang tak sedap mata kau. Dia nak makan tom yam tapi kau tak boleh bau langsung tom yam. Sampai bergaduh dalam kereta isu tom yam (masa pregnant kat ikhwan dulu). Hahaha, sabor je lah.
360 Darjah Berubah Bila Ada Anak
Hidup kau terus berubah 360 darjah bila kau dah jadi ibu dan dia dah jadi ayah. Kau dah tak ada masa nak belek kuku dia, sikat rambut dia, lilitkan tuala kat pinggang dia, sabun badan dia, shampoo rambut dia. Masa ni, kau lebih pentingkan diri kau dan anak yang baru lahir.
Dia? Dia kena berdikari sendiri. Masa ni lah suami akan diuji dengan pelbagai ujian dari Allah. Masa ni jugalah akan ada kehadiran (si penumpang kasih yang tak diundang). Lagi-lagi kalau kau berpantang di kampung halaman, suami kau di bandar bekerja dan tinggal keseorangan. Jadi kau yang dalam pantang kena sentiasa berdoa supaya suami kau dilindungi dari wanita yang berniat jahat terhadap hubungan kau. Nauzubillah.
Teknik Kunci Suami
Hidup diteruskan dengan kunci suami. Bila anak dah besar sikit masa ni lah kau kena rapatkan sehabis baik hubungan suami dengan kau dan anak kau. Kau masaklah apa pon walaupon tak sedap suami tetap suka makan sebab tu air tangan kau. Makan dengan suami dan anak di rumah lebih membahagiakan dan meriah kan?
Perlu diingat teknik kunci suami bukan sekadar telan jamu berbotol-botol. Kau wajib teruskan aktiviti pengantin baru dulu. Mandi bersama, lilitkan kembali tuala di pinggang dia, kau sabun dia, dia sabun anak, anak sabun kau. Tak ke bahagia macam tu? Meriahnye bilik air. Tidur masih berbantalkan dada dia walaupon perut dia dah sedikit meninggi mengalahkan kau, eh! Tak apa kerana itu tandanya dia lebih bahagia.
5 Tahun Pertama Fasa Penuh Ujian
5 tahun pertama adalah fasa penuh ujian kiri dan kanan. Tapi perlu diingat masa nilah kau dan suami kena perbaiki hubungan dengan Yang Maha Pencipta. Didik suami jadi imam terbaik kau dan suruh dia bawak anak kau (anak lelaki) pergi berjemaah di masjid. Supaya anak kita cintakan rumah Allah tu.
5 tahun ni kalau boleh suami isteri yang jarang baca Al-Quran dah perlu paksa diri membaca kitab suci peniggalan Nabi Muhammad S.A.W paling sikit Al-Mulk sebelum tidur. Kemudian diteruskan dengan Al-Waqiah selepas magrib dan Al-Mulk selepas isyak. Up grade lagi, Yassin selepas Subuh.
In Syaa Allah hidup akan tenang dan Allah akan merahmati rumah tangga yang dibina. Masa ni sikap redha akan muncul terhadap apa jua yang terjadi walaupon dari pelbagai masalah (kewangan, jatuh bangun dalam business, tempat kerja, kawan-kawan).
Bila Berjauhan
Bagi yang berjauhan? Amalkan setiap kali berjumpa. In Syaa Allah hidup isteri yang berjauhan dengan suami (yang merantau mencari rezeki) akan redha walaupon sentiasa bertemankan air mata rindu.
Berdoalah sentiasa;
“Ya Allah jika kami berjauhan begini akan lebih mendekatkan ketaatan kami pada-MU, kau berkatilah ia dan lindungilah kami di bawah perlindungan-Mu dan rahmat-Mu.”
Jadi, bila jenguk bilik air pon dah kosong dan tak semeriah dulu. Sebagai isteri kau kena dekatkan hati supaya lebih mencintai Allah dan Rasulnya. Percaya bahawa cinta kau dan dia akan dipelihara sentiasa oleh Allah S.W.T.
Bila kau rindukan dia (suami) sedekahkan Al-Fatihah supaya Allah kirimkan rindu kau ke dalam hatinya.
Masalah kulit sensitif atau ekzema ini jangan dibuat main-main. Baik anak kecil, atau orang dewasa bila dah terkena, sakit, gatal, merengsanya sangat.. sangat merimaskan.
Memahami permasalahan yang dialami para pesakit, Dr Nurussyahida Abdul Aziz, Klinik Lathika, Kota Sarang Semut berkongsi informasi lengkap berkaitan ekzema; punca, risiko, pencegahan dan jenisnya.
Sebelum itu kena faham dulu apa itu ekzema. Ia merupakan penyakit kulit gatal disebabkan keradangan dan kulit sensitif.
“Ekzema juga digolongkan dalam penyakit atopi yang merupakan penyakit diwarisi keluarga.”
Justeru, penyakit ini mungkin dilihat ahli keluarga atopi :
Asma
Resdung
Ekzema (atopic dermatitis)
Siapa Berisiko Alami Ekzema Dalam Keluarga
Alergi makanan yang berkait rapat dengan ekzema adalah berkitar di dalam keluarga yang berpenyakit alergi.
Kebarangkalian seorang anak mendapat alergi makanan ialah:
√ 5–15% risiko walaupun tiada sejarah alergi di dalam keluarga.
√ 20 – 40% sekiranya salah seorang darinya mempunyai alergi.
√ 25 – 35% sekiranya adik beradiknya mempunyai alergi.
√ 40 – 60% sekiranya kedua ibubapanya mengalami alergi.
√ 50 – 80% sekiranya alergi ibubapa adalah jenis yang sama.
“Perlu difahamkan sejelasnya, pencegahan ekzema ini cuma dapat mengurangkan, tapi tidak menghilangkan genetik. Disarankan menyusukan anak secara eksklusif sekurang-kurangnya 6 bulan.”
Ini Rupanya Punca Ekzema
Punca sebenar ekzema adalah tidak diketahui oleh namun begitu, ia dikaitkan dengan variasi genetik sesuatu keluarga.
Apa yang sering disalah erti ialah pencetus ekzema bukan penyebab penyakit ekzema.
Ciri-ciri Ekzema Ini Buatkan Mak Ayah Lebih Hati-hati Dengan Penggunaan Sabun
Keradangan kulit disebabkan ekzema menjadikan kulit kering, merah, panas dan bengkak. Dinding perlindungan kulit menjadi rosak dah terdedah.
Maka air daripada dalam kulit keluar melalui bahagian lapisan kulit yang rosak menyebabkan kulit menjadi kering. Ini dipanggil trans epidermal water loss (TEWL)
Kulit pesakit ekzema juga mudah terdedah kepada jangkitan kuman kerana kerosakan dinding pelindungan kulit.
PH kulit yang asalnya berasid (pH4.5) dan jika gunakan sabun biasa yang alkali PHnya akan meneutralkan PH.
Jadi semua sebum/air yang ada di kulit akan hilang dan bertambah kering. Sebab itu, gunakan pencuci yang ekzema friendly.
Ini Yang Pesakit Ekzema Akan Alami Ketika Sakit Menyerang
1) Sangat gatal walaupun mungkin tiada ruam.
2) Ruam berbentuk pelbagai dan merah menyala ketika meradang.
3) Boleh menjadi berair atau bernanah terutamanya jika terkena jangkitan kuman.
4) Jika terlampau kering dan ekzema menebal, kulit boleh menjadi berkerak.
Kadang-kadang susah untuk bezakan dengan jangkitan kulat.
Jenis Ekzema Sebenarnya Tak Sama
Jenis-jenis ekzema berbeza dengan lokasi dan bentuk ekzema itu sendiri. Ekzema yang paling biasa ialah atopi iaitu pada bahagian pipi dan pelipat siku dan lutut.
Ekzema boleh menjadi sangat teruk dan membentuk kerak keras seperti Eczema craquelé disebabkan kulit terlampau kering. Menggosok dan menggaru ruam ekzema boleh menyebabkan ruam menjadi tebal dan berkerak.
Macamana Ekzema Itu Dikenalpasti
Diagnosa ekzema disahkan oleh doktor perubatan atau pakar kulit. Tiada ujian makmal biasanya digunakan.
Doktor akan membuat pemeriksaan fizikal jenis ruam dan bertanyakan soalan terperinci sebelum membuat diagnosa masalah ekzema.
Pesakit ekzema juga kebiasaannya mempunyai masalah alahan dan alergi.
Keduanya merupakan masalah berbeza yang biasanya dicetuskan oleh alergen persekitaran. Ujian alahan dan alergi, walaupun membantu mengenal pasti alergen pencetus, tidak tepat dan mungkin memberi gambaran salah mengenai pencetus alahan pesakit ekzema.
Bila Dah Confirm Ekzema, Basmi Dan Cegahlah Pencetus Ekzema
1. Rawatan Ekzema Moden
Mengikut perubatan konvensional, ekzema merupakan penyakit keturunan yang tidak dapat disembuhkan.
Ekzema cuma dapat dikawal dan rawatan adalah menjurus ke arah mencegah kekerapan keradangan demi meningkatkan jangka waktu kulit bebas ekzema.
Maka kaedah perawatan ekzema menurut perubatan konvensional ialah :
1. Elak pencetus ekzema
2. Emolien dan pelembap mencegah pengeringan kulit
3. Antihistamin untuk mengawal kegatalan Antibiotik untuk membunuh kuman kulit – 90% kes ekzema ada jangkitan bakteria staphylococcal aureus.
5. Penggunaan steroid (lemah hingga sangat kuat)
6. Penggunaan pengubah imuniti badan (Immunomodulator/Chemo)
2. Kenalpasti Basmi, Dan Cegah Pencetus Ekzema.
Jika mampu, elakkan segala faktor pencetus dan menerukkan ekzema.
Elakkan cuaca melampau (sejuk/panas).
Hindari pemakaian bulu kasar atau fabrik sintetik.
Elakkan penggunaan sabun dan detergen.
Pastikan kuku dipotong pendek.
Kenal pasti makanan yang menyebabkan alergik seperti seafood
3. Pastikan Kulit Sentiasa Lembap
Memandangkan dinding perlindungan kulit rosak, kelembapan akan hilang dengan pantas melalui kulit pesakit ekzema.
Gunakan pelembap atau emolien.
Penggunaan emolien adalah sangat penting dalam terapi ekzema. Kekerapan dan kuantiti penggunaannya sewajarnya melebihi mana-mana terapi ekzema yang lain.
4. Gunakan Pencuci Yang Friendly Kulit
Khas untuk kulit ekzema seperti cetaphil, ezerra dan lain-lain supaya kulit tidak kering.
5. Jangan Guna Sabun Biasa
Kulit pesakit ekzema juga mudah terdedah kepada jangkitan kuman kerana kerosakan dinding pelindungan kulit. PH kulit yang asalnya berasid (pH4.5) dan jika gunakan sabun biasa yang alkali PHnya akan neutralizekan PH kulit.
Jadi semua sebum/air yang ada di kulit akan hilang dan bertambah kering. Sebab itu, gunakan pencuci yang ekzema friendly.
6. Rawat Kegatalan Dan Cegah Keradangan
Steroid kekuatan rendah boleh digunakan jika penggunaan emolien sahaja tidak dapat mengawal keradangan
Antihistamin boleh melegakan sesetengah pesakit, terutamanya yang mengalami gegata atau resdung, apabila diambil pada waktu malam ketika kegatalan biasanya memuncak.
Agen Immunomodulatory (seperti sapuan tacrolimus atau pimecrolimus) boleh digunakan pada muka, kelopak mata dan celahan kulit, untuk ekzema yang tidak respons kepada steroid kekuatan rendah.
7. Rawat Kurangkan Keradangan
Steroid kekuatan sederhana dan kuat digunakan untuk jangkamasa yang pendek untuk merawat penerukan keradangan ekzema.
Steroid kekuatan ultra hanya boleh digunakan buat jangka waktu 1 hingga 2 minggu ke kawasan selain muka dan pelipat.
8. Rawat Jangkitan Kulit Seawal Mungkin
Jangkitan kulit Staphylococcus aureus merupakan jangkitan berulang yang perlu dirawat menggunakan antibiotik.
Ekzema juga boleh dirumitkan dengan jangkitan virus pada kulit seperti herpes simplex. Diagnosis awal dan penggunaan antiviral mungkin diperlukan. Ketuat (warts) and molluscum contagiosum (ketuat air) boleh jadi lebih teruk daripada pesakit tanpa ekzema.
Jangkitan kulat (yeast and dermatophytes) mungkin merumitkan dan menerukkan ekzema. Diagnosis dan penggunaan antikulat sesuai diperlukan.
Mak-mak memang terasa bila harga bawang makin mahal. Dari beli bawang mahal-mahal, mungkin duit tu boleh beli keperluan lain. Bayangkan harga bawang India meningkat mendadak daripada RM5 sekilogram kepada RM10.93 dalam tempoh dua bulan ini berikutan gangguan bekalan dari negara pengeluar.
Kenaikan harga bawang besar dan bawang ros (bawang kecil) India berlaku secara mingguan sepanjang awal bulan September hingga penghujung tahun lalu. Memang masalah ini sangat dirasai mak-mak.
Harga bawang yang naik mendadak kebelakangan ni membuatkan ramai tukang masak dan suri rumah susah hati. Sebagai alternatif kepada bawang, boleh saja gantikan dengan beberapa bahan lain dalam masakan mengikut kesesuaian atau masak menu yang tak menggunakan bawang sebagai perencah. Antara yang boleh digunakan sebagai pengganti bawang (seperti dalam gambar):
1. Leek atau ada yang panggil bawang perai atau daun kucai cina.
2. Fennel atau dalam bahasa melayu Andas.
3. Chives atau dalam bahasa melayu kucai.
Contohnya macam dalam hidangan pasta yang dimasak (seperti dalam gambar), saya gunakan hirisan leek dan tak menggunakan bawang putih mahupun merah dalam menu pasta tu. Rasanya sedap juga, tak banyak beza pun. Sedap sesuatu masakan itu bukan bergantung hanya pada satu bahan, banyak lagi bahan-bahan lain yang boleh digunakan.
Cuba Pelbagaikan Cara Masakan
Melainkan anda berniaga makanan yang memang menggunakan bawang dalam semua menu makanan. Itu tak dapat nak elaklah. Tapi kalau untuk masakan harian di rumah, boleh saja masak menu tanpa bawang. Banyak je resipi yang tak menggunakan bawang seperti Ayam atau daging panggang, ikan bakar, masak lemak cili padi Nismilan dan banyak lagi. Gunakan bahan perapan lain untuk rasa yang berlainan.
Another alternative, start tanam bawang sendiri. Pilihan di tangan kita kan? Don’t complicate life! Dah reda nanti, dah turun harga bawang nanti, bolehlah back to normal menu. Apa susah?
MW: Jadi mak-mak jangan risau, selain bawang merah anda boleh gantikan bawang dengan pilihan di atas seperti leek, fennel dan chives. Mungkin selama ini kita agak asing dengan penggunaan tiga bahan ini, bermula hari ini pelbagaikan bahan masakan, asalkan rasa tidak lari.
Pelajar tingkatan tiga trauma dipercayai Dirogol dua pelajar senior di dalam kelas dan dirakam video. Seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga di sebuah sekolah menengah di Alor Gajah dilaporkan mengalami trauma teruk dan enggan ke sekolah selepas dipercayai menjadi mangsa rogol bergilir-gilir oleh dua pelajar lelaki senior.