Setiap apa yang berlaku pasti ada hikmahnya. Adakalanya kesilapan yang dilakukan oleh anak, mak ayah juga akan terpalit sama dihukum tanpa bicara. Dikatakan gagal dalam mendidik dan membesarkan anak.
Susulan kontroversi video tersebar yang melibatkan peserta dewi remaja baru-baru ini, Pihak Nu ideaktiv selaku penganjur Pertandingan Pencarian Dewi Remaja telah sebulat suara menarik semula gelaran juara Dewi Remaja 2018/2019 yang pernah dinobatkan kepada Haneesya Hanee, 18. Sekaligus membatalkan wang tunai berjumlah RM10,000 beserta trofi yang telah dimenangi sebelum ini.
Manakala dua peserta Dewi Top 12 lain yang terlibat dalam video kontroversi ini, Ernisha,23 dan Faz,20 juga secara rasminya tidak layak dan tidak boleh menggunakan jenama Dewi Remaja. Keputusan tersebut diambil kerana mereka telah melanggar peraturan yang digariskan oleh Dewi Remaja.
Tiada Pemenang Juara Dewi Remaja 2018/2019
Selain itu, setelah penarikan gelaran juara tersebut, TIADA pemenang lain Juara Dewi Remaja 2018/2019 untuk edisi kali ini. Tia Sarah kekal menyandang tempat kedua, Sherin di tempat ketiga, diikuti Anna Jobling tempat keempat dan Rania tempat kelima.
Ads
“Walaupun menarik balik gelaran tersebut (Dewi Remaja 2018/2019) tetapi Tia Sarah masih kekal di tempat kedua, Sherin Amiri di tempat ketiga. Sementara Aween Ismail sebagai Dewi Inspirasi dan Arena Iman pula Dewi Favorite.”
Perkara ini diumumkan didalam sidang media oleh Editor Majalah Remaja, Faiz Aiman sebentar tadi. Sekaligus menjawab teka teki dan persoalan ramai pihak.
Mohon Jangan Salahkan Ibu
Sementara itu, Haneesya Hanee yang turut hadir dalam sidang media yang diadakan memohon maaf pada para penyokongnya serta meminta diberikan ruang untuk berubah menjadi lebih baik. Hanee turut meminta orang ramai agar berhenti dalam menyalahkan ibunya yang dikatakan tidak tahu menjaga dan mendidiknya. Menurut Hanee kesalahan dan perbuatan yang dilakukan adalah berpunca dari dirinya sendiri dan kalau boleh jangan menyalahkan dan menganggu ibunya.
Ads
“Assalamualaikum, jauh dari sudut hati saya minta maaf. Saya mengaku itu salah, itu perbuatan saya dan sedar dengan keputusan yang bakal diambil pihak Remaja. Saya menerima keputusan penarikan balik gelaran dengan hati terbuka.
“Hani minta orang henti salahkan ibu Hanee.Bukan salah ibu kerana tidak pandai menjaga saya. Ibu tiada kena mengena kerana ia adalah pilihan saya.Semuanya salah saya. Kalau boleh, berikan ruang padanya. Itu sahaja,” jelas Hanee
Ads
Harap Beri Peluang Kedua
Hanee juga mengakui sebagai manusia dirinya tidak lari dari membuat salah dan berharap diberikan peluang kedua untuk bangkit, memperbaiki diri dan meneruskan kehidupan.
Setiap manusia tidak lari daripada melakukan kesalahan. Apa yang penting mengakuinya, tidak mengulangi dan berubah ke arah yang lebih baik. Peringatan juga buat kita, jangan mudah menghukum dan membuka aib orang lain.
Untuk makluman, pencarian Dewi Remaja edisi terbaru ini bermula pada November lalu, membabitkan 12 peserta. Selama tujuh minggu, mereka diuji dengan pelbagai cabaran fizikal, catwalk, keusahawanan, pengacaraan vlog, lakonan dan kempen kesedaran.
EKSKLUSIF: Sidang Media Khas Dewi Remaja 2018/19#majalahremaja#remaja#dewiremaja#dewi1819
Tidak dinafikan disebalik kejayaan seorang anak, pastinya terselit keberkatan doa daripada seorang ibu yang tidak putus-putus mendoakan kesejahteraan, kebahagiaan dan kejayaan anaknya. Martabat doa dan kata-kata sorang ibu sangatlah makbul, diangkat darjatnya dan diperkenankan terus tanpa hijab!
Neelofa atau nama penuhnya Noor Neelofa Mohd. Noor,30 merupakan antara selebrti wanita yang cukup berjaya dalam pelbagai bidang yang diceburi. Kejayaan demi kejayaan diraih, menempa nama dalam bidang pengacaraan, lakonan, perniagaan mahupun duta pelbagai produk antarabangsa. Malah mempunyai pengaruh besar dan peminat yang ramai.
Rezeki gadis kelahiran Pasir Mas, Kelantan ini bagaikan air mengalir deras seakan-akan mencurah-curah tanpa henti. Ramai yang tertanya-tanya rahsia kejayaan dan rezeki melimpah ruah yang sering berpihak pada Neelofa ini.
Dalam Instagram Neelofa beliau, dirinya mengakui kejayaan dan rezeki yang melimpah ruah yang diperolehi merupakan berkat doa daripada ibunya yang tak pernah putus.Lofa juga percaya tiada apa yang mampu menghalang doa seorang ibu serta menjadi sumber kekuatan bagi dirinya untuk terus berjaya.
Sementara itu, kesempatan bersua muka dengan ibu kandung Neelofa, Datin Noor Kartini Noor Mohamed,53 baru-baru ini, menyelak sisi peribadi dan personaliti anak ketiga kesayangan beliau daripada pandangan seorang ibu.
“Bila menjadi seorang ibu setiap anak berbeza dan ada keistimewaan tersendiri. Setiap perbezaan anak menjadi kesempurnaan keluarga kami”
“Neelofa seorang anak yang sangat manja, sangat penyayang dan ambil berat pasal keluarga, tak kiralah saya, ayah, adik beradik atau keluarga. Serta sangat menghargai apa juga yang saya lakukan. Sebab tu saya tengok bila peminat, orang yang bekerja dengan dia atau staf dia yang bekerja dengan Neelofa akan menghormati saya seperti mana Neelofa hormat. Sebab dia tengok contoh reflek daripada Neelofa, penghargaan Neelofa hormat pada saya”
“Sebagai seorang yang bekerjaya pula, saya melihat Neelofa seorang yang tegas, berdisiplin, bersemangat serta tahu menjaga kebajikan pekerja-pekerja dia”
“Saya tak pernah lihat lofa berputus asa, sewaktu berkecimpung dalam bidang seni.Lofa bukan jenis suka bergosip, mengata orang mahupun ambil tahu hal orang lain,” ujar Noor Kartini.
Menyentuh soal bagaimana dirinya berhadapan dengan komen-komen negatif yang dilemparkan pada anaknya, ringkas ini jawapan wanita kacukan Arab-Pakistan tersebut.
“Bila ada komen negatif, anak-anak saya tidak terkesan dengan komen-komen tersebut. Saya sering berpesan kalau datangnya fitnah, itu tanda Allah nak angkat lagi darjat kita.Biar orang nak cakap apa. Asalkan kita keluarga faham dan kita lebih kenal siapa anak-anak kita”,jelas ibu kepada 9 orang cahaya mata ini.
Lumrah seorang ibu sentiasa mendoakan yang terbaik buat setiap anak-anaknya.Bagi Kartini sendiri, harapannya pada Neelofa agar anak gadisnya itu mampu memahat nama di persada dunia serta menjadi inspirasi buat masyarakat.
“Alhamdulillah dengan segala rezeki yang Allah bagi.Doa saya semoga Neelofa dapat menempa nama di seluruh pelusuk dunia. Supaya dia dapat menjadi contoh muslimah yang dapat memberi inspirasi buat masyarakat Islam dan bukan Islam”.
Berkaitan urusan jodoh pula segalanya diserahkan sepenuhnya pada puteri kesayangan serta sentiasa mendoakan agar Neelofa diberikan jodoh yang terbaik.
“Saya serahkan urusan jodoh untuk Lofa cari sendiri.Tiada syarat tertentu. Saya minta kepada sesiapa sahaja, saya doakan jika itu telah tertulis jodoh Neelofa yang saya doakan selama ini, saya harap Allah bagi yang terbaik, yang mulia disisi Allah, yang dapat membimbing Neelofa dapat menjadi khalifah, dapat mendidik anak-anak mereka dan juga dapat memberi kasih sayang lebih daripada yang saya beri kepada Neelofa, serta dapat memberi kebahagaian lebih daripada saya berikan pada Neelofa”
“Kita akan lepaskan anak kita dengan puas hati, bila orang itu dapat menjaga anak kita dengan lebih baik”, ujar Kartini, doanya jauh disudut hati.
Mingguan Wanita turut mendoakan agar Neelofa terus berjaya dan dimurahkan rezeki dalam setiap bidang yang diceburi.Pesanan buat mak-mak juga, sentiasalah berdoa perkara yang baik-baik katakan hanya perkataan yang baik-baik buat anak-anak kerana doa seorang ibu itu sangat mustajab dan dimakbulkan. Ia menjadi asbab untuk mereka dipermudahkan segala urusan dan berjaya dalam kehidupan!
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Baru-baru ini tersebarnya mesej dilaman sosial arahan perintah berkurung bagi remaja bawah 18 tahun keluar rumah pada waktu malam.Ia menimbulkan pelbagai reaksi orang ramai. Ada yang menyambut baik saranan ini, terutamannya golongan mak ayah dan ada yang sebaliknya.
Namun penyebaran mesej dan arahan tersebut sebenarnya adalah PALSU!.Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menafikan ada mengeluarkan sebarang arahan berhubung larangan terhadap kanak-kanak dan remaja di bawah usia 18 tahun berada di luar rumah pada waktu malam.
Kementerian itu dalam satu kenyataan di Facebook berkata, maklumat yang tular menerusi aplikasi WhatsApp itu adalah palsu dan tidak pernah dikeluarkan sebelum ini seperti yang didakwa.
“KPWKM tidak mengeluarkan apa-apa arahan berkaitan maklumat berhubung perkara tersebut. Pihak kementerian memohon agar semua pihak tidak menyebarkan maklumat palsu ini,” katanya.
Sementara itu, KPWKM memohon agar semua pihak tidak menyebarkan maklumat palsu berkenaan.
“Pihak kementerian turut meminta orang ramai untuk membuat semakan sebelum menyebarkan sesuatu perkara,” katanya.
Sebelum ini, satu mesej tular di aplikasi Whatsapp berhubung larangan terhadap kanak-kanak dan remaja di bawah usia 18 tahun berada di luar rumah pada waktu malam berkuat kuasa serta merta.
Dalam mesej itu, kanak-kanak dan remaja di bawah umur 18 tahun (13 hingga 16 tahun) tidak dibenarkan berada di luar kawasan rumah melebihi pukul 10 malam, manakala yang berumur 12 tahun dan ke bawah tidak dibenarkan berada di luar dari kawasan rumah melebihi pukul 8 malam kecuali hal yang tidak dapat dielakkan.
MW: Peringatan buat kita, agar semak dahulu setiap maklumat yang diperolehi. Pastikan benar-benar sahih sebelum disebarkan. Apa-apa pun, jika saranan menghalang remaja bawah 18 tahun ini keluar malam berjaya dilakukan ia satu tindakan wajar yang harus disambut baik oleh mak ayah.
Pesanan buat para wanita, elakkanlah memandu seorang diri pada waktu malam kerana terdedah dengan ancaman bahaya yang tak dapat dijangka.Ini kerana wanita yang memandu bersendirian sering menjadi sasaran dan mangsa untuk diserang dan dikejar perompak terutamanya di malam hari. Apabila situasi sebegini berlaku, jangan mudah panik sebaliknya boleh bertindaklah dengan tenang dan bijak.
Pengalaman yang dilalui oleh Ustazah Asma Harun, terselamat daripada diserang dan dikejar perompak yang menaiki motorsikal baru-baru ini, semoga menjadi pengajaran dan panduan buat wanita lain.
Jemput baca perkongsian yang ustazah ini kongsikan;
Malam tadi, ia benar-benar berlaku ke atas saya, tidak pernah terfikir dan terbayang.
Tiada Daya dan Upaya. Maha Suci Allah, segala puji bagi Allah sebaik-baik pelindung.
Lokasi kuliyah daripada rumah tak jauh, dalam 5km shj. Lebih kurang jam 8.20 malam, dan memang ketika memandu malam tadi beberapa kali saya tekan lock semua pintu, lebih daripada biasa, Allah dah beri rasa tu.
Melalui satu selekoh biasa, sekilas pandang ada perasan sebuah motor dan pemandu di atasnya tepi jalan. Mungkin dari situ saya diekori. Sampai penghujung jalan saya perlu menunggu sebuah kereta dihadapan untuk membelok ke kanan. Jalan ni memang sibuk dan memakan masa untuk dapat membelok.
Allahu Akbar. Seorang lelaki badan tegap bertopi keledar gelap berdiri disebelah pintu penumpang sebelah kiri menarik-narik pintu. Dia turun daripada motor. Saya tak nampak samada seorang atau berdua. Tiba-tiba ada kereta di belakang dan dia cepat-cepat kembali ke motornya.
Ketika itu hanya rasa takut dan kaku. Mengambil masa yang lama untuk membelok ke kanan walaupun ada ruang. Akhirnya pedal minyak ditekan perlahan menuju lokasi dalam keadaan rasa yakin tidak diekori. Saya parking belakang sekali pada deretan kereta. Saya tak perasan suasana sunyi di situ. Itu satu kesilapan besar apabila kita dah menjadi target. Sepatutnya saya ke kawasan ramai orang atau ke balai polis berdekatan.
Saya kaku dan membatu, cuba tenangkan diri. Syukurnya saya tidak terus keluar. Tiba-tiba, ya Allah.. Saya nampak kelibat yang sama daripada belakang menerusi cermin depan sedang menuju ke arah kereta. Saya terus menekan hon sekuat hati, namun dia dengan laju datang dan menghempas kuat batang besi yang agak besar pada tingkap sebelah kiri.
Ketika itu, dengan sisa tenang dan kekuatan yang ada saya reverse, untuk mengambil ruang agar tidak melanggar kereta depan yang saya parking agak rapat. Terus minyak ditekan laju dan masuk mengejut ke kawasan kuliyah.
Syukur saya tidak melanggar sesiapa. Pandangan masa tu memang kabur. Gelap rasa semuanya. Rasa nak pitam dan adrenaline memang tahap maksimum. Ramai yang keluar untuk melihat apa yang berlaku kerana mendengar kuatnya dentuman pukulan ke arah cermin kereta. Allahu Akbar, cermin tu sedikitpun tidak pecah atau retak.
Allah.. Allah.. Allah.. Itu sahaja kalimah yang mampu keluar. Allah ya Hafiz ya Muhaimin. Dialah sebaik-baik yang menjaga dan memelihara kita. Kita sangat lemah dan tidak berdaya sedikitpun.
Sebenarnya sangat jarang saya keluar malam seorang diri, biasanya suami akan hantar dan jemput daripada lokasi kuliyah/ceramah. Namun malam tadi suami di Terengganu, balik emergency dan saya tetap perlu hadir jemputan yang dah lama diatur. Saya percaya ramai wanita perlu melalui keadaan seperti ini lagi-lagi yang tinggal berjauhan dengan suami. Moga Allah sentiasa melindungi kalian.
Wanita yang memandu seorang diri memang menjadi sasaran utama penjenayah, jangan sesekali rasa selesa kerana sudah biasa. Sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga. Samada siang atau malam. Contohnya suri rumah yang hantar anak-anak ke sekolah, kerana anda mungkin akan pulang seorang diri, tak mustahil ada yang memerhati dan mengekori sehingga anda turun daripada kereta untuk diserang hendap.
Sebaik sahaja masuk kereta terus lock semua pintu. Walaupun jalan biasa atau lokasi yang dituju sangat dekat. Lock sahaja, ia percuma. Tapi mampu menyelamatkan nyawa dan harta.
Elakkan meletakkan handbag atau seumpamanya di tempat yang mudah dilihat terutamanya seat sebelah, namun handphone pastikan diletakkn di tempat yang mudah dicapai.
Jika diserang seperti saya di atas, bunyikan hon sekuatnya agak membantu, walaupun penyerang tidak lari tapi sekurangnya dia mula panic kerana kita menunjukkan tindakbalas. Memang selama ni saya set dalam kepala jika berlaku situasi begini saya akan tekan hon sekuatnya.
Ketenangan dan sedikit keberanian sangat penting. Ketakutan melampau, kelam kabut dan panic akan memberi kemenangan awal kepada penyerang. Saya mungkin sahaja tekan minyak dan melanggar kuat kereta depan, atau hanya menjerit ketakutan. Disinilah saya sedar betapa penting kita memberi bayangan awal kepada fikiran kita, jika berlaku begini akan buat begini. Dan saya memang kuat buat khayalan.
Jika anda dilanggar daripada mana-mana arah, jangan terlalu cepat turun daripada kereta untuk melihat kerosakan. Lagi pula jika tempat tersebut agak sunyi. Pelanggaran tersebut mungkin dirancang.
Bila sampai di lokasi atau di rumah jangan terus turun daripada kereta, contohnya untuk membuka pintu pagar dll. Pastikan semuanya selamat dan tiada sesiapa yang mengekori.
Ini sangat penting dan yang paling utama. Hakikatnya Allah ya Hafiz ya Muhaimin Yang Maha Menjaga dan Maha Mengawasi kita setiap saat. Bukan kecanggihan kereta atau keberanian kita bertindak. Maka jangan sesekali lupa untuk memulakan perjalanan dengan doa,
Maksudnya, “Segala Puji dan Maha Suci bagi Allah, yang memudahkan (kenderaan) ini untuk kami, padahal kami sebelumnya tidak mampu menguasainya. Dan sesungguhnya kami akan kepada Tuhan kamilah kami akan kembali (di hari Kiamat).
Surah Az-Zukhruf, Ayat 13-14
Tambahkan dengan zikir..
Ya Allah Yang Maha Menjaga dan Maha Mengawasi, jaga dan awasilah perjalananku daripada awal hingga pulang kembali dalam kesejahteraanmu ya Salaam.
Ingat dan berharaplah kepada Allah سبحانه وتعالى semoga perjalanan kita selamat.
“Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah dan sesiapa yang beriman kepada Allah, maka Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar) dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.” (Surah al-Taghabun 64: Ayat ke-11)
Saya masih lagi terasa kesan trauma hingga saat ini. Tadi ada bawa kereta di siang hari. Bila ada motor yang nak melalui atau berhenti ketika di lampu isyarat. Debaran tu memang tak boleh dikawal.
Catatan pengalaman,
Silakan share sebagai pengajaran dan panduan,
Asma’ binti Harun.
27 Januari 2019
Kejadian berlaku 26 Jan 2019 jam 8.25mlm.
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat, terutama buat para wanita yang sering memandu seorang diri. Jadikan pengalaman yang ustazah ini alami sebagai satu pengajaran dan perbanyakkanlah berdoa agar diri sentiasa selamat didalam perjalanan dan bahaya yang menimpa.
Buang bayi lelaki baru lahir belakang rumah bongkar sumbang mahram dua beradik bawah umur di Besut. Ketahui kronologi penuh, siasatan polis dan tindakan lanjut.