Memang kelakar bila hanya membuat satu pesanan tetapi 42 pesanan yang tiba. Kanak-kanak ini menangis kerana tidak menyangka kesilapannya membuatkan dia perlu membayar hampir RM671.
Semuanya berlaku gara-gara masalah internet, budak perempuan terima 42 pesanan yang sama kerana telah menekan 42 kali untuk membuat tempahan makanan di Cebu, Filipina.
Gara-gara Masalah Internet
Pesan hanya satu namun 42 penghantar makanan tiba di depan rumah.
Itu yang berlaku terhadap seorang kanak-kanak di Filipina yang menerima 42 pesanan makanan gara-gara masalah internet.
Kisah itu berlaku terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun yang terpaksa membuat pesanan makanan menerusi aplikasi kerana ibu bapanya bekerja.
Kompas melaporkan laluan sempit di Barangay Mabolo, dekat sini, dipenuhi penghantar makanan gara-gara kesilapan aplikasi itu.
Kredit foto: myMetro
Budak Perempuan Terima 42 Pesanan Yang Sama
Kejadian berlaku jam 11 pagi, Rabu lalu apabila kanak-kanak itu bersama neneknya memesan filet ayam dengan nasi serta kentang goreng berharga 189 peso (RM15.89).
Ads
Bagaimanapun, mereka terpaksa membayar 7,938 peso (RM671) untuk 42 pesanan itu. Dia bagaimanapun gagal membayar keseluruhan 42 pesanan itu berikutan ibu bapanya hanya meninggalkan wang secukupnya untuk membeli filet ayam itu.
Jiran kanak-kanak itu, Dann Kayne Suarez berkata, kanak-kanak itu sememangnya sudah biasa dan kerap memesan makanan menerusi aplikasi itu.
Proses Pesanan Jadi Lambat Kerana Masalah Internet
Bagaimanapun, masalah internet menyebabkan proses pesanan menjadi lambat membuatkan kanak-kanak itu menekan pesanan sama sebanyak 42 kali.
Sekumpulan 42 penghantar makanan yang tiba di kejiranan itu secara serentak menyebabkan jiran sekitarnya terkejut hingga tular di sosial media.
Ads
Kanak-kanak itu dilaporkan ketakutan dan menangis sebaik melihat kedatangan pesanan sebegitu banyak berikutan tiada wang untuk membayarnya.
Bagaimanapun, jiran tetangga kanak-kanak itu berhasrat membeli filet ayam itu termasuk Dann yang kemudian memuat naik gambar dan video di sosial media.
Namun, tidak semua filet ayam itu dibeli, sesetengahnya terpaksa dipulangkan kembali ke restoran.
MW: Mak,ayah yang tinggalkan anak-anak di rumah itu berhati-hatilah. Ini bukan kes pertama malah pernah berlaku di Malaysia. Silap-silap mak,ayah pula perlu menanggung kerugian bila anak tersalah memesan makanan.
Penyanyi dan pelakon yang cukup ayu dan sopan, Amira Othman kini ditahan di hospital sejak beberapa hari lalu selepas berdepan komplikasi akibat melakukan aktiviti kecergasan secara berlebihan.
Dek kerana itu juga Amira berpesan kepada diri dan juga pengikut menerusi laman akaun Instagramnya agar jangan buat sesuatu melebihi kemampuan diri.
Amira Pesan Hargailah Nikmat Kesihatan
“Antara nikmat paling besar Allah bagi dalam hidup ini adalah nikmat kesihatan. Semoga kita selalu menghargai apa yang Allah beri. Anyway ingat jangan buat apa melebih-lebih kena tahu kemampuan diri ok? Stay safe semua,” begitulah yang ditulis oleh Amira.
Difahamkan isu kesihatan Amira mula muncul selepas penyanyi yang popular dengan lagu Hati-Hati itu mengikuti senaman berbasikal indoor.
Amira juga menerangkan minggu lalu dia mengikuti latihan kecergasan berbasikal secara indoor.
“Biasanya selepas bersenam atau melakukan aktiviti kecergasan badan akan sakit-sakit . Tapi kali ini sakitnya berbeza dan tak menunjukkan tanda-tanda akan berkurangan. Masuk hari ketiga, peha saya membengkak.
Air Kencing Tukar Jadi Warna Hitam
“Apabila terapi pun tak menjadi, rasa sakit itu pun tak hilang. Nak dijadikan cerita, sewaktu saya membuang air kecil, airnya menjadi warna hitam.
“Apabila saya bercerita dengan ibu bapa, mereka menasihatkan saya supaya membuat pemeriksaan di hospital memandangkan itu menunjukkan tanda-tanda sakit yang berkaitan dengan buah pinggang dan hati.
“Apabila saya rujuk ke hospital, doktor maklumkan komplikasi yang berlaku adalah disebabkan aktiviti kecergasan yang berlebihan,” ujarnya.
Amira Bernasib Baik
Menerusi perkongsiannya di entri Instagram juga Amira menerangkan otot pada badannya pecah dan berdarah hingga mengganggu fungsi organ dalam badan termasuk buah pinggang dan limpa.
“Kenapa boleh kena buah pinggang dan limpa? Sebab over workout tu otot pecah dan berdarah.
“Jadi, darah itu lalu organ-organ dalam badan ni, dia kacau buah pinggang dan limpa, itulah yang buang air kecil warna hitam.
“Alhamdullillah saya bernasib baik sebab buah pinggang ok. Sekarang doktor tengah pantau limpa,” kongsinya.
Hingga hari ini Amira masih dirawat di sebuah pusat perubatan. Apa yang terjadi menjadi pengajaran yang cukup bermakna dalam dirinya.
“Selama ini, saya tak sangka senaman berlebihan boleh membawa kepada kemudaratan. Doktor maklumkan, bersenam tak menjadi masalah, tapi kita perlu tahu had memandangkan ia bergantung kepada tubuh seseorang.
“Saya jadikan ini sebagai pengajaran buat diri saya dan keluarga. Sakitnya tak dapat saya gambarkan dengan kata-kata,” sambungnya.
Sumber: Harian Metro Sumber Foto: Instagram Amira Othman
“Saya sayang ayah! Terima kasih banyak mendidik Balim dari kecil mengajar erti berdikari,” begitulah ungkapan jurusolek popular, Datuk Alha Alfa atau pemilik nama sebenarnya Abdul Halim Mohd Al Fadzil buat ayahnya yang tercinta.
Ungkapan tersebut di muat naik menerusi entri di akaun Instagramnya sempena ucapan hari lahir ayahnya.
“I love u so much ayah! Terima kasih banyak mendidik Balim dari kecik mengajar erti berdikari ️ tahun ni hadiah ayah kecil je, tapi insha Allah berharga. Ayah simpan elok-elok tau! “Hehehe. Suka dia dapat cincin baru. Doakan balim banyak sangat projek best-best tahun ni, harap ayah sentiasa doakan yang terbaik ya untuk Balim dan bisnes. Sayang ayah sangat-sangat! “Harini kami sambut birthday bertiga! Ayah 27hb, saya 29hb, adik pompuan sy 31hb selang sehari je. “Ya Allah, kau ukirkanlah senyuman sentiasa untuknya, kesihatan yang berterusan, dibukakan pintu rezeki untuk beliau, bahagiakan dia lebih dari segalanya, tolong ya ALLAH hindarinya dari sebarang kesulitan, penyakit dan masalah. Amin amin amin. Love you forever ayah,” begitulah nukilan khas yang ditulis buat ayahanda tercinta.
Sebelum meniti jaringan kejayaan, Alha sebenarnya telah mengharungi pelbagai pancaroba sebelum diiktiraf sebagi jurusolek profesional di negara ini. Lelaki beriltizam tinggi ini seperti mana petikan kata-katanya menerusi SinarPlus, guru yang mendidiknya hingga berjaya hari ini ialah ayah dan ibunya.
Malah seawal usia 10 tahun, Alha saban hari tidak ke padang bermain bola sepak atau badminton bersama rakan-rakan. Sebaliknya, Alha Alfa mengikut bapanya ke pusat pembuangan sampah di Balakong untuk mencari barangan yang boleh dikitar semula seperti palet kayu, besi dan tin aluminium.
“Saya tidak pernah menyertai kelas solekan baik di dalam mahupun di luar negara. Guru yang mendidik sehingga menjadikan Alha Alfa hari ini ialah Mohd Al Fadzil Hashim (ayah) dan Norsham Ahmad (ibu).
“Sementelah pengalaman yang dikutip sedikit demi sedikit sejak di bangku sekolah rendah adalah ilmu dan pemangkin untuk saya terus berjaya dan mengubah nasib keluarga.
“Ini disebabkan saya tidak dilahirkan dalam famili berada. Dulu ayah bekerja di sebuah hotel di Bukit Bintang, Kuala Lumpur dan tukang kebun di Pusat Pemulihan Orang Kelainan Upaya, Bangi, Selangor, manakala ibu pula ambil upah menjaga anak orang.
“Ayah kreatif melukis, bertukang dan mengecat. Lazimnya, barang-barang yang dikutip di pusat pembuangan sampah, beliau akan ubah menjadi produk baharu.
“Kepingan kayu katil misalnya, dijadikan bingkai gambar. Tugas saya memahat, mengukir dan mewarnakan. Tin aluminium pula, ayah mengetuk Surah Kursi konsep timbul (3 dimensi), lalu, disimpan di dalam bingkai dan digantung di surau.
“Tak sangka pula, daripada sekadar hobi lama-kelamaan menjadi sumber pendapatan apabila mendapat tempahan daripada penduduk kampung dan kawan-kawan,“ katanya.
Bermula mencalit cat di dinding rumah dan kamar sendiri sebagai pengganti kertas dinding, akhirnya selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia, Alha Alfa mengambil upah mengecat sebuah rumah banglo empat bilik di Semenyih dan menerima bayaran sebanyak RM250.
“Perasaan bercampur-baur. Sukar untuk membuat pilihan kerana ibu dan ayah mengharapkan anaknya ke universiti, sementara saya pula ingin terus bekerja cari duit buat adik-adik.
“Lagipun, persiapan ke UiTM memerlukan kos yang banyak, sedangkan ekonomi keluarga kurang stabil. Sehinggalah, pada satu hari ibu minta saya membawanya ke kedai emas untuk membeli barang.
“Rupanya, beliau ke sana menggadaikan seutas gelang emas yang ayah hadiahkan ketika acara batal air sembahyang. Hasil pajakan sebanyak RM500 itu digunakan untuk yuran kemasukan ke UiTM,“ rungkai Alha.
Figura yang merupakan graduan UiTM ini juga bukan sahaja bergelar jurusolek terkenal, malah turut mengusahakan bisnes biskut.
Kemudian, bagi meringankan beban keluarga dan memastikan pendidikan dua adiknya terbela, figura itu bekerja sebagai kru menguli piza di restoran makanan segera, Pizza Hut di Seri Kembangan selama enam bulan.
Biarpun pada ketika itu beliau tidak meletakkan harapan tinggi untuk melanjutkan pengajian di menara gading, namun rezeki tetap miliknya.
Alha Alfa mendapat tawaran menyambung pelajaran Diploma Seni Bina Dalaman di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar, Perak. Jurusan yang sebati dengan minat dan jiwanya.
Pun begitu, di sebalik keputusan cemerlang itu, pemuda yang yang meminati warna coklat itu hampir menarik diri pada semester tiga. Alha Alfa menyifatkan jurusan tersebut memerlukan kos perbelanjaan yang banyak bagi menyempurnakan setiap tugasan.
Justeru, solusi terbaiknya adalah menjadi jurumekap sambilan barisan model dan kumpulan penari UiTM yang mana setiap minggu mampu memperoleh pendapatan sebanyak RM150.
Biarpun kini berjaya mengeluarkan produk jenama sendiri, Alha Alfa Kosmetik sejak tahun 2017, namun itu bukan tiket untuk beliau menarik nafas lega, apa lagi bergoyang kaki.
“Jika difikirkan kembali bagaikan tak percaya pula saya mampu berada pada tahap seumpama ini. Manis ada, pahit juga semestinya. Semua pengalaman itu dikumpul menjadi benteng kekuatan agar apabila ditakdirkan saya jatuh kelak, sekurang-kurangnya tidak terus tersungkur,“ jelasnya.
Alha juga turut berharap agar tahun 2021 memberikan sinar dan harapan baharu kepada semua.
MW: Selamat hari lahir diucapkan bua Datuk Alha Alfa. Semoga dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki.
Penyanyi cantik yang sentiasa murah dengan senyuman, Wany Hasrita akui kerjaya sebagai seorang selebriti bukanlah satu perkara mudah. Sebagai seorang figura hiburan, pasti membuatkan kulit wajah Wany sentiasa dioles solekan mampan baik untuk pertunjukan pentas mahupun melunaskan sesi fotografi.
Situasi tersebut secara tidak langsung menyebabkan kulit muka Wany terdedah kepada simbahan lampu acara (spotlight). Pada masa sama, turut menerima tempias sinaran ultraungu khususnya ketika berlumba kereta di litar di bawah program Toyota Gazoo Racing.
Wany juga tidak lokek berkongsi tip bagaimana untuk memastikan kulit wajahnya kekal bersih dan mulus serta penjagaan kesihatan badan.
Walaupun letih dan pulang larut malam dek kerana memenuhi jadual aktiviti pentas seni, rejim penjagaan wajah lazimnya, sebaik sahaja tiba di rumah sebelum tidur Wany akan memastikan kulit wajahnya bebas daripada sebarang kotoran dan tampalan solekan.
“Langkah tersebut harus dititikberatkan bagi mengelakkan kondisi kulit wajah rosak memandangkan alat kosmetik mengandungi pelbagai bahan.
“Selepas menanggalkan solekan menggunakan makeup remover, saya akan membersihkan wajah dengan pencuci muka mengikut jenis kulit.
“Kemudian, disusuli pula toner (penyegar) untuk membuang lebihan minyak ataupun kotoran yang tertinggal pada kulit wajah termasuk mengecilkan pori-pori.
“Langkah seterusnya, menyapu lembut serum dan krim pelembap bagi mengembalikan kelembapan kulit wajah serta krim malam.
“Pun begitu, pada sebelah siang, selepas memakai krim pelembap, saya akan mengoles krim pelindung sinaran matahari sebelum keluar rumah sama ada untuk bekerja ataupun beriadah.
“Sebelum melangkah keluar rumah wanita mengoles krim pelembap dan krim pelindung sinaran matahari untuk melindungi kondisi kulit wajah.
“Seperti yang kita sedia maklum, penggunaan krim pelindung sinaran UV amat penting dalam rutin penjagaan kulit wajah. Disebabkan itu, kita sentiasa disarankan mengaplikasi krim tersebut seawal usia remaja.
“Saya pula beranggapan telah terlambat kerana apabila menginjak usia 27 tahun, barulah mempunyai kesedaran untuk memakai krim sinaran UV. Ikut kata pepatah, mencegah itu lebih baik daripada merawat.
“Jangan sesekali membiarkan wajah berterusan terdedah kepada cahaya matahari tanpa pelindung kerana ia akan merosakkan kulit muka. Selain penuaan dan kanser kulit, sinaran UV yang menembusi jauh ke dalam kulit juga boleh menyebabkan berlakunya masalah jeragat.
“Perkara sedemikian turut berlaku kepada ibu, Norita Jaafar yang terpaksa mengambil masa lama untuk menangani masalah jeragat,” terang Wany.
Dalam pada itu, perlu diingatkan, pemakaian krim sinaran UV bukan bersifat sekali sahaja iaitu oles pada sebelah siang dan berkekalan hingga malam. Krim tersebut harus diaplikasi dari masa ke masa.
“Misalnya, saya akan oles sekitar jam 8 pagi. Selepas menunaikan solat Zuhur dan Asar, maka saya akan ulang rutin penjagaan wajah yang sama seperti memakai toner, serum, krim pelembap dan krim sinaran UV.
Selain amalan penjagaan wajah secara konsisten dan penggunaan produk yang betul, pemakanan juga harus dititikberatkan.
Wani juga akui dia mengelak menikmati makanan berminyak dan coklat dalam kuantiti yang banyak kerana ia adalah salah satu penyebab masalah jerawat.
Malah makan coklat secara berlebihan boleh menyebabkan jerawat.
Sedang berpantang selama 15 hari selepas melahirkan anak kedua pada 2016 bukan penghalang untuk ibu anak tiga menghadiri temuduga dalam bidang kejuruteraan.