Farahwen beri kata dua pada netizen mulut longkang, saman RM5 juta atau minta maaf secara terbuka. Di zaman ini, tidak perlu kenal seseorang untuk membenci. Cukup dengan sebutir komen palsu, satu ciapan bernada jijik dan tiba-tiba, maruah seseorang jadi bahan hiburan.
Ironi paling menyedihkan? Si pelontar kata-kata tidak pun mengenali mangsanya.
Tidak berdiam dirinya dengan fitnah yang dijaja, ahli perniagaan dan pempengaruh yang mempunyai 3 juta pengikut di media sosial Tik Tok, Farahwen memberi kata dua kepada seorang individu untuk memohon maaf secara terbuka di media atau berhadapan saman RM5 juta darinya.
Berkongsi di threads miliknya semalam, Farahwen yang sering memaparkan kehidupan seharian dengan gaya mewah yang tersendiri menjelaskan, threads atau media sosial bukan lubuk fitnah.
“Threads bukan lubuk fitnah. Setiap tindakan ada akibatnya. Setelah tindakan undang-undang diambil, dua pilihan diberi. SAMAN RM5 Juta atau permohonan maaf terbuka. Pilihan telah dibuat. Semoga menjadi pengajaran kepada semua, jangan mudah menghina, jangan mudah percaya,” katanya yang berkongsi video seorang wanita yang jelas membuat permohonan maaf secara terbuka kepada usahawan wanita berjaya ini.
Tidak dapat mendengar dengan jelas nama penuh disebut oleh wanita dalam video berkenaan (hanya nama bapanya sahaja jelas kedengaran, Che Hamdan) dan menyebut tidak akan mengulangi lagi kesilapan di masa akan datang iaitu memberikan komen-komen negetif yang dilontarkan terhadap wanita berjaya ini.
View on Threads
Berkata hal ini, dia yang mempunyai latar belakang pendidikan dalam bidang perundangan menjelaskan, tuntutan saman fitnah ini ada beberapa asas.
“Sama ada secara sivil atau jenayah. Ia merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 499 Kanun Keseksaan. Bila Surat Tuntutan (Letter of Demand – LOD) sudah dihantar, masih nak menyesal?
“Dan bagaimana pula jika saya pilih untuk terus bawa kes ini ke mahkamah tanpa sebarang LOD? Tiada lagi ruang untuk berpatah balik kecuali tukang fitnah melantik peguam sendiri. Tapi bersedialah mengeluarkan sejumlah wang,”jelasnya sambil menambah situasi akan jadi lebih buruk jika individu yang difitnah mempunyai reputasi baik di mata masyarakat yang mana amat mudah untuk saya menang selepas membuktikan ketiga-tiga elemen yang diperlukan oleh mahkamah.
Tidak menjelaskan secara terperinci apakah fitnah yang dilontarkan wanita tersebut, namun jelas ahli perniagaan ini ianya adalah tidak adil kerana kata-kata nista itu dibuat tanpa mengenal siapa dirinya.
“Pemfitnah ini telah membuat penilaian yang tidak adil terhadap saya dan mengatakan perkara yang tidak benar serta tidak boleh diterima. Semata-mata untuk mendapatkan pengiktirafan daripada orang lain. Paling kelakar, saya langsung tak kenal dia,”katanya yang membalas komen pengikutnya yang mahu tahu mengenai hal fitnah dilemparkan netizen mulut longkang ini.
Nasihat buat semua, berhentilah normalisasikan budaya mencela. Jangan jadikan jari kita senjata yang membunuh karakter manusia lain. Kita semua ada tanggungjawab untuk menyebarkan kebaikan bukan menjadi ejen kerosakan. Tapi kalau berani berhadapan dengan saman, maka bersedialah dihadapkan ke mahkamah.