Februari datang lagi. Februari sinonim dengan bulan cinta dan kasih sayang. Kasih sayang itu metaforanya luas, tidak termaktub kasih itu hanya pada kekasih semata, sayang itu merangkumi kasih pada ibu bapa, keluarga dan juga sahabat. Edisi kali ini menyatukan dua sahabat selebriti akrab; Fara Fauzana dan Zara Zya.

Mungkin para peminat mereka sudah sedia maklum, selain Fara dan Zara, dua lagi ‘geng’ mereka adalah Jihan Muse dan Shila Amzah. Bernaung di bawah tanda pagar atau hashtag #SAFFJMZZ, silaturahim yang terjalin di antara mereka berempat diharapkan akan kekal mewangi hingga ke hujung nyawa. Kesempatan MW mengabadikan dua sosok ini sebagai penghias wajah, memberi ruang untuk mengenali Fara dan Zara dengan lebih dekat.

Farah Fauzana & Zara Zya Bersahabat Biar Sampai Hujung Nyawa

‘Husnuzon’ Dalam Bersahabat – FARAH FAUZANA

Ditanya bagaimana persahaban mereka berempat bermula, cerita Farah, segalanya terjadi kerana mereka saling meminati antara satu sama lain. Farah dan Shila Amzah berkongsi hobi menonton drama Melayu. Zara Zya pula antara aktres yang digemari kerana kewibawaannya menjayakan pelbagai watak yang diberi.

Manakala Jihan Muse pula teman lama yang saling berkait rapat antara satu sama lain.

Bermula dengan menonton drama rantaian popular Love You Mr Arrogant lakonan Zara Zya sekitar tahun 2014, persahabatan mereka berempat mekar hingga kini.

“Saya dan Shila Amzah memang suka menonton drama melayu. Salah seorang pelakon yang kami suka, Zara Zya. Kebetulan ketika itu demam drama ‘Love You Mr Arrogant’ yang tengah meletup-letup. Satu hari nak dijadikan cerita, Shila ajak Zara Zya keluar, kebetulan saya pula meminati Zara dan Shila pelawa kami keluar bersama hari itu. Jihan Muse pun klik kami juga. Perkenalan itu akhirnya menjadikan kami selesa bersahabat. Kami masing-masing punya latar belakang karier yang hampir serupa. Jadi tidak sukar untuk kami rapat dan mencipta keserasian.

“Sejujurnya mengenali sahabat-sahabat saya ini, mereka husnuzon dalam bersahabat. Tidak suka menilai orang, pendengar setia, sahabat yang boleh dipercayai dan orang yang akan dirujuk apabila kami perlukan pandangan dan nasihat. Satu lagi, sekiranya salah seorang daripada kami punya isu atau pun masalah, lazimnya kami akan berkumpul dan saling menyokong antara satu sama lain. Soalan ‘engkau ok ke’ adalah soalan wajib dalam grup Whatsapp apabila kami dapati salah seorang sedang melalui saat-saat sukar.

“Zara sahabat yang memiliki bisnes minded dan berani mencuba.Keberanian dia tiada pada saya. Contoh dalam bisnes, Zara berani cuba perkara baru dan keberaniannya itu membuatkan saya kagum dengannya. Dia juga pandai memasak dan selalu ketinggalan apabila kami berborak di dalam grup Whatsapp kami.

“Walaupun masing-masing terikat dengan komitmen berbeza, kami akan sedaya upaya mencuri masa untuk berkumpul, bercurhat dan saling bercerita perkembangan masing-masing. Lazimnya kami berkumpul di rumah ‘adik bongsu’ kami; Shila Amzah. Saya mengharapkan ikatan persahabatan ini berkekalan hingga ke akhir nyawa. Mempunyai sahabat-sahabat yang baik juga satu bentuk rezeki dari Allah S.W.T,” kongsinya mengenai sahabat-sahabat baiknya.

Farah Fauzana & Zara Zya Bersahabat Biar Sampai Hujung Nyawa

Farah Masuk Usia 40

Februari ini juga menyaksikan wanita yang dilahirkan pada 7 Februari 1980, melangkah masuk ke usia 40 tahun. Antara sosok yang melakar karier cemerlang dalam dunia radio, dia kini mengembangkan cabang kariernya ke dalam dunia digital yang dikenali sebagai dbilique. Melangkah ke usia dan lembaran baru, Farah punya rancangan menarik buat dirinya seperti yang dikongsikan di laman instagram @dbilique.

“Setelah hampir 18 tahun mengembangkan karier dalam dunia penyiaran radio, sudah tiba masanya saya mencuba platform baru tetapi masih lagi dalam aliran yang sama. Kolaborasi bersama sahabat saya iaitu Faizal Ismail dan Tini Ariffin hingga tercetusnya Dbilique, yang merupakan hab digital yang menjanjikan kandungan digital seiring dengan keperluan semasa. Banyak lagi perancangan yang dirancang bersama Dbilique dan kami masih dalam proses memperkasakan jenama ini,” kongsi Farah.

Tambahnya lagi, selain mengejar duniawi, dia juga merasakan tiba masanya dia juga mengumpul bekalan ukhrawi. Di usia 40 tahun, dia mengakui masih banyak yang perlu diperbaiki, sempena meraikan usia barunya. Farah juga sempat memberikan respons berkenaan isu jodoh.

“Hidup ini kita tak tahu bila dan bagaimana pengakhirannya. Saya sendiri belum cukup bekalan ke sana. Kesedaran itu hadir sendiri dan saya yakin sebagai manusia iman itu ada fasa turun dan naik. Tapi usahalah sebaik mungkin untuk menjadi manusia yang lebih baik. Masih belum terlambat bagi saya untuk mencari bekalan untuk persediaan ke sana.

“Perihal jodoh, ada atau tidak saya menerima seadanya. Apa yang pasti, sebagai anak saya akan terus berbakti kepada orang tua selagi hayat masih bersisa. Bagi saya apabila orang bertanya isu jodoh, saya anggap ia satu doa buat saya. Jika ditakdirkan jodoh bukan milik saya, bahagia itu bukan terletak di situ sahaja. Mungkin hadirnya bahagia dalam versi lain dan saya yakin Allah sudah mengaturkan yang terbaik buat saya,” ulasnya yang juga berazam menunaikan ibadah haji buat pertama kali, memandangkan wanita 40 tahun dibenarkan menunaikan ibadah haji tanpa mahram.

Ujian Itu Mematangkan – ZARA ZYA

Dilahirkan sebagai Zainurul Razia Mohd Zainuddin, aktres yang memulakan karier lakonan menerusi drama popular ‘Love You Mr Arrogant’ di Slot Akasia TV3, mula mendapat tempat di hati peminat drama tempatan hingga ke hari ini. Alumni Akademi Seni Warisan Negara (ASWARA) memulakan karier seninya seawal tahun 2011. Sisi hidupnya tahun lalu memahat satu memori yang mematangkan Zara Zya. Enggan mengulas lanjut perhubungan yang lalu, wanita ini optimis melakar warna lebih gemilang di hari depannya.

“Pengalaman lalu mematangkan saya. Mungkin peristiwa itu satu ilmu yang Allah sudah aturkan pada saya. Tidak ada apa yang perlu disesalkan dan dikenangkan. Saya mengharapkan tahun ini membuka lembaran baru untuk saya lebih sukses dan lebih disayangi,” jelasnya ringkas.

Ketika sesi fotografi ini berlangsung, sesekali mereka menerima panggilan video daripada Jihan Muse bertanya mengenai perkembangan perkembangan sesi fotografi tersebut. Zara juga sempat menyediakan sambal bilis air tangannya sendiri buat sahabatnya Farah. Ditanya mengenai sifat Farah Fauzana di matanya, ini komen Zara.

“Mengenali Farah, dia sahabat yang amat peka dengan masa. Serius ketika bekerja dan juga pakar motivasi untuk kami bertiga. Dia tak suka bercakap buruk mengenai orang lain dan sering menekankan konsep bersangka baik atau ayat wajibnya; husnuzon dengan orang. Dia juga seorang sahabat yang sangat menjaga hati kami dan satu lagi perangai dia, sering memandu laju,” kongsinya mengenai sisi lain Farah Fauzana menurut pandangan peribadinya.

Farah Fauzana & Zara Zya Bersahabat Biar Sampai Hujung Nyawa

Sisi Seni Suara

Anak bongsu daripada empat bersaudara ini pernah menyertai pertandingan Dewi Remaja 2005. Sepanjang perjalanan kariernya, aktres ini telah merangkul beberapa anugerah yang mengiktiraf bakat seninya. Zara Zya pernah memenangi kategori Artis Top Top MeleTOP (Wanita) dalam Anugerah MeleTOP Era 2014, Artis Baru Wanita Popular Anugerah Bintang Popular di Anugerah ABP 27 dan Pelakon Wanita Terbaik di Anugerah Telenovela 2016.

Selain berbakat dalam dunia niaga, beliau juga berbakat dalam bidang nyanyian. Single pertamanya berjudul Tiada Dendam sentuhan penulis lirik Iman Imran dan lagu ciptaan Lieynur Liey dan Fauzi Aisunam merupakan langkah pertamanya dalam dunia nyanyian. Walaupun lagu tersebut ‘lahir’ pada tahun 2018, adakah Zara Zya akan tampil dengan produk nyanyian terbaru lagi selepas ini?

“Lagu ini saya hadiahkan buat semua orang untuk menjadi lebih positif. Ia memberi semangat baru kepada mereka yang sedang diuji, untuk bangkit dan kuat. Ia juga merupakan hadiah istimewa buat peminat saya. Insyaallah,jika selepas ini ada peluang untuk tampil dengan single baru…saya tidak menolaknya. Tahun 2020 adalah tahun untuk saya lebih cemerlang dan gemilang dalam karier,” ulasnya optimis mengenai single istimewa yang merupakan produk syarikatnya sendiri, Zara Zya Management Sdn Bhd bersama Life Records dan Waznah Sdn Bhd dari Brunei Darussalam.

************************************************************

Farah Fauzana & Zara Zya Bersahabat Biar Sampai Hujung Nyawa

Banyak lagi sebenarnya cerita menarik yang dikongsikan oleh dua sahabat baik ini. Ingin ketahui lebih lanjut, baca sambungannya di dalam Majalah Mingguan Wanita terbaru isu Februari, volume 2 yang kini telah pun berada di pasaran.

PENYELARAS & TEKS : MASTURA BURHANUDDIN
FOTO : SHAHRIN NIZAM OTHMAN
REKA LETAK GRAFIK : MUSNIDA ABU ABIDAH
SOLEKAN : FARAH FAUZANA OLEH FAZ FAOUZI (@fazs.faozi) / ZARA ZYA OELH NADIA NORDIN (@makeupbynadianordin)
DANDANAN RAMBUT ZARA ZYA : KAMILA (@kamilaabduljamil_)
PENATA GAYA TUDUNG : ERLIYANA AMIRA JOHAR (@erlmyra)
BUSANA : TERIMA KASIH GUZEL COUTURE (@guzelcouture) & STYLE ANNEXE (@styleannexe)

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI