Prihatin dengan impak COVID-19, kerajaan interim mengambil keputusan untuk memberi elaun khas kepada petugas di barisan hadapan. Mereka bukan sahaja berkorban masa dan tenaga, malahan turut berkorban nyawa dalam memerangi COVID-19.

Kerajaan akan memberi elaun khas sebanyak RM400 sebulan kepada doktor serta kakitangan perubatan sebagai tanda penghargaan kepada petugas awam barisan hadapan di dalam memerangi COVID-19.

Perdana Menteri Interim, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata elaun khas RM200 juga akan diberikan kepada petugas Imigresen dan kakitangan lain yang terbabit.

Selain itu, bayaran secara ‘one-off’ sebanyak RM600 akan diberikan kepada pemandu teksi, pemandu bas persiaran dan pemandu pelancong serta penarik beca yang berdaftar.

Bantuan elaun khas itu berkuatkuasa Februari 2020 hingga wabak ini berakhir.

“Sehingga ini, Kementerian Kesihatan telah membelanjakan sebanyak RM150 juta bagi pembelian peralatan, ubat dan barangan guna pakai dalam usaha pengawalan wabak COVID-19,” katanya.

IKLAN

Dr Mahathir berkata demikian dalam ucapan pakej rangsangan ekonomi 2020 bertema “Memperkukuh keyakinan, merangsang pertumbuhan, melindungi pekerjaan” di sini, sebentar tadi.

Menyediakan Peruntukan Mencukupi

Beliau berkata, melalui pakej rangsangan ekonomi itu kerajaan akan menyediakan peruntukan yang mencukupi bagi memastikan wabak COVID-19 dapat diuruskan dengan baik dan terkawal.

Katanya, kerajaan juga menggalakkan majikan supaya menambah pelaburan dalam meningkatkan produktiviti modal insan pada ketika aktiviti ekonomi perlahan.

Oleh itu, kerajaan akan menawarkan potongan berganda kepada perbelanjaan ke atas latihan bagi sektor pelancongan.

IKLAN

“Kerajaan juga akan menyediakan RM100 juta geran-padanan kepada Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF) untuk membiayai tambahan 40,000 pekerja daripada sektor pelancongan dan sektor lain yang terkesan,” katanya.

Pembiayaan Khusus

Kerajaan seterusnya kata Dr Mahathir, memperuntukkan RM50 juta untuk subsidi pembiayaan kursus jangka pendek dalam bidang digital dan berkemahiran tinggi.

Insentif ini dijangka memberi manfaat kepada 100,000 rakyat Malaysia. Pekerja yang terjejas boleh bergantung kepada Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) yang dananya kini berjumlah RM1.1 billion.

IKLAN

“Selain itu, SIP akan ditambah baik melalui kos latihan yang boleh dituntut ditingkatkan daripada RM4,000 kepada RM6,000. Sebagai tambahan, elaun latihan harian sebanyak RM30 sehari juga disediakan kepada pelatih,” katanya.

Sumber: Berita Harian Online

MW: Sekurang-kurangnya dengan adanya elaun khas ini, petugas barisan hadapan rasa dihargai atas jasa dan sumbangan yang diberikan walaupun pengorbanan mereka tidak ternilai dengan wang ringgit.

 

 

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI