
Menjadi kebiasaan setiap kali membeli telur kita akan mencucinya dan terus susun dalam ‘tray’ pada bahagian rak pintu peti sejuk agar telur dapat bertahan lebih lama. Sebenarnya cara penyimpanan ini adalah kurang tepat.
Kurangkan Nutrisi
Menurut kajian terbaru mendapati ada kesan risiko yang berbahaya jika telur disimpan di dalam peti sejuk. Dalam kajian yang dilakukan oleh Journal Food Of Protection, menyimpan telur di dalam peti sejuk dapat mengurangkan jumlah nutrisi di dalamnya.
Telur yang disimpan di tempat yang mempunyai suhu rendah boleh menghilangkan kandungan protein, enzim dan mineral di dalamnya. Jika semua nutrisi hilang, ianya tidak akan memberi apa-apa kebaikan kepada tubuh badan malah akan mendatangkan penyakit.
Hasil kajian ini juga turut mendapati bahawa telur yang disimpan di dalam peti sejuk lebih terdedah kepada jangkitan bakteria yang dikenali sebagai salmonella.
Simpan Telur Pada Suhu Normal
Salmonella adalah jenis bakteria yang boleh menyebabkan beberapa masalah penyakit berjangkit seperti masalah pencernaan. Seeloknya, telur itu hendaklah disimpan di tempat yang memiliki suhu normal, tidak terlalu sejuk ataupun panas.
Namun, jika ingin menyimpan telur di dalam peti sejuk, pastikan tidak menggunakan ‘tray’ telur di bahagian pintu peti sejuk tersebut.
Ini kerana telur memerlukan suhu yang stabil untuk menjadikan ia tahan lama. Menyimpan telur di rak pintu peti sejuk menyebabkan suhu akan terjejas dan tidak seimbang kerana ia sering dibuka dan ditutup.
Oleh itu, simpan telur di bahagian lain seperti di dalam laci peti sejuk supaya suhu sentiasa stabil untuk menjamin kualiti dan rasa telur apabila dimasak.
Sumber: Boldsky
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Tebus E-Tunai Rakyat RM30, Daftar & Belanjakan SEBELUM 14 Mac 2020

Zaman dunia digital sekarang, tak perlu risau jika tak bawa duit. Segalanya boleh di buat menerusi pembayaran secara elektronik dan digital. Berita baik, bermula esok, 15 Januari 2020 menerusi etunai rakyat sebanyak RM30 bakal diagihkan kepada 15 juta rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas dengan pendapatan kurang RM100,000 setahun.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, program e-Tunai Rakyat itu yang dilancarkan dengan dana keseluruhan RM450 juta akan disalurkan melalui tiga pengendali e-dompet terbesar di Malaysia iaitu Grab, Boost dan Touch ‘n Go. Menurutnya, RM30 itu boleh dibelanjakan untuk semua barangan dan perkhidmatan yang terdapat melalui platform pengendali yang terpilih.

Langkah Belanjawan 2020
“Program e-Tunai Rakyat ini adalah sebahagian daripada langkah-langkah Belanjawan 2020 yang diumumkan oleh Kementerian Kewangan pada 11 Oktober 2019.
“Inisiatif e-Tunai Rakyat ini dibentuk bagi meluaskan lagi penggunaan pembayaran digital di kalangan pengguna dan peniaga, terutamanya di sektor runcit. Oleh itu, Kementerian Kewangan menggalakkan semua peniaga untuk berdaftar dengan satu atau semua pengendali e-dompet yang terlibat supaya mereka mendapat manfaat daripada inisiatif e-Tunai Rakyat sebelum 14 Mac 2020,” katanya.
Tarikh Luput 14 Mac
Selain itu, Guan Eng menjelaskan inisiatif e-Tunai Rakyat ini adalah komitmen kerajaan bagi memenuhi agenda Kemakmuran Bersama dengan mengurangkan halangan ke arah digitalisasi dan meningkatkan keterangkuman kewangan.
“Program e-Tunai Rakyat ini adalah sebahagian daripada langkah-langkah Belanjawan 2020 yang diumumkan oleh Kementerian Kewangan pada 11 Oktober 2019.
“Bagi memastikan supaya inisiatif ini akan mempercepatkan proses digitalisasi, wang RM30 tersebut perlu dibelanjakan oleh penerima bermula pada 15 Januari 2020 sehingga 14 Mac 2020. Baki yang tidak dibelanjakan akan luput selepas 14 Mac 2020.
“Khazanah Nasional Berhad merupakan pelaksana program e-Tunai Rakyat ini. Ketiga-tiga pengendali e-dompet telah dipilih berdasarkan kepada kemampuan mereka untuk memastikan supaya inisiatif ini dapat dilaksanakan dengan cepat dan berkesan selewat-lewat pada bulan Januari 2020,” katanya.
Info Ekstra!

Sebelum itu, pastikan sudah memiliki akaun dompet digital tersebut. Caranya hanya perlu download, daftar dan buat pengesahan IC untuk menggunakannya.
Boost – Android, iOS
Grab – Android, iOS
Touch ‘n Go eWallet – Android, iOS
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat. Walaupun jumlahnya tak besar mana, rebutlah peluang Inisiatif e-Tunai Rakyat ini. Segera ‘Install’ aplikasi e-dompet Grab, Boost dan Touch ‘n Go dan e-Tunai RM30 tersebut boleh dibelanjakan dalam masa dua bulan sebelum 14 Mac 2020.
Sumber: Sinar Harian
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
“Jujurnya Saya Paling Takut Lelaki, Takdir Menentukan Akhirnya 5 Kali Berkahwin,” Mak Mah

“Jujurnya Saya Paling Takut Lelaki, Takdir Menentukan Akhirnya 5 Kali Berkahwin,” Mak Mah. Ketentuan jodoh dalam kehidupan semuanya takdir yang telah ditentukan tuhan. Siapa sangka diri yang takut lelaki pada mulanya, akhirnya pernah ditakdirkan bertemu jodoh dengan lima orang lelaki.
Pernah Berkahwin Sebanyak 5 Kali
Pelakon veteran, Ruminah Sidek, 77, mendedahkan dirinya seorang gadis yang takut kepada lelaki, tetapi kini mencipta sejarah apabila berkahwin sebanyak lima kali.
Ruminah atau lebih mesra dengan panggilan Mak Mah Kata berkata, dia sudah melalui banyak masam manis dan bersyukur berjaya membesarkan enam anak-anaknya dengan baik sepanjang lima kali perkahwinan.
“Jujurnya, saya paling takut dengan lelaki, tetapi takdir menentukan, saya akhirnya lima kali berkahwin. Mulanya, saya kenal dengan askar, orang tegap dan tinggi.
“Tetapi, pada awal perkenalan askar itu mahu mencium saya, terus tak jadi mahu berkahwin kerana takut. Namun, banyak pula saya berkahwin selepas itu.
“Saya pernah kematian suami sebanyak tiga kali dan hasil perkahwinan itu, saya memiliki seorang anak perempuan dan lima lelaki. Dan saya memiliki 40 anak tiri,” katanya.

Jaga Hubungan Dengan Allah
Berkongsi pandangan soal perkahwinan, Mak Mah mengakui, sebagai isteri dan wanita, seseorang perlu sentiasa menjaga hubungannya dengan Allah.
“Kita menjadi wanita, tak kira wajah kamu bagaimana diberikan oleh Allah, jangan kamu jadikan apa yang Allah kurniakan itu untuk kamu melonjak di dunia yang sementara.
“Kita mempunyai ‘jeneral’ di atas sana, yang menetapkan takdir hidup, jadi apa-apa pun jangan lupa pada ‘jeneral’ kita.
“Saya tahu ada yang merungut soal dugaan, tetapi kita kena nilai diri sendiri, solat bagaimana. Zikir dan selawat yang disuruh itu bagaimana amalannya? Kalau kita sendiri tak tahu mengenai Allah, bagaimana Allah nak tahu mengenai kita.
“Saya cakap bukannya bermaksud menunjuk saya hebat. Apa yang saya nasihatkan ini untuk kebaikan bersama. Solat perlu dijaga dan bila kita buat apa yang diperintahkan Allah, saya percaya kita akan selamat,” katanya yang ditemui pada sidang media dan pelancaran filem Didi & Friends The Movie di Panggung Asia, Gombak, baru-baru ini.

Lalui Ujian Dengan Hati Terbuka
Dan sekiranya diuji dengan perceraian atau kehadiran insan ketiga dalam perkahwinan, Mak Mah berkata, lalui setiap apa yang ditakdirkan oleh Allah dengan hati yang terbuka.
“Kita jalani sahaja laluan hidup yang ditakdirkan Allah. Andai kata sudah buat yang terbaik, tetapi ia tetap berlaku (perceraian), itu namanya takdir.
“Jangan bila Allah uji dengan kehadiran orang ketiga dalam hidup, kita terus memberontak, jangan. Buang perasaan jika kita rasa tidak berguna dan sebagainya, itu salah.
“Kita kena terima kerana ini ujiannya kerana Allah nak bagi markah. Jangan tamak sebab setiap orang ada bahagiannya sendiri.
“Itu sebabnya ada perkataan reda dan rela. Kita kena yakin dengan Allah, jadi reda. Kalau sesat di tengah jalan, kita kembali kepada Allah,” katanya.
Mak Mah berkata, jangan sesekali menyalahkan lelaki kerana dia juga dijadikan oleh Allah.
“Bukan dia minta dilahirkan sebegitu kerana dunia ini memang dicipta untuk berlakunya semua itu.
“Jadi, pesanan saya apabila bersuami, kita kena sayang, suka, hormat dan puji dia. Terima dia seadanya,” katanya.
Mesti Baca:Pelakon Emelda Rosmila Kongsi 3 Resipi Smoothies Sedap, Pekat & Creamy, Tak Tinggi Kalori
Baca Lagi Di Sini:Emelda Jual Pulut Nenek Kebayan “Bila Order Banyak, Puji Sedap, Penat Pun Hilang”
Artikel Menarik:‘Kalau Penat Dia Akan Senyap’ Luahan Hati Emelda Rosemila, Simpati & Bangga Dengan Suami
Mingguan Wanita: Semoga diberikan kesihatan yang baik buat Mak Mah. Terima kasih berkongsi pelbagai nasihat untuk dijadikan panduan dalam kehidupan.
Sumber: Bharian
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
“Mama Dah Meninggal Ye, Bila Mama Nak Bangun?”

Sesungguhnya mati itu PASTI. Bila, di mana dan bagaimana cara kematian kita adalah rahsia Allah SWT. Tragedi kemalangan maut melibatkan 6 kenderaan awal pagi semalam cukup meruntun hati. Yang paling terkesan pastinya, anak-anak yang masih kecil belum ‘faham’ maksud kematian serta waris mangsa kemalangan yang terlibat.
“Mama dah meninggal yer, bila mama nak bangun?” kata Syurafa’ Muhamad Hisyam, 2, selepas mendengar berulang kali perkataan meninggal dunia apabila keluarganya terbabit kemalangan di Kilometer 294.4 Lebuhraya Utara Selatan arah utara dekat Gopeng, Perak, semalam.
Dalam kejadian 7.10 pagi itu, kereta Proton Perdana dinaiki mereka sekeluarga merempuh belakang Honda Civic yang berhenti kerana terdapat kemalangan di hadapan.
Ibu & Kakak Meninggal
Rempuhan itu menyebabkan ibunya, Ummu Maisarah Kamaludin, 33, yang duduk di bahagian penumpang belakang maut di lokasi kejadian manakala kakaknya, Syaima’ Muhamad Hisyam, 5, yang duduk bahagian penumpang depan disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh, Perak.
Adik ipar kepada arwah Ummu Maisarah, Muhammad Hatem Zakaria, 28, berkata, ketika kejadian abangnya, Muhamad Hisyam Zakaria, 35, bersama isteri (Ummu Maisarah) dan tiga anak perempuan mereka iaitu Syifa’, 9; Syaima’ dan Syurafa’ dalam perjalanan dari Petaling Jaya menuju Pendang, Kedah untuk menghadiri kenduri aqiqah sepupu selain bercuti.
Menurutnya, mereka sekeluarga keluar rumah pada 4 pagi sebelum terbabit dalam kemalangan berkenaan.
“Saya mengetahui kejadian itu selepas abang (Muhamad Hisyam) menghubungi ayah memaklumkan kejadian sebelum kami bergegas ke Perak.
“Jenazah kakak ipar (Ummu Maisarah) dan anak buah (Syaima’) selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Bandar Tasik Puteri, Rawang pada 8 malam tadi,” katanya.
Merengek Cari Arwah Ibu & Kakak
Muhammad Hatem berkata, buat masa ini, Syifa’ seperti mengerti mama dan adiknya itu sudah tiada berbanding Syurafa’.
“Selepas dia mendengar perkataan meninggal dan melihat mama dan kakaknya itu dikebumikan, dia tertanya-tanya bila mereka akan bangun selain asyik menyebut nama mereka.
“Malam tadi pun, dia sukar tidur dan sering mencari mamanya walaupun kami cuba menarik perhatian dengan mengajak dia main bersama sepupunya yang lain.
“Selain itu, abang (Muhamad Hisyam) masih fobia untuk memandu kereta,” katanya.
Semalam, kemalangan membabitkan treler Hino, Perodua Myvi, lori yang belum dikenal pasti, Volkswagen Passat, Honda Civic dan Proton Perdana dengan keseluruhan 10 mangsa termasuk dua cedera dan dua maut.
Ketua Polis Daerah Kampar Superintendan Hasron Nazri Hashim berkata, siasatan awal mendapati treler dari arah Kuala Lumpur menghala ke Ipoh itu dipercayai dilanggar dari belakang oleh Perodua Myvi menyebabkan kereta itu berpusing dan berhenti di lorong kanan sebelum sebuah lori tidak dapat dipastikan memperlahankan kenderaan.
“Volkswagen Passat di belakang lori itu memperlahankan kenderaan serta menyalakan lampu kecemasan, diikuti Honda Civic namun Proton Perdana dinaiki mereka sekeluarga gagal mengelak lalu melanggar belakang Honda Civic.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
MW: Ajal menjemput tak kira masa dan peringkat usia. Paling terkesan pasti anak-anak yang masih kecil, rasa kehilangan dan masih mengharap kasih sayang daripada insan tersayang. Salam takziah buat keluarga mangsa, semoga roh kedua-dua mereka ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman. Al-Fatihah.
Sumber: Hmetro
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!

