Susu segar boleh dikatakan keperluan barangan dapur di setiap rumah. Kebiasannya susu mempunyai label tarikh luput, untuk memastikan ia masih elok diminum dan tak basi mahupun rosak ketika dibeli.
Namun siapa sangka keputusan rangkaian pasar raya popular Britain, Morrisons mengumumkan akan memadamkan label tarikh luput pada sebahagian besar produk minuman susunya menjelang hujung bulan ini, lapor akhbar Metro UK, kelmarin.
Teknik Hidu, Elak Pembaziran
Bagi menggantikan label tersebut, pihak pengurusan akan menggunakan teknik tradisional iaitu dengan menghidu dan ia akan dilakukan oleh pelanggan itu sendiri.
Pelaksanaan ‘ujian menghidu susu masam’ itu dibuat bagi mengelakkan pembaziran sehingga empat juta liter susu setiap bulan kerana mematuhi label tarikh luput sedia ada.
Ads
Pengguna Tentukan Keadaan Susu
Menurut badan kebajikan Program Tindakan Sisa dan Sumber (WRAP), susu ialah produk makanan atau minuman ketiga paling banyak terbuang di Britain
“Kaedah ini adalah yang terbaik kerana ia memberi kebebasan kepada pengguna untuk menentukan sama ada susu itu masih elok atau tidak.
“Tiada apa yang pelik, orang zaman dahulu juga menggunakan teknik hidu ini untuk menentukan sama ada susu masih boleh diminum atau tidak,” kata salah seorang pembeli susu tetap di Morrisons, Ian Goode.
Mingguan Wanita:Susah juga apabila tiada label tarikh luput bila beli susu ni. Apatah lagi, kena guna teknik hidu pula dan agak-agak sendiri keadaan susu masih elok atau sebaliknya.
Selepas lebih 30 jam ghaib, syukur remaja hilang dalam semak selamat ditemui. Mujur tiada perkara yang buruk menimpa remaja ini kerana tempoh 30 jam bukan satu tempoh yang singkat.
Tentu saja ahli keluarga remaja ini bersyukur tidak terhingga apabila anak yang dicari ditemui selamat. Alhamdulillah.
Seorang remaja lelaki yang dipercayai ‘ghaib’ selepas membuang air kecil dalam semak berhampiran rumahnya di Kampung Pasir Linggi ditemui selamat petang tadi selepas lebih 30 jam hilang.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, Muhammad Iznun Al Azim Mahadi, 13, ditemui pada pukul 5.30 petang dalam keadaan lemah kira-kira dua kilometer dari rumahnya.
Katanya, penduduk kampung menemui mangsa berhampiran sebuah jambatan di kampung itu selepas usaha mencari dilakukan pagi tadi.
“Mangsa ditemui lengkap memakai baju kemeja-t lengan pendek berwarna merah berlogo Mickey Mouse dan berseluar pendek warna hitam.
“Mangsa sudah diserahkan kepada ahli keluarga. Selain itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa terus ditamatkan,” katanya.
Kosmo! Online hari ini melaporkan, seorang remaja lelaki tingkatan satu dilaporkan hilang selepas membuang air kecil di sebalik kawasan semak berhampiran rumahnya di Kampung Pasir Linggi di sini kelmarin.
Choon Foo berkata, mangsa, merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Laloh, Kuala Krai dipercayai keluar dari rumah kira-kira pukul 9 malam sebelum ibunya menyedari remaja itu tidak pulang kira-kira pukul 3 pagi semalam.
Katanya, sebelum itu mangsa dikatakan melepak bersama dua rakan baiknya di hadapan rumah sambil bermain telefon bimbit.
Mingguan Wanita : Remaja ini ditemui kebingungan selepas lebih 30 jam hilang. Entah ke manalah dia menghilang.
“Badan tidak kotor, kurang bersenam.” Wanita ini memilih untuk mandi tiga kali seminggu kerana badannya tidak begitu kotor kerana aktiviti hariannya yang terhad.
Namun tabiat wanita yang hanya mandi tiga kali seminggu ini mendapat perdebatan hebat apabila rata rata netizen berpandangan badan tetap berbau biarpun tidak kotor.
Seorang wanita yang mengaku mandi hanya tiga kali seminggu telah mencetuskan perdebatan dalam kalangan pengguna media sosial, lapor akhbar Daily Mail semalam.
Wanita itu menghadiri forum keibubapaan Britain, Mumsnet untuk menjelaskan bahawa dia hanya mandi pada dua hari bekerja dan satu hari lagi ketika hujung minggu.
Perkara tersebut mendapat rungutan daripada seorang rakannya kerana dia mempunyai seorang bayi.
Dia tidak kisah berkenaan perkara tersebut walaupun mempunyai dua anak lain yang sudah besar.
Menerusi perkongsiannya, kegiatannya setiap hari tidak memerlukan senaman yang berat dan hanya akan mandi sekiranya pergi ke gimnasium atau berbadan kotor.
Pengulas-pengulas di forum tersebut turut berbeza pendapat mengenai tindakan wanita itu dengan ada yang mendakwa bahawa mereka boleh menghidu bau hapak daripada orang yang tidak mandi setiap hari.
“Saya bekerja secara sambilan. Rutin harian saya adalah bermain di rumah, membawa anjing berjalan-jalan, menghantar anak ke sekolah dan mungkin ke taman.
“Saya mandikan anak saya tiga kali seminggu. Pasangan saya bersenam setiap minggu jadi dia lebih kerap mandi daripada saya,’’ jelas wanita itu. – Agensi
Mingguan Wanita : Mujurlah kejadian ini berlaku di luar negara, kalau di Malaysia mungkin wanita ini tidak mampu bertahan dengan cuaca di negara ini.
Air mata mengalir fikirkan mangsa banjir, bantu bina hidup. Pengacara nombor satu tanah air Datuk Aznil Haji Nawawi atau lebih mesra dengan sapaan Pak Nil akui begitu sebak melihat kesengsaraan yang dihadapi mangsa banjir.
Malah akuinya, tidurnya tak nyenyak sejak kebelakangan ini memikirkan nasib mangsa yang ditimpa musibah banjir khususnya.
Golongan selebriti antara mereka yang rancak membantu dalam bantuan misi kemanusiaan ini. Usaha murni mereka ini sememangnya boleh dijadikan contoh.
Malah Pak Nil sendiri telah menjalankan kerja mengumpul golongan sukarelawan bagi membantu masyarakat di Bukit Canggang, Banting, Selangor membina semula hidup baru dan menyalurkan bantuan, tercetus idea mewujudkan Kedai Percuma Pak Nil.
Menurut Pak Nil kedai percuma yang ditempatkan di sebuah kawasan di situ ditubuhkan pada 30 Disember lalu.
“Ia cetusan usaha pemberian bantuan kepada mangsa banjir tempoh hari di situ.
“Saya sebelum ke sana sebenarnya turut dihubungi oleh salah seorang pengikut Instagram berkongsi sisi ceritanya mengenai kemusnahan daerah itu akibat banjir.
“Malah ketika menjejaki kawasan itu, saya lihat ramai penduduk yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) tinggal sehelai sepinggang,” katanya.
Tambah Pak Nil lagi kawasan terbabit seakan terpinggir daripada pandangan ramai. Selain itu bantuan orang ramai dan badan bukan kerajaan (NGO) pun kurang.
“Lalu, bermula dengan hanya makanan yang dimasak penduduk kampung secara rewang bermodalkan wang sumbangan yang saya kutip di kalangan pengikut media sosial saya.
“Ketika itu dalam sehari kami berjaya menyediakan hampir 1000 bungkusan makanan kepada mangsa banjir. Malah selepas banjir surut, mulalah mereka bergerak pulang dari PPS ke rumah masing masing.
“Ketika itu saya tinjau dan amati, kesemua mereka terpaksa mengumpul barang semula dan membaik pulih rumah mereka. Bahkan barang keperluan asas mereka tiada langsung.
“Daripada situ saya fikir kenapa tidak diwujudkan kedai percuma berkenaan,” ungkapnya.
Pak Nil juga menyatakan ada beberapa syarikat yang pernah bekerjasama dengannya juga turut menghulurkan sumbangan.
“Timbul idea juga untuk mengumpul belian barang asas ini menerusi duit sumbangan orang ramai.
“Saya beli sendiri barangan itu menggunakan duit sumbangan diberikan.
“Ia kemudiannya diletakkan di sebuah kedai di kawasan berkenaan yang diberi nama Kedai Percuma Paknil.
“Kedai ini mengalu-alukan barangan keperluan yang boleh dihantar terus ke sana atau menyalurkan duit sumbangan ke akaun saya.
“Jadi saya boleh terus tambah barangan keperluan itu. Bagi yang mahu menyumbang boleh ke akaun Instagram @aznilnawawihm untuk menyemak butiran lanjut atau ‘bank in’ ke 564735801178.
“Kedai ini akan berterusan beroperasi jika terus menerima sumbangan orang ramai atau pertubuhan kerajaan mahupun swasta.
“Subhanallah… rakyat Malaysia sesungguhnya masyarakat yang pemurah. Hari pertama saya umum pembukaan tabung khas membantu mangsa banjir Bukit Canggang, sambutan yang diterima sungguh luar biasa.
“Menangis saya melihat keprihatinan rakyat Malaysia. Dana yang disalurkan itu saya agihkan kepada wakil saya di sana.
“Walaupun, tidak banyak yang diterima setiap mangsa, namun, sekurang-kurangnya mereka di sana tahu bahawa seluruh negara turut sama bersedih dengan nasib mereka dan mahu berkongsi rezeki.
“Itulah yang menjadi motivasi buat saya untuk meneruskan kerja kemanusiaan ini.
“Niat dan matlamat saya adalah untuk meringankan beban mangsa banjir. Bahkan, ini juga masa terbaik untuk kita seluruh rakyat Malaysia menunjukkan solidariti dengan mengenepikan perbezaan ideologi politik, batas agama, bangsa dan latar belakang.
“Hari ini, hari mereka… siapa tahu esok lusa hari kita pula?” kata Aznil yang juga pengasas Yayasan Pesona.
Mingguan Wanita : Sungguh mulia hati Pak Nil, MW pun terharu dengan sokongan rakyat Malaysia yang begitu pemurah dalam menghulurkan sumbangan kepada mereka yang menjadi mangsa banjir.
Tular video memaparkan Mona Allen dan Pekin Ibrahim memakai topi Santa serta bertukar hadiah mencetuskan dakwaan sambutan Krismas dan perdebatan hangat netizen.