Duit raya jangan biar ada riba, jadi duit haram. Berhati-hati! Aktiviti menukar wang kertas untuk dijadikan duit raya mungkin mengandungi unsur riba tanpa disedari.
Duit Raya Jangan Biar Ada Riba, Jadi Duit Haram
Meskipun menukar not kertas untuk duit raya menjadi amalan biasa, terdapat situasi tertentu yang boleh membawa kepada riba jika tidak dilakukan dengan betul.
Ketua Pegawai Eksekutif Lariba Consulting, Abd Aziz Mohd Nor, atau lebih dikenali sebagai Ustaz Lariba, menjelaskan bahawa menukar duit raya merujuk kepada penyerahan sejumlah wang lama, seperti RM500, dan menerima jumlah yang sama dalam bentuk wang baharu dengan pecahan tertentu seperti RM5, RM10, atau RM20. Proses ini tertakluk kepada hukum al-sarf dalam Islam.
“Penukaran wang raya perlu memenuhi dua syarat utama, iaitu penyerahan wang lama dan wang baharu mesti berlaku dalam satu sesi tanpa sebarang penangguhan. Jika terdapat kelewatan dalam serahan, ini dikategorikan sebagai Riba al-Nasi’ah.
“Selain itu, pertukaran tersebut mesti dilakukan dengan jumlah yang sama tanpa sebarang lebihan. Jika terdapat lebihan dalam pertukaran, maka ia dianggap sebagai Riba al-Fadl.
“Oleh itu, sekiranya terdapat unsur riba al-Nasi’ah atau riba al-Fadl dalam pertukaran duit raya, maka ia menjadi haram,” jelasnya dalam satu hantaran di Facebook.
Beliau turut berkongsi beberapa keadaan yang boleh menyebabkan pertukaran duit raya mengandungi unsur riba.
Ads
“Sebagai contoh, individu A ingin menukar RM1,000 dengan individu B yang dikenali kerana memiliki banyak wang baharu. Individu A menyerahkan wangnya hari ini, tetapi individu B hanya memberikan wang baharu keesokan harinya.
“Situasi ini haram kerana melibatkan riba al-Nasi’ah akibat penangguhan dalam serahan wang,” katanya.
Beliau turut menjelaskan satu lagi senario di mana individu A ingin menukar RM1,000 dengan individu B, tetapi individu B mengenakan caj tambahan sebanyak RM10.
Ads
“Individu A akhirnya memberikan RM1,010 dan menerima RM1,000 dalam wang baharu. Ini juga haram kerana berlaku riba al-Fadl akibat pertukaran jumlah yang tidak sama,” tambahnya.
Dalam situasi lain, Farid ingin menukar RM1,000 dengan Bank XYZ melalui rakannya, Ahmad, yang bekerja di bank tersebut.
Ads
“Farid menyerahkan wang kepada Ahmad sebelum Ahnad memulakan tugas. Ahmad kemudian menukarkan wang tersebut di kaunter bank dan menyerahkannya kembali kepada Farid pada waktu petang.
“Dalam kes ini, pertukaran wang raya adalah harus kerana ia berlaku secara tunai di kaunter bank tanpa sebarang lebihan atau penangguhan. Ketika Farid menyerahkan wang kepada Ahmad, ia dilakukan sebagai akad wakalah (akad perwakilan), bukan atas kapasiti Ahmad sebagai pegawai bank,” jelasnya.
Ustaz Lariba menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati dalam urusan pertukaran duit raya untuk mengelakkan terjerumus dalam dosa besar riba, yang dianggap sebagai satu bentuk peperangan dengan Allah SWT dan Rasul-Nya.
Hukum isteri perlekehkan keperluan batin suami. Dalam Islam, hubungan suami isteri dibina atas asas kasih sayang, hormat-menghormati, dan saling memenuhi hak serta tanggungjawab masing-masing.
Keperluan batin (hubungan intim) adalah salah satu hak suami isteri yang wajib dipenuhi selagi tiada keuzuran syarie. Jika seorang isteri sengaja menolak atau memperlekehkan keperluan batin suami tanpa alasan yang syarie (seperti sakit, uzur syarie, atau keletihan melampau), ia boleh dikira sebagai nusyuz (derhaka) kepada suami.
Kisah Iman dan Cam dalam drama “Keluarga Itu” memang banyak kita temui dalam realiti kehidupan.
Islam menyuruh agar isteri sentiasa taat dan patuh pada arahan suami, menolongnya, dan membantunya selagi mana tidak disuruh berbuat maksiat kepada Allah SWT. Para suami diarahkan Allah SWT untuk bermu’asyarah (bergaul) dengan baik terhadap isteri seperti mana firman-Nya:
وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ
Maksudnya: “Dan bergaulah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik.” Surah al-Nisa’, (4:19)
Begitu juga bagi para wanita, Allah mengarahkan mereka bertanggungjawab ke atas keperluan suami mereka:
Maksudnya: “Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya (dan tidak dilarang oleh syarak);” Surah al-Baqarah, (2:228)
Bahkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA , Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Jika seorang lelaki mengajak isterinya ke perbaringan (melakukan hubungan suami isteri) lalu isterinya itu enggan sehingga suami itu berasa marah kepadanya, malaikat akan melaknati wanita itu sehingga subuh.” Hadis riwayat Imam al-Bukhari (3237)
Kerasnya ancaman ini menunjukkan betapa pentingnya peranan isteri dalam membantu suami dalam menguruskan naluri seksualnya dan agar tidak terjebak dengan kerosakan akhlak yang tidak diingini seperti zina dan lainnya. Ini juga bererti dalam menunaikan keperluan suami itu dikira ibadah yang diberikan ganjaran oleh Allah SWT.
Justeru, adalah tidak wajar seseorang isteri memperlekehkan keperluan seksual suami, ataupun keperluan lain, tanpa alasan yang kukuh seperti mudarat, kerana itu ialah suatu bentuk maksiat dalam agama dan kezaliman antara sesama manusia.
Hukum solat di atas sejadah yang empuk. Sejadah merupakan elemen penting dalam kehidupan seorang Muslim kerana ia digunakan setiap kali menunaikan solat. Sejadah yang empuk bukan sahaja memberikan keselesaan kepada pengguna, tetapi juga membantu meningkatkan kekhusyukan dalam ibadah.
Dalam pasaran hari ini terdapat pelbagai jenis sejadah. Antaranya, ada yang sangat empuk dan lembut sehingga tenggelam dahi apabila sujud. Sesetengah orang berpendapat bahawa ia menambahkan lagi kekhusyukan dalam solat.
Ada pula yang berpendapat tidak sah kerana tidak tetap dahi. Sebenarnya bolehkah dan sahkah solat di atas sejadah yang empuk dan lembut?
Hukum meletakkan alas hamparan di atas tempat sujud seperti kain, tikar atau sejadah adalah harus dan dibolehkan. Ini kerana ia dilakukan sendiri oleh Rasulullah SAW seperti dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Sa’id al-Khudri RA bahawa:
عن أبي سعيد الخدري : أنَّه دَخَلَ على النبيِّ صَلّى اللَّهُ عليه وسلَّمَ قالَ: فَرَأَيْتُهُ يُصَلِّي على حَصِيرٍ يَسْجُدُ عليه
Maksudnya: Diriwayatkan daripada Abu Sa’id al-Khudri RA, bahawa beliau masuk untuk menemui Nabi SAW dan beliau berkata: “Aku melihat Baginda SAW sedang mendirikan solat di atas hamparan yang dia sujud di atasnya.” Hadis riwayat Muslim: (519)
Begitu juga, dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah RAnha bahawa beliau berkata:
Maksudnya: Pada suatu hari, aku tidur di sisi Rasulullah SAW dan kedua-dua kakiku menghala ke arah kiblat. Apabila Baginda SAW ingin sujud, dia memberi isyarat kepada-ku dan aku mendakap kedua-dua kaki-ku. Apabila Baginda SAW berdiri, maka aku melepaskan kedua-dua kaki-ku. Hadis riwayat al-Bukhari: (382)
Imam al-Bukhari meletakkan hadis di atas pada bab menyatakan tentang solat Nabi SAW di atas tikar (الصلاة على الحصير) . Ibn Rajab al-Hambali dalam mensyarahkan hadis ini berkata:
هذا يدل على أنه كان يسجد على طرف الفراش الذي كانت نائمة عليه ، وكانت رجلاها عليه
Maksudnya: Hadis ini menunjukkan bahawa Baginda SAW sujud di hujung katil (tikar) yang Saidatina Aisyah RAnha tidur di atasnya dan kedua-dua kakinya turut berada di atas tikar itu. (Rujuk Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, 3:27)
Namun begitu, secara asasnya Rasulullah SAW telah menetapkan tujuh anggota perlu disentuhkan di atas tempat sujud ketika sujud iaitu dahi, kedua-dua tapak tangan, kedua-dua lutut dan kedua-dua tapak jari kaki.
Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn ‘Abbas, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
أُمِرْتُ أنْ أسْجُدَ على سَبْعَةِ أعْظُمٍ على الجَبْهَةِ، وأَشارَ بيَدِهِ على أنْفِهِ واليَدَيْنِ والرُّكْبَتَيْنِ، وأَطْرافِ القَدَمَيْنِ
Maksudnya: Aku diperintahkan sujud dengan tujuh tulang anggota, iaitu dahi (sambil Baginda SAW mengisyaratkan tangganya ke bahagian atas hidung), kedua-dua tapak tangan, kedua-dua lutut dan hujung kedua-dua belah kaki. Hadis riwayat al-Bukhari (812) dan Muslim (490)
Hal ini juga seperti yang disebutkan di dalam kitab-kitab fiqh al-Syafie, antaranya Syeikh Hasan al-Kaff dengan berkata bahawa:
أَن يَسْجُدَ عَلَى سَبْعَةِ أَعْضاءٍ : الجبهة و بطون اليدين و الركبتين و و بطون أصابع الرجلين
Maksudnya: Hendaklah seseorang itu sujud di atas tujuh anggota iaitu: dahi, kedua-dua tapak tangan, kedua-dua lutut dan kedua-dua tapak jari kaki. (Rujuk al-Taqrirat al-Sadidah fi al-Masail al-Mufidah: 221)
Justeru itu, daripada syarat sujud di atas, maka dahi mestilah diletakkan dan ditempelkan di atas tempat sujud, tidak kira sama ada seseorang itu sujud di atas tanah atau di atas alas seperti tikar, sejadah atau tilam.
Selain itu, disyaratkan juga ketika sujud untuk menekan dan memberatkan kepalanya sehingga tetap dan berjejak dahinya pada tempat sujud.
Syeikh Hasan al-Kaff menyebutkan perkara ini bahawa:
Maksudnya: Disyaratkan untuk menekan kepalanya (pada tempat sujud sehingga tetap dahi), iaitu pada kadar jika sekiranya dia sujud di atas kapas, maka ia melekat. (Rujuk al-Taqrirat al-Sadidah fi al-Masail al-Mufidah: 221)
Perhatikan kepada ketebalan sejadah tersebut, sama ada ia boleh untuk tetap dan berjejak dahinya ketika sujud ataupun tidak. Sekiranya ketebalan dan kelembutan sejadah tersebut menyebabkan dahi tidak tetap dan tidak boleh ditekan, seolah-olah berada dalam keadaan terapung kerana terlalu lembut, maka tidak sah sujudnya.
Kesimpulannya hukum sujud di atas sejadah yang empuk dan lembut adalah sah dan dibolehkan jika sekiranya apabila ditekan dahi padanya, maka dahi itu tetap dan berjejak pada tempat sujud tersebut.
Syarat sah sujud adalah meletakkan tujuh anggota iaitu iaitu dahi, kedua-dua tapak tangan, kedua-dua lutut dan kedua-dua tapak jari kaki pada tempat sujud. Selain itu disyaratkan juga, untuk menekan dan memberatkan kepalanya sehingga tetap dan berjejak dahinya pada tempat sujud.
Oleh itu, jika sekiranya sejadah tersebut terlalu empuk dan lembut sehingga tidak menjadikan dahi seseorang tetap dan berjejak pada tempat sujud dan dirasakan seolah-olah terapung, maka tidak sah sujudnya di atas sejadah seperti itu.
Akhir sekali, ketahuilah bahawa sujud merupakan keadaan paling dekat seseorang hamba dengan Allah SWT dan Baginda SAW menganjurkan supaya memperbanyakkan doa pada ketika tersebut.
Rasulullah SAW bersabda:
أَقْرَبُ ما يَكونُ العَبْدُ مِن رَبِّهِ، وهو ساجِدٌ، فأكْثِرُوا الدُّعاءَ
Maksudnya: Keadaan yang paling hampir seseorang itu kepada Tuhan-nya adalah ketika dia sedang sujud. Oleh itu, perbanyakkanlah doa ketika sujud. Hadis riwayat Muslim: (482)
Justeru itu, marilah sama-sama kita mengambil peluang untuk berdoa sebanyak-banyaknya ketika kita tunduk bersujud kepada Allah SWT dan janganlah terlalu cepat mengangkat kepala kita untuk bergegas kepada hal-hal keduniaan.
Semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman yang sahih dalam memahami syariat-Nya serta taufiq dan hidayah untuk melaksanakan ibadah ikhlas semata-mata kerana-Nya.
Duit raya, adakah nafkah wajib suami kepada isteri. Hari Raya Aidilfitri bukan sahaja tentang pakaian baru, juadah enak, dan kunjungan sanak saudara tetapi juga merupakan peluang untuk menyemai kasih sayang dalam rumah tangga.
Salah satu amalan yang semakin popular ialah pemberian duit raya daripada suami kepada isteri. Ia seakan menjadi satu amalan setiap kali hari raya. Namun apakah sebenarnya hukum suami memberi duit raya kepada suami?
Dalam Islam, suami wajib memberi nafkah kepada isteri – makanan, pakaian, tempat tinggal dan keperluan asas. Namun, duit raya tidak termasuk dalam kategori wajib tersebut. Ia adalah pemberian sunat, yakni hadiah atau sedekah yang dilakukan atas dasar kasih sayang.
Walaupun bukan satu kewajipan, amalan ini sangat digalakkan, kerana ia boleh menggembirakan hati isteri, menzahirkan penghargaan, dan mengeratkan lagi hubungan suami isteri.
Satu prinsip yang penting dalam pemberian nafkah ialah nafkah harus diberikan mengikut kemampuan suami. Sesungguhnya, Islam tidak mewajibkan suami menyediakan lebih daripada yang mampu, namun suami perlu berusaha sedaya upaya untuk menunaikan tanggungjawab tersebut dengan adil. Jika suami mampu memberikan lebih daripada keperluan asas, ini sebenarnya merupakan satu kebaikan dalam kehidupan keluarga.
Selain itu, menurut Seksyen 72, Kewajipan menanggung nafkah anak dalam Akta 303 – Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984, ‘… adalah menjadi kewajipan seorang lelaki menanggung nafkah anaknya, sama ada anak itu berada dalam jagaanya atau dalam jagaan seseorang lain, sama ada dengan mengadakan bagi mereka tempat tinggal, pakaian, makanan, perubatan, dan pelajaran sebagaimana yang munasabah memandang kepada kemampuan dan taraf kehidupannya atau dengan membayar kosnya.”
Nafkah yang wajib diberikan oleh seorang suami kepada isteri dalam perkahwinan adalah keperluan asas seperti makanan, pakaian, tempat tinggal, dan kebersihan diri. Pemberian wang tunai atau “duit raya” bukanlah satu kewajipan dalam nafkah suami kepada isteri, melainkan hanya pemberian tambahan berdasarkan kemampuan dan kebaikan suami.
Nafkah yang diberikan hendaklah mengikut kemampuan suami, dan tidak melebihi keperluan asas yang diwajibkan oleh agama. Prinsip keadilan dalam pemberian nafkah adalah penting, dan suami hanya diwajibkan memberikan yang mampu tanpa membebankan diri sendiri.
Aidilfitri adalah hari kemenangan dan kegembiraan. Islam menggalakkan kita untuk membahagiakan orang lain, terutama ahli keluarga. Memberi duit raya kepada isteri bukan hanya soal wang, tetapi simbol perhatian dan kasih yang tidak terucap dengan kata-kata.
Bayangkan senyuman isteri apabila menerima sampul kecil berisi duit raya dari suami, beserta ucapan manis atau doa penuh makna – ia boleh menjadi kenangan terindah dalam hidup berumah tangga.
Tak perlu jumlah besar – RM10, RM50 atau RM100 pun sudah cukup, asalkan disertakan dengan niat ikhlas. Yang penting adalah makna di sebalik pemberian, bukan nilainya.
Sabda Rasulullah SAW:
“Sebaik-baik kamu adalah orang yang paling baik terhadap isterinya.” (Riwayat Tirmizi)
Pemberian kecil seperti ini boleh menjadi sumber pahala yang besar, apatah lagi jika ia mampu menambah kebahagiaan dalam rumah tangga.
Penutup
Para suami, jangan lepaskan peluang untuk berkongsi rezeki dan kasih sayang sempena Aidilfitri ini. Duit raya untuk isteri bukan sekadar amalan moden – ia adalah satu tanda cinta yang kecil, tetapi besar maknanya.