Pengorbanannya diangkat masyarakat, kisahnya menjadi sebutan dan tular setelah dia mengambil keputusan berhenti kerja dan menjaga isterinya sepenuh masa. Dia adalah salah seorang lelaki yang patut dijadikan contoh suami-suami di luar sana apabila berhadapan dalam situasi yang sama.
Sesungguhnya layanannya kepada allahyarham isterinya, Fauziah Muhamad, yang menderita penyakit saraf otak sehingga meninggal dunia pada 2 April 2013 membuatkan ramai hati wanita cair.
Abil Fikri Ahmad dan arwah isterinya, hanya sempat mengecap nikmat bahagia selama dua tahun selepas melafazkan ijab dan kabul pada 13 Mac 2009. Belum puas menikmati alam rumah tangga, isterinya mendapat serangan asma pada 22 Jun 2011 dan sejak itu dia disahkan lumpuh selain saraf otaknya tidak lagi berfungsi.
Namun siapa sangka, setelah lima selesa hidup membujang akhirnya setelah pemergian isteri, Abil Fikri Ahmad, menamatkan zaman dudanya dengan suri hati Nor Aida Mohamad pada Julai tahun lalu.
Sebagai manusia biasa, Abil amat bersyukur dengan kurniaan Allah kerana kekosongan jiwanya selepas pemergian isteri kini terisi dengan kehadiran isteri baru yang disifatkan seorang yang memahami.
Dari Pembantu Menjadi Isteri
Menurutnya, perkenalannya dengan isteri, Nor Aida, hanya bermula sebagai rakan blogger. Namun masing-masing tidak pernah meluahkan isi hati kerana saling menghormati antara satu sama lain.
Menurutnya Nor Aida adalah rakan blogger yang agak rapat dan banyak membantunya selama ini. Hubungan mereka mula rapat apabila kebanyakan blogger lain telah berkahwin, sebaliknya Aida masih bujang.
Perkara ini membuka ruang untuk mereka mengenali antara satu sama lain lebih dekat. Paling teruja apabila Nor Aida juga berasal dari Terengganu sama seperti allahyarham Fauziah.
“Tapi, kami tak pernah declare sebagai pasangan kekasih pun. Cuma, pada Disember 2017 saya mencuba nasib melamarnya dengan soalan bergurau sama ada sanggup berkahwin dengan saya. Tak sangka dia menjawab ok dan bersetuju,” katanya.
Ads
Hadiah Teristiwa Dari Allah
“Pada Julai tahun lalu, saya menemui pengganti teman hidup selepas lima tahun hidup sendiri dan tahun ini saya bergelar bapa pula. Bayangkan dalam usia begini baru dapat rasa perasaan macam mana bergelar bapa.
"Awalnya saya seperti tak percaya dan tidak terkata pabila isteri memberitahu berita kehamilannya. Termenung seketika waktu itu, lama-kelamaan baru saya rasa seronok.
“Alhamdulillah, Tuhan nak bagi kita tak tahu, dulu saya jaga arwah sakit dan apabila dia 'pergi' saya rasa 'alone' kerana tak ada orang nak ceriakan hidup saya. Rupanya Allah nak sediakan ‘hadiah’ yang cukup istimewa buat saya. Betapa besarnya nikmat yang Dia beri kepada saya.
“Saya sangat bersyukur dan gembira dengan kurniaan ini. Dapat isteri yang baik dan memahami. Kehadiran Aydan Mikail pada 19 September lalu cukup bermakna buat saya,” jelas Abil yang mengakui hubungan dengan keluarga bekas mertua tetap rapat sehingga kini.
Tidak Pernah Menyangka
Ads
Bagi Nor Aida sendiri dia sama sekali bakal menjadi suri hati buat Abil. Bermula sebagai pembantu untuk menguruskan jadual Abil yang kerap dipanggil memberi ceramah dan motivasi. Hubungan pada awalnya lebih terarah kepada tugas-tugas sebegitu. Kerja sebagai pembantu pun hanya dilakukan di waktu hujung minggu sahaja sebagai kerja “part time”.
“Kami mula rapat kiranya sejak 2013 tetapi hanya atas urusan kerja. Alhamdulillah apabila kami ambil keputusan untuk kahwin, keluarga boleh terima. Sikapnya, tanggungjawab dan kematangan fikirannya membuatkan saya jatuh hati dengan dia. Saya mengenali dia dalam tempoh yang panjang kerana bekerja bersama, jadi dari situ saya mula mengenalinya sedikit demi sedikit.
“Selama setahun bergelar isteri saya dapatkan katakan layanan yang diterima sangat baik, suami juga banyak membantu menguruskan anak kami sejak bayi lahir lagi. Dia memang tidak kekok uruskan keperluan saya dan anak.
“Sebenarnya Abil seorang yang kelakar, penyayang dan bertanggungjawab. Sepanjang berpantang memang saya tidak gusar kerana suami mampu uruskan anak. Segala tugas menjaga bayi dapat suami lakukan dengan baik, cuma memasak memang saya tak lepaskan pada dia,” ungkap Aida sambil berseloroh.
Pengalaman Mengajar
Ads
Di samping itu, menurut Abil pengalaman menjaga bekas isterinya sakit sebenarnya memberi pengalaman yang cukup berharga buatnya, malahan dapat digunapakai dalam menjaga anaknya kini. Memang pada pandangan mata kasar, orang di luar sana sedih melihat dirinya yang berkorban menjaga isteri.
Sebaliknya bagi Abil, pengalaman enam tahun lepas banyak memberi pengajaran padanya tentang erti kasih sayang dan tanggungjawab. Malahan terdapat juga pengalaman sampingan ketika itu yang dapat dirinya praktikkan hari ini. Seperti mana memandikan arwah, kini Abil dapat memandikan dan menukar lampin pakai buang anaknya tanpa kekok.
Pengalaman masa lalu dapat digunapakai Abil dalam kehidupan bersama isteri barunya, Nor Aida dan cahaya mata mereka. Kedatangan Aydan adalah pengganti kepada kesedihan yang telah dia lalui dahulu.
“Selama ini saya memang tidak pernah jangka akan berkahwin semula dan akan mempunyai anak, maklumlah saya menduda dalam usia lewat 40-an. Lagi pun ketika itu saya memang masih sayangkan arwah isteri, bahkan sehingga hari ni sayang dan cinta saya pada dia meningkat dari hari demi hari,” kata Abil lagi yang tidak pernah membandingkan arwah isterinya dan isteri barunya.
Isteri Bukan Pengganti Arwah
Malah, dia yang kini aktif sebagai penceramah bersyukur kerana Nor Aida sangat memahami dan tidak pernah cemburu.
"Saya tak pernah anggap Aida sebagai pengganti arwah kerana pada saya mereka adalah dua insan yang berbeza. Saya berkahwin bukan kerana nak cari ganti kerana arwah tiada galang gantinya.
“Tetapi saya kahwin lain kerana nak cari isteri baru. Mereka ada keistimewaan masing-masing dan saya tidak pernah terfikir untuk membandingkan mereka berdua. Kahwin kena ada rasa suka dan sayang, tapi sebab kami dah biasa buat kerja bersama memandangkan dia PA saya, jadi apa jua masalah saya ceritakan padanya.
”Ada benda yang saya tak ceritakan pada orang lain, tetapi dengan Aida mudah untuk saya luahkan. Alhamdulillah, lepas kahwin barulah saya rasa nikmat nak bercinta. Tak sangka cinta selepas nikah lebih menyeronokkan dan rasanya lain macam,” katanya sebelum mengakhiri perbualan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Nak sebut bahagia dalam rumahtangga memang mudah tetapi nak wujudkan perlukan terapi dan kesungguhan kedua belah pihak.
Baik suami atau isteri, masing-masing kena mainkan peranan. Andai tidak, salah seorang pasti cepat rasa murung dan stress. Nak-nak pula zaman sekarang masing-masing sibuk mencari rezeki. Malah kadang bab sembahyang pun dilambatkan. Kejar dunia? Mungkin!
Jadi untuk baiki hubungan dalam rumahtangga, cuba hadam perkongsian saudara Abu Hurairah Asifa. In shaa Allah, mudah-mudahan kita mampu berubah ke arah yang yang lebih baik.
Bentuk Rumahtangga Bahagia Dengan Jaga Sembahyang
Bukti seorang itu sudah benar-benar sembahyang, selepas sembahyang dia menjadi orang yang sangat bermanfaat kepada manusia.
Sebab ada keterangan dalam hadis, “sebaik-baik manusia itu manusia yang banyak memberi manfaat kepada manusia lain.”
Sembahyang Hidupkan Jiwa
Manusia itu boleh menjadi sebaik manusia atas kerana sembahyangnya yang sudah terhubung dengan Tuhan. Kalau dia suami, dia baik. Kalau dia isteri, dia akan baik.
Sebab apa? Kerana sembahyang seperti ini menghidupkan jiwa. Maka kesan daripada sembahyangnya, jadilah dia orang yang sangat mahu memberi khidmat, mahu menolong dan membela orang lain.
Kalau lepas sembahyang, gaduh dengan orang, buat jahat dengan orang, tak ada sifat membela dan mengasihi orang, maka sembahyangnya tidak menghidupkan jiwanya.
Sembahyangnya tidak memberi apa-apa kesan pada dirinya.
Jadi, Tuhan buat sembahyang adalah untuk keperluan hambaNya.
Agar hamba itu boleh hidup jiwanya dan jadi dia orang yang sangat berkasih sayang, bertolong bantu dan menjaga lidah serta katanya.
Kalau ini tak boleh dilakukan, sembahyangnya seperti tidak sembahyang. Dia sembahyang tapi sembahyang tak memberi apa-apa kesan kepada dirinya.
Sebelum Cari Bahagia, Lihat Sembahyang Kita
Maka, suami isteri yang tercari-cari dimana bahagia didalam rumahtangga, lihatlah sembahyang kita.
Sekadar sembahyang, atau benar-benar bersembahyang.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Untunglah jika pasangan kita adalah kekasih pertama dan kekal hingga ke jinjang pelamin. Dialah kekasih awal dan akhir yang ada dalam hati. bagaimana pula, jika pasangan anda bukanlah orang yang pertama pernah bertakhta di hati.
Kalau kisah cinta lama dilupakan tidak mengapalah dan fokus pada keluarga yang ada sekaranya. Sebaliknya, kalau ada perselisihan faham, mulalah hati berkata-kata ‘jika aku bersama dengan si dia, tentu akan lebih bahagia’.
Walau bagaimanapun semua itu tidak akan mungkin terjadi. Jodoh telah ditentukan olehNya. Namun, bagaimana untuk melupakan kekasih lama. Mampukah bayangan kosong ini akan menggugat hubungan suami isteri. Mengupas lebih lanjut topik ini bersama Prof Madya Dr Hj Mohd Nor Mamat, Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara Malaysia (UiTM).
Kenangkan Kembali
Ada banyak sebab yang boleh menyebabkan pasangan mula terkenanag kembali nostalgia kekasih lama. Mungkin disebabkan bertemu tanpa sengaja di mana-mana majlis atau boleh juga dengan sengaja pasngan menjejak semula bekas kekasih yang sememangnya masih menyimpan kenangan hubungan lama. Cara menjejak ini dengan harapan boleh disuburkan kembali.
Walau bagaimanapun, keadaan ini akan mudah berlaku apabila ada rasa kekosongan dengan pasangan sekarang dan ditambah pula pertemuan dengan kekasih lama. Jika hubungan suami isteri dalam keadaan bahagia, agak susah untuk pasangan terpaut kembali. Tetapi, jika pasangan mempunyai masalah suami isteri tanpa penyelesaian, nostalgia dengan kekasih lama akan mudah diisi.
Tanda Tingkah Laku
Ada beberapa petunjuk yang boleh pasangan sedari dan ambil langkah penyelesaian sebelum berlanjutan.
1. Hubungan berubah lebih dingin dan tidak semesra dahulu apabila bersama.
2. Leka dengan memori-memori lama seperti gambar kenangan, hadiah lama dan sebagainya.
3. Pasangan lebih banyak bersendirian berbanding bersama-sama atau lebih banyak masa dihabiskan di luar rumah berbanding rumah.
4. Berminat dengan aktiviti-aktiviti alumni atau aktiviti luar bersama kawan-kawan.
Kadang-kadang dirahsiakan daripada kita.
5.Lebih banyak berahsia berbanding sebelum ini. Mula berubah dari segi bercakap di telefon, bermesej secara sembunyi atau keluar rumah tanpa memberitahu.
Jangan Dikenang
Tidak dinafikan, pasangan mungkin pernah bahagia bersama kekasih lama tetapi jodoh tidak kesampaian hingga ke jinjang pelamin. Tetapi, apabila kita dipilih menjadi pasangan bermakna, kita mempunyai kelebihan berbanding orang lain. Jika perasan bahagia ada pada kita, mana mungkin pasangan akan memilih atau tertarik pada beka kekasih.
Jadi, elakkan sikap-sikap yang tidak disukai pasangan dan sentiasa menambahbaik aspek yang disukai pasangan. Kadang kala, ada banyak permintan yang kita anggap remeh oleh pasangan tetapi sebenarnya itu adalah penting dan membahagikan hidupnya.
Tindakan Suami (Isteri Teringat Kekasih Lama)
* Suami perlu tambah baik diri untuk menjadi lelaki yang selalu ada di sisi isteri.
* Suburkan sifat penyayang, mengambil berat, romantik, pemurah, setia dan sebagainya.
* Elakkan daripada mengambil tindakan menghukum atau memarahi, sebaliknya, dekatkan diri dan mengaku kelemahan yang ada, bernaji untuk berubah, memperbetulkan dan membahagiakan.
Tindakan Isteri (Suami Teringat Kekasih Lama)
* Elakkan suami hanyut dengan nostalgia kekasih lama, cipta nostalgia baru dengan cara yang membahagiakan.
* Suburkan rasa hormat pada suami, sentiasa cantik, menarik dan seksi.
* Elakkan bertanya tentang kisah-kisah silam.
* Elak menyerang suami atau bekas kekasih. Sebaiknya, ambil tindakan memhon kemaafan atas kelemahan diri sebagai isteri dan bernaji untuk berubah.
Tip Untuk Pasangan Suami Isteri
1.Keharmonian hubungan rumah tangga bermula dengan kasih sayang suami dan penghormatan isteri. Rasa bahagia ini akan mengelakkan daripada timbulnya gangguan orang ketiga atau kenangan lama.
2.Jangan bandingkan isteri dengan kekasih lama kerana ia bukan milik kita. Utamakan kebahagiaan yang ada dan jangan fikirkan kebahagian kekasih lama, bimbang akan kehilangan kebahagiaan yang ada.
3. Elakkan hadir ke majlis-majlis reunion sekolah atau universiti secara sendirian.
Pertemuan begini mudah membuka semula pintu nostalgia lama yang akan mengganggu kehidupan sekarang.
4. Elakkan berjauhan engan pasangan terlalu lama kerana ia boleh membuka ruang untuk mengimbau kembali nostalgia lama.
5. Elakkan daripada memulakan hubungan semula kecuali dalam bentuk hubungan kekeluargaan. Perkenalan kekeluargaan adalah lebih bersih atas alasan menyambung silaturrahim.
6. Ciptalah kehidupan bersama pasangan kita secara bersama dan nikmati hidup secara positif yang membahagiakan satu sama lain. Kebahagiaan biasanya mudah menutup pintu kecurangan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Tak mudah bagi seorang isteri untuk melepaskan perkahwinan yang dibina bersama suami atas dasar cinta, mahupun atas dasar apa sekali pun. Ada isteri yang tidak bahagia ambil masa bertahun-tahun untuk membuat keputusan keluar dari jalan perkahwinannya.
Mengapa? Kerana, ada wanita yang sanggup hidup tidak bahagia dalam rumah tangga mereka asalahkan orang yang mereka cinta dapat hidup bahagia.
Persoalannya.. sampai berapa lama. Dzuriasiki Dzulkefli akui yang dirinya pernah menjadi wanita yang kurang matang dalam perkahwinan terdahulunya.
Setiap tindak tanduk yang isteri pilih itu pasti bersebab. Namun, atas alasan apa pun, membenci dan cintailah pasangan dengan tidak keterlaluan emosinya. Kerana akhirnya, itu lebih baik bagi diri seorang wanita.
Bercerai Belum Tentu Putus..
Sebab itu dalam Islam ada talak, edah dan rujuk. Yang bersatu dan nampak sangat bahagia juga belum tentu kekal. Sebab itulah juga kita tidak boleh bermegah dengan pasangan seolah kita sahajalah orang yang paling bahagia dalam rumahtangga.
Tidak ada siapa pun yang tahu apa yang ada dalam hati pasangan kita walaupun segalanya kelihatan sangat sempurna, sangat baik, sangat lengkap. Melainkan Allah.
Semua orang tahu bahawa apa sahaja yang kita ada tidak milik kita. Namun tidak semua orang akan faham tentang ini. Pengertian yang ada tidak dari hati. Melainkan bagi orang yang sudah melalui perpisahan dalam perkahwinan itu sendiri.
Bagi wanita, ketika mereka mempunyai pasangan, anak-anak, tempat tinggal serta makan dan minum, itu sudah cukup bahagia. Hal yang lain dari itu jika boleh tahan, akan wanita pilih untuk bertahan.
Kemudian saya berkata lagi. Hal yang kedua, wanita itu sifatnya… Apabila mencintai dan menyayangi seseorang, sayangnya sampai mati. Saya berkata demikian kerana saya sendiri pernah menjadi seorang wanita berfikiran kurang matang suatu masa dulu.
Saya tahu, bukan semua wanita seperti saya. Namun, kebanyakannya begitu. Wanita seringkali meletakkan rasa bahagia mereka dalam genggaman orang lain.
Wanita Sanggup Hidup Tidak Bahagia Dalam Rumah Tangga
Cinta tidak buta. Yang buta adalah manusia yang bercinta. Jadi, kebanyakan wanita sanggup hidup tidak bahagia dalam rumahtangga mereka asalkan orang yang mereka cinta (pasangan dan anak-anak) dapat hidup bahagia.
Kembali kepada perbualan saya, wanita tadi berkata kepada…. dia tidak begitu. Dia punya suami, namun cintanya pada suami bukan seperti apa yang saya gambarkan pernah berlaku dalam hidup saya.
Katanya lagi, jika suatu hari dia perlu pergi, dia akan pergi meninggalkan suaminya (jika terdesak kerana apa-apa hal yang tidak sepatutnya berlaku dalam rumahtangga. Hal yang dibolehkan dalam agama bagi melindungi diri wanita). Dia berkata, sudah tentu dia menyayangi suaminya itu. Tetapi sayangnya ada batasan.
Lalu saya bertanya kepadanya, apakah dia pernah melalui perpisahan sebelum ini? Barangkali kerana pernah melalui hal yang menyakitkan atau mengecewakan sebelum ini maka dia jadi lebih berpada-pada. Lalu baru dia teringat bahawa dia pernah dikecewakan.
Sambil mengangguk berulang kali, dia akhirnya faham apa yang saya cuba jelaskan. Bahawa kekecewaan akan menjadikan kita lebih matang dalam hubungan rumahtangga. Bahkan kematangan akan membuatkan kita lebih sedar akan banyak perkara dalam hidup.
Tidak jatuh cinta dengan sepenuh hati (seolah dunia ini kita saja yang punya).
Tidak berasa seolah pasangan kitalah yang paling penyayang, paling romantis dan paling hebat. Kita akan lebih mengerti bahawa kita sebenarnya tidak tahu apa pun yang tersimpan dalam hati pasangan, biarpun kita berasa seolah “tidak pernah ada rahsia di antara kita dan pasangan.
Sulit untuk menjelaskan semua ini dengan susunan kata-kata yang baik.
Suatu hal dalam hidup, jika membenci seseorang, janganlah keterlaluan. Mungkin nanti orang itulah yang akan menjadi teman paling rapat dengan mu nanti. Jika menyukai seseorang, harus berpada. Boleh jadi nanti, dialah orang yang paling kamu benci.
Sama-sama kita mendoakan yang terbaik buat pasangan Noh Salleh dan Mizz Nina. Hanya Allah yang lebih tahu apa yang terpaling baik buat mereka. Yang pasti, takdir Allah adalah untuk yang lebih baik, lebih indah dan lebih sempurna.
Mingguan Wanita : Jangan menuduh lemah pada isteri yang sedang bertahan dalam perkahwinannya. Kita tidak tahu kekuatan apa yang membuatkan mereka kekal bersabar dan merelakan hati tidak bahagia demi orang lain.
Ibu kepada mangsa tragedi pembunuhan pelajar Bandar Utama mendedahkan anaknya ditikam lebih 200 kali. Beliau menafikan dakwaan palsu dan menyeru agar kejadian tragis ini tidak berulang di sekolah lain.