
Kisah kehilangan dompet yang membawa kepada tuduhan mencuri terhadap Allahyarham Zara Qairina Mahathir kini membuka lembaran baharu dalam prosiding inkues di Mahkamah Koroner.
Ketua Warden, Azhari Abd Sagap memaklumkan bahawa dompet yang didakwa dicuri sebenarnya telah dijumpai seorang pelajar senior di blok akademik sekolah pada petang 15 Julai lalu.
Namun, pada malam yang sama ketika arwah Zara ‘disiasat’ berhubung tuduhan mencuri, dompet itu masih belum sempat diserahkan kembali kepadanya.
Menurut Azhari, hanya dompet itu yang ditemui semula, manakala wang tunai dan beberapa barangan penting seperti kad pengenalan serta kad bank sudah tiada.
“Zara Bersumpah, Dia Tidak Mencuri”
Dalam sesi soal jawab bersama peguam keluarga arwah, Shahlan Jufri, Azhari mengakui tuduhan mencuri yang dilemparkan terhadap Zara pada 15 Julai hanya berkaitan kehilangan wang, kad pengenalan dan kad bank.
Ketika ditanya Shahlan sama ada sumpah Zara yang menegaskan dia tidak mencuri dompet tersebut benar, Azhari menjawab:
“Berdasarkan pengakuannya, iya. Cuma dompet itu, duit tidak ada.”
Beliau juga mengesahkan tiada sebarang wang atau kad pengenalan ditemui dalam almari atau beg milik arwah di asrama.
Tindakan Yang Tidak Dilaporkan
Lebih mengejutkan, Azhari turut mengakui tiada sebarang laporan rasmi mengenai kes kecurian yang dikaitkan dengan arwah dibuat kepada pihak warden.
Malah, beliau mengakui tindakan ketua bilik dan pelajar senior yang ‘mengambil tindakan sendiri’ terhadap Zara sepatutnya tidak berlaku, sebaliknya wajib disalurkan kepada pihak warden untuk siasatan.
Beliau juga mengakui kes seperti itu sepatutnya dilaporkan kepada warden untuk disiasat apabila ditanya Shahlan sama ada boleh atau tidak ketua bilik dan pelajar senior mengambil tindakan sendiri terhadap arwah Zara Qairina.
Pertanyaan Yang Tinggal
Pendedahan ini sekali lagi membangkitkan persoalan besar. Adakah arwah Zara benar-benar bersalah, atau hanya menjadi mangsa keadaan? Hakikat bahawa dompet telah ditemui tetapi tidak sempat diserahkan kepadanya pada malam dia dituduh, menimbulkan tanda tanya besar terhadap cara isu ini ditangani.
Inkues kematian Allahyarham Zara Qairina terus membuka helai demi helai cerita yang memilukan. Bagi ibunya, jawapan-jawapan ini bukan sekadar untuk mencari keadilan, tetapi juga untuk membersihkan nama seorang anak yang hingga akhir hayatnya menafikan dia mencuri.
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI