Jumaat yang barakah hari ini ,harapnya hadirnya membawa rezeki yang melimpah ruah. Menariknya topik bual bicara Mingguan Wanita hari ini mengupas isu mengenai ‘Rahsia Murah Rezeki’ yang dikendalikan oleh Siti Elizad dan Radin Amir Effendi. Turut di undang tiga tetamu hebat iaitu Ustazah Nazirah Abu Bakar, Ustazah Fatimah Syarha dan selebriti Diana Rafar.

Seperti yang dikongsikan Ustazah Nazirah, ‘ibu’ segala rezeki adalah doa berterusan dari ibu dan bapa. Ia adalah keberkatan yang Allah kurniakan menerusi doa-doa yang mereka pohonkan buat anak-anak.

“Buat anak-anak yang masih punya orang tua, rebutlah redha Allah dan keberkatan rezeki dengan memohon doa yang berterusan dari insan yang kita panggil ibu dan ayah. Adalah satu kerugian besar, apabila anak-anak yang masih punya orang tua menidakkan mereka serta mengabaikan mereka.

“Rezeki tak akan datang, jika tak diiringi dengan usaha. Rezeki juga tidak berganda, jika kita kedekut dan tidak menginfakkan rezeki menerusi zakat dan juga sedekah. Rezeki juga tidak akan berkekalan jika datang dari sumber haram.

Menurut Ustazah Nazirah lagi, sesungguhnya perihal jodoh, rezeki, hidup dan mati adalah empat rahsia yang hanya Allah S.W.T lebih mengetahui. Berbicara berkenaan rezeki, Allah telah menyatakan dalam Surah Hud ayat enam bahawa tiap makhluk di muka bumi ini telah pun dijamin rezekinya.“Tidak ada satu makhluk melatapun yang bergerak di atas bumi ini yang tidak dijamin ALLAH rezekinya.”
(Surah Hud : 6).

“Setiap makhluk yang melata dimuka bumi, termasuk ulat di dalam batu telah ditetapkan Allah rezeki. Begitu juga manusia, sejak mendiami alam rahim lagi Allah telahpun menetapkan jodoh, rezeki, hidup dan maut. Tetapi Allah menggalakkan kita berusaha untuk mendapatkan seperti mana Rasulullah S.A.W memuji kegigihan burung yang terbang diawal pagi mencari rezeki.

IKLAN

“Jika kita dikurniakan rezeki yang lebih, jangan pula lokek untuk berkongsi rezeki dengan orang lain. Sebaiknya apabila kita memberi sedekah ataupun berkongsi rezeki, jangan pula memasang niat disebalik setiap pemberian itu dibalas berlipat kali ganda. Jalan yang terbaik adalah ikhlaskan hati dalam memberi dan elakkan mengharapkan pembalasan disebalik perbuatan itu,”jelas Ustazah Nazirah.

Doa Ibu Bapa ‘Ibu’ Segala Keberkatan Rezeki

Istidraj

IKLAN

Ustazah Fatimah Syarha pula memberi huraian ringkas mengenai mereka yang dikurniakan Allah rezeki dan kemewahan yang tak pernah henti. Menjadikan Firaun sebagai contoh, sepanjang hayatnya…hidupnya seperti dalam dulang emas, mewah, kaya raya, tidak pernah diuji dengan sakit kronik dan makin lama Firaun menjadi makhluk yang bongkak, riak dan mengangkat dirinya sebagai Tuhan perlu disembah.

“Itulah yang dinamakan istidraj. Pemberian itu sebenarnya tidak diredai Allah SWT. Manusia yang diuji dengan istidraj akan memperoleh pelbagai nikmat dunia sama ada dalam bentuk kekayaan, kejayaan, pangkat dan gelaran, pengiktirafan dan sanjungan.

“Namun semua itu tidak menjadikan mereka hamba-Nya yang bersyukur, sebaliknya terus   jauh daripada Allah SWT. Mereka menyangka Allah SWT memberi segala-galanya meskipun mereka ingkar kepada-Nya. Mereka juga berasa riak dan bongkak dengan apa yang dimiliki.

IKLAN

“Seperti mana dalam ayat, “Apabila kamu melihat bahawa Allah memberikan nikmat kepada hamba-Nya yang selalu membuat maksiat, ketahuilah orang itu menerima istidraj daripada Allah.” (Hadis Riwayat Ahmad),”terang Ustazah Fatimah.

Tambah Ustazah Fatimah lagi, sebagai manusia ada yang diuji dengan kesukaran bertimpa-timpa dan kesenangan yang berganda-ganda. Ada yang makin menjauhi Allah dan bersangka-sangka dengan rezeki pemberian Allah.

“Buanglah segala resah dan gelisah berkenaan rezeki. Jangan dipersoal mengapa begitu dan begini. Tiap yang berlaku pasti ada hikmahnya. Carilah rezeki dari sumber yang halal, dan bukan melalui jalan haram. Jangan sombong, takabur dengan rezeki pemberian Allah,”katanya.

Bagi yang terlepas menonton program bual bicara Mingguan Wanita apa kata saksikan ulang siarnya jam 8 malam ini di Astro Prima 105 dan Prima HD 121.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI