Ditagih Cinta Lelaki Berstatus Suami Orang

Ditagih cinta oleh lelaki yang sudah pun bergelar suami orang sudah pasti tidak wajar. Apatah lagi wanita yang ditagih cintanya itu pula bergelar isteri orang! Ikuti luahan wanita ini kepada tim MW.

Masa Untuk Anak-anak

Assalamualaikum puan kaunselor yang dihormati. Saya berusia 39 tahun, memiliki sepasang cahaya mata berusia 15 dan 13 tahun. Keduanya belajar di sebuah sekolah berasrama penuh di Terengganu.

Saya dan suami sama-sama bekerja swasta dan sibuk. Memandangkan anak-anak tinggal di asrama, jadi tak ada masalah untuk kami balik lewat atau kerja hujung minggu. Setiap tiga minggu kami akan terbang ke Terengganu menjenguk anak-anak.

Terus terang, dengan gaji saya dan suami, kami mampu hidup senang. Alhamdulillah. Bercuti ke luar negara setahun sekali sudah jadi rutin kami. Itu juga perjanjian antara saya dan suami dengan anak-anak. Ketika ini kami akan luangkan masa untuk bersama mereka memandangkan kami tinggal berjauhan.

Hulur Bantuan

Namun, perkenalan saya dengan seorang pemuda, J, merubah kehidupan saya. Sebenarnya kami satu tempat kerja tapi berlainan jabatan. Sikap saya yang suka menolong yang membuatkan kami rapat. Saya pernah tumpangkan dia balik kerja bila keretanya rosak di parkir pejabat. Kebetulan saya balik lewat dan nampak dia yang sedang memeriksa keretanya.

Dia rasa terhutang budi dengan saya kerana saya sanggup menghantarnya pulang sedangkan rumah kami berbeza arah. Dia ingin belanja saya makan sebagai tanda ucapan terima kasih dan saya menerimanya. Bukan berdua pun, ada teman lain menemani.

Ditagih Cinta Lelaki Berstatus Suami Orang

Anggap Adik

Selepas itu, pertemuan demi pertemuan terjadi tapi saya tiada apa-apa perasaan terhadapnya. Saya anggap dia seperti adik kerana dia lebih muda enam tahun daripada saya. Sering kali juga dia bercerita tentang isteri dan dua anaknya. Saya juga begitu.

Cuma dari awal, dia tak pernah panggil saya ‘kakak’ walau pun saya membahasakan diri saya dengan panggilan itu. Katanya, tak perlu kerana saya nampak lebih muda daripadanya. Malah dia rasa lebih selesa begitu.

Baca artikel lain di sini:

12 Sebab Kenapa Wanita Berusia Lebih ‘Hot’ & Jadi Pilihan Lelaki Muda

https://www.instagram.com/mingguanwanita/

IKLAN

Bercuti Bersama Keluarga

Puan, hujung tahun lalu, saya sekeluarga bercuti ke luar negara dan sengaja saya ambil cuti lama kerana kebetulan anak-anak cuti sekolah. Di luar negara, saya tak terlalu berkepit dengan telefon dan hanya sesekali tengok handphone bila di hotel. Ada saya terima whatsapp daripada J yang bertanya bila saya akan balik dan saya beritahu bila tarikh dan masanya. Yang buat saya tak sedap hati bila dia cakap dia rindu saya..tapi tak ambil hati sangat.

Sampai di rumah barulah saya membaca macam-macam whatsapp termasuk daripada J. Saya terperanjat bila dia beritahu dia ada di airport tadi menanti ketibaan saya. Mulanya ingat dia bergurau tapi bila dia tahu di mana saya sekeluarga makan dan saya pakai baju apa, saya naik risau. Katanya, terubat rindu walau pun hanya mampu lihat saya dari jauh! Puan, tiba-tiba rasa takut pula.

Saya minta dia berterus terang kerana tak sedap hati. Dia mengaku bahawa dia dah jatuh cinta dengan saya dan ingin hidup dengan saya. Tentu saja saya marah kerana kami sama-sama dah berkahwin dan saya hanya anggap dia sebagai adik saja. Tapi dia tak boleh terima dan sanggup berskandal dengan saya. Gila kan?

Elak Diri

Selepas itu saya mengelak untuk berjumpa dengan J tapi dia sering kali menghantar whatsapp atau menelefon ke talian pejabat. Saya rasa tak tenteram dan takut. Saya tukar nombor telefon kerana tak nak dia ganggu tapi dia akan telefon ke talian pejabat dan e-mel saya. Tempoh PKP ada hikmah untuk saya bila boleh bekerja dari rumah. Tapi kini saya kembali ke pejabat.

Puan, patutkah saya berterus terang dengan suami? Saya juga takut kawan-kawan sepejabat tahu kerana J saban hari akan turun ke jabatan saya. Walau pun hanya memandang saya dari jauh, tapi saya sangat rimas dengan keadaan ini. Saya juga risau takut dia makin berani kelak, tak tahu apa dia akan lakukan.

Puan K, KL.

JAWAPAN KAUNSELOR

Dengan  Nama Allah Yang Maha Pemurah  Lagi Maha Mengasihi.

Perasaan suka, ingin berkawan, ingin berbicara, jika dibaja boleh bertukar menjadi sayang, kasih, cinta, rindu, mabuk angau dan sebagainya  dalam diri seseorang jika dia terasa kekosongan dalam dirinya atau perasaan kecewa yang dialaminya. Pun terdapat beberapa faktor lain yang merangsang dirinya dengan perasaan yang disebutkan di atas kerana  nafsu dan emosi  yang tidak dikawal dan diurus dengan baik mengikut batasan adat dan agama.

Individu sebegini mudah terlupa kepada realiti kehidupan dan tanggung jawab serta amanah yang dipikul. Malah tidak dapat membezakan mana yang baik, mana yang buruk, mana yang berdosa  mana  yang pahala…mana yang boleh mengundang  murka Allah dan sebaliknya.

Tak Tergoda

Tahniah diucapkan kepada puan kerana tidak terpengaruh dengan hasutan syaitan untuk terus bersamanya. Puan  mengetahui batas dan sempadan dalam budaya dan agama. Tindakan puan menukar nombor telefon bimbit adalah tindakan yang praktikal dan bijak. Sekurang-kurangnya tidak memberi ruang dan peluang kepadanya mengganggu puan melalui telefon bimbit.

Bagi menjawab persoalan yang puan kemukakan sama ada perlu atau tidak untuk memberitahu suami,  saya rasa puan sendiri mengenali suami sama ada  boleh menerima  penjelasan daripada puan atau tidak.

Jika  suami mempercayai puan, dan kurang dari segi sifat cemburunya, maka mudah puan untuk menjelaskannya. Jika sebaliknya, puan perlu kebijaksanaan dalam menceritakan apa yang telah berlaku. Puan sendiri  yang tahu  suami boleh menerima ini atau sebaliknya memburukkan lagi keadaan jika puan memberitahunya.

Sebaiknya biarlah puan sendiri yang menceritakan kepada suami, berbanding jika suami  dapat tahu daripada orang lain. Atau  lebih buruk,  mungkin  lelaki itu sanggup berbuat apa sahaja seperti menyamar dan memberitahu suami puan bahawa  puan ada hubungan sulit dengan lelaki lain, atau mungkin juga dengannya. Kebarangkalian dan kemungkinan ini boleh berlaku dalam keadaan yang tidak diduga, malah bukan dalam pemikiran rasional kita.

Tindakan Bijak

Tindakan puan menjauhkan diri daripadanya  adalah langkah bijak. Seboleh mungkin elakkan daripada bertembung dengannya atau melalui jalan yang biasa dilaluinya. Jika dia sering turun ke jabatan puan, cuba  elakkan dari bertembung dengannya. Jauh sekali untuk bertegur sapa. Jaga  penampilan dan pakaian puan daripada berhias secara berlebihan.

Jika boleh, pakai tudung yang lebih labuh  daripada  biasa. Jaga  pandangan mata  apabila bertembung dengannya. Elakkan daripada  memberi sebarang respons dalam apa jua bentuk, sama  ada lisan, atau bukan lisan.

Puan mungkin tidak tahu sejauh mana “kegilaannya”. Mungkin dengan cara mengelak  dan tidak memberi respons, lama-kelamaan berkemungkinan dia bosan. Jika masih diganggu walaupun puan cuba mengelaknya,  beritahu dia  bahawa puan akan beritahu isterinya tentang perilaku suaminya. Ini semua perlu ketelitian dalam memberi sebarang respons.

Pelbagai insiden mungkin tidak dijangka. Ada  orang yang tidak dapat mengawal emosi, minda dan nafsunya. Jika nafsu mengatasi pemikirannya,  apa sahaja boleh berlaku.  Ilmu hitam tidak mustahil boleh digunakan jika nafsu tidak dikawal dan hilang sebahagian iman daripada dirinya.

Akhir sekali, carilah “pendinding diri”   dengan mengamalkan ayat-ayat suci al – Quran.  Amalkan doa-doa tertentu yang boleh dicari  daripada guru agama. Pada kali ini puan mungkin berjaya, namun puan akan sentiasa terdedah kepada godaan dan pengaruh yang tidak dijangka. Banyakkan berdoa agar puan dilindungi dari sebarang ujian dunia. Wallahualam..

Dijawab oleh: Puan Hajah Maimunah Haji Mohamad, Kaunselor.