‘Dihina bakal mertua rumah macam kandang.’ Akhirnya berjaya bina rumah baru, tiada niat tumpang senang bakal keluarga mertua. Tidak semua hubungan cinta diakhiri dengan perkahwinan.
Bertahun-tahun bercinta, akhirnya hubungan terputus dek kerana sikap bakal mertua. Kadang-kadang ibu atau bapa mertua membawa pengaruh besar dalam hubungan percintaan anak-anak.
DiHina Bakal Mertua
Beruntunglah bagi mereka yang mendapat mertua yang sporting dan tidak mengira asal usul keturunan. Namun ada juga segelintir mak ayah yang bersikap sebegini, memilih bakal menantu berdasarkan rupa, harta dan keturunan.
Nasib buruk ini turut dilalui oleh pengguna TikTok Eytamin. Pengalaman sedih ditinggalkan bekas kekasih kerana tidak mendapat restu bakal ibu mertua mendapat simpati ramai orang.
Rumah Macam Kandang
Sudahlah dihina rumahnya seperti kandang, malah wanita malang ini juga ditinggalkan bekas teman lelakinya gara-gara hubungan mereka tidak mendapat restu ibu.
Tanpa disangka kisah sedihnya membuatkan dia bangkit daripada kedukaan seterusnya berusaha mencari semangat untuk berubah dan buktikan dia juga mampu berjaya.
Akhirnya Berjaya Bina Rumah Baru
Setelah berbulan-bulan dihina akhirnya Eytamin berjaya membina sebuah rumah banglo miliknya sendiri hasil usaha kerasnya selama ini.
Biarpun sedih hubungan cintanya gagal di tengah jalan, namun sikap buruk bakal ibu mertua “tak jadi” telah mengubah hidup Eytamin sekeluarga.
Alhamdulillah, ada hikmah di setiap apa yang berlaku. Kejayaannya membina rumah hasil daripada titik peluh sendiri membuktikan dia bukanlah seorang wanita yang ingin menumpang kesenangan orang lain.
Komen Netizen:
Meninjau di ruangan komen, ramai yang mendoakan kebahagiaan Eytamin dan malah turut berasa bangga dengan kejayaan yang telah dikecapinya.
Malahan pada masa yang sama, beberapa pengguna TikTok turut berkongsi kisah yang hampir serupa dengan Eytamin iaitu ditinggalkan kerana miskin dan tak setaraf.
‘Akui cuai, abaikan carseat, tali pinggang.’ Ibu ini syukur suami, anak selamat. Tiada kata selain syukur alhamdulilllah apabila keluarga kecil ini terselamat daripada kemalangan yang berlaku.
Namun dari rakaman video dashcam ramai netizen berkongsi rasa berdebar dengan kemalangan yang berlaku. Mujurlah keluarga Nur Diyana ini selamat semuanya dan hanya mengalami keceraan ringan.
Tetapi trauma yang dialami tentu saja akan dikenang sampai bila-bila. Ikuti perkongsian Nur Diyana ini dan hadam baik-baik peringatan yang disampaikan:
Saya mungkin akan kehilangan anak dan suami malah nyawa saya sendiri semalam. Syukur, Maha Baiknya Allah, kami bertiga terselamat.
Semalaman saya muhasabah diri. Terkebil-kebil sehingga lewat malam. Badan sakit sana, sini cuma mungkin masih terkejut, saya tidak mampu tidur.
Satu-satu ingatan datang.
Saya bukan isteri dan ibu yang baik. Bahkan masih belum mampu berbakti sebaiknya pada ibu ayah dan adik beradik saya. Saya juga bukan kawan yang baik.
Paling teruk, saya sedar saya bukan hamba yang taat, yang menjadi wajib bagi saya seperti solat dan aurat juga masih lompang, apatah lagi menghidupkan amalan-amalan lainnya.
Saya kira, “aku masih muda. Belum 30 pun…” jadi mestilah umur saya masih panjang sehinggalah saya sendiri berdepan dengan detik detik yang mengingatkan saya kematian itu begitu hampir.
Misal kata ada bas mahupun lori treler meluncur laju di laluan tersebut semalam, ataupun suami merempuh penghadang jalan, pasti kami bertiga sudah menjadi sekujur tubuh yang sudah sejuk, dibalut kain kafan saat ini, menanti detik detik untuk ditalkin dan disemadikan. Saya tidak mungkin lagi mampu mengarang panjang tulisan ini.
Pemandangan di wad kecemasan hospital semalam benar-benar menginsafkan saya. Beberapa minit sebelum ambulans yang membawa saya dan anak tiba, ada kes kemalangan juga.
Ketika kami sampai, darah mangsa membasahi lantai hospital dan akhirnya saya sendiri menjadi saksi sekujur tubuh yang parah tadi dibawa keluar ke rumah mayat menjelang waktu senja.
Kalau tidak kerana Allah SWT mengizinkan peluang bernafas buat kami, tentu saja yang terbaring di troli itu adalah salah seorang dari kami atau boleh jadi kami bertiga.
Saya dan anak terpelanting dalam kereta dan menghempap suami, dalam keadaan terkejut, suami terus tanya “ayang okay?” dan saya hanya mampu mengangguk laju. Sepertinya bingung.
Ditolaknya saya dan anak keluar dari tingkap sedangkan dia sendiri masih berusaha keluar dari tempat duduk pemandu. Beberapa minit selepas kejadian, saya mula rasa nafas menjadi pendek, seperti sesak nafas.
Kawasan perut dan dada mula sakit, suami minta supaya kami dibawa pergi dengan ambulans. Syukurlah, semuanya baik-baik saja. Saya dan suami masing-masing cuma mengalami luka dan cedera ringan di beberapa bahagian otot, sepertinya terkehel.
Apa yang saya ingat, saya dengar ada suara dari orang ramai yang turut membantu kami “tolong ada baby, ada baby”. Mereka segera bantu kami keluar dari kereta tanpa bimbang kereta kami mungkin akan meletup. Ada insan berhati mulia yang menarik saya dan anak untuk duduk di kereta mereka sedang langit masih renyai.
Bimbang katanya anak saya terkena hujan. Disuruhnya saya bertenang. Tapi sayang, “Kereta apa ? Bagaimana rupa orangnya?”..Saya gagal ingat dengan jelas.
Cuma kalau sampai tulisan ini kepada tuan, puan yang membantu kami sekeluarga semalam, cuma Allah SWT sahajalah yang mampu membalas budi baik kalian kepada kami.
Diharapkan dengan ujian yang sedikit ini, moga moga ia menjadi satu permulaan baru untuk kami meniti usia yang tersisa. Menjadi suami dan isteri yang sentiasa menghargai kehadiran satu sama lain, menjadi ibu bapa yang penyabar, menjadi anak yang berbakti, menjadi kawan kawan yang menyenangkan dan yang paling utama menjadi hamba yang patuh pada Illahi.
Entah esok atau lusa, tidak ada lagi peluang untuk saya bernafas lagi, mungkin sudah sampai masa untuk saya benar-benar pergi tak kembali.
Izinkan saya simpan tulisan ini di sini untuk memori.
Lebuhraya KL-Karak,
KM 71.5 Arah Barat.
16 Mei, 2:07 petang.
Manakala di ruangan komen, Nur Diyana turut berkongsi keadaan terkini anaknya.
Alhamdulillah terima kasih semua atas kasih sayang dan doanya. Moga-moga doa kalian Allah terima.
Bagi yang bertanya tentang anak saya Maryam, alhamdulillah Maryam baik-baik saja. Waktu kejadian, Maryam baru selesai menyusu.
Khilaf saya, saya tak letakkan Maryam di car seat dan saya juga tak pakai tali pinggang. Pada percaturan saya, “kan lagi senang nak menyusu”. Selang beberapa minit selesai menyusu, kejadian ini berlaku…
Saya cuma sempat peluk erat kepala dan badan anak dan membongkokkan badan saya menutupi anak, pegang anak sekuatnya kerana bimbang dia terpelanting ke jalan, sebelum saya bersama anak terpelanting dan terguling dari tempat duduk kami.
Saya akui ini salah saya, saya cuai, mengabaikan car seat dan tali pinggang…
Moga ibu bapa lain sama sama ambil iktibar dari apa yang terjadi pada saya..biarlah anak saya menangis di car seat lepas ni dari saya menangis kalau apa apa terjadi pada dia.
Saya sangat yakin kalau saya tak peluk erat anak semalam, sudah tentu dia yang paling teruk terpelanting, terhantuk malah mungkin terhempap dengan badan saya sendiri atau barang barang lain dalam kereta
Dari sini selain tali pinggang dan carseat, kita dapat faham betapa pentingnya :
Saya sangat sangat sarankan semua kawan kawan untuk pasanglah dashcam. Harganya siap pasang sekitar RM 700 juga tapi percayalah memang berbaloi.
Masa kejadian, ramai juga yang datang marah-marah kepada suami dan cakap “Macam mana ko boleh langgar kereta depan???”
Eh, bila diingatkan balik, jadi sakit hati sendiri sebab dah lain pula ceritanya. Sudahlah kami sendiri pun masih terpinga-pinga dengan apa yang jadi, badan pun sakit, tiba-tiba disalahkan pulak.
Malah, ada yang cakap suami saya bawak kereta laju sedangkan saya sangat yakin kelajuan kereta kami di tahap yang selamat, beberapa km saja lagi kami sudah sampai pun ke susur keluar Bentong.
Kami bawa juga rakaman dashcam ini ke balai, biarlah ia diadili dengan sebaiknya.
Mingguan Wanita : Pantang maut sebelum ajal, alhamdulillah ketiga-tiganya selamat. Semoga keluarga kecil ini dipermudahkan urusan dan kembali pulih seperti sediakala.
‘Semoga bahagia, selamat jalani hidup baru.’ Wanita restu bekas suami kahwini adik kandung sendiri. Mulianya hati seorang kakak benarkan suami sendiri menikahi adik kandungnya.
Bukan semua wanita mempunyai hati yang besar seperti wanita ini. Memang wanita ini seorang yang hebat!
Satu hantaran Facebook tular di media sosial Indonesia kerana memaparkan kisah seorang wanita yang merestui bekas suaminya berkahwin dengan adik kandungnya sendiri, lapor laman berita Suara.com.
Gambar mengenai kisah tersebut dikongsikan oleh akaun Instagram @memomedsos. Ia turut menyertakan dua tangkap layar mengenai hantaran yang dimuat naik oleh akaun Facebook @Mama Aldy.
Pemilik akaun itu memuat naik dua hantaran yang mengucapkan tahniah kepada bekas suami dan adik kandungnya.
“Adik kandungku, semoga kau selalu bahagia bersama bekas suamiku. Selamat menjalani hidup baharu,” tulis Mama Aldy.
Gambar yang dikongsikan itu menunjukkan sepasang suami isteri yang baru sahaja berkahwin. Bekas suami wanita itu dilihat ketawa sambil merangkul pinggang adik wanita berkenaan.
Pada hantaran kedua, Mama Aldy juga berulang kali mengucapkan tahniah dan doa untuk mereka berdua.
“Saya ucapkan tahniah kepada bekas suami dan adik saya. Semoga awak bahagia selalu,” ujarnya.
Muat naik itu mendapat pelbagai maklum balas netizen di ruangan komen.
“Setelah berkahwin, anak wanita itu panggil ayah atau pak cik?” tulis seorang netizen.
“Kalau tak silap, adik wanita itu janda dan tinggal bersama kakaknya. Jadi, dia jatuh cinta dengan suami kakaknya. Mereka bercerai lalu bekas suaminya berkahwin dengan adiknya,” komen netizen lain. – Agensi
Mingguan Wanita: Tak semua orang mampu lakukan perkara sebegini, membenarkan bekas suami berkahwin dengan adik sendiri bukanlah mudah diterima.
Allahu sungguh malang tidak berbau, seorang wanita parah ditikam anak lelakinya yang berusia 14 tahun ketika mangsa sedang tidur di rumahnya di Bukit Yong, di sini, malam tadi.
Kejadian berlaku kira-kira jam 11.45 malam dengan wanita berusia 41 tahun kini dirawat di zon merah Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) akibat kecederaan parah.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri, Datuk Mohd Nor Yhazid Idris, berkata kejadian berlaku ketika mangsa tidur bersama suspek di sebuah bilik sama sebelum tiba-tiba terasa sakit.
“Sejurus tersedar mangsa mendapati sebilah pisau tertusuk pada dadanya lantas memanggil suaminya yang sedang tidur di ruang tamu.
“Mangsa kemudian tidak sedarkan diri selepas mencabut sendiri pisau terbabit pada dadanya sebelum dibawa ke Hospital Tengku Anis Pasir Puteh oleh suaminya,” katanya melalui kenyataan hari ini.
Mohd Nor berkata, doktor memaklumkan kesan tikaman mengakibatkan paru-paru mangsa bocor sebelum dia dirujuk ke HUSM susulan kehilangan darah yang banyak.
Beliau berkata, siasatan awal polis mendapati, mangsa ditikam suspek menggunakan sebilah pisau yang diambil dari dapur rumah.
“Suspek yang juga anak ketiga dan masih belajar di sebuah sekolah menengah di Pasir Putih dikatakan mengalami demam sejak dua hari lalu dan memerlukan pemantauan daripada mangsa.
“Susulan kejadian itu, suspek ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” katanya mengesahkan motif kejadian masih dalam siasatan.
Mingguan Wanita:Salam takziah buat mangsa. Semoga diberi kesembuhan. Pasti ada sebab tersendiri anak remaja ini sanggup lakukan sedemikian. Doakan sahaja yang terbaik buat keluarga ini.