Tak ramai menantu lelaki yang rapat dan mesra dengan ibu mentua. Yang mesranya macam emak sendiri. Beza dengan Akhtar Syamir (BroOhsem)meletakkan kedudukan ibu mentua teristimewa di hatinya. Sebab, sifat semulajadi dalam diri ibu mentua itulah yang melahirkan isterinya dan menjadikan isterinya, Nora Azni seorang ibu yang hebat.
Cerita Ibu Mentuaku
Jarang sekali kita dengar cerita yang positif berkenaan ibu mentua. Selalunya kita disajikan dengan pengalaman – pengalaman serta perkongsian betapa teruknya ibu mentua. Ini mendatangkan persepsi negatif kepada mereka ditambah pula dengan drama – drama di kaca TV yang sering menjadikan menantu mangsa kepada perangai ibu mentua yang jahat, berlaku tidak adil dan kejam terhadap menantu.
Apa kata kali ini kita selami perkara positif mengenai Ibu Mertua dari pengalaman saya sendiri. Penulisan ini bukan untuk membodek, jauh sekali untuk membangga – banggakan. Sekadar untuk menambah perkara positif di dalam kehidupan dan menghargai apa yang baik di sekeliling kita. Dan, penulisan ini juga bukan untuk membanding – bandingkan antara ibu kandung dan ibu mentua. Cuma penulisan ini dari pandangan seorang menantu terhadap ibu mentuanya.
Ibu mentua saya di dalam gambar ini, saya panggil beliau Mek. Mek bersungguh – sungguh masuk semula dalam rumah dan pakai tudung cantik bila saya minta untuk ambil gambar bersamanya. Hehe.. Gambar ini diambil sebelum kami bertolak kembali ke rumah dari kampung.
Mek nampak seperti seorang Ibu yang biasa dan melakukan perkara – perkara biasa yang dilakukan sebagai seorang Ibu. Akan tetapi, di dalam apa jua perkara, kita tidak akan nampak sesuatu jika kita tak ambil perhatian. Kita akan sering mengambil mudah akan sesuatu.
Mek Akan Jadi Orang Pertama Bangun
Tatkala semua orang sedang nyenyak tidur, Mek akan jadi orang pertama yang bangun dan akan memulakan rutin di dapur, memasak air dan menyediakan sarapan. Mek akan dibantu Isteri saya tak lama kemudian dan selepas Subuh, bila kami berselisih di dapur, Mek akan mempelawa saya bersarapan dan memberitahu yang Mek sudah buatkan kopi yang pekat dan manis. Biasalah orang Kelantan memang manis – manis semuanya.
Jika tidak sempat siap, Mek seakan meminta maaf kerana sarapan belum siap lagi. Selalu saya rasa malu kerana ibu mentua pula yang meminta maaf kerana sarapan belum siap. Siapa saya ni? Hanya menantu biasa je. Macam membebankan Mek pulak rasanya. Bila saya cakap tidak apa, tak perlu susah – susah, jangan risaukan saya, ayat itu seakan tidak memberi kesan kepada Mek. Takut sangat menantu dia tak sarapan.
Gerak gerinya perlahan dan berhati – hati. Namun kekuatannya tidak langsung seiring dengan umurnya yang hampir 70 tahun. Larat sungguh buat itu ini. Tak dapat saya pastikan adakah kerana Mek duduk di kampung atau memang dah biasa dengan rutin hariannya.
Ads
Selepas sarapan, beliau akan menoreh dan pulang dalam pukul 10 atau 11 pagi. Jika tidak menoreh, beliau akan berkebun. Pernah sekali Mek bagitau saya yang dia lebih suka berkebun kerana Mek dah tak larat sangat menoreh. Sebak rasanya bila Mek cakap macam tu.
Bila pulang dari kebun, saya ada nampak Mek bawa dua plastik besar berisi cili padi. Hanya sedikit sahaja disimpan untuk digunakan, yang lain akan dijual. Kebetulan saya pernah bawa Mek ke kedai runcit tapi Tuan empunya kedai tak nak beli sebab dah ada banyak stok.
Nak je ugut orang kedai tu suruh ambil juga. Kesian kat Mek. Tapi Mek cakap dia cuba je tanya kedai tu, sebenarnya dia biasa jual di kedai lain, abahnye yang akan pergi jualkan. Lega sikit rasanya.
Rupanya Dari Mek Isteri Belajar Jadi Orang Rumah & Ibu Yang Baik
Sebelum sampai waktu tengahari, Mek awal – awal lagi dah masuk dapur. Dia akan bagitau saya dia nak masak apa atau panaskan lauk apa. Kadang – ladang Mek akan tanya tak apa ke Mek masak itu ini, dia takut saya tak makan apa yang dia masak tu nanti.
Seperti biasa saya akan cakap takpe, tak kisah, jangan risau, tapi Mek yang risau lebih. Selalunya dia akan sentiasa ditemani Isteri saya. Dari situ saya dapat tau dari mana Isteri saya belajar jadi seorang Isteri dan Mak yang baik.
Ads
Selesai masak, selalunya Mek sendiri akan hidangkan nasi untuk semua. Ayat “Meh Mek bubuhkan nasi” tu dah biasa saya dengar. Kebiasaannya Mek hanya akan mula makan bila semua sudah siap lengkap dan semua orang dah bersedia atau dah mula makan.
Kita panggillah berapa kali pun supaya duduk makan, tapi Mek akan tetap siapkan apa yang dia rasa tak cukup lagi. Bukan itu saja, bila nasi dalam pinggan kita dah nak habis, Mek akan tawarkan diri untuk isi nasik tambah. Kita sendiri rasa bersalah kalau tak tambah nasi. Mungkin ianya jadi satu kepuasan bagi dia bila anak dan menantu makan bertambah.
Pendek kata, Mek sentiasa meletakkan anak dan menantunya di depan sebelum dirinya sendiri. Cara dia melayan cucu – cucunya, hinggakan kadang – kala sanggup menjaga cucu supaya anak dan menantunya boleh makan dengan tenang walaupun telah dilarang untuk berbuat demikian. Mek tetap bertegas. Selalunya awal – awal lagi kami dah pegang anak supaya Mek dapat makan sekali. Kalau tak, memang dia akan makan lambat.
Bangga Bila Mek Puji Menantu Dia Rajin
Bila ramai – ramai berkumpul tengok TV, Mek akan pelawa untuk buat teh atau kopi. Jarang kami menolak sebab kopi Mek memang sedap. Dapat pulak cicah makan dengan biskut kering atau roti mentega tanpa jenama, memang layan.
Itulah Mek. Sentiasa bersedia untuk keluarganya dan sentiasa membuatkan saya sebagai menantu terasa diangkat ke tahap yang tinggi. Padahal saya hanyalah “orang luar”. Tetapi merasakan sangat istimewa bila berada di samping Mek.
Ads
Saya suka bila Isteri saya sentiasa membantu Mek. Saya sendiri bilamana setiap kali sebelum pulang ke kampung akan membayangkan apa yang diperlukan Mek untuk memudahkan urusan hariannya. Dari sekecil – kecil kepit baju, hinggalah ke mentol lampu dan pinggan mangkuk plastik untuk kegunaan cucu – cucu Mek. Supaya pinggan mangkuk kaca Mek lebih selamat.
Balik raya baru – baru ni pun saya mengambil – alih tugas isteri yang masih alahan, menyiang ikan, ayam dan sotong mentah. Diharap dapat sedikit sebanyak mengurangkan kerja Mek di dapur. Bangga juga bila Mek puji menantu dia rajin tolong di dapur. Kembang dia usah kata, sama macam kalau Mak kita sendiri puji. Hehehe..
Semoga Mek panjang umur dan sentiasa dalam keadaan sihat walafiat. Saya percaya ramai lagi ibu mentua atau ibu anda sendiri seperti ini. Bukalah mata dan hargailah apa yang di depan kita sementara mereka masih ada. Jangan ambil mudah atas apa yang mereka sentiasa lakukan buat kita.
Semoga penulisan ini dapat menaikkan martabat ibu dan ibu mentua kita dan membuka mata anak – anak supaya lebih menghargai mereka.
Saya sayang Umi dan Ibu Mentua saya. Anda bagaimana?
Cerita yang dikongsikan Imam Muda Hassan Adli ini benar-benar terjadi dalam kehidupan suami isteri. Bila suami terlalu rajin buat kerja rumah, sampai isteri rasa tak seronok nak meneruskan hidup dengan suaminya itu.
Kata Imam Muda Hassan lagi, banyak pengajaran yang boleh didapati dari kisah suami isteri ini. Bahawa cinta itu janganlah terlalu dicari, tapi jemputlah cinta yang diberkati dalam alam rumah tangga.
Isteri Minta Cerai Sebab Suami Terlalu Rajin Buat Kerja Rumah
Betullah manusia ini sangat kompleks untuk difahami. Allah ciptakan akal dengan 1001 rahsia yang sukar untuk difahami. Hebat ciptaan Allah!
Berlaku di India, seorang isteri menuntut perceraian di peringkat pengadilan Syariah dengan alasan suaminya terlalu mencintainya dan terlalu rajin membantunya mengemas rumah, memasak untuknya, dan suaminya langsung tidak pernah meninggikan suara padanya.
Pegawai Syariah menung panjang juga bila mendengar alasan si isteri ini.
Cinta Bukan Untuk Dimiliki..
Si isteri inginkan seorang suami yang boleh dibawa bertengkar, pemalas, dan tidak terlalu mencintainya. Akhirnya pegawai Syariah terpaksa menolak permohonan luarbiasa daripada isteri ini.
Nak bagitahu di sini, cinta itu terlalu subjektif dan adakalanya sukar untuk difahami, dan adakalanya di luar jangkauan pemikiran manusia.
Ada benarnya kata bijak pandai, “cinta bukan untuk dimiliki, tapi untuk diperjuangkan.” Bila suami sibuk mencari cinta isteri, mungkin suatu hari nanti dia akan penat. Begitu juga bila isteri terlalu mencari cinta suami, akhirnya dia akan lelah juga.
Cinta bukan dicari tetapi dijemput dan diundang. Undanglah ia dengan keberkatan. Cinta yang diberkati, di dalamnya ada kalimah La Ilaha Illallah.
Bila mana Allah yang diangkat dalam cinta kita, in shaa Allah berkat cinta yang akan diperolehi oleh suami isteri.
Jemputlah cinta, jangan terlalu mencari!
#jiwatenang
MW : Memburu cinta diberkatiNya agar rumah tangga aman harmoni.
Ini kisah yang dilalui Prof Dr Imelda Balchin, Professor and Consultant Obstetrician & Gynaecologist. Subspecialist in Maternal and Fetal Medicine. di Pusat Perubatan Universiti Malaya dalam kerjayanya. Dengan tindakannya itu beliau berjaya menyelamatkan nyawa seorang ibu dan bayi dalam kandungan hanya dengan sebuah analogi yang hebat.
Kehamilan Ini Ada Tanda Pre-eclampsia
Pada satu hari, seorang ibu hamil masuk ke wad bersalin dengan suaminya yang berbangsa Pakistan. Suaminya memakai serban dan berjambang panjang. Di dalam tangan kirinya digenggam tasbih, di dalam tangan kanannya sebuku Al-Quran yang kecil. Bila bersuara, begitu fasih berbahasa Inggeris, kalau beliau bercakap dalam radio, saya akan terus membuat andaian yang ini ialah nada suara dan gaya percakapan orang Inggeris, bukan orang Pakistan.
Bidan meminta saya berjumpa dengan pasangan ini sebab ada sedikit masalah. Saya dapati, ibu hamil ini masuk ke wad bersalin kerana sudah cukup bulan, dan rahimnya mula mengeras-ngeras, tanda-tanda pelahiran yang awal. Menjalankan tanggungjawab saya seperti biasa, saya membelek rekod kehamilannya, dan mendapati sememangnya ibu ini sudah ada masalah tekanan darah tinggi semasa kehamilan.
Bila tiba di wad bersalin, tekanan darah beliau masih tinggi (140/90), tetapi di peringkat sederhana dan belum lagi ke tahap yang memerlukan rawatan untuk darah tinggi. Saya meminta ibu ini memberi sedikit air kencing untuk penilaian protin di dalam air kencing. Ujian air kencing menunjukkan terdapatnya +++ protin.
Jika ibu yang hamil mendapat tekanan darah tinggi semasa kehamilan dan beliau kehilangan protin melalui air kencingnya, ini lah yang dinamakan ‘pre-eclampsia’. Penyakit ini boleh berlaku kepada 6 dalam 100 (6%) ibu pada kehamilan yang pertama, dan lebih kurang 2-4 ibu dalam 100 (2%) kehamilan yang berikutan. Hanya satu cara menyembuhkan pre-eclampsia, iaitu melahirkan anaknya.
Beliau tidak merasa kurang sihat, tidak ada pening-pening kepala, tidak ada muntah-muntah, penglihatan beliau elok seperti biasa, tidak ada sakit di bahagian perut dan hatinya, dan ujian refleks yang normal. Ujian darah menunjukkan tidak ada masalah dari segi fungsi hati, fungsi buah pinggang, haemoglobin dan platelet ibu ini. Ibu berkata janinnya bergerak dan aktif seperti biasa.
Jadi ini lah pre-eclampsia yang sederhana sahaja dan ibu dibolehkan meneruskan kelahiran secara alami selagi tekanan darah dan keadaan ibu dan janin di pantau. Jika pre-eclampsia menjadi lebih teruk (severe pre-eclampsia), atau tidak dipantau, ia boleh membawa kematian kepada kedua-dua ibu dan janin.
Bila ibu yang hamil mendapat pre-eclampsia, saya akan juga terus memantau anak di dalam kandungannya. 40 di dalam setiap 100 orang ibu yang mendapat pre-eclampsia (40%), akan terdapat masalah pembesaran janin kerana uri nya kurang cekap membekalkan segala keperluan janin. Bila kita sudah ada ilmu pengetahuan ini, kita akan memantau anak di dalam kandungan dengan lebih teliti.
Saya dapati, abdomen ibu ini lebih kecil daripada biasa, walaupun sudah 38 minggu kehamilan, saiz janin di dalam kandungan hanyalah di tahap 33 minggu kehamilan, baru 2kg. Saya sudah tahu, yang di antara janin yang ada masalah pembesaran kerana urinya tidak berfungsi dengan cekap, dan ibunya mempunyai penyakit pre-eclampsia, kebanyakannya tidak akan tahan kelahiran yang alami, kerana janin ini sudah pun lemah sebelum rahim ibunya mula mengeras.
Jika denyutan nadi janin normal, boleh diteruskan kelahiran yang normal (selagi tekanan darah ibu dikawal dan penyakit pre-eclampsia tidak bertambah teruk), tetapi jika denyutan nadi janin menunjukkan masalah, saya akan memberi nasihat pembedahan Caesar.
Bila dipasang CTG untuk menilai denyutan nadi janin, saya dapati walaupun rahim ibu tidak pun mengeras, sudah ada tanda-tanda yang janin ini tidak sihat, kerana tidak ada kegiatan yang biasa, tidak ada aktiviti yang dinamakan variability (lihat gambar). Saya tahu janin ini sudah terlalu lemah untuk mengalami kelahiran yang biasa, dan saya terus bertanya ibu, supaya berterus-terang kepada saya, sudah berapa hari kah pergerakan janin sudah berkurangan dan tidak aktif seperti biasa. Ibu pun mengaku, dua hari.
Saya terus mencadangkan pembedahan Caesar secara kecemasan (emergency), kerana khuatir anak ini akan meninggal dunia tanpa bantuan perubatan.
Suami nya membantah. Beliau mengatakan yang doktor bukan Tuhan, dan hanya Tuhan yang menentukan kehidupan atau kematian, bukanlah doktor. Beliau hendak berserah kepada Tuhan sahaja dan meneruskan kelahiran secara alami dan secara normal.
Saya pun bertanya kepada beliau. Bayangkan lah anak anda sudah dilahirkan dan sudah berumur 8 bulan dan mula merangkak. Pada suatu hari anda berada di dalam rumah dan tidak sedar pintu rumah terbuka dan anak anda sudah pun merangkak keluar ke tengah jalanraya. Anda keluar mencari anak anda dan mendapati ada kereta yang menuju dengan pantas terhadap anak anda di tengah jalan. Apakah anda akan buat?
Beliau berkata, beliau akan cepat-cepat berlari untuk mengambil anak nya dari tengah jalan.
Saya pun berkata kepada beliau, sekarang, Tuhan nak memberi anda peluang berlari mengambil anak anda melalui pembedahan Caesar. Anda hendak mengambil peluang itu atau tidak? Anak anda di tengah jalanraya.
Ibu dan suami ini tidak berlengah lagi selepas mendengar cerita saya, mereka terus berkata, doktor tolonglah kami ambil anak kami, teruskan dengan pembedahan Caesar.
Penulis tertarik apabila membaca perkongsian dari seorang ibu tunggal yang cukup tabah iaitu Puan Dzuriasikim Dzulkefli. Ibu ini meluahkan mengenai hal nafkah yang mana telah membuatkan ramai wanita yang terpaksa berpisah dengan pasangan mereka turun naik mahkamah.
Ikuti perkongsian yang cukup menarik ini yang boleh dijadikan motivasi dan panduan buat mereka yang bergelar ibu tunggal.
gambar kiri, kenangan sewaktu anak masih kecil. Kanan (terkini)
Menerusi laman Facebook Dzuriasikim Dzulkefli menyatakan;
“Berasa sedih apabila bekas pasangan tidak menjalankan tanggungjawab mereka. Membuatkan banyak ibu tunggal meletakkan harapan kepada manusia dan seolah rezeki tersekat untuk banyak perkara.
“Sebetulnya begini….
Tenang sahaja
“Kerana Allah memberikan tanggungjawab kepada kita.
“Dan ujian mengikut kekuatan kita.
“Berhenti untuk berharap kepada manusia.
“Saya tidak pernah berharap kepada bekas pasangan untuk menyara anak-anak saya.
“Saya tidak menghabiskan waktu untuk bergaduh di mahkamah demi menuntut hak. Sebaliknya saya selalu yakin dan percaya bahawa rezeki dari Allah itu Maha luas dan tidak akan pernah habis.
Ibu tunggal yang cukup tabah.
Telah bernikah selama 20 tahun
Ketika Hakim berkata kepada bekas pasangan saya…
“Kamu telah bernikah selama 20 tahun dan dia telah melahirkan 5 orang anak buat mu. Tidakkah kamu ingin memberikan sedikit saguhati kepadanya?”….
“Tidak….” Jawab bekas suami saya.
Dan Tuan Hakim bertanya kepada saya jika ada apa-apa yang saya ingin tuntut….
Saya menjawab….
“Saya yakin dengan rezeki Allah…. Tak apalah Yang Arif jika saya tak dapat apa-apa pun….”.
“Rasa hiba. Bukan kerana tidak mendapat apa-apa. Tetapi kerana penantian yang begitu lama akhirnya berakhir. Nilai detik itu jauh lebih berharga buat saya dari sebarang bentuk harta.
“Itu sahaja.
“Biarpun saya tidak punya sebarang pekerjaan waktu itu.
“Saya tidak punya harta.
Tidak punya simpanan
Datang ke mahkamah pun dengan menaiki teksi sahaja.
Namun saya tidak ada pergantungan kepada manusia melainkan Tuhan. Dan dengan keyakinan 300% sewaktu saya melafazkan kata-kata itu.
Wanita,
Berhenti berharap kepada manusia
“Kerana tidak ada satupun yang sukar bagi Tuhan jika Dia mahu memberi.
“Jangan sesekali salahkan bekas pasangan jika dia tidak mampu atau tidak mahu memikul tanggungjawabnya. Jangan menghukum. Jangan buat kerja Tuhan.
“Saya sentiasa memaafkan semua orang. Tidak ada sebarang feelings dendam dalam jiwa saya. Zero dendam. Kosong.
“Yang ada hanya kesyukuran.
“Saya menangis kerana sangat bahagia dengan ketentuan yang Allah berikan.
“Jadi wanita yang kuat dan cekal.
“Tuhan lebih tahu apa kemampuan mu…
“You will be fine.
“Stay strong.”
Bersama anak-anak kesayangan.
Sumber/Sumber Foto: Facebook Dzuriasikim Dzulkefli Bagi mendapatkan lebih banyak kisah menarik sila ke Instagram: https://www.instagram.com/mingguanwanita/
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Datuk Ram Singh: "Saya beri khidmat percuma, tertuduh bukan anak VVIP." Peguam yang mewakili salah seorang daripada lima remaja yang dituduh berhubung kes kematian Zara Qairina Mahathir mendedahkan, pasukan guamannya menawarkan khidmat secara pro bono tanpa sebarang bayaran.