Usianya masih muda namun Datin Paduka Eina Azman, 23 atau lebih mesra dengan panggilan Eina kelihatan begitu matang. Ibu kepada sepasang cahaya mata kembar, Arianna Aubrey dan Karl Kareef yang kini berusia dua tahun begitu komited terutama terhadap penjagaan anak kembar kesayangannya ini. Malah Eina juga cukup bertuah kerana pasangannya, Datuk Paduka Kaiser Gurmeet Harden begitu memahami dan sentiasa menyokong segala aktiviti yang dipilihnya terutama yang berkaitan seni dan perniagaan.
Selepas mendirikan bahtera selama empat tahun, Eina sendiri begitu selesa dengan statusnya sebagai seorang isteri dan ibu. Walaupun aktiviti hariannya begitu padat namun Eina begitu bijak membahagikan setiap kerjayanya. Tidak gemar berdiam diri, Eina sebenarnya sudah mempunyai produk sendiri dan sekali sekala turun padang ke lokasi penggambaran.
Malah sewaktu penulis mahu mencuri masanya dengan anak-anak bagi mengabdikan kisah wanita muda ini sebagai penghias muka hadapan, Eina cukup mudah memberikan kerjasama. Seperti mana tarikh yang dijanjikan, Eina hadir ke studio kami bersama ibu tercinta, anak-anak dan tiga orang pembantunya.
Gelagat anak kembarnya cukup mencuit hati, Arianna Aubrey dan Karl Kareef mempunyai karakter yang berbeza. Namun aksi kedua-dua si comel ini membuatkan kami di studio terhibur. Selesai sesi fotografi, penulis sempat menemubual Eina mengenai perkembangan terbaru dan pelbagai kisah mengenai dirinya dan keluarga untuk tatapan pembaca MW.
“Pertama sekali saya nak ucapkan terima kasih kepada tim MW kerana sudi menjemput saya dan anak-anak untuk sesi fotografi. Saya akan berikan kerjasama yang sebaiknya jika punya masa yang luang. Mengenai perkembangan terbaru, alhamdulillah saya sudah berjinak-jinak dalam dunia perniagaan dan muncul dengan produk sendiri yang saya namakan Nea Beauty Care by Eina Azman. Setakat ini produk ini masih belum dilancarkan kerana saya masih tunggu beberapa produk lagi yang belum dikeluarkan. Kalau boleh saya nak keluarkan set penjagaan wajah yang lengkap,” ungkap Eina membuka bicara.
Bijak Bahagikan Masa
Selain bergelar isteri, ibu dan menjalankan perniagaan, Eina juga turut meneruskan kariernya sebagai seorang pelakon. Ditanya bagaimana wanita yang juga anak saudara kepada penyanyi dan pelakon senior Juliza Adzlizan ini membahagikan masanya terhadap kerjaya dan keluarga, Eina akui berasa sangat bertuah kerana mempunyai seorang suami yang begitu memahami.
“Suami tidak pernah cakap ‘tidak’ pada apa yang saya buat. Malah dia juga tidak pernah melarang segala aktiviti yang saya pilih. Suami memberi sokongan setiap apa kerjaya yang saya mahu ceburi asalkan saya pandai bahagikan masa. Cuma dia berpesan pada saya supaya kena tahu batasan sebagai seorang isteri.”
“Contohnya baru-baru ini, saya turun lokasi drama arahan Michael Ang ‘call time’ pukul 10, jadi jam 7 pagi saya sudah bangun siapkan masakan untuk suami dan siapkan anak-anak. Kemudian baru saya keluar, bila waktu rehat saya akan pulang ke rumah dan sediakan masakan tengah hari, kalau tak sempat masa waktu balik sebelah malam baru saya akan masak.”
Ads
“Setakat ini saya tak ada masalah untuk bahagikan masa sebabnya lokasi penggambaran sekitar KL, cuma jika pada masa akan datang diberi peluang jalani penggambar di luar KL saya kena cuba susun jadual masa saya dengan baik,” terang Eina yang cukup berdisplin.
Ramai yang beranggapan Eina cukup bertuah kerana hidup dalam kemewahan. Namun dirinya dilihat begitu aktif berniaga dan berlakon. Eina sendiri akui memang ada ‘haters’ di laman sosial yang menyatakan hal sedemikian.
“Saya ni memang jenis yang tak boleh duduk diam tetap nak bekerja keras. Secara jujurnya memang ada ‘haters’ yang cakap ‘dah ada macam-macam kenapa nak berlakon lagi’. Pada saya itu minat saya. Contohnya saya sudah bergelumang dalam dunia lakonan sejak usia 13 tahun. Walaupun perlahan-lahan nama saya naik dari pelakon tambahan dan kemudian watak utama. Karier ini bukanlah sesuatu yang senang-senang untuk saya tolak ketepi.
“Alhamdulillah suami bagi sokong. Tak salah jika ada peluang yang baik untuk saya ambil. Saya juga jenis yang tak kisah walaupun penat. Pada saya jika sudah minat segala perkara akan menjadi senang. Saya selalu muat naik dalam akaun IG masakan yang saya hasilkan. Perumpamaannya sama macam memasak, jika badan penat sekali pun saya akan turun ke dapur memasak. Jika suami saya mahu makan, saya tak kisah pukul berapa pun dia minta, saya akan sediakan masakan yang dia suka. Kadang-kadang tu jam 3.00 pagi saya akan bangun masak bukan mi segera tapi menu berat seperti Masak Lemak atau Kari Ayam,” beritahu Eina.
Mummy Sebagai Idola
Mengusik Eina bagaimana dia cekap dalam mengendalikan rumah tangga memandangkan dia berkahwin dalam usia muda. Eina menerangkan ibu (panggilan Mummy) merupakan idolanya dalam menguruskan rumah tangganya.
Ads
“Segalanya saya mulakan dari bawah. Saya ni bukanlahjenis yang terus pandai memasak. Saya belajar perlahan-lahan. Sifu saya adalah Mummy. Sejak kecil saya lihat Mummy menguruskan rumah tangga dengan baik. Setiap hari bapa saya akan bawa bekal yang dimasak Mummy ke pejabat. Mummy juga selalu pesan ikat perut suami dengan air tangan sendiri.
“Masa baru-baru kahwin saya cuma tahu masak tiga lauk saja. Kemudian perlahan-lahan saya belajar masak menerusi internet dan paling penting banyak bertanya kepada Mummy. Baru-baru ini suami teringin nak makan Nasi Dagang, saya belajar masak nasi tersebut, alhamdulillah menjadi dan suami pun suka. Saya juga sangat bersyukur dalam penjagaan anak-anak saya memang perlukan pembantu dan saya memang kesian nak tinggalkan anak lama-lama,” ungkap Eina lagi.
Ditanya adakah dia menghadiri kelas dalam mengendalikan anak-anaknya. Eina menjawab dia cuma banyak membuat kajian di internet.
“Tak sampai ke kelas, cuma saya akan cari di internet contohnya baru-baru ini penyebaran kes HFMD, setiap hari saya akan periksa lidah, tapak tangan dan peha anak. Takutkan, sekarang ni macam-macam penyakit, saya takut anak-anak dijangkiti. Sebabnya sistem imunisasi kanak-kanak lemah dan terdedah pada penyakit. Memang akhir-akhir ini saya jarang bawa mereka keluar kerana bahaya,” terang Eina yang cukup gemar pada kanak-kanak walaupun dia merupakan seorang anak bongsu.
Ads
Eina juga turut berkongsi cabaran yang paling sukar baginya tatkala menjaga anak yang sedang sakit.
“Cabaran paling besar dalam menjaga anak-anak, paling saya tak boleh lupakan semasa Karl sakit dua tahun lepas dan ditahan di hospital. Saya sedih sangat sebab semuanya serba tak kena. Nak bagi makan dan uruskan segalanya semua susah. Jadi jika boleh saya tak nak anak sakit dan sentiasa pantau anak-anak agar dijaga dengan rapi. Jika saya ke luar negara dan tinggalkan anak dengan bibik saya akan call sentiasa dan pastikan anak-anak sudah makan. Saya sangat prihatin pada kesihatan mereka,” sambung Eina.
Amal Minum Jamu
Walaupun sudah melahirkan anak kembar namun Eina kelihatan kurus. Ditanya amalan kecantikan yang diamalkan, Eina berkongsi amalan yang diperturunkan oleh Mummy kepada dirinya.
“Sejak sekolah menengah memang Mummy dah paksa kami adik beradik amalkan jamu yang dibuat dari daun inai, kunyit, daun sirih dan manjakani. Setiap hari saya akan minum setengah gelas. Jamu ini sangat baik untuk kesihatan dalaman. Alhamdulillah amalan ini sangat baik dan memberi kesegaran pada tubuh.
“Selain itu saya memang tak ada masa nak ke gimnasium jadi saya akan buat senaman ringan seperti skipping di rumah. Paling penting saya amalkan diet yang sihat dan banyakkan minum air mineral.
“Badan saya ni jenis yang cepat naik jadi, sekarang ni saya memang tak makan nasi cuma akan ambil sekali sekala saja. Saya akan makan lauk dan gantikan nasi dengan ulam-ulaman dan salad,” kongsi Eina.
Banyak lagi sebenarnya cerita menarik yang dikongsikan oleh Eina Azman.Ikuti sambungannya dalam Majalah Mingguan Wanita terbaru isu Oktober, Volume 1 ini. Jadi jangan lupa dapatkan dipasaran!
Tanggal 3 November merupakan momen manis buat Nur Shahila Amir Amzah, 27 atau Shila Amzah apabila disunting jejaka yang bernama Haris Idraki Elias, 28. Haris merupakan warganegara Malaysia yang tinggal di Kota London sejak berusia dua tahun.
Cerita Pertunangan
Berkongsi tentang rancangan majlis pertunangan yang berlangsung pada 3 November yang lalu, menurut Shila ia dirancang dalam masa yang sangat terhad kerana faktor jarak yang memisahkan antara kedua-dua keluarga.
“Dari segi perancangan sebenarnya Haris melamar Sha pada penghujung bulan Julai kerana kami tinggal di dua buah negara berbeza. Kedua-dua ibu bapa kami berbincang dan berhubung menggunakan Skype. Setelah perbincangan mendapat kata sepakat, ibu bapa kami mengambil keputusan untuk tunangkan kami berdua pada November.
“Sha dan Haris mula bercinta sejak bulan Ogos selepas kedua belah keluarga merestui keputusan kami untuk berkahwin. Persiapan majlis pertunangan kami Alhamdulillah banyak dipermudahkan Allah. Kami bertemu dengan mereka yang sangat berbakat dalam hal-hal merancang dan menguruskan majlis pertunangan atau perkahwinan.
“Sha pula sering sibuk dengan urusan kerja, jadi persiapan majlis banyak dibantu dan diuruskan oleh teman dan juga pembantu peribadi Sha, Aini. Alhamdulillah kini semuanya telah selesai dengan lancar dan Sha sangat berpuas hati dengan hasil kerja semua pihak yang terlibat.”
A post shared by 씰라茜拉shila amzah?? (@shahilaamzah) on
Ditanya bagaimana Shila bersetuju ketika sang jejaka melamar dirinya, ini jawapannya.
“Pada hari dilamar oleh Haris, Sha cuma bagi jawapan ” If my parents agreed dan bagi kita blessing, It’s a YES”.
Tambahnya lagi, ibunya Fauziah Sarman merupakan orang pertama yang tahu akan hasrat hati Haris yang ingin melamarnya setelah dimaklumkan sendiri oleh mama Haris.
“Sha dan mak sangat rapat. Kalau nak tahu mak adalah orang pertama yang tahu hasrat hati Haris bila Mama Haris sendiri merisik pada mak Sha dan menyatakan hasrat untuk melamar Sha.
“Tapi ketika itu kami langsung tak berhubung antara satu sama lain. Kebetulan pula mama Haris dan & mak Sha berkawan rapat dah lama. Jadi mak ketika itu menghormati dan menerima hajat mama Haris dengan hati terbuka.
“Lepas seminggu Sha tanya pula kepada abah, tak disangka abah sangat gembira dengan berita yang Sha sampaikan hinggakan kami berdua menangis bersama ketika itu. Itu antara momen yang paling indah di antara Sha dan abah,”ujar Shila yang merupakan anak kepada penyanyi terkenal 80-an, Amir Amzah Saleh atau lebih dikenali sebagai ND Lala.
Bakal Bapa Mentua Peminat Nombor 1 Shila
Jelas Shila lagi, kedua-dua keluarga memang telah lama menjalinkan hubungan persahabatan walaupun tinggal di dua benua yang berbeza.
“Keluarga kami memang telah lama saling mengenali. Dahulu adik Haris, Haziq Zikri pernah bermain dalam pasukan Harimau Muda dan Zikri tinggal jauh dari keluarga.
“Ada suatu masa dia mengalami kecederaan, kebetulan saya dan Zikri berkawan rapat ketika itu, jadi dia sering datang ke rumah dan menjadi rapat dengan keluarga saya. Dari situlah keluarga kami mula berkawan baik dan Alhamdulillah hubungan tersebut berkekalan hingga sekarang dan tak lama lagi akan terjalin pula hubungan yang akan merapatkan lagi kami dua keluarga, Insya-Allah.”
Shila juga mempunyai hubungan yang rapat dengan keluarga bakal mentuanya itu. Jelas Shila ayah Haris merupakan salah seorang peminat Shila dan sering mengikuti perkembangan kerjayanya di media sosial.
A post shared by 씰라茜拉shila amzah?? (@shahilaamzah) on
“My future parents in law are so cute! Kami memang ada hubungan yang sangat baik sejak dulu lagi. Silaturahim itu tak pernah putus walaupun Sha selalu di China. Sebenarnya bakal bapa mentua saya memang ikuti perkembangan kerjaya Sha, dia suka menonton video-video Sha di Youtube.”
Rasa Macam Mimpi
Bagaikan mimpi menjadi kenyataan, itulah yang dirasakan oleh Shila kerana bakal bergelar seorang suri hati kepada jejaka pilihan hati tidak lama lagi.
“Rasa macam mimpi, sebab Sha memang dah lama bersedia untuk berkahwin tapi Allah itu Maha Mengetahui. Apa yang boleh Sha kongsikan, perasaan berdebar dan dalam masa yang sama teruja dengan apa yang berlaku kepada Sha. Syukur Alhamdulillah dengan perancangan yang Allah atur untuk Sha.”
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Selebriti penuh versatile, Dato’ Fazley Yaakob, 40 dari awal kemunculannya dalam dunia tanahair dikenali sebagai seorang yang mudah didekati. Malah keramahannya dan mudah mengingati seseorang membuatkan dirinya rapat dan mesra setiap kali bersua wajah. Penulis sendiri sejak dari awal bertugas hingga kini setiap kali bertemu dengan penyanyi, pelakon, selebriti chef dan ahli perniagaan ini pasti menerima layanan baik. Disapanya seperti rakan sedangkan sudah beberapa tahun tidak bertemu dan sekerap dulu menemubual Fazley. Begitulah sikap Fazley yang rata-rata disenangi wartawan hiburan baik yang senior mahu pun yang junior.
Ibarat seantero Malaysia mengetahui ceritera cinta pasangan romantis Fazley dan isteri Datin Azrene Ahmad, 39, hakikatnya berawal bukan seperti pengkisahan dongeng indah yang selama ini kita tatap dilayar perak mempertontonkan seribu kemanisan belaka. Satu demi satu lautan api terpaksa direntasi tatkala menoleh semula ke belakang terutamanya semasa majlis bersejarah mereka sekitar 13 tahun lalu, sehingga ia dilangsungkan dalam momen sedikit kurang menyenangkan tidak seperti kegembiraan pasangan pengantin baru lain.
Baru-baru ini, ketika menghadiri majlis meraikan semula cinta utuh Fazley dan isteri, penulis sendiri mengimbas kembali kenangan sewaktu menghadiri majlis persandingan pasangan mempelai ini yang diadakan di Negeri Sembilan 13 tahun lalu. Ketika itu, sememangnya agak kelam kabut dan keluarga pengantin kelihatan begitu letih. Tidak disangka semua gundah itu terhapus dan kini usia panjang ikatan perkahwinan mereka bagaimanapun terus bersemi tanpa mampu diganggu gugat apatah lagi dengan kehadiran empat cahaya mata comel iaitu Ahmad Fariedz, 10, Ahmad Fieradz, 8, Ahmad Fierudz dan Alayna Selma, 1 yang mampu mententeramkan jiwa seisi keluarga.
“Alhamdulillah menjengah ulang tahun perkahwinan yang ke-13 ini saya dan Azrene mengambil kata sepakat untuk bersanding semula sambil disaksikan oleh keluarga terdekat dan seluruh teman wartawan yang selama ini mendukung karier seni saya,” terang Fazley memulakan bicara tatkala penulis menemubual dirinya dan isteri di majlis persandingan yang serba sederhana diadakan di Lanai Tamu Event Hall, Damansara Perdana.
Perkahwinan Dalam Taman
Berlatarkan perkahwinan dalam taman dengan tema pakaian tradisional moden, Fazley dan Azrene berarak ke singgahsana sambil diiringi paluan kompang simbolik majlis disaksikan hampir 350 tetamu. Bertambah menarik, tayangan gambar-gambar sekitar majlis persandingan terdahulu mereka juga dipaparkan di layar lebar buat tontonan tetamu di samping ucapan istimewa daripada arwah bapa, Almarhum Datuk Haji Yaakob Muhammad sehingga terbuai emosi.
“Alhamdulillah, majlis resepsi kedua ini berjalalan lancar ditambah tiada yang lebih membahagiakan saya apabila persandingan ini dapat disaksikan oleh keluarga terdekat dan sahabat handai. Cukup saya terharu apabila ibu, Datin Umi Kalsom bersama adik beradik saya dapat menyaksikan semula detik persandingan indah raja sehari ini,” ungkap Fazley yang turut gembira apabila anak-anaknya iaitu Payish, Piyash dan Piyush membuat persembahan istimewa buat ibu dan ayah mereka.
Arwah Bapa Sangat Sayangi Azrene
Fazley juga berasa lega apabila wasiat arwah bapa akhirnya terlaksana. Majlis persandingan kali kedua bersama Azrene yang diadakan merupakan hajat yang dipohon arwah bapa.
“Ketika berkahwin pada 7 November 2007, arwah bapa meminta untuk kami bersanding semula apabila tiba masa sesuai. Saya ada bertanya sebab apa mahu kami bersanding semula. Katanya dia sangat menyayangi Azrene dan mahu saya memberi memori manis dan kehidupan baru kepada isteri dengan melangsungkan majlis ini.
“Malah seminggu sebelum meninggal dunia, arwah bapa sekali lagi memberi pesanan sama kepada saya dan isteri. Pada malam persandingan kedua ini saya rasa seperti baru berkahwin. Ini kerana saya kurang ingat perkahwinan yang berlangsung dulu sehinggalah melihat gambar-gambar. Mungkin kerana pada masa itu kami dalam keadaan tertekan. Kali ini saya mahu membina memori baru.
“Apabila sudah selesai melaksanakan wasiat arwah bapa yang mahu melihat menantunya (Azrene) dapat merasakan kebahagiaan dan memori baharu saya berasa lega. Bapa sangat menyayangi Azrene. Kata arwah bapa, Azrene layak untuk mendapatkan hidup dan memori baharu. Lantas inilah yang dapat saya lakukan untuk memenuhi hajat arwah ayah,” jelas Fazley sambil matanya melirik manja kepada Azrene yang duduk di sebelahnya.
Terpaksa Pujuk Isteri
Memandangkan Azrene pada awalnya tidak bersetuju dengan majlis persandingan kedua ini Fazley terpaksa meminta ibunya memujuk Azrene untuk melangsungkan majlis ini.
“Ketika melamari isteri 7 Nov 2018 untuk kali kedua, saya ada menyatakan hasrat ingin menunaikan hajat arwah bapa. Isteri tidak bersetuju dan katanya kami sudah tua. Namun selepas dipujuk dia bersetuju. Saya mahu berikan memori baru buat Azrene dan anak-anak sebab kami dalam keadaan tertekan pada waktu itu. Malah anak-anak juga teruja sebab mereka hanya dapat melihat gambar perkahwinan kami sebelum ini,” ujar Fazley.
******
Banyak lagi sebenarnya cerita menarik yang dikongsikan oleh Dato’ Fazley & Datin Azrene ini. Baca sambungannya dalam Majalah Mingguan Wanita terbaru isu Disember, Volume 2 ini. Jadi jangan lupa dapatkan dipasaran!
Penulis: Norhayati Suboh
FOTO: Azfarina Sulaiman
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Ketika sesi fotografi muka hadapan ini diadakan, Serina Prof. Datuk Haji Redzuawan Ismail, atau mesra dipanggil Serina Redzuawan, sedang dalam proses mendapatkan hak jagaan anak-anak. Daripada percakapan dan tingkah lakunya, dapat diertikan bahawa dia seorang wanita tabah yang tidak mudah terbuai oleh masalah yang dihadapinya. Sesi fotografi bersama dua buah hatinya yang comel, Tristan Tareef, 6, dan Isabella Saffiya, 5, berlangsung lancar. Mereka berdualah penyejuk dan penguat semangat artis yang pernah bergelar isteri kepada Gavin Edward O’Luanaigh atau nama Islamnya, Salahudin Ghafar.
Wajahnya yang ceria tidak langsung menggambarkan kesedihan yang sedang bersarang di hatinya. Siapa menduga, di sebalik senyuman dan tawanya, wanita cantik itu sedang diuji dengan kisah rumah tangga yang musnah di tengah jalan.
Semua itu adalah rencah kehidupan bagi ibu muda yang sedang ligat membina empayar perniagaan makanan dan beberapa cabang perniagaan lain. Bagi Serina, dia tidak mahu hidup terus menerus dalam kesedihan. ‘Life must move on’. Dia tidak mahu perceraian itu titik noktah dalam kehidupan dirinya.
Haluan Masing-Masing
Ternyata, perkahwinan yang dibina pada 1 Januari 2010 tidak dapat diselamatkan lagi, dan akhirnya mereka membawa haluan masing-masing. Mereka bercerai secara baik dan bagi Serina, dia mahu masyarakat faham penceraian itu berlaku kerana perkahwinan mereka tidak ada persefahaman lagi.
“Takdir Allah SWT tidak boleh dibaca. Ia mungkin menjadi satu titik permulaan untuk sesuatu yang lebih baik kelak. Saya yakin apa yang berlaku pasti ada hikmahnya. Saya harus kuat demi anak-anak, saya tidak mahu tunjuk kesedihan. Saya akan lakukan sesuatu untuk lupakan kesedihan. Saya banyak mendapatkan nasihat daripada papa kerana nasihat papa memberikan kebaikan buat diri saya. Saya kehilangan suami tapi sekurang-kurangnya saya masih ada papa dan anak-anak sebagai sumber kekuatan.” Ujar Serina dengan tenang, memulakan bicara.
Menurut Serina lagi, bukan mudah ketika dia hendak berterus terang dengan papa tersayang.
Reaksi Chef Wan
“Semasa mula-mula hendak sampaikan kepada papa yang saya hendak bercerai, sebenarnya detik itu bukan mudah. Ini kerana saya tidak pernah berkongsi kisah rumah tangga kepadanya lebih-lebih lagi untuk tunjuk yang saya sedang ada masalah. Maklumlah, tiada siapa yang hendak mahligai yang dibina atas dasar cinta roboh. Begitu juga saya yang sudah mencuba untuk menyelamatkan rumah tangga namun menemui jalan buntu. Akhirnya saya terpaksa merujuk kepada papa untuk mendapatkan nasihat yang terbaik untuk diri saya.
“Ekspresi pertama papa, semestinya dia marah sebab saya tidak pernah memberitahunya perihal masalah yang saya hadapi selama ini. Tapi cukuplah saya katakan bahawa, perceraian saya dan bekas suami kerana tiada persefahaman lagi. Bukan kerana orang ketiga dan sebagainya. Ketika itu, papa kata, dia tak mahu masuk campur dan tak mahu hukum siapa salah, siapa betul. Ini masa depan saya dan paling penting kebahagiaan saya. Papa hendak lihat saya bahagia. Kalau tidak bahagia, tiada gunanya bertahan. Paling penting tanggungjawab terhadap anak-anak jangan diabaikan. Alhamdulillah saya kuat dan perlu segera move on.
“Apa pun sebagai anak, saya sangat terharu dan bangga dengan papa kerana berani mempertahankan maruah anaknya. Saya tidak pernah kesal dengan apa yang berlaku kerana yakin Allah SWT akan memberikan yang lebih baik buat saya,” ungkap Serina yang bergilir-gilir menjaga anaknya bersama bekas suami. Serina tidak mahu anak-anak menjadi mangsa hanya kerana dia dan bekas suami sudah bercerai. Dalam hal ini, Serina sangat tegas dalam ada pendapatnya yang tersendiri.
Keputusan sudah diambil dann dipersetujui oleh kedua pihak dan masing-masing tidak mahu perpisahan mereka mengganggu emosi anak-anak. Mereka sepakat mencari jalan damai dan bersama-sama membesarkan anak-anak sebagai memenuhi tanggungjawab dan amanah Allah SWT.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!