Pelajar-pelajar di sekolah tahfiz kebiasaannya hanya mendalami ilmu-ilmu agama seperti menghafaz alquran, hadis nabi dan sebagainya. Namun sebaliknya, istimewa bagi pelajar-pelajar di Madrasah Tahfiz Taufiqillah turut menjadikan bidang keusahawanan, mengusahakan madu kelulut sebagai salah satu modul pendidikan yang turut boleh menjana pendapatan yang lumayan.
Projek madu kelulut yang diusahakan secara suka-suka pada awalnya di Kampung Lembah Arang, Wang Tepus, di sini, tiga tahun kini menjadi sumber pendapatan kepada Madrasah Tahfiz Taufiqillah.
120 Sarang Madu Kelulut
Hasil madu kelulut dari 120 sarang yang diusahakan madrasah itu sangat memberangsangkan dan ia dijual pada harga RM30 bagi setiap 120 gram sehingga membolehkan pengusahanya memperolehi pendapatan sekitar RM14,000 sebulan. Malah pada musim bunga, hasil madu amat menggalakkan sehingga mampu dituai mencecah 100 kilogram (kg), dengan hasil jualan RM24,000.
Pengetua Madrasah Tahfiz Taufiqillah, Auzaid Ismail, 44, berkata wang hasil jualan madu digunakan untuk membayar bil elektrik madrasah kira-kira RM1,500 setiap bulan.
“Ia dapatlah menampung sedikit perbelanjaan madrasah yang mencecah RM20,000 sebulan.
Ads
“Tujuh puluh peratus pelajar di sini adalah anak yatim, orang miskin serta mualaf. Mereka tidak dikenakan yuran, manakala bagi keluarga yang berkemampuan, yuran hanya RM180 sebulan,” katanya.
Projek Madu Sejak 2015
Auzaid yang mengasaskan madrasah terbabit sejak 2013 berkata, beliau memulakan projek madu kelulut itu pada awal 2015, dengan hanya dua sarang untuk kegunaannya sekeluarga. Namun, semakin pelajar menunjukkan minat dengan projek itu dan hasilnya, beliau menambah bilangan sarang sehingga mencecah 120 sarang ketika ini.
Pada peringkat awal, Auzaid berkata, beliau tidak mempunyai ilmu mengenai kelulut menyebabkan lebah itu meninggalkan sarangnya.Beliau kemudian bertemu dengan seorang pensyarah dari Politeknik Sultan Abdul Halim (POLIMAS) di sini, yang mengajarnya secara praktikal teknik penjagaan kelulut.
Ads
Pusat Agro-Pelancongan Islamik
Sarang kelulut diletakkan di bawah pokok serta lereng bukit dan ia kini menjadi seperti sebuah taman yang dinamakan Taufiqillah Stingless Bee Farm. Beliau kini sedang membina sebuah galeri untuk menyimpan dan menjual madu, yang dijangka siap pada awal tahun depan.
“Seiring dengan keindahan taman kelulut di lereng bukit serta pelbagai pokok bunga yang ditanam, pastinya ladang kelulut ini boleh dijadikan pusat agro-pelancongan Islamik tidak lama lagi,” katanya.
Pelajar, Mohd Syarhan Mohd Tahir, 16, berkata beliau bersyukur dapat belajar di madrasah itu, yang turut mendedahkannya pada ilmu keusahawanan. Beliau diberi kepercayaan untuk menjaga sarang kelulut dan menyedut madu pada sebelah petang sebelum diisi ke dalam botol.
Ads
“Sekarang, saya juga diajar cara membuat sabun mandian dan pencuci muka berasaskan madu. Ia pengalaman yang mungkin jarang diperoleh di madrasah lain.
“Ladang kelulut di sini sudah sebati dengan kami sebagai pelajar, malah suasana berbukit di sini juga dapat mengubat kerinduan saya kepada keluarga,” katanya yang berasal dari Ranau, Sabah.
Mingguan Wanita mengucapkan tahniah atas inisiatif yang diusahakan oleh pengetua madrasah ini.Bukan apa, ia sekurang-kurangnya membantu memulihkan imej institusi sekolah tahfiz sering diperlekehkan ramai pihak sebelum ini. Stigma pelajar tahfiz perlu meminta sedekah, mengharap ihsan orang ramai serta menjual pelbagai barangan demi kelansungan hidup pusat tahfiz boleh diubah dengan memiliki pendapatan sendiri begini. Malah ia juga menghidupkan sunnah, melahirkan jiwa usahawan.
Luah isteri ini, “separuh jiwa saya dipanggil pulang kepada PenciptaNya.” Meninggalkan luluh hati yang amat dalam.
Tiada kudrat untuk Puan Ezatul Marini pertahankan, apabila dia, suami dan anak perempuannya terlibat dalam satu kemalangan bas yang mereka naiki.
Dan akhirnya, beliau terpaksa menerima hakikat, suaminya meninggal dalam kemalangan itu. Beliau turut tercedera dan dirawat di hospital. Takdir menghalangnya melihat, bertemu jenazah suami untuk saat terakhir sebelum dikebumikan.
Wahai isteri, biar apa pun kekurangan suami, dialah jodoh terbaik yang tuhan kirimkan untuk kita. Selagi, dia masih setia, selagi dia masih kasih, selagi dia masih ada, sayangilah dirinya kerana Allah.
Semoga catatan isteri ini dapat menyuntik rasa untuk kita jadi isteri yang bersyukur.
Berebut Kasih Dengan Allah
Kami berkenalan 25 tahun yang lepas, malah kronologi yang akhirnya membawa kami ke alam rumahtangga saya perincikan dengan jelas dalam naskah “Diva Yang Rebah” dalam antologi CLEAR.
Deraf naskah itu disemak sendiri oleh beliau. Tersenyum simpul dia kala membaca keseluruhan kisah. Bangga sungguh dia kerana saya tuliskan kisahnya. Tambah teruja bila saya maklumkan 7 “storytelling” yang saya hantar untuk projek Mrs. Papa semuanya adalah kisah tentang beliau.
Kami sangat akrab. Kami bukan hanya suami isteri, malah sudah seperti rakan karib yang sentiasa bersama. Bayangkan, kala di pejabat, beliau kerap menelefon kononnya semata- mata hendak mendengar suara saya. Begitulah akrabnya kami dalam menjalani kehidupan dari awal perhubungan hingga ke satu titik yang saya bayangkan mungkin bukan sekarang.
Bermacam perkara kami angankan, tidak terkira banyaknya perancangan yang kebanyakannya tentang anak- anak.
Dia saya kategorikan sebagai “homely type”. Dunianya hanya tempat kerja dan keluarga. Apa sahaja yang beliau rancang dan laksana semuanya berlatarbelakang saya dan anak- anak.
Beliau lah pendorong, pemberi semangat, sahabat baik, abang, pendengar setia dan penyelesai masalah dan kekusutan. Tiap kali kita tanyakan pendapatnya, jawapannya pasti,
“Kita ada Allah. Tak percaya dengan Allah ke?”
Tiada Masalah Tanpa Penyelesaian
Itu pegangannya. Kerana Allah ada pada setiap masa. Dalam banyak ketika saya selalu cemburukan sikapnya yang sentiasa positif. Sedangkan saya sebaliknya, selalu risau dan banyak fikir tidak ketahuan hala.
Allah Maha Berkuasa, tanpa tanda, tanpa pesan, tanggal 23.11.2018, separuh jiwa saya dipanggil pulang kepada PenciptaNya. Luluh hati saya dipaksa menerima ketentuan perpisahan abadi yang bukan kemahuan saya dan anak- anak.
Kemalangan bas yang kami naiki untuk ke Kudat meragut nyawa suami, 3 rakan serta seorang anak rakan. Luluh hati mengenangkan saat saya hanya mampu memandang sekujur tubuh suami yang sudah tidak bernyawa.
Tambah pedih, bila mana saya terpaksa lepaskan jenazahnya dibawa pulang ke kampung halaman tanpa mampu saya temani.
Saya menangis semahu- mahunya menanda setiap detik perjalanan “pulang” jenazah hingga akhirnya selamat disemadikan.
Ramai tanyakan, kenapa saya kuat? Bagaimana saya boleh secekal itu menghadapi ujian getir yang tidak pernah saya bayangkan ini?
Saya bisikkan pada diri, “Apalah kudrat saya bilamana saya perlu berebut dengan Allah? Saya sayangkan beliau. Allah juga teramat sayang padanya. Maka, pastilah Allah lebih berhak mendapatkan kembali hambaNya yang disayangNya.”
Buang Jauh Emosi Negatif Kerana Ini Jalan Cerita Aturan Allah
Semoga itu juga mampu menjadi penguat semangat buat anak- anak yang ditinggalkan buat menemani saya hinggalah masa saya juga tiba untuk menyusul kepulangannya.
Sehingga tarikh ini, saya dan anak perempuan kami, Syahirah Nafeesa masih dirawat di Hospital Queen Elizabeth 2, Kota Kinabalu.
Saya telah selamat menjalani pembedahan memasukkan implan bagi menggantikan femur yang berkecai. Anak pula sedang melalui tahap prosedur terakhir rawatan iaitu prosedur “skin grafting” – menampal kulit baru di kawasan luka.
Sesekali timbul juga fikiran- fikiran jahat. Menerawang juga persoalan jahat seperti mengapa kami diuji sebegini? Kenapa seteruk ini kecederaan kami? Apa akan jadi pada masa depan kami? Namun, cepat saya sedarkan diri. Ini bukan jalan cerita ciptaan manusia. Ini jalan cerita aturan Allah. Allah letakkan kami dalam keadaan ini maka pastilah Allah juga sediakan penyelesaiannya.
Tugas saya hanya terus menanamkan rasa kuat dan redha pada diri saya sendiri dan anak- anak. Dan tugas saya juga untuk terus mempercayai Allah sebaik- baik perancang.
Ingatan Untuk Kita Yang Bergelar Insan
Dalam pada meneruskan rawatan di hospital, Puan Ezatul sebenarnya masih menulis di ruang facebooknya. Dan catatan ini turut dikongsikan untuk jadi pedoman pembaca Mingguan Wanita.
Semoga, beliau terus kuat dan bersemangat untuk menjalani kehidupan selepas ini.
Pasti dalam dunia pekerjaan, kita punya ramai kawan. Kawan lelaki, kawan perempuan, yang lebih berusia mahu pun pangkat adik- adik kita. Pasti juga ada yang kita mesra dan ada yang kawan begitu- begitu sahaja.
Seperkara yang perlu diingat dan dipasakkan dalam hati, dalam membina persahabatan dan memupuk “chemistry” di tempat kerja, jangan cuba- cuba bermain dengan api.
Pasti, di antara ramai- ramai yang baik dengan kita, ada yang mungkin nampak molek di mata, maka layanan kita kepadanya mungkin lebih mesra namun, ingat, jangan cuba- cuba menukar istilah teman tapi mesra itu menjadi kekasih gelap pula.
Andai kita seorang isteri, jujurlah dalam membina persahabatan dengan kawan- kawan. Jaga diri kita sendiri. Jangan nanti kita digelar lebih sudu dari kuah. Jangan cipta kontroversi lebih- lebih lagi yang berkait dengan hubungan lain jantina di tempat kerja. Jadilah pekerja yang memberi contoh baik kepada kawan- kawan bukan yang membawa budaya tidak sihat.
Andai kita seorang suami, hati dan kepercayaan isteri janganlah kita zalimi. Sampaikah hati kita mengkhianati tulusnya rasa percaya keluarga dan mencemarkannya dengan palitan perbuatan tidak jujur di belakang mereka.
Ingat, api semasa kecil memanglah kawan. Bila besar takut awak hangus terbakar nanti.
“Semoga Allah angkat kesakitan Ayra Aryssa. Berikan kesembuhan, kesabaran buat Amyra & Amar” begitulah sekeping doa hantaran oleh pelakon Noorkhiriah buat anak kepada pelakon Amyra Rosli dan Amar Baharin.
“Semoga Allah Angkat Kesakitan Ayra Aryssa”
Bukan sahaja Noorkhiriah malah rakan-rakan artis yang lain dan juga peminat mendoakan agar anak kedua Amyra dan Amar iaitu Ayra Aryssa, 2 yang dijangkiti penyakit Kawasaki dan ditahan di sebuah pusat perubatan akan segera sembuh.
Penyakit Kawasaki adalah keradangan saluran darah (vaskulitis) terutamanya membabitkan kanak-kanak berusia bawah lima tahun.
Semoga Allah Makbulkan Doa Untuk Adik
Amar juga sangat berterima kasih kepada rakan-rakan serta peminat yang sudi mendoakan kesembuhan buat anak kesayangannya.
“Ramai kawan-kawan Daddy dan Mommy doakan adik.
“Semoga Allah makbulkan doa-doa diorang untuk adik cepat sembuh, diberi kasihatan yang baik, sembuh sepenuhnya tanpa meninggalkan kesan.
“Dengan izin Allah. Terima Kasih semua. Daddy miss you sayang @ayraaryssa,” tulis Amar.
“Daddy Tahu Adik Kuat!”
Malah Amar juga tidak lekang dari memohon doa. Bukan itu saja dia juga percaya Ayra Aryssa merupakan seorang anak yang kuat.
“Thank you Mama @nelly.rosli tolong jaga adik kat hospital. Mama Nell kata adik dah senyum tgk video tadi. Alhamdulillah. Daddy tau adik kuat!!! Adik fighter!!!
“Daddy nak adik fight sampai sihat. Daddy sentiasa doa Allah angkat sakit-sakit yang adik rasa tu. Allah beri kesembuhan cepat untuk adik.
“Daddy rindu nak tgk adik & abg jumping on a trampoline kat rumah. Daddy rindu adik so much,” kongsi Amar
Ayra Kini Stabil Dipantau Tahap Oksigen
Menerusi hantaran di Instagram Stories Amyra pula berkongsi tentang Ayra Aryssa yang kini berada dalam keadaan stabil walaupun masih dipantau tahap oksigennya.
“Aryssa masih lagi dipantau tahap oksigennya. Tapi, Alhamdulillah, oksigen Aryssa dah semakin stabil dan masih lagi dengan ubat-ubat yang dimasukkan.
“Banyak sangat ubat dah masuk dalam badan dia selama empat hari ini. Saya sendiri tak sanggup tengok dia telan dan dimasukkan ubat di samping beberapa ujian darah
“Ini ujian yang saya kena lalui. Anak kecil yang tak tahu apa-apa, dan tak fasih bercakap apa-apa lagi kena jangkitan Kawasaki yang sangat teruk.
“Tapi, saya percaya, Allah akan berikan persembahan kepada dia dan terima kasih kepada kalian yang tidak henti doakan serta kongsikan ikhtiar,” kongsi Amyra.
Rezeki Allah sangat luas. Jika pernah diuji dengan kesukaran dan menempuhi fasa kegagalan ketika ini, jangan sesekali pernah berputus asa. Teruslah berdoa dan berusaha bersungguh-sungguh, kejayaan pasti menanti suatu hari nanti.
Jadikan kisah dan pengalaman hidup Ikon Usahawan Muda, Mohamad Azlan Abdullah @ Ali, 32, Peneraju Syarikat Azlan Al Amin Properties Sdn Bhd ini sebagai sumber inspirasi.
Siapa sangka dahulunya lelaki ini pernah menyara diri dan keluarga sebagai seorang pengutip sampah, kini rezekinya melimpah ruah merubah kehidupan 360 darjah menjadi seorang jutawan muda dengan memiliki jumlah aset hartanah bernilai hampir 50 juta!
Titik Perubahan Ubah Kehidupan
Mohamad Azlan menceritakan antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan sewaktu melalui fasa kehidupan yang sukar adalah apabila beliau menjadi pengutip sampah di bawah syarikat kontraktor pembersihan sebagai Pengutip Sampah selama 6 bulan di Kem TUDM Gong Kedak, Pasir Putih, Kelantan pada 2007, selepas tamat Tingkatan 6.
“Ketika itu, saya selalu membawa balik makanan kurang elok yang diasingkan untuk dibuang di kantin Kem TUDM tetapi masih boleh dimakan seperti ayam dan ikan untuk keluarga. Suatu hari bila balik rumah, saya nampak emak menangis melihat ulat jatuh dari poket baju saya ketika membasuh.
“Dari situ, saya tekad untuk mengubah kehidupan kerana kasihankan emak saya. Emak menangis dan berdoa semoga saya mendapat peluang lebih besar”ujarnya.
Ceburkan Diri Dalam Bidang Hartanah
Keputusan untuk tinggalkan rumah dan pertemuan dengan Cikgu Halim Md Saman dan Cikgu Ramli Hassan telah membuka jalan rezeki Mohamad Azlan dalam bidang hartanah. Untuk pertama kali dalam hidupnya, beliau berjaya menjual dua lot tanah dan mendapat komisen sebanyak RM4,000.Siapa percaya, dalam tempoh enam bulan sahaja, beliau berjaya meraih pendapatan lebih RM500,000.
Bermula sebagai ejen jualan tanah lot, beliau menubuhkan syarikat sendiri & membeli hartanah pertama pada harga hampir RM300 ribu. Menempuhi jatuh bangun dalam perniagaan, beliau dan syarikatnya kini berjaya menguasai hartanah di sekitar Terengganu dan Kelantan dengan pelbagai projek perumahan & pembinaan yang bernilai ratusan hingga jutaan ringgit.
Dua Wanita Istimewa
Bagi seorang lelaki berjaya pastinya didorong oleh wanita hebat yang menjadi tulang belakang menyokong kejayaannya. Bagi Azlan wanita-wanita hebat tersebut, tidak lain tidak buat merupakan ibu dan isteri tersayang.
“Disebalik kejayaan seorang lelaki terdapat dua wanita yang begitu istimewa dalam diri saya. Pertama ibu saya, Siti Aishah Ismail, 58. Sebagai orang yang sentiasa mendoakan saya, sentiasa menyokong dan mendorong saya untuk pergi ke ke depan.Antara pesanan emak yang menjadi pegangan dalam kehidupan ialah menjaga solat, jaga quran serta jujur dan amanah”
“Seorang lagi, ialah isteri saya, Nurul Fitriah Binti Mohd Sabri,32. Orang yang sentiasa menyokong sepenuhnya gerak kerja saya, susah senang bersama dengan saya, sentiasa bersangka baik dengan saya dan memberi saya kepercayaan sepenuhnya untuk saya berjaya dari semasa ke semasa pada saya untuk berjaya serta tidak pernah merintih,” ujar bapa kepada empat orang cahaya mata ini, Nurul Natasya Al Humairah, 6, Nurul Athirah Al Athiyah,5, Mohamad Athiqullah Al Amin, 4 dan Nurul Syahirah Al Afiah,1 ini.
Azlan bersama keluarga tersayang
Amalan Murah Rezeki
Disebalik usaha gigih dan kejayaan yang diperolehi, Mohamad Azlan sudi berkongsi amalan yang sering dilakukan, menjadi asbab rezekinya melimpah ruah yang boleh dijadikan panduan;
1. Jaga Kebajikan Mak Ayah & Keluarga
“Antara amalannya ialah saya betul-betul menjaga kebajikan mak ayah saya serta keluarga terdekat.”
2.Tak Tinggalkan Al-Quran
“Keduanya saya tak tinggalkan Al Quran walaupun dalam satu hari dalam hidup saya.”
3.Istiqamah Bersedekah
“Ketiga,saya istiqamah dengan amalan bersedekah tak kira sikit atau banyak, tapi boleh dikatakan sebagai kewajipan setiap hari.”
4.Rutin Solat Sunat Dhuha
“Keempat saya sentiasa amalkan solat Sunat Dhuha,boleh dikatakan sebagai rutin mesti buat setiap hari.”
5.Berbaik Sangka
“Kelima berbaik sangka dengan semua orang.”
6. Jaga Silahturahim
“Keenam saya panjangkan silahturahim”
7. Bersikap Pemaaf
“Ketujuh saya bersikap pemaaf tak kira kawan atau lawan.”
Pesanan Penting Buat Usahawan
Selain itu, Azlan juga ada menitipkan 5 pesanan penting buat usahawan lain untuk berjaya. Antaranya;
“Gagal tidak bererti kita tewas.Kegagalan tidak beerti kita akan terus gagal, tapi sebenarnya jadikan kegagalan sebagai satu pengalaman untuk kita buat yang terbaik pada waktu seterusnya.
“Kedua, jangan semata-mata menunggu peluang. Peluang tak boleh ditunggu.Kita yang kena cipta peluang.Maksudnya jangan menunggu sesuatu itu hadir kepada kita. Kita yang mesti mencari dan mencipta peluang.
“Ketiga, setiap usahawan mesti berfikiran positif dan jauh ke depan untuk menjadi orang yang berjaya.
“Keempat, kena lihat masalah sebagai cabaran bukan halangan. Jadikan masalah sebagai cabaran untuk mewujudkan peluang. Jangan jadikan masalah sebagai satu halangan yang akan menolak kita untuk mundur ke belakang.
“Seterusnya, jangan sekali-kali berputus asa, yakin pada diri sendiri dan berharap hanya kepada Allah.
Selain itu, menurut lelaki ini untuk berjaya dalam dunia perniagaan perniagaan perlu ada mentor yang betul.
“Saya ada mentor dalam perniagaan iaitu Cikgu Ramli Bin Haji Hassan. Dia ialah yang orang berperanan mendidik, mendorong, membimbing serta sentiasa memotivasikan saya dalam dunia perniagaan. Bila kita sedih dia bagi semangat, bila kita rasa putus asa dia bagi perangsang. Dalam perniagaan untuk berjaya perlu ada mentor yang berjaya dan mentor yang betul,” ujarnya.
Ikon Usahawan Muda, Mohamad Azlan Abdullah @ Ali, 32, Peneraju Syarikat Azlan Al Amin Properties Sdn Bhd
Kepuasan Berbakti
Perubahan fasa paling bawah kepada usahawan berjaya ternyata bukanlah alasan untuk berbangga dengan diri sendiri. Sebaliknya ia memberi kepuasan tersendiri buat lelaki ini terutamanya dalam berbakti dan ‘memberi’ kepada orang lain.
“Dari sudut hati saya, perasaan bangga dan perasaan hebat tu tiada. Yang saya rasa puas, sebab saya dapat lebih berbakti daripada hidup sebelumnya. Dulu saya hidup tak dapat berbakti pada orang ramai. Berbakti pada diri sendiri je, sebab saya miskin.
“Bila Allah bagi lebihan rezeki, saya rasa gembira dan sangat puas bila boleh hidup dapat berbakti. Saya tak rasa saya hebat, sebab saya tahu kejayaan yang saya kecapi hari ini bukanlah daripada hasil usaha semata-mata, sebaliknya berkat doa daripada ibu bapa, keluarga, kawan-kawan. Malah kemiskinan itu sendiri merupakan motivasi saya untuk berjaya,” ujarnya.
RAHSIA PENGUTIP SAMPAH JADI JUTAWAN
Mohamad Azlan juga bersyukur apabila kisah pengalaman hidupnya yang berasal dari keluarga miskin tegar, namun kini bergelar jutawan telah menjadi inspirasi kepada orang lain.
Lebih menarik,kisah hidupnya kini turut dibukukan dan diterbitkan dengan judul bertajuk RAHSIA PENGUTIP SAMPAH JADI JUTAWAN.Perkongsian rahsia dan kisah kejayaan beliau sangat menarik dan ternyata memberikan inspirasi serta motivasi kepada masyarakat.
Buku RAHSIA PENGUTIP SAMPAH JADI JUTAWAN kini boleh didapati di kedai kedai buku atau mereka yang berminat untuk mendapatkannya boleh menghubungi talian:
013 2269442 013 2409442 013 2889442
@ bagi pembelian secara online boleh hubungi Laman Web mohamadazlan.com
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Isteri pelik bekas suami tuntut rumah jadi harta sepencarian, "sesen tak bayar tolong drill langsir saja. Seorang wanita tampil meluahkan rasa terkejut dan kecewa...