Sikapnya suka menolong orang membuatkan dia terdorong untuk menjadi seorang jururawat. Oleh itu sebaik sahaja, Norma Mamat menamatkan pengajian peringkat menengah, dia telah memohon untuk meneruskan pengajian dalam bidang kejururawatan.
“Saya berkhidmat sebagai jururawat sejak tahun 2004 setelah menamatkan pengajian di Kolej Kejururawatan Taiping, Perak. Setelah tamat belajar, saya telah dihantar bertugas di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru selama lebih dua tahun. Pada ketika itu saya bertugas di jabatan ortopedik.
“Selepas itu, saya berpindah ke Klinik Kesihatan Kuala Krai, Kelantan. Semuanya kerana pada ketika itu suami yang bertugas sebagai anggota polis dapat berpindah ke Kelantan. Saya berkhidmat di Jabatan Pesakit Luar di Klinik Kesihatan tersebut. Setelah setahun saya berkhidmat di sana, saya ditugaskan di Klinik Kesihatan Lundang Paku, Kota Bharu.
“Saya suka bekerja di klinik kesihatan kerana dapat berkhidmat dengan masyarakat terutamanya orang kampung. Sudah hampir dua tahun saya berkhidmat di klinik kesihatan ini,” katanya yang berasal dari Kelantan.
Jadi Bidan
Pada tahun 2008, Norma telah menyambung pengajian dalam kursus kebidanan. Setelah berjaya memperolehi sijil, Norma bukan sahaja bergelar jururawat kesihatan awam. Dia juga adalah seorang bidan.
“Apabila bekerja dengan komuniti ini, saya boleh melakukan tugas menyambut kelahiran bayi di rumah. Pengalaman yang saya tidak dapat lupakan agak banyak. Banyak kes yang saya jumpa. Ada satu kes itu, ada ibu yang menghubungi kita apabila dia sudah bersalin. Ketika itu jam menunjukkan pukul 1.00 pagi.
“Disebabkan saya on call, saya perlu bertugas. Saya terpaksa meninggalkan anak di rumah. Mujur suami dapat menjaga anak, walaupun anak menangis dan merengek. Kasihan pada anak, tetapi demi tugas yang telah diberikan saya perlu melaksanakannya.
“Ada juga kes itu, ibu yang telah bersalin di rumah mengalami pendarahan sewaktu melahirkan anak sehinggakan satu selimut penuh dengan darah. Memang mencabar keadaan waktu itu. Kejadian itu berlaku pada waktu pagi juga. Pada ketika itu saya sedang tidur tetapi disebabkan saya seorang staff nurse dan dalam keadaan on call, maka saya perlu menjalankan tugas.
“Jururawat masyarakat bila mengalami kes berisiko begitu dia terpaksa memanggil kita. Kalau kita boleh menguruskan kes tersebut, kita akan cuba sedaya upaya membantu. Tetapi jika tidak boleh, kita akan memanggil doktor untuk menguruskan kes tersebut,” terang Norma tentang tugasnya.
Ads
Akui Norma, menjadi bidan agak mencabar. Terpaksa menghantar ibu mengandung yang tidak sedarkan diri dalam ambulans sepanjang perjalanan menuju ke hospital adalah pengalaman paling mencabar pernah dihadapinya sepanjang bertugas.
Tempat Rujukan Keluarga
Anak-anak dan suami sering ditinggalkan jika Norma On Call
Sebagai seorang bidan, pertama kali menyambut bayi memang tidak dapat dilupakan. Ini adalah kerana di tangan seorang bidan itulah nyawa seorang ibu dan bayi yang bakal dilahirkan itu.
“Dua nyawa kita perlu jaga. Tetapi setiap kali kita pergi menguruskan kes ibu bersalin di rumah terutamanya yang ada kes pendarahan, saya tawakal sahaja. Alhamdulillah, setakat ini saya dapat membantu ibu melahirkan anak dengan selamat.
“Pada saya kalau dapat menyambut bayi dengan selamat, saya rasa bersyukur. Apabila melihat ibu itu selamat, lagi bertambah seronok. Rasa berdebar dan takut bercampur tterutamanya jika ada sebarang komplikasi berlaku,” kata Norma menceritakan pengalaman itu.
Setakat ini Norma berjaya membantu menyambut 30 kes ibu melahirkan anak di hospital. Dia juga pernah menyambut lebih kurang 10 kes melahirkan anak di rumah.
Ads
“Sekarang ini jarang wanita melahirkan bayi di rumah. Saya sering menasihatkan pada pesakit, kalau boleh jika ada tanda hendak bersalin perlulah mereka pergi ke hospital. Kami tidak menggalakkan ibu melahirkan bayi di rumah kerana dikhuatiri akan ada komplikasi,” sarannya.
Norma mengakui dia amat berani ketika membantu ibu hamil melahirkan bayi. Namun dia tidak menafikan setiap kali tiba masa untuk dirinya bersalin, perasaan takut tetap ada dalam diri.
“Saya telah mempunyai tiga orang anak dan kini sedang hamil anak keempat. Setiap kali mahu melahirkan anak, saya akan rasa takut tetapi perasaan itu tidak perlu ditunjukkan terutamanya kepada ibu-ibu hamil lain,” katanya dengan wajah berseri-seri.
Kata jururawat berusia 37 tahun ini lagi, dia sering menjadi tempat rujukan keluarga berkaitan masalah kesihatan yang dialami oleh ahli keluarga.
“Dalam keluarga saya, tidak ada yang menjadi jururawat. Masa keciL, saya ada niat hendak menolong keluarga yang sakit kalau saya dapat jadi jururawat. Setelah saya berjaya jadi jururawat niat saya itu tercapai. Semasa ibu mentua sakit, sayalah yang menjaganya. Pernah suami saya berkata untung dia kahwin dengan jururawat,” kata Norma sambil tersenyum.
Ads
Aktif Aktiviti Sihat
Sibuk bekerja juga tidak pernah membataskan Norma untuk bergiat aktif terutamanya dalam aktiviti-aktiviti berkaitan penjagaan kesihatan.
“Saya aktif terutamanya dalam aktiviti senaman seperti zumba, tarian Bollywood, tarian Arab dan banyak lagi. Setiap kali ada Hari Jururawat, saya akan menawarkan diri untuk mengajar senaman tersebut. Malah, jika ada program untuk menurunkan berat badan oleh jururawat, saya jugalah jurulatihnya. Dalam program Go Fit Don’t Quit anjuran Kementerian Kesihatan pada tahun lepas, saya telah mencari jururawat yang mengalami masalah obesiti. Saya akan mengajar mereka cara menjaga pemakanan dan senaman yang sesuai untuk menurunkan berat badan.
“Sebagai jururawat kita perlu bertenaga dan sihat. Tambahan pula, jika semasa bertugas kita perlu menasihatkan pesakit itu menjaga kesihatan dan pemakanan. Pesakit akan percaya kata-kata kita jika kita berada dalam keadaan yang sesuai untuk menasihati mereka,” ujarnya mengakhiri perbualan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Ayah ini, Sahrom Ahmad, 59 terbang ke United Kingdom. Hajat hatinya mahu melihat majlis graduasi anak perempuannya, Nur Amalina Sahrom, 28.
Ujian menimpanya. Pada 12 Disember lalu, dia rebah diserang strok. Mengalami pendarahan otak dan perlu dibedah di Hospital Charing Cross, London.
Selepas menjalani proses rawatan kira-kira tiga minggu, doktor yang merawat mengesahkan Sahrom boleh dibawa pulang ke Malaysia.
Menerima rawatan di ICU di luar negara, bukan sedikit bil yang perlu dibayar. Keadaan semakin sukar, apabila polisi insurans pelancongan yang diambil oleh Sharom adalah ‘pay and claim’ (bayar dan tuntut) kemudian.
Keluarga ini kembali buntu. Mahu membawa pulang seorang pesakit yang baru disahkan stabil tentunya memerlukan bantuan perubatan dan logistik bagi membolehkan Sahrom pulang ke tanah air dengan selamat.
Dan semua itu melibatkan kos.
Nur Amalina yang merupakan anak sulung daripada dua beradik ini memaklumkan kos perubatan bapanya di sana saja dianggarkan berjumlah RM366 000.
Perlukan Lagi RM150K Agar Boleh Bawa Ayah Pulang
Dan kisah pesara swasta yang tak kesampaian melihat majlis graduasi anak perempuannya itu akhirnya viral. Keluarga ini mendapat sokongan dan bantuan daripada badan NGO yang melawat mereka di sana.
Melalui status facebook, Muzammil Ismail, Biro Perhubungan Antarabangsa Armada PPBM, memaklumkan Kelab Bunga Raya – United Kingdom, serta Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Kedutaan Malaysia London, Suhaimi Jaafar, Pengarah Education Malaysia London Assc. Prof Dr Shafie dan staff MARA, JPA telah bertemu dan berbincang dengan keluarga Sahrom melalui Amalina (anak) dan ibu saudaranya, Norehan Desa.
Dalam pertemuan yang turut dihadiri doktor pakar yang merawat Sahrom, Dr Ismail Dan Dr Mirch dan juga wakil doktor akan membantu proses perpindahan pesakit dari luar negara ini ke Malaysia melalui NGO, Medivac.
Bagaimana pun, keluarga ini masih memerlukan bantuan dana sebanyak RM150K untuk membolehkan membawa Sahrom pulang ke Malaysia.
Tentunya hajat keluarga ini dapat ditunaikan dengan bantuan rakyat Malaysia yang prihatin.
Anda warga prihatin, sudilah hulurkan sumbangan seberapa yang mampu pun agar ayah ini dapat pulang ke tanahair dan menerima rawatan di sini.
Foto: Facebook Mohd Bukhari Zainal Anuar Terima Kasih: Pa & Ma
Membaca kisah kanak-kanak malang ini di dada akhbar dan laman sosial air mata penulis mengalir berjujuran. Apatah lagi apabila bapanya menerusi akaun Facebook Mohd Bukhari Zainal Anuar sering memuat naik perkembangan terbaru mengenai kesihatan anak kesayanganya Muhammad Fawwaz Adli Mohd Bukhari, 6.
Bayangkan anak yang sihat dan aktif sebelum ini tiba-tiba hanya terlantar dan sesekali merengek cukup membuatkan sesiapa melihatnya mengalir air mata. Begitulah nasib yang menimpa Fawwaz, yang kini hanya terlantar dan mampu mengelipkan mata selepas parah dihempap peti ais pada 12 Julai tahun lalu.
Kejadian itu berlaku di rumah mereka di Taman Desa Cempaka, Nilai, Negeri Sembilan dan kini Fawwaz menerima rawatan di Wad Hospital Wanita dan Kanak-Kanak di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Selepas setengah tahun peristiwa hitam itu berlalu, kehidupan Fawwaz telah berubah 360 darjah setelah doktor mengesahkan Fawwaz mengalami masalah pendarahan di kepala dan kekejangan saraf akibat daripada peristiwa hitam itu.
Dari seorang kanak-kanak yang ceria, Fawwaz kini hanya mampu terbaring di atas katil, tiada daya untuk bangun berdiri dan tidak boleh berkata-kata melainkan sesekali mengerang kesakitan selepas beberapa kali menjalani pembedahan.
Ibu dan ayah Fawwaz.
Menerusi perkongsian pengacara televisyen iaitu Fedtri Yahaya, dia telah berkongsi keadaan terkini adik Fawwaz ketika melawat kanak-kanak itu bagi mengetahui perkembangan terkininya. Keadaan adik Fawwaz cukup membuatkan sesiapa melihatnya menitik air mata.
“Adik Fawwaz ditimpa peti ais 1.8 Meter. Sudah 4 kali jalani pembedahan sejak Julai tahun lalu. Doakan kesembuhannya. Ibu ayah tak dapat bekerja buat sementara waktu kerana fokus penjagaan anak. Mereka berniaga air balang di Nilai,” kongsi Fedtri Yahya yang turut memohon bagi sesiapa yang bermurah hati untuk menghulurkan sumbangan dan meringankan beban adik keluarga Fawwaz.
Keluarga Sentiasa Berikhtiar
Penulis juga sempat menghubungi ayah Fawwaz, Mohd Bukhari dan dia turut memberi keizinan untuk kami kongsikan kisah yang menimpa anaknya.
“Kami sekeluarga sentiasa berikhtiar untuk melakukan pelbagai rawatan untuk lihat Fawwaz kembali tersenyum. Selain tidak dapat bertutur dan berjalan, kedua-dua kaki Fawwaz juga bengkok selepas demam sawan seminggu selepas kejadian,” terang Mohd Bukhari yang turut menerangkan, doktor menjangkakan keadaan anaknya kekal, tetapi dia masih menaruh harapan melihat Fawwaz kembali normal.
Anak sulung Mohd Bukhari telah dimasukkan ke HKL sejak 17 Disember lalu dan masih menunggu tarikh menjalani pembedahan susulan VP Shunt untuk memasukkan saluran tiub dari kepala ke perut.
“Fawwaz pernah dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban lima bulan. Dia sering keluar masuk hospital sepanjang tempoh itu dan paling lama berada di wad dua bulan sebelum dimasukkan ke HKL. Setakat ini, Fawwaz menjalani sembilan pembedahan di kepala dan menurut doktor ada lagi pembedahan cuma belum ada tarikh kerana perlu menunggu keadaannya stabil,” jelasnya.
Sewaktu dihubungi juga Mohd Bukhari tidak keberatan berkongsi menerangkan situasi terkini anaknya.
“Pada 1 Februari lalu, pakar bedah otak datang buat pemeriksaan pada Fawwaz. Dalam masa tiga hari lalu otot badan Fawwaz kerap kejang sehingga ada kalanya badan
Fawwaz tak dapat nak lurus. Dalam keadaan sekarang Fawwaz kejap-kejap merenget di sebabkan ketidak selesaan pada badan dan mungkin juga sebab sakit.
“Doktor juga sudah ambil sample air otak dan darah dan pada pagi 2 Februari doktor akan maklumkan keputusan sample darah dgn air otak tu.Takut juga ada jangkitan lain sebab Fawwaz dah mula demam balik.
“Dari apa penjelasan doktor pada pandangan luar Fawwaz jadi kejang mungkin sebab tekanan air dari otak tu terlalu tinggi sehingga perut Fawwaz tak mampu nak serap air.
“Selepas dah banyak kali pembedahan ruang di perut Fawwaz makin kecil dan sempit dan sebab itu tak mampu menyerap air yang terlalu banyak. Jika keadaan berterusan doktor akan mengambil pilihan terakhir buat pembedahan lagi bagi mengalihkan saluran tu dari perut tukar ke jantung.
“Syukur alhamdulillah pada 2 Februari juga Fawwaz baru saja selamat melakukan pembedahan kecil bagi mengeluarkan semula tiup yang sebelum ni disalurkan ke dalam perut.
“Doktor pakar akan membuat pemantauan terhadap cecair otak yang keluar sama ada masih banyak ataupun sebaliknya sebelum doktor membuat keputusan terakhir sama ada mahu masukkan semula ke saluran perut atau saluran jantung.
“Sebolehnya doktor cuba untuk mengelak dari masuk ke jantung sebab risiko tinggi. Apa-apa pun kena tunggu keputusan muktamat dari doktor,” ungkap Mohd Bukhari yang turut meluahkan segala perkembangan terkini anaknya menerusi Facebook miliknya.
Mohd Bukhari juga menerangkan dia turut mengucakan ribuan terima kasih kepada semua sahabat-sahabat yang tak putus-putus mendoakan kesembuhan Fawwaz dan yang menghulurkan sumbangan. “Semoga Allah akan membalas kamu dengan banyak kebaikan dan semoga Allah akan memberi ganjaran kepada kalian dengan balasan yang terbaik,” ungkapnya.
Belanja Beribu Ringgit Mohd Bukhari juga akui sudah berbelanja beribu ringgit untuk kos rawatan Fawwaz.
“Saya membelanjakan ribuan ringgit untuk Fawwaz termasuk ikhtiar rawatan tradisional. Usaha itu dilakukan bagi melihatnya sihat, tetapi buat masa ini saya bergantung sepenuhnya dengan rawatan hospital. Kos pembedahan susulan (VP Shunt) perlu ditanggung sendiri dan itu belum termasuk bil rawatan harian,” sambungnya yang terpaksa berhenti berniaga air balang kerana perlu memberi perhatia kepada Fawwaz di wad.
BAGI ANDA YANG MAHU MENGHULURKAN SUMBANGAN KEPADA FAWWAZ BOLEH BERBUAT DEMIKIAN MELALUI AKAUN BAPANYA 5622-6354-7454 (MAYBANK-MOHD BUKHARI).
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Wahai mak-mak yang sedang mengandung di luar sana, ingatlah. Walau seteruk mana pun pekerjaan anda, ajarkanlah diri agar tetapkan dalam kepala ‘Kalau penat.. berehatlah’.
Masa hamil inilah ibu kena banyak berehat dan tenang fikiran. Kerehatan itu bukan sebab baby dalam perut semata-mata tapi kesihatan diri anda itu yang paling utama. Bila ibu sihat, bayi pun sama-sama jadi sihat. Dan sebaliknya yang jadi jika ibu tak cukup rehat atau keterlaluan penat.
Inilah kisah benar yang terjadi pada Puan Zalmah Mat Amin ketika mengandungkan anaknya yang kedua. Kisah yang berlaku pada 20 November 2016 ini merobek hatinya. Menyedarkan banyak hal akan apa yang telah dilaluinya.
Inilah catatan beliau yang mana ia bertujuan untuk memberi pengajaran buat mak-mak yang ketika ini sedang mengandung. Bukan tujuan mahu menakut-nakutkan, tapi ikhlas mahu memberi kesedaran ‘KALAU PENAT, BEREHATLAH MAK-MAK MENGANDUNG’
Saya Usap Perut Sambil Menangis
Assalammualaikum dan salam sejahtera ibu-ibu dan bakal ibu semua. Kisah yang saya nak kongsikan ini berlaku pada 29 November 2016.
Ambillah sebagai ikhtibar dengan apa yang berlaku pada anak kedua saya. Waktu itu, kakaknya berumur 3 tahun lebih.
“Pada permulaan preggy yang kedua, condition kesihatan saya tip top. So happy sangat sebab masa mengandung kaka dia, saya ada diabetes dan darah tinggi. Tapi under control lagi.”
Ketika mengandung kali itulah pelbagai masalah dan ujian menimpa hidup menyebabkan saya stress dan teramat penat.
“Dalam bulan 3 doktor detect saya ada darah tinggi dan kencing kotor. Pernah kena stay 3 malam di HKL. Kena makan ubat darah tinggi pun iya.
“Masalah-masalah saya itulah menyebabkan saya menjadi terlalu berdikari. Hingga terlupa yang saya ini mengandung.”
Walau terlalu penat, saya gagahkan diri hingga terlupa baby saya pun dah terlalu penat di dalam. Saya selalu usap-usap perut saya menangis agar anak saya bertahan.
Baby dalam kandungan beliau ternyata begitu aktif. “Dia menendang-nendang tak kira waktu.”
Pakar Maklumkan Saya Dan Baby, 50-50
Sampailah bulan November, kandungan beliau dah memasuki 7 bulan. Masa itulah, dia sedar yang baby dalam perut kurang bergerak.
“Saya pergi ke klinik dan akibat darah tinggi, saya dirujukkan ke hospital. Saya pilih Hospital Serdang sebab dekat dengan rumah. Dan akhirnya saya diwadkan.
“Ubat darah tinggi dan sawan ikut saluran darah diberikan, segala pakar masuk menemui saya dan memaklumkan condition saya 50-50.
“Baby saya tak mampu survive hingga cukup bulan. Air ketuban yang kurang dan kalau diteruskan dua-dua akan OUT!. So doktor pilih ibu. Masa itu hujan air mata selebat-lebatnya.
Saya merayu pada doktor buatlah sehabis baik untuk selamatkan anak saya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dan Maha Berkuasa.
“Baby saya pergi juga meninggalkan saya dan dunia ini. Tenanglah sayang di sana bertemu Penciptamu. Tidak sedetik pun Mama melupakan Sayang dan Mama terlalu ingin bertemu Sayang.
“Mama titipkan salam rindu buat sayang setiap kali lepas solat. Mama terasa sangat ikatan antara kita walau kita di alam berbeza.”
Ingatlah Pesan Ini Mak Mengandung.. BEREHATLAH!
Sebenarnya terlalu banyak yang ingin saya kongsi. Tapi cukup untuk kali ini buat bakal-bakal ibu, jagalah kesihatan baik-baik.
Jangan buat kerja berat-berat.
Makan ubat ikut waktu.
Jangan cuba-cuba skip ubat.
Rehatlah secukupnya.
Buat anakku arwah Putra Muhamad Firas Firdawsi, Mama bangga memiliki Sayang. Doakan Mama tabah menghadapi ujian-ujian hidup yang sementara ini. Sayang berkorban untuk Mama di sana. Mama, Papa dan kakak Mayra sangat merindui sayang.
Apabila aku dengar DPP bagitahu terdapat kesan air mani di dalam dubur anak aku .YA ALLAH gelapnya dunia .Tergamak kau buat anak aku yang baru 9 bulan. Kau tak layak dipanggil manusia!!! Kau memang binatang!!!