
Penting sebenarnya pastikan kemas dapur bagi bersih sebelum mak-mak masuk tidur. Kalau lah isteri tak larat sangat dah nak kemas, suami ambil lah tanggungjawab kemas bersih dapur. Terutama dalam sinki rumah anda tu.
Jangan bagi ada walau seketul pun pinggan atau cawan tak berbasuh. Bak kata Khairul Abdullah ini, dapur itulah nadi rumah tangga. Dan penentu mood untuk masak sedap esok pagi dan seterusnya.
Baca sini : Ketika isteri penat sangat, suami cuci pinggan, kosongkan sinki sebelum tidur.
Hadamkan perkongsiannya,
Antara benda yang aku paling malas, namun aku paksa diri buat setiap malam adalah kemas dapur.
Kenapa aku paksa diri?
Sebab, dapur ni menentukan mood aku esok pagi. Kalau bangun pagi pergi dapur dan tengok segala mangkuk pinggan dalam sinki dan segala mak nenek benda ada atas table top tu maka aku terus hilang mood.
Bukan setakat hilang mood, stress pun ada, malas pun ada dan meluat pun ikut serta.
Mood pagi biasanya akan menentukan mood kita seharian. Jadi sebolehnya aku nak mood pagi aku best-best sahaja. Bangun pagi ke dapur nampak semua kemas elok maka semangat sikit nak buat breakfast, semangat nak plan masak apa, semangat sikit nak mulakan hari.
Penting Kemas Dapur Sebelum Tidur
Anak-anak bangun dan terus sepahkan living room tu pun aku cool jer sebab mood aku baik. Tapi kalau dapur berselerak dan budak-budak tu tambah lagi sepah maka beranginlah aku hari tu.
Dapur ni bagi aku adalah nadi sebuah rumah atau ibarat “engine room” bagi sebuah kapal. Kalau yang ni semua ok, Insha-Allah yang lain ikut ok.
Sebab tu walaupun malas tahap tak boleh bincang dah atau aku tertidur awal, aku akan bangun malam dan gagahkan diri turun ke bawah dan kemaskan jugak.
Sesungguhnya dapur itu pemberi bahagia.
Majulah dapur untuk keluarga.

P/s. Para suami yang asyik geledah dapur lewat malam tu mohon kemas balik dan basuh pinggan lepas makan supaya isteri korang tak bad mood esok pagi.
Sekian.
MW : Rasulullah pun ada sebut, meninggalkan pinggan mangkuk tak berbasuh sebelum itu mewarisi kepapaan. Jadi, nak kaya murah rezeki, kenalah kemas bersih pinggan mangkuk tu sebelum tidur ya.
Sumber/Foto : KHAIRUL ABDULLAH #SuperDaddy
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Ibu Ini Ajar Anak Surah Al-Ikhlas Ikut Potongan Ayat, Mula Seawal 6 Tahun Pertama Untuk Kesan Luar Biasa

Isi Kandungan
ToggleAnak-anak ini perlu dibentuk dari rebung lagi. Seawal usia 6 tahun pertama, mereka dah perlu didedahkan dengan ayat-ayat Allah. Ibu ini, Nurkhomsiah Bakrim berkongsi cara didik anak-anaknya hafal surah Al-Ikhlas dengan kaedah potongan ayat.
“Jangan LAMBAT perkenalkan Allah dalam kehidupan awal seorang anak.”
“Jangan BIARKAN orang lain mengambil alih amanah ini.”
Kata-kata ini selalu buat saya tersentap.
Kadang-kadang terasa anak masih kecil.
Kadang-kadang terasa ustaz/ustazah di sekolah lebih layak.
Hakikatnya..
IBU BAPA ialah individu yang paling layak memperkenalkan Allah kepada anaknya sendiri.
6 TAHUN PERTAMA ialah masa terbaik untuk mind programming seorang anak.
Atas dasar inilah Nurkhomsiah perkenalkan Quranic Playtime pada anak-anak kecilnya. Untuk aktiviti ini, beliau memilih surah Al-Ikhlas.
“Walaupun ini bukan kali pertama buat aktiviti berdasarkan surah ini, revision and repetition adalah satu keperluan buat semua insan biasa yang sifatnya selalu terlupa dan berdosa.”
Ibu Bahagikan Pelajaran Surah Al-Ikhlas Kepada 2 Aktiviti
Aktiviti 1 : Bacaan Al Quran Dan Kaedah Penceritaan Al Quran
Mak-mak boleh terangkan kisah sebegini pada anak-anak:
Pada suatu hari, sekumpulan orang Yahudi datang kepada Nabi Muhammad S.A.W. Antara rombongan tersebut ialah Ka’ab bin Asyraf dan Huyay bin al-Khattab.
Salah seorang daripada mereka bertanya, “Wahai Muhammad, gambarkanlah kepada kami bagaimanakah ciri-ciri Tuhan yang kamu sembah?
Kemudian, Allah S.W.T menjawab persoalan mereka dengan memerintahkan Malaikat Jibril menurunkan surah al-Ikhlas sebanyak 4 ayat.
Mak-mak jangan lupa untuk mantapkan dan perbaharui iman anak dengan checklist soalan-soalan berkaitan:
- Siapa Tuhan kakak dan adik?
- Siapa cipta kakak dan adik?
- Berapa Tuhan kakak dan adik?
- Siapa bagi kakak dan adik makanan?
- Siapa bagi kakak dan adik sihat?
Aktiviti 2 : Susunan Ayat Ayat Surah Al-Ikhlas
Objektif akativiti ini adalah untuk melakukan:
√ Pengulangan bacaan ayat demi ayat dan maksudnya dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.
√ Memperkenalkan dan menyusun Al-Quran per kata untuk menghasilkan satu surah lengkap.
√ Menghias surah yang sudah lengkap untuk merangsang kreativiti dan mewujudkan perasaan lebih menghargai ayat-ayat Allah. (Hasil kerja mereka di laminate dan disimpan di dalam sebuah fail khas)

Refleksi Di Sebalik Aktiviti Surah Al-Ikhlas
Mak-mak boleh lihat kembali di sebalik aktiviti yang diperkenalkan pada anak-anak ini, mereka akan mendapat hasil luar biasa yang berikut:
Surah al-Ikhlas sangat pendek tetapi mengandungi makna setanding dengan sepertiga al-Quran. Jika kita mahu berkenalan dengan Allah dan memperkenalkan Allah kepada anak-anak, fahamilah surah ini.
Semakin anak membesar, kita berusaha dan berdoa anak dapat keyakinan:
– Ibu bapa tidak sentiasa melihat mereka, tetapi Allah Maha Melihat.
– Sungguh Ibu bapa tidak mengetahui segala yang mereka sembunyikan, tetapi Allah Maha Mengetahui.
– Dan ibu bapa tidak mampu menolong mereka setiap masa, tetapi Allah Maha Menolong.
Anak perlu dididik Allah S.W.T tidak mempunyai ibu bapa dan anak seperti manusia. Allah tidak mempunyai keturunan serta tidak bertambah atau berkurang. Allah tidak berubah kerana zat-Nya Maha Sempurna. Dia wujud dan kekal abadi. Tiada sesuatu pun di dunia ini yang setara atau menyamai sifat dan zat Allah S.W.T.
Aktiviti menyusun per kata surah Al-Ikhlas membantu anak-anak belajar sambil bermain. Otak mereka sangat cepat pick up perkataan jawi yang banyak diulang-ulang dalam al Quran. Contohnya, “Allah”.. “Qul”.. “Lam”
So, don’t underestimate our children’s potential.
Kad Potongan Surah Yang Boleh Ibu Print Untuk Buat Aktiviti Surah Al Ikhlas
Sumber/Foto : Nurkhomsiah Bakrim
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Suami Jangan Pulang Muka Masam, Elak Isteri Dan Anak ‘Tawar Hati’

Kalau difikirkan tugas dan kerja di pejabat memang tak pernah habis. Malahan, ada sesetengah mak ayah yang bawa pulang kerja di rumah. Kesannya yang boleh dilihat bila reaksi muka masam sebaik pulang. Tahu sahaja mesti ada masalah yang dihadapi.
Sebenarnya, sebarang masalah atau kerja tak siap di tempat kerja, tak perlulah membawanya ke rumah. Inilah yang memberi kesan kepada ahli keluarga. Raut wajah pasangan sama ada suami atau isteri boleh dilihat apabila ada masalah.
Jika belum berkahwin, hal ini bolehlah diselesaikan sendiri dan tiada siapa yang tahu. Tapi bagaimana bila dah berkahwin dan mempunyai anak, cara ini masih tetap sama dan tidak berubah. Dengan raut muka masam ini, sudah tentu ahli keluarga baik isteri atau anak tidak berani untuk tegur atau datang dekat.
Kasihanilah pasangan dan anak yang setia menunggu di rumah dan sabar menanti kepulangan. Melihat keadaan ini, mahunya mereka tawar hati dan tidak gembira.
Jadi, buat suami atau bakal suami mahupun pasangan masing-masing jangan terlalu mengikut perasaan. Belajarlah melayani pasangan dengan baik dan praktikkan apa yang dinasihatkan oleh Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan ini.
Baca Artikel Menarik Lain Di Sini: 7 Tip Supaya Suami Rindukan Isteri & Cepat Pulang Ke Rumah
Jangan Pulang ‘Tangan Kosong’ Ke Rumah. REZEKI Bertambah Bila Kongsi Dengan Keluarga
Info Lebih Menarik DI SINI
Elak Muka Masam – NASIHAT BUAT PARA SUAMI DAN BAKAL SUAMI
1. Teruk mana pun dugaan di tempat kerja, kau tak usahlah pulang bawa muka masam dan kelat. Isteri dan anak-anak di rumah tak sabar nak tunggu kepulangan kita. Kalau asyik muka bengis, lama kelamaan mereka tawar hati. Elok bawa pulang buah tangan.
2. Isteri adalah hati dalam sesebuah keluarga. Jika isteri tak gembira, maka seisi rumah akan turut tak gembira. Anak-anak akan kuat meragam, makan minum tak terjaga, rumah tak terurus, walaupun rumah itu ada pembantu rumah. Jadi, jaga hati isteri baik-baik.
3. Kalau isteri marah, cepat-cepatlah pujuk. Tak usah biarkan isteri keluar rumah dengan hati sedih dan terluka. Di luar sana ramai lelaki baik yang inginkan wanita yang baik-baik, seperti isteri kau. Jadilah lelaki yang terbaik buat isteri kau yang baik tu.

4. Isteri akan cepat syak wasangka jika kita selalu menyembunyikan status perkahwinan. Oleh itu, kalau pergi mana-mana majlis, elok bawa sekali isteri. Kenalkan dia pada kawan-kawan kita. Tapi kalau dia tak mahu ikut, tak usahlah dipaksa. Pujuk elok-elok.
MW: Baik suami atau isteri tidak perlulah bawa masalah kerja balik ke rumah. Bila ada masalah, secara tak langsung, kita akan lepaskan pada anak-anak, walaupun anak hanya buat salah yang kecil sahaja.
Sumber: Dr. Kamarul Ariffin Nor Sadan
Nasihat untuk diri sendiri
Follow kami di :
Facebook Mingguan Wanita
Instagram Mingguan Wanita
Twitter Mingguan Wanita
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Didiklah Anak Cara Yang Betul, Kawal Emosi Kita, Tegurlah & Perbaikilah Sikap Mereka Mengikut Usianya

Isi Kandungan
ToggleBuat mak ayah,didiklah anak sebaiknya dengan cara yang betul. Kawallah emosi tatkala berhadapan dengan anak-anak. Tegurlah dan perbaikilah sikap anak-anak mengikut peringkat usia mereka.Seharusnya ketegasan mak ayah itu perlu, namun hendaklah bertempat.
Tidak dapat dinafikan sebagai mak ayah, adakalanya kelakuan anak-anak memang mampu menguji kesabaran yang maksima.Ketika ini, pertimbangan dan kewarasan fikiran harus didahulukan berbanding mainan emosi.Anak-anak perlukan teguran melalui kasih sayang, secara baik, bukannya melalui herdikan mahupun tengkingan yang mampu mencalar emosi dan perkembangan mereka.
Semoga secebis perkongsian oleh Ustaz Ws Adli W Muhammad ini mampu dijadikan pengajaran dan iktibar buat kita.
Ada orang tanya saya, bagaimana cara terbaik untuk mendidik anak. Saya tidak layak menjawab soalan begitu. Yang saya boleh katakan, saya bukanlah bapa yang baik, yang boleh dijadikan contoh kepada yang lain.
Ada satu peristiwa yang benar-benar sehingga kini mengganggu diri saya. Setiap kali dikenang, saya tidak malu katakan bahawa saya menangis. Pernah juga saya teresak-esak tidak dapat menahan betapa sesalnya saya berbuat perkara tidak baik dalam mendidik anak saya, Safiyyah. Apalah beban yang perlu ditanggung pada usianya yang hanya berumur empat tahun ketika itu.
Ceritanya begini.
Sejak Safiyyah mempunyai adik, dapat dilihat bahawa dia banyak cemburu. Safiyyah ini sejak lahir tidak pernah meragam besar, hanya kecil-kecil sahaja ragamnya seperti mahukan susu, mahu tidur dan mahu berjalan di luar rumah. Budaknya diam, tidak banyak bercakap. Melainkan apabila diacah oleh kami dan saudara mara.
Di dalam rumah kami, Safiyyah mempunyai motor beroda tiga berkuasa bateri yang boleh ditunggangnya di dalam rumah. Yang saya perasan, apabila adiknya Riyadh, ketika itu sudah berusia 2 tahun mahu bermain bersama, akan ditolak adiknya. Yalah, padanya itu harta dia. Budak-budak. Banyak kali saya lihat, Safiyyah suka menolak adiknya itu apabila cuba menaiki motornya.
Sampailah suatu hari pada waktu senja, mereka bergaduh pasal motor tu. Safiyyah seperti biasa akan jadi pemenang, menolak adiknya sehingga jatuh terduduk. Riyadh menangis besar.
Kata Kasar Dengan Anak Usia 4 Tahun
Saya yang masa itu mahu ke bilik air untuk mandi, naik marah. Memarahi Safiyyah sunguh-sungguh dengan mengatakan padanya, dia seorang kakak yang kedekut, suka cari pasal, bencikan adik dan paling saya ingat sampai sekarang “Abah tak akan cakap lagi dengan Safiyyah”.
Kau bayangkan kawan, saya berkata kasar begitu kepada anak kecil yang baru berusia empat tahun. Safiyyah menangis. Tersedu-sedu dan membawa diri ke bilik wan (nenek) nya. Berjalan penuh sayu, menunduk sambil tangan kanan mengesat-ngesat air mata yang jatuh berjurai di pipinya. Sayu, teramat sayu dan pilu.
Saya terus dalam keadaan marah masuk ke bilik air. Mulut masih lagi membebel. Selesai mandi saya kembali ke bilik. Sudah sahaja memakai pakaian, saya pun bersedia untuk keluar dari bilik menuju untuk bersolat maghrib di ruang tamu. Ketika mahu keluar,di dinding, bersebelahan pintu bilik, Safiyyah duduk di situ.
Dengan kedua-dua tangan memeluk lutut yang mana lututnya itu di paras dadanya, kepalanya tertunduk, dan dia kemudian memujuk saya dengan mengangkat kepala memandang ke arah saya, perlahan suaranya tersedu-sedu memanggil “Abah, abah, Safiyyah ni”.
Itulah Safiyyah. Kena marah macamana pun, tak sampai seminit dia akan cuba mengambil hati saya dengan menunggu di pintu bilik. Banyak kali sudah dibuatnya begitu.
Ego Dengan Anak
Itulah perkara paling bodoh saya lakukan dalam hidup saya hari itu. Saya langsung tidak menyahut panggilan Safiyyah, dan lebih malang bagi Safiyyah, saya tidak langsung menghiraukannya. Terus membentang sejadah dan bersolat maghrib, dalam keadaan marah hanya reda sedikit.
Safiyyah pula, kekal duduk bersandar di dinding, dengan harapan saya akan memujuknya.
Tidak. Saya terus tidak melayannya. Keluar dari rumah, untuk ke masjid pula, saya terus dengan ego bodoh saya terhadap anak kecil itu, tidak memandang dan melayannya.
Ketika saya bergerak ke masjid dengan menaiki motorsikal, saya sempat memandang ke arah pintu cermin, kelihatan Safiyyah memandang sayu ke arah saya. Saya pula, kekal tidak pedulikannya.
Kalian tahu, hari itu anak kecil bernama Safiyyah ini diuji perasaannya pada usia begitu dengan sikap sombong dan bodoh bapanya, iaitu saya.
Sungguh, pandangan sayu Safiyyah hari itu, masih kekal dalam ingatan saya.
Di masjid, sebelum Ustaz Jauhari memulakan kuliahnya, beliau suka bermula dengan mukadimah berkaitan isu-isu semasa. Entah kenapa hari itu, beliau memberi peringatan dan pengajaran berkaitan mendidik anak dengan betul.
Katanya:
1. Mendidik anak bukan seperti mendidik orang dewasa, perlu belaian dan kasih sayang yang berlebihan daripada walinya dan ibunya.
2. Tarik minat anak-anak dengan ilmu agama, sirah nabi.
3. Tegur anak dengan baik, bukan menengking, memboikot malah menarik muka mahupun tidak bertegur sapa beberapa hari.
4. Rujuk cara nabi Muhammad melayan anak-anak.
5. Anak kalau bergaduh sesama, itu biasa. Bagi masa untuk mereka suaikan diri, bagi peluang semua merasa dan bagi menang-menang, bukan sorang menang, sorang kalah.
6. Anak merajuk, ambil hati anak. Bukan dibiarkan begitu sahaja dengan dunia rajuknya.
7. Dengarkan anak dengan bacaan al Quran dari bibir kita sendiri, perlahan-lahan anak ini akan jadi anak yang patuh pada arahan kita, lembut hatinya mendengar kata.
Saya termenung. Semasa itulah saya sedar, betapa bodoh dan sombongnya tindakan saya terhadap Safiyyah. Tindakan paling bodoh diambil untuk budak seusia begitu. Ya Tuhan, ampuni aku.
Mengikut marah saya, saya lupa perasaan Safiyyah yang masih kecil. Saya lupa betapa dia perlukan kasih sayang saya. Saya lupa, betapa dia suka duduk di atas riba saya. Saya lupa, bahawa umurnya ketika itu baru empat tahun. Saya silap, bukan itu didikan untuk Safiyyah pada usianya begitu. Saat itu, hati saya mendesak untuk pulang segera, bertemu dan memeluknya erat sepuas-puasnya.
Selesai solat isyak, saya lekas pulang. Hati saya memberontak, mahu terus berjumpa dengan puteri si jantung hati saya. Sesampainya di rumah, isteri membuka pintu, kemudian berkata pula dalam sayu,
“Kasihan Safiyyah. Dia sudah tidur, menangis tidak henti-henti. Abang ni, nak marah ke budak pun, janganlah sampai begitu sekali sikapnya. Tak layan ke dia, tak pandang ke dia, tak tegur ke dia. Apalah yang dia tahu pada umurnya begitu. Dunianya hanya kegembiraan, dunianya hanya penuh permainan yang menyeronokkan. Dunianya, sudah pasti ada cemburu pada adik-beradiknya. Kita pun begitu kan dulu-dulu?”
Tegas Tidak Bertempat
Saya terduduk di atas sofa. Menghadap wajah Safiyyah yang sedang lena di atas toto, dibentang di ruang tamu. Wajah comel itu, sayu dan menyimpan rindu buat ayah yang baru sahaja memarahinya tanpa memikirkan tahap usianya, tanpa memikirkan bahawa Safiyyah itu anak perempuan, yang memerlukan kelembutan dalam asuhan berbeza dengan lelaki.
Saya, bertegas tidak bertempat. Itu semua mencipta tindakan bodoh dari diri sendiri.

Saya perlahan turun dari sofa dan merapati Safiyyah. Mengusap-ngusap kepalanya, menyentuh lembut pipinya. Ketika jari saya menyentuh tapak tangannya, seakan dia tahu ketika itu saya yang menyentuhnya, cepat dia menggenggam dengan jari kecilnya. Erat. Lama bagai tidak mahu dilepaskan.
Saya sebak. Menyesal dengan tindakan melulu saya, menyesal dengan dosa yang telah saya lakukan kepada Safiyyah. Entah kenapa saya hari itu, menuruti kata syaitan memenuhi nafsu amarah, meninggi ego kononnya saya betul lakunya.
Kawal Emosi Dengan Anak
Wahai kawan,
Anak ini anugerah agung kurniaan Allah. Didiklah mereka dengan jalan dan ajaran yang betul dan benar. Tegurlah mereka, perbaikilah sikap mereka mengikut usianya, berikanlah kasih dan sayang sepenuhnya selagi berpeluang. Kawal emosi kita ketika berhadapan dengan mereka. Berikan masa untuk mereka bermanja dengan kita, luangkan masa untuk bersama bergurau senda bermain.
Saya pernah tersasar dalam memperbaiki sikap anak. Betapa sakitnya dan perasaan sesal itu kekal terpahat dijiwa sehingga sekarang. Tak pernah pudar walau sesaat.
Anak menghadirkan berkat dan rahmat buat kita, menambah rezeki keluarga. Tidak pula mereka membebankan kita, apatah lagi menyusahkan hidup kita.
Hadir mereka membawa keindahan dalam kehidupan berkeluarga. Indah jugalah hendaknya cara didikan kita, kelak harapannya apabila membesar setiap tahun, mereka mengikut segala didikan dan ajaran yang baik-baik, dan dapat menempuh alam kehidupan penuh cabaran dengan berpandukan jalan-jalan disukai agama dan masyarakat.
Mereka, pengirim doa bahagia kita di sana, asuhlah sebaiknya.
WS Adli,
Belajar dari kesalahan dan kesilapan diri.
Sumber: Ws Adli W Muhammad
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI