Jika di Barat lazimnya mereka membudayakan amalan cerai lampin, sebelum anak kecil berusia tiga tahun. Walau bagaimanapun tidak ada umur spesifik dikhususkan buat anak anda boleh diajar untuk menggunakan tandas pada waktunya.
Lazimnya menggunakan pendekatan dua pemahaman asas yang penting bagi memastikan misi cerai lampin berjaya. Langkah pertama anak anda sudah mampu bertutur manakala langkah kedua pula si dia mampu membezakan buang air kecil dan juga buang air besar.
Jika anak anda sudah mampu menguasai dua asas penting ini, anda sudah boleh perlahan-lahan memulakan misi mega menghentikan pemakaian lampin pakai buang secara berperingkat.
Berikut adalah beberapa tips yang boleh dijadikan rujukan sebelum anda memulakan misi percubaan cerai lampin.
Cuti PKP dimanfaat sepenuhnya ajar anak bebas lampin
1. Umur
Lazimnya apabila anak di usia dua tahun, dia sudah mampu bertutur dan membina ayat dengan baik. Dalam situasi lain, ada anak-anak yang sudah boleh memahami arahan ringkas seperti mengemas permainan, memasukkan baju kotor ke dalam bakul, minum susu menerusi cawan dan melukis apa-apa sahaja tanpa disuruh di buku contengnya. Mereka juga sudah memahami fungsi tandas untuk apa dan di mana harus dituju sekiranya perlu membuang air kecil ataupun air besar.
2. Mengadu
Anak-anak ini juga sudah pandai meluahkan perasaan mereka seperti rasa tidak selesa apabila lampin pakai buang yang dipakai telah dikotori dengan najis mahupun berat dengan takungan air kencing.
IKLAN
3. Tahu menanggalkan pakaian sendiri
Jika ada perasan, ada masanya anak-anak kecil ini cenderung untuk meniru perbuatan orang lain dan mahu melakukannya sendiri.. Sebagai contoh memakai dan menanggalkan pakaian. Ada diantara mereka yang enggan dibantu dan berusaha memakai pakaian sendiri walaupun ianya tidak sempurna.Ini menunjukkan mereka sudah mengerti fungsi pakaian itu dan tujuannya mengapa ia perlu dipakai.
4. Malu dengan kawan seusia
Situasi ini akan berlaku sekiranya anak-anak ini membesar di persekitaran nurseri. Lazimnya pihak pengurusan menggalakkan anak kecil berusia tiga tahun ke bawah sudah tidak lagi memakai lampin pakai buang. Apabila melihat kejayaan kawan-kawan lain ‘lulus’ ujian memakai seluar dalam tanpa insiden terkencing dan membuang air besar, pasti anak-anak ini teruja mahu melakukan perkara yang sama. Ada waktunya pengaruh kawan sebaya juga memberikan mereka semangat untuk segera meninggalkan lampin pakai buang dan beralih kepada seluar dalam yang sesuai dengannya.
5. Kekerapan ke tandas
Sekiranya anda sedang membuat percubaan cerai lampin, pastikan anda kerap membawanya ke tandas. Contohnya sekitar 20 minit sekiranya melihat dia minum air ataupun susu lebih kerap. Jangan leka dan sebaiknya anda tetapkan masa bagi memastikan anak anda tidak terkencing di tempat yang tidak sepatutnya.
IKLAN
6. Seluar dalam karakter kartun kegemarannya
Jika anda ke pasar raya, apa kata libatkan anak anda ketika membeli seluar dalamnya. Jika ada, belikan seluar dalam yang memaparkan karakter kartun ataupun warna kegemarannya. Mungkin ini menjadikan dia lebih bersemangat untuk meninggalkan lampin pakai buang.
7. Jangan marah
Sabar…sabar dan sabar. Usaha bercerai lampin ini mengambil masa. Akan ada masanya anak anda terkencing tanpa sedar dan tidak memaklumkan kepada anda terlebih dahulu. Jangan marah, elakkan memberi tekanan kepadanya. Maafkan dia, kerana dia sedang cuba menyesuaikan diri dengan perubahan baru dalam hidupnya.
8. Pilih masa yang sesuai
Pastikan anda memilih waktu yang sesuai untuk memulakan sesi latihan cerai lampin ini. Dinasihatkan anda memperuntukkan cuti hari minggu untuk memberi tumpuan kepadanya. Mulakan dengan sesi siang dahulu, setelah nampak dia boleh menyesuaikan diri. Perlahan-lahan kita panjangkan ke sesi malam pula.
IKLAN
9. Jangan dukung
Untuk sesi malam pula, anda digalakkan menetapkan masa di telefon bimbit anda. Jika dia minum susu sebelum tidur, pastikan anda bangun dan menggerak anak anda bangun untuk ke tandas. Elakkan mendukung anak yang sedang tidur dan membawanya ke dalam tandas. Ini kerana anak akan terkeliru dan dia tidak sedar sepenuhnya. Sebaiknya pastikan dia sedar dan pimpin tangannya ke tandas bersama-sama. Cara ini membuatkan anak anda faham, buang air kecil dan juga air besar hanya berlaku di tandas dan bukan di tempat lain
10. Akhirnya…anak anda lulus ujian cerai lampin
Anda akan rasa teruja apabila anak anda mula memaklumkan kepada anda yang dia perlu ke tandas untuk membuang air kecil. Dia juga tidak lagi terkencing di tempat tidak sepatutnya. Sekiranya anak anda mula menguasai perubahan baru itu, dia sudah boleh mengucapkan selamat tinggal kepada lampin pakai buang buat selamanya.
Konklusinya, setiap anak berbeza fasa perkembangannya. Sebagai ibu bapa kita perlu memberi ruang dan galakkan kepadanya dalam apa jua cara sekalipun. Selamat mencuba semoga anak anda lulus dengan cemerlangnya!
Percayalah anak kecil lebih suka tengok rumah bersepah dan lambakkan permainan-permainan mereka. Lagi nampak bersepah, lagi mereka gembira.
Eh, tapi ada orang kata itu jenis mak ayah yang tak pandai ajar anak! Tolong ya, jangan sampai berfikir dan keluarkan pandangan yang agak negatif itu.
Sebenarnya ada anak kecil ini seronok, tengok si kecil gelak pun boleh buat hati bahagia. Tambah pula apabila anak-anak sudah pandai berjalan, memang letih nak melayan karenahnya, tetapi merekalah sebenarnya individu yang mampu ‘merawat’ keletihan kita dikala baru pulang kerja.
Setiap ibu bapa impikan anak yang soleh solehah dan mendengar kata. Kanak-kanak seawal usia 5 hingga 6 tahun agak sukar untuk dikawal. Ya, ramai mak ayah yang tidak dapat menahan sabar apabila anak sepahkan rumah.
Tapi selepas membaca perkongsian ini, pasti ramai ibu bapa akan rasa kecewa dengan diri sendiri kerana merosakkan zaman kanak-kanak mereka.
Tak perlu hairan, memang inilah perkataan para ahli pendidikan anak. Jika anda ada anak-anak, tapi rumah selalu kemas, tersusun, bersih, dan segala sesuatunya di tempatnya, maka itu petanda bahawa anda adalah mak ayah yang agak pelik.
Kenapa? Haaa… rumah sangat kemas padahal ada anak-anak, itu bererti ada tindakan melarang, memaksa, dan ‘tangan besi’ yang diterapkan kepada anak-anak.
Kehidupan Sebenar Anak Dirampas
Percayalah rumah yang selalu kemas itu menunjukkan masa kanak-kanak yang dirampas, daya imaginasi yang terpenjara, dan jiwa yang disekat-sekat.
Anak-anak kita itu lebih penting daripada kerusi, meja, bunga, hiasan dinding, dan karpet yang ada di rumah kita.
Jadi tak payah rasa sakit hati kenapa kalau rumah menjadi kotor, pensil-pensil warna disana sini, dan kertas-kertas bertaburan. Kalau mak ayah melarang bermain, itu seperti anda menyekat mereka daripada terus berkarya. Atau kata mudah bertindak lebih kreatif.
Alaaahh… tak susah pun, kalau nampak anak-anak dah penat dan tak main… ajarlah anak kemas balik. Mudah kan?
Rumah Bersepah Itu Tanda Anak Seronok Dalam Dunia Kanak-kanak
Kertas-kertas yang bertaburan dan terkoyak bersepah adalah petanda hidup anak kita sangat bebas. Jadi anak-anak akan bahagia untuk berimaginasi dan itu petanda bahawa anda adalah mak ayah yang baik dan hebat!
Rumah yang tidak ada anak-anaknya adalah umpama rumah yang tak hidup. Seperti duduk di taman permainan tetapi tak ada kanak-kanak bermain. Nampak?
Maka kalau ada anak-anak yang tengah seronok bermain, ajarilah mereka tentang aturan dan didiklah mereka untuk tertib dengan aturan itu. Jangan jadi mak ayah yang terlalu garang dan lagi teruk sampai anak takut nak bertindak lebih kreatif, tapi biarkan anak terus berani berkarya dan in shaa Allah anak membentuk jadi confident bila disuruh buat sesuatu.
Tip Didik Anak Kecil Suka Sepahkan Mainan
Bukan tak boleh nak ajar anak disiplin tetapi tengok umur, kalau anak yang kecil dalm 2-3 tahun biarkan sampai mereka bermain dan mak ayah boleh guna dua pilihan ini…
1. Biarkan anak bermain dalam dunianya, tengok mereka beralih arah tengok tv, terus suruh anak kemas barang yang dia dah main tadi.
2. Atau pilihan kedua, biar anak bermain sampai penat. Bila anak dah tidur kemas barang mainan yang sudah disepah. Agak penat, tetapi ini yang terbaik daripada anda sekat anak bahagia dalam dunianya.
Tolong ya mak ayah, fahamilah corak pemikiran si kecil. Jangan kita jadikan alasan nak ajar anak pandai kemas untuk menangkan keputusan kita. Ya, memang perlu diajar. Tapi kena tepat masanya.
Pegang kata-kata ini, kita adalah orang yang berpengalaman tapi anak-anak tak pernah lagi melihat dunia. Jadi kenapa harus kita harapkan anak-anak kita faham dan selari dengan pandangan kita? Moga mak ayah di luar sana mampu mendidik dan membesarkan anak-anak dengan cara terbaik pada zaman segalanya di hujung jari.
Tidak dapat bayangkan bagaimana seorang anak yang masih kecil melihat ibunya menghabiskan nafas terakhir di depan matanya sendiri.
Dalam kejadian petang semalam, sebuah kereta telah dilanggar sebuah treler yang hilang kawalan. Si anak pilu lihat ibu meninggal dunia di depan mata.
Anak Pilu Lihat Ibu Meninggal Depan Mata
Pilunya hati seorang kanak-kanak apabila melihat ibunya tersepit di dalam kereta sebelum meninggal dunia dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer 3, Jalan Bentong-Raub, Bentong, Pahang.
Dalam kejadian 1.30 tengah hari itu, mangsa S Puganeswari, 42, meninggal dunia serta-merta di dalam kereta Perodua Myvi dipandunya manakala anaknya yang berusia 11 tahun tidak cedera.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, hasil siasatan mendapati sebuah treler dipandu seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun dari arah bandar Raub menuju ke arah Bentong dipercayai hilang kawalan.
“Keadaan itu menyebabkan dia terlanggar belakang sebuah kereta Proton Wira dan treler itu terbabas masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta Perodua Myvi.
“Pada masa sama, kereta Proton Wira itu melanggar belakang sebuah kenderaan pelbagai guna Toyota Wish yang berada di hadapannya,” katanya.
Beliau berkata, pemandu kereta Perodua Myvi itu berasal dari Bentong dan mayatnya yang tersepit di dalam kereta dikeluarkan anggota bomba.
Pemandu Treler Positif Dadah
Menurutnya, hasil ujian saringan air kencing terhadap pemandu treler itu mendapati dia positif dadah jenis Methamphetamine.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
MW: Semoga kematian mangsa S Puganeswari mendapat pembelaan sewajarnya dan anaknya dapat menerima kenyataan bahawa ibunya telah tiada.
Bukan mudah untuk menerima kehadiran orang baru dalam keluarga. Beginilah yang dialami oleh gadis bernama Aimi, melahirkan kerisauan maknya bakal berkahwin lagi dan dia bakal mendapat ayah tiri. Luahan hati gadis ini telah dijawab oleh Puan Hajah Maimunah Haji Mohamad, Kaunselor dan penulis ruangan Ya Tuhan di dalam Majalah Mingguan wanita.
Assalamualaikum puan yang dirahmati Allah. Saya seorang gadis berusia 27 tahun dan bekerja sebagai akauntan. Masih bujang dan anak bongsu daripada tiga adik-beradik. Di dalam adik-beradik, hanya saya seorang saja yang masih belum berkahwin.
Saya juga seperti gadis lain, yang ingin bergelar isteri dan ibu. Namun setakat ini, rezeki saya belum tiba. Bukan tidak berusaha tapi mungkin belum tiba masanya. Pernah sekali gagal dalam percintaan dan kami terputus hubungan selepas SPM. Masing-masing bawa hal sendiri demi mengejar cita-cita.
Harapan Mak
Sejak kehilangan ayah kira-kira 20 tahun lepas, saya memang rapat dengan mak. Mungkin ayah pergi ketika saya masih lagi kecil, jadi mak lebih memberikan perhatian sepenuhnya pada saya. Tambahan pula, saya amat rapat dengan arwah dan mak tak ingin saya rasa kehilangan selepas ayah tiada. Jika mak perlu bekerja di luar daerah, apabila cuti sekolah, saya akan menemani mak kerana saya tinggal di rumah bersama mak, manakala kakak dan abang tinggal di asrama. Jarang benar saya ditinggalkan bersama pembantu rumah.
Sebagai anak bongsu, saya rela memilih sebuah universiti tempatan yang berhampiran dengan kampung, membolehkan saban minggu saya balik rumah. Demi mak, saya rela melepaskan impian untuk belajar di luar negara walau pun telah mendapat tawaran melanjutkan pengajian di United Kingdom kerana keputusan cemerlang saya. Demi mak juga, saya rela melepaskan cita-cita asal saya ingin menjadi seorang jurutera demi meneruskan legasi mak yang merupakan seorang akauntan. Kalau ikutkan saya sukakan kerjaya yang lasak. Kata mak, perempuan tak payahlah cari kerja yang lasak sangat. Mak umpama sahabat baik saya. Banyak saya kongsikan dengan mak.
Lelaki Baru
Pertengahan tahun lepas, mak ada bercerita dengan saya, dia bertemu kembali dengan seorang rakan lelaki lamanya, ketika belajar di universiti dahulu dalam satu majlis reunion. Sejak itu sering kali mereka berhubung dan sering kali juga saya akan bercakap dengan lelaki itu menerusi telefon. Lelaki itu, uncle Zack, rupanya sudah lama menetap di Australia dan berkahwin di sana. Punya seorang cahaya mata. Selepas kematian isteri dua tahun lepas, dia mulai tawar hati untuk tinggal di sana kerana rindukan kenangan bersama arwah isterinya. Manakala anak tunggalnya pula sedang belajar di sebuah universiti di sana.
Saya tak pernah halang mak berhubung dengan Uncle Zack kerana sedar mereka sama-sama kesunyian. Lagi pun, saya rasakan hubungan hanya sekadar itu saja. Tak sangka, ketika hari jadi mak Mac lalu, uncle Zack turut hadir ketika majlis makan-makan di kediaman kami. Kali pertama lihat uncle Zack, orangnya masih segak dan handsome walau usianya sudah pertengahan 50-an. Ramai tetamu mengusik, sepadan dengan mak yang masih lagi lawa. Hati saya mula rasa tak sedap.
Terus Terang
Rupa-rupanya uncle Zack sudah kembali menetap di Malaysia sejak awal tahun ini. Puan, daripada gerak geri mereka, saya dapat tangkap mereka berdua saling menyukai antara satu sama lagi. Saya tak tahu apa perasaan saya ketika itu. Saya rasa sedih memikirkan kasih mak bakal beralih kepada lelaki lain. Tak cintakah lagi mak pada arwah ayah? Selama ini mak boleh setia, kenapa sekarang tidak?
Saya sedar saya tak patut halang mak mencari kebahagiaannya setelah 20 tahun bersendirian tapi entahlah. Saya susah nak terima kenyataan ini. Tapi saya tak cakap apa-apa pada mak kerana tak nak dia kecil hati. Cuma sekarang ini saya sengaja menjauhkan diri daripada mak. Bila mak ajak keluar bersama, jarang saya terima sedangkan kalau dulu kami macam belangkas. Mak tak syak apa-apa kerana kebetulan saya juga sedang mengambil sambung pengajian, memang agak sibuk.
Saya sedar, hubungan mak dengan uncle Zack makin serius dan saya dapat rasakan ada sesuatu yang abang dan kakak sembunyikan daripada saya. Hati saya kuat mengatakan yang mak dan uncle Zack akan berkahwin tak lama lagi namun semua orang belum memberitahu saya apa-apa. Puan, saya sayangkan mak saya dan nak dia bahagia. Tapi saya juga risau saya akan ‘hilang’ dia seperti saya hilang arwah ayah saya dulu.
Aimi, Subang Jaya, Selangor.
Pendapat Kaunselor:
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Semoga pada masa kini saudari berada dalam lindungan dan rahmat Allah. Apabila membaca kisah saudari, alangkah bertuahnya saudari punya seorang ibu yang amat menyayangi saudari. Sedangkan ramai anak yang tiada punya kasih ibu… sama ada ibu membiarkan tanpa didikan, diserahkan anak kepada orang lain hanya kerana memburu kehidupan lain, atau membuang anak kerana dosa yang dilakukan dan anak yang kematian ibu bapa.
Pengorbanan Mak
Bagi pihak ibu saudari pula…bayangkan seorang wanita yang telah kehilangan suami mengambil keputusan tidak berkahwin hanya semata-mata tidak mahu kasih yang dimiliki anak berumur 6 tahun hilang kasih sayang daripada ibunya pula setelah pemergian ayah yang terlalu rapat dengannya. Pengorbanannya selama 20 tahun hanya semata-mata untuk kasih kepada anaknya yang bongsu tidak dinafikan sesuatu yang hebat. Kekosongan dalam hidupnya tanpa berteman yang dinamakan suami telah sekian lama tidak diisi. Hanya kerana kasihkan anak dan memberi keutamaan dalam segala hal mengatasi keperluan sendiri.
Ramai juga saya temui ibu yang tidak berkahwin apabila kematian suami dengan alasan tidak mahu kasih terhadap anak terabai jika berkahwin lagi. Pada ibu sebegini, kasih terhadap anaknya mengatasi segalanya. Namun sering juga saya lihat anak yang sebegini ramai yang hanya memikirkan tentang dirinya sahaja, bukan untuk ibunya (maafkan saya, bukan bermaksud saudari). Ini pengalaman yang saya lihat. Mungkin disebabkan terlalu sayangkan anaknya, mungkin anaknya tidak tahu menghargai…mungkin juga kurang matang dalam erti kata membalas jasa dan pengorbanan.
Berbalik kepada kisah saudari, saya boleh menyimpulkan daripada apa yang saudari lahirkan. Frasa lebih kurang seperti .. “saya sayangkan mak dan mahu dia bahagia…dan tidak mahu dia kahwin kerana takut kehilangan kasih”. Boleh saya andaikan beberapa analogi seperti “saya nak anak sendiri, tetapi tidak mahu mengandung”…atau “saya nak dapat ijazah tetapi tak nak belajar di Universiti”. Atau beberapa anologi yang kita boleh simpulkan bahawa kalau mahukan sesuatu tidak boleh ada apa-apa syarat dikenakan. Rasanya bolehkan kita mendapatkannya? Mungkin ada, namun terlalu jarang.
Beri Keizinan
Kalau saudari boleh bayangkan pengorbanan ibu saudari, dan mahukan dia bahagia, pastinya saya rasa saudari akan memberi keizinan kepada ibu untuk berkahwin. Bahkan kalau saudari seorang yang bijak dan matang serta bersifat pengasih, maka sejak dari dulu lagi saudari akan menyuruh ibu berkahwin.
Saudari seorang terpelajar, cuba takrifkan apa maksud sayang dan mahu orang yang disayangi itu bahagia? Memang benar kalau kita sayangkan seseorang itu, kita mahu dia bahagia. Dan pastinya kita tahu apa yang membahagiakannya …dari segi keinginan dan hajatnya …Ramai orang melihat sayang itu dari kaca mata dirinya……dia melihat dari perspektif dirinya yang mahukan segala-galanya…. bukan sangat dari kaca mata orang yang disayangi. Tidak tidakkah itu namanya “hanya fikirkan tentang dirinya “? Mungkin saudari tidak tergolong dalam kategori itu.
Namun, cuba fikirkan semula. adakah sebenar-benarnya saudari sayangkan ibu atau saudari hanya fikirkan tentang diri bahawa jika ibu berkahwin kasih itu akan hilang? Dan lagi adakah ibu saudari melakukan dosa besar? Tahukah saudari jika saudari menghalangnya bermakna saudari boleh membawa ibu saudari melakukan dosa dengan menghubungi lelaki yang bukan mahram, walaupun berhubung secara kenalan biasa? Terjaminkah hubungan itu sebagai kenalan biasa? Mahukah saudari lihat ibu saudari diundang dosa? Saya rasa saudari boleh membuat analisis sendiri.
Urus Emosi
Sekarang saya membuat andaian saudari mengizinkan ibu berkahwin. Maka saya bantu saudari untuk belajar bagaimana menguruskan emosi saudari untuk tidak merasa kehilangan kasih ibu. Pertama, fikirkan yang positif sahaja, usah difikir takut kepada kehialngan. Fikirkan saudari telah dewasa dan matang, fikirkan bahawa sudah sampai masanya saudari boleh urus emosi dan diri sendiri. Fikirkan bahawa jika ibu bahagia, dia juga akan membahagiakan saudari. Telah 20 tahun dia membahagiakan saudari. Tidakkah cukup? Pada masa inilah saudari perlu buat persiapan menuju alam dewasa.. perlu belajar urus diri, urus fikiran dan emosi. Ini penting apabila saudari berkahwin nanti.
Walaupun belum ada pasangan, tetapi persiapan ini amat penting. Dalam pengalaman yang saya lihat, salah satu masalah rumah tangga yang dihadapi oleh wanita yang baru berkahwin adalah kerana kurang bijak urus fikiran dan emosi . Dan ini salah satunya disebabkan ibu bapa yang terlalu menyayangi anaknya hingga menhyebabkan anaknya tidak pandai urus emosi dan “tidak pandai memberi kasih”. Sejak kecil dia hanya disayangi, tetapi tidak diajar bagaimana menyayangi. Bila dia terlebih disayangi, dan tidak tahu bagaimana menyayangi, maka apabila timbul masalah atau ujian, dengan sendirinya dia rapuh dan cepat kecewa kerana orang yang hampir dengannya (orang yang dikahwininya) tidak seperti ibu atau bapanya.
Belajar Menyayangi
Dalam hidup kita perlu banyak belajar “memberi” dan “menyayang”. Belajar menyayangi ibu bapa khususnya, makhluk-makhluk lain dan pastinya mengasihin Allah yang paling utama. Ini kerana jika dia mengasihi Allah, maka dia akan banyak memberi kerana itu yang Allah suka. Malah Allah amat menyukai anak yang membahagiakan ibunya, bukan yang mengabaikan, melukakan atau menderhaka kepadfa ibunya. Mungkin saudari pernah mendengar pepatah; ”lagi banyak kita memberi, lagi banyak kita dapat”.
Maka lagi banyak kasih yang saudari beri kepada alam sejagat ini khusunya ibu, maka akan lebih banyak kasih yang saudari akan dapat, dan akan membahagiakan saudari. Dan apakah yang paling bahagia dalam kehidupan seseorang? Iaiitu apabila hatinya tenang … bagaimana untuk mendapat ketenagan itu ? Dengan banyak mengingati Allah…dan ingat apa yang Allah suruh…antaranya berbuat baik kepada orang tua… siapa yang beri ketenangan itu? Pastinya Allah. Maka saudari tidak perlu risau jika ibu berkahwin. Ingatlah bahawa kehidupan seorang anak itu menjadi tidak ternilai apabila ibunya meredhainya kerana Allah ada menyatakan bahawa redhaNya bergantung kepada redha ibu bapa terhadap anaknya.Maka pohonlah agar saudari diredai Allah melalui redha ibu terhadap saudari dengan cara membahagiakan ibu…
Ramai yang masih beranggapan bahawa krim tabir suria (sunscreen) dan pelindung matahari hanya perlu digunakan ketika berada di pantai. Stigma salah ini masih membelenggu...