Semua orang pasti berasa sedih dengan kehilangan seseorang yang tersayang, lebih-lebih lagi kehilangan suami tercinta. Apatah lagi bila semuanya berlaku dalam sekelip mata tanpa disangka dan diduga. Belum puas hidup bersama, terpaksa melalui hari-hari mendatang tanpa teman hidup. Hilang sudah tempat bermanja, mengadu nasib dan bergantung harap. Rasa rindu yang membara tetapi hanya mampu dipendam. Kehilangan yang sangat besar sehingga dunia rasa begitu sepi tanpa kehadirannya. Begitulah yang ingin disampaikan oleh Nora Ariffin atau lebih dikenali sebagai Nora menerusi single terbarunya ‘Ada Dalam Tiada’. Semangat yang ada pada Nora ini begitu saya kagumi.

Lagu ‘Ada Dalam Tiada’ merupakan dedikasi teristimewa Nora untuk arwah suaminya, Allahyarham Johan Nawawi, seorang komposer dan penerbit terkenal yang meninggal dunia pada 24 Mac tahun lalu akibat serangan jantung. Sesuai dengan lagu luahan hatinya sendiri yang menceritakan keperitan dan kesedihannya sebagai seorang isteri yang sentiasa merindui dan mendoakan insan yang pernah berkongsi hidup dengannya selama 25 tahun, Nora menyatakan,“Ini adalah lagu yang paling peribadi saya pernah nyanyikan sepanjang karier seni saya. Saya mencurahkan sepenuh jiwa dan raga ketika merakamkan lagu ini. Lebih menyedihkan lagi, ini merupakan pertama kali juga saya masuk ke studio rakaman tanpa kehadiran arwah suami”. Umum mengetahui bahawa selain bergelar suami, Johan juga merupakan antara insan pertama dalam industri muzik yang membimbing Nora dalam merencana karier seninya sejak awal kemunculannya pada tahun 1994.

Contohi Semangat Nora Ariffin, “Masuk Studio Rakaman Tanpa Kehadiran Arwah Suami”

Menangis Pertama Kali Baca Lirik Lagu

‘Ada Dalam Tiada’ merupakan hasil ciptaan bersama komposer Sirkhan dan Ibnu Rinkarnaen manakala senikatanya ditulis oleh penulis lirik tersohor iaitu Habsah Hassan. Cukup terkesan dengan lirik sentuhan Habsah Hassan, Nora menyatakan,“Sebenarnya saya sendiri sukar untuk menjelaskan dengan kata-kata apa yang saya rasa selama ini. Tetapi Habsah Hassan bukan sahaja dapat menterjemahkan perasaan saya dengan begitu baik sekali malah ianya dilakukan dalam bentuk senikata yang indah. Saya turut menangis bila pertama kali saya membaca lirik tersebut”. Pemilihan Sirkhan dan Ibnu Rinkarnaen yang sinonim dengan penciptaan melodi mendayu-dayu digandingkan dengan senikata bermadah Habsah Hassan, dan nyanyian penuh jiwa Nora berjaya menghasilkan karya yang dijangka mampu mengusik hati pendengar.

IKLAN

Bagi album Tribute 30 Tahun Johan Nawawi ini pula, idea untuk menerbitkan album ini lahir dari Allahyarham Johan Nawawi sendiri pada tahun 2016. Perbincangan santai di antara suami dan isteri ini tidak sempat direalisasikan oleh Allahyarham Johan Nawawi. Oleh itu, Nora terpanggil untuk melakukan sesuatu bagi melunaskan impian Allahyarham yang tidak kesampaian. Johan Nawawi adalah antara komposer tersohor di tanah air, di mana ramai artis ternama tidak kira sama ada di Malaysia atau Indonesia pernah bekerjasama dengan beliau. Antaranya adalah Dato Siti Nurhaliza, Dato Sheila Majid, Kris Dayanti, Liza Hanim, Aisyah, Anita Sarawak, Dayang Nurfaizah dan Nora sendiri. Lagu pertama yang telah diciptakan oleh beliau pada tahun 1985 adalah nyanyian rakan karibnya, Azman Abu Hassan yang bertajuk ‘Perasaanku’.

IKLAN

Contohi Semangat Nora Ariffin, “Masuk Studio Rakaman Tanpa Kehadiran Arwah Suami”

IKLAN

Album Tribute 30 Tahun Johan Nawawi ini sangat dekat di hati Nora kerana Lagu ‘Bidadari’ adalah lagu terakhir ciptaan dan nyanyian solo Allahyarham sendiri, iaitu dua bulan sebelum beliau pergi. Bidadari juga tidak pernah diperdengarkan di khalayak sebelum ini. Selain itu, Allahyarham berhasrat supaya Nora merakamkan semula lagu Hanya Satu yang juga dimuatkan di dalam album ini dengan susunan muzik yang baru oleh Mac Chew, namun Allahyarham tidak sempat untuk mendengar “final mixing” bagi lagu ini.

Album ini merupakan impian Allahyarham sendiri untuk menjadikan sebuah naskhah kompilasi lagu-lagu ciptaan beliau. Paling istimewa, lagu Perasaanku yang dinyanyikan oleh Azman Abu Hassan digubah semula dan diberi tajuk baru iaitu Perasaanku 2017 yang dinyanyikan semula oleh rakan-rakan serta adik beradik Allahyarham Johan sendiri. Buat pertama kalinya di dalam sejarah, Nora sebagai anak seni ingin menyempurnakan dan merealisasikan impian Allahyarham dengan menerbitkan naskhah yang paling istimewa iaitu Album Tribute 30 Tahun Johan Nawawi dengan sebaik-baiknya.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI