
Cinta Sejati OKU Tidak Pernah Menjadi Penghalang
Berstatus orang kurang upaya (OKU) tidak pernah menjadi penghalang untuk mengecapi cinta sejati. Malah, pasangan istimewa juga mampu membina rumah tangga bahagia kerana mereka saling memahami dan melalui pengalaman hidup yang hampir sama.
Kisah Inspirasi SyahFandi Dan Najihah
Itulah kisah dua insan istimewa, SyahFandi Muhammad Karim, 39, dan isterinya, Najihah Abdul Malid, 40, yang menjalin hubungan dan membina kehidupan berumahtangga dengan penuh kasih sayang walaupun hanya berkomunikasi menggunakan bahasa isyarat.
“Saya sayang dia sebab dia istimewa. Memang pernah bercinta monyet dengan orang lain dulu, tapi isteri wanita pertama yang saya berani jumpa keluarganya dan beritahu nak meminang,” kata SyahFandi, seorang OKU fizikal yang memilih wanita masalah pendengaran dan pertuturan sebagai suri hidupnya.
Mengharungi Hidup dengan Cinta Dan Kesetiaan
Tinggal di Seri Kembangan, Selangor, pasangan ini sepakat mendirikan rumah tangga berbekalkan rasa cinta yang tulus dan keikhlasan menerima kekurangan masing-masing. Kini, setelah tiga tahun melayari bahtera perkahwinan, kehadiran anak mereka, Nur Nabihah SyahFandi yang kini berusia dua tahun serta fasih berbahasa isyarat, menambahkan lagi seri dalam keluarga kecil itu.

Detik Perkenalan Dan Permulaan Cinta Sejati OKU
Berkongsi detik perkenalan, SyahFandi berkata dia dan Najihah mula berhubung pada Disember 2020 ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Kami berada dalam kumpulan WhatsApp komuniti OKU yang sama dan dari situlah kami mula berkawan. Kami hanya bertemu buat pertama kali pada 2021. Disebabkan dia tak boleh bercakap atau mendengar, saya perlahan-lahan belajar bahasa isyarat,” katanya.
Pasangan itu dinikahkan pada 20 Februari 2022. Menurut SyahFandi, dia membuat keputusan untuk berkahwin kerana mahu berdikari dan membina hidup sendiri.
“Sebelum kahwin, saya minta pandangan ayah. Dia tanya boleh ke saya bimbing anak orang, tapi akhirnya dia restu selepas lihat saya nekad,” ujarnya ketika ditemui di rumah mereka di Serdang Jaya.
Bahagia Dalam Sederhana
Bekerja sebagai penunggang p-hailing manakala isterinya suri rumah, pasangan ini tetap cuba mencari masa untuk melakukan aktiviti bersama.
“Kalau saya tak bekerja, kami akan menonton televisyen, saya bantu isteri siapkan makanan, kemudian kami keluar bawa anak berjalan. Kami berhubung dengan bahasa isyarat dan kadang-kadang mesej di WhatsApp atau tulis atas kertas. Setakat ini, semuanya baik. Anak yang banyak menguatkan kami kerana dia mengingatkan kami tentang tanggungjawab bersama,” katanya yang pernah mengalami masalah jantung berlubang.
Video Tular Dan Pengajaran Cinta Sejati OKU
SyahFandi tidak mengharapkan apa-apa selain kebahagiaan dan jodoh yang berkekalan hingga ke akhir hayat. Dia juga tidak menyangka video dirinya menghadiahkan bunga kepada isteri tular di media sosial sehingga meraih ribuan doa positif.
“Kejadiannya masa saya nak ambil isteri. Di jejantas ada orang jual bunga. Duit saya tinggal RM100, bunga harga RM40. Saya tawakal beli dan dalam hati cakap, insya-Allah ada rezeki lain,” katanya.
Menurutnya, ada individu memuat naik video berkenaan di TikTok, dan ia tular dengan pantas.
“Syukur dan terima kasih kepada semua yang mendoakan. Pengajarannya adalah kongsi rezeki dengan isteri. Saya pun pesan kepada anak erti kasih sayang dan ajarnya berkongsi rezeki bila ada lebih,” katanya mengakhiri cerita.
Sumber: Harian Metro
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!






