Selain menyebarkan ilmu, segala tingkah laku guru akan menjadi contoh teladan kepada para pelajar. Ikuti kisah personaliti guru Bahasa Inggeris yang bernama Norhasyikin Abdul Wahab, 40 yang kini sedang menaburkan bakti di Sekolah Kebangsaan Seri Indah.

Guru yang berkhidmat selama 10 tahun ini pernah mengajar di Sekolah Menengah Chocrane Perkasa (2008-2009) sebagai guru sandaran dan dari tahun 2011 hingga kini setia mengajar muris-murid di Sekolah Kebangsaan Seri Indah.

“Selepas tamat mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda di Universiti Tun Abdul Razak dalam bidang Pengurusan Perniagaan saya melanjutkan pelajaran pula peringkat Diploma Pendidikan (KPLI) TESL di Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Antarabangsa.

“Selepas itu saya menjadi guru sandaran selama setahun dan bermula tahun 2011 hingga kini saya menjadi tenaga pengajar di SK Seri Indah. Saya mengajar subjek bahasa Inggeris. Sememangnya banyak kenangan indah yang saya perolehi. Paling istimewa apabila ada murid yang pada mulanya tak boleh membaca dan memahami bahasa Inggeris, akhirnya di tahun akhir semasa Tahun 6, mereka lulus dengan baik. Detik itu cukup indah pada saya,” ungkap Norhasyikin memulakan bicara.

Ketika mengadakan aktiviti luar bersama murid-muridnya.

Memegang prinsip menjalankan tugas dengan penuh dedikasi di dalam bilik darjah Norhasyikin juga cukup gembira sebagai penyelaras program kecemerlangan sekolah, pada tahun 2015, dirinya berjaya membantu sekolah mendapat tempat ketiga dalam Zon Bangsar Pudu menerusi keputusan UPSR.

“Alhamdulillah dengan mematuhi masa dalam jadual waktu serta melaksanakan pengajaran dan pembelajaran mengikut kaedah dan teknikyang berkesan pada tahun tahun 2017, kami guru-guru berjaya membantu sekolah mendapatkan keputusan murid menguasai 100 peratus dalam semua mata pelajaran UPSR. Bukan itu saja, malah kami juga mengekalkan peratus murid menguasai Bahasa Inggeris dalam 90 peratus.

“Menjadi kebanggaan kami apabila ada murid-murid yang berjaya memasuki sekolah yang baik selepas UPSR seperti Kolej Melayu Kuala Kangsar,Victoria Institution, Sekolah Berasrama Penuh dan lain-lain,” ungkap Norhasyikin.

Bersama anak murid.

Ubah Ke Arah Yang Lebih Baik

Sebagai seorang pendidik sudah pasti ada pengalaman pahit yang tersendiri. Namun Norhasyikin sangat positif dan berusaha untuk mengubah yang pahit menjadi positif.

“Pada saya yang pahit tu asam garam dalam dunia pendidikan tapi saya ambil sebagai motivasi untuk berubah ke arah yang lebih baik,” ujar Norhasyikin ringkas.

Sering mendapat kad ucapan yang menyentuh hati daripada murid-murid. Guru ini berasa dirinya amat dihargai.

“Saya selalu dapat kad ucapan yang menyentuh hati daripada murid-murid. Rasa dihargai kerana kanak-kanak sangat jujur dalam meluahkan perasaan mereka.

“Saya juga sangat bersyukur kerana anak-anak murid saya sangat baik. Mereka memang sangat rajin membantu guru-guru. Kadang siap tawarkn diri untuk tolong cikgu. Apabila sambutan hari guru, pada saya yang paling seronok apabila kami guru-guru akan menyanyi lagu Kami Guru Malaysia.

“Saya sangat suka liriknya dan begitu bersemangat semasa nyanyikan lagu itu. Kami juga akan buat persembahan untuk murid-murid dan mereka sangat suka.  Selain itu, kami juga terima banyak hadiah dari mereka. Dikesempatan ini saya ingin ucapkan terima kasih kepada ibu bapa yang sangat-sangat berusaha untuk memberikan pelbagai hadiah tersebut melalui anak-anak,” kata Norhasyikin yang cukup terharu.

Bersama rakan setugas.
Guru-guru yang banyak membantu mendidik anak bangsa.

Tiada Istilah Terpaksa

Norhasyikin juga menerangkan dia sangat menyintai kerjaya ini dan tiada istilah terpaksa.

“Sebenarnya, dulu saya tak pernah terfikir untuk jadi cikgu. Tapi selepas bekerja sebagai guru sandaran, minat untuk mengajar tumbuh mekar dalam hati. Ibu bapa saya bukan guru. Arwah mak cuma seorang suri rumah dan arwah abah pula pesara kerajaan. Namun galakan paling besar datang dari pakcik yang merupakan adik arwah emak, Hamzah bin Abu Osman. Pakcik saya tak pernah pernh putus asa dalam menggalakkan saya untuk terus menjadi guru.

Setiap kerjaya punya cabaran yang tersendiri termasuklah bergelar guru, ungkap Norhasyikin, “Cabaran utama bergelar cikgu adalah untuk memastikan murid dapat menguasai pembelajaran. Dengan kekangan masa dan tugasan sampingan yang kian bertambah menjadi proses untuk memastikan murid berjaya kuasai pembelajaran agak sukar. Kerjasama yang kurang daripada penjaga murid dalam membangunkan murid di rumah juga antara cabaran yang agak mencabar.”

Jangan Lupa Komen