
Isi Kandungan
ToggleRamadan inilah peluang terbuka luas untuk kita mensucikan diri dari dosa, mengembalikan kepada fitrah, di samping kaut peluang-peluang lain yang terbuka luas untuk kita, terutama kaum isteri yang boleh mengaut pahala sebanyak-banyaknya.
Bayangkan berapa orang ahli keluarga di rumah anda dan sebanyak itu pulalah pahala puasa yang isteri dapat jika gigih menyediakan makanan berbuka untuk mereka.
Nabi s.a.w. telah bersabda (maksudnya): “Sesisapa yang menyediakan makanan berbuka bagi orang yang berpuasa, baginya ganjaran seumpama pahala bagi orang yang berpuasa tanpa mengurangi sedikitpun pahalanya (orang yang berpuasa itu)” Al-Baihaqi dan Ibn Khuzaimah.
Apa lagi kalau mampu solat tarawih walau payah dengan anak-anak kecil. Tetapi kalau tak pergi ke masjid pun, mak-mak masih dapat rebut peluang buat tarawih. Nak dengan tak nak buat je. Dan andai nak mudah, suami isteri boleh ikut cara macam saudara Bijen Mohd ni…
Sebenarnya ada cara untuk orang perempuan yang ada kekangan pergi solat tarawih berjemaah di masjid turut sama mendapat fadhilat solat berjemaah walaupun hanya sekadar berada di rumah.
Malah dengan cara ini, orang perempuan bukan saja dapat solat berjemaah tapi dapat juga selesaikan urusan dapurnya, dapat jaga anak-anaknya, dan dapat menambah benih kasih sayang sesama ahli keluarganya.
Ianya ibarat membunuh lima ekor burung menggunakan satu biji batu. Heh!
Ini Kaum Isteri Patut Buat
Caranya adalah apabila masuk waktu Isyak, biarkan suami solat Isyak dan tarawih berjemaah di masjid dahulu sehingga selesai rakaat ke-lapan.
Dalam masa yang sama anda selesaikan urusan dapur (persediaan sahur, kemas dapur dan sebagainya) di rumah. Kemudian, selesaikan pula urusan menyusu, tukar lampin dan segala apa yang patut lalu ajak anak tidur awal.
Bila suami selesai rakaat ke-lapan dan pulang ke rumah, sambut beliau dengan kopi Kapal Api dengan manisan madu untuk segarkannya. Nak pakai kopi tongkat ali dan ginseng pun boleh.
Sambil-sambil tu anda pun bersiaplah membersihkan diri dan lengkap berpakaian solat. Bila suami dah sedia, minta dia sambung lagi 12 rakaat tarawih berserta 3 rakaat witir mengimami anda.
Dua rakaat pertama, anda mengikutnya dengan niat solat Isyak. Lepas dia beri salam, anda bangun tambah lagi dua rakaat. Dia pula sambung lagi dua rakaat tarawih untuk menggenapkan rakaat yang kedua belas.

Bila masing-masing dah selesai, solatlah tarawih bersama-sama lagi lapan rakaat. Suami dapat 20 rakaat manakala anda dapat 8 rakaat. Sudahkan ibadat tarawih dengan solat witir 3 rakaat.
Lepas habis solat, doalah sama-sama untuk kebahagiaan rumah tangga. Ceewah! Macam ni barulah betul dia imam tulang rusukku!
Manfaat Yang Suami Isteri Dapat
Ikut cara macam ni semua isu selesai. Suami dapat solat Isyak dan tarawih berjemaah 20 rakaat. Dapat juga jadi imam untuk keluarganya. Si isteri dapat selesaikan urusan rumah tangganya. Dapat juga solat berjemaah dengan suami tercinta. Simple!
Tinggal nak atau tak je. Tapi jujurnya, memang berat sikit permintaan ni untuk para suami. Cuma kalau suami sanggup buat, maka beruntunglah anda dapat suami macam ni.
Anda yang patut belanja suami baju raya tahun ni. Haha!
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Peristiwa Masa Di Raudhah, Dapat Solat Tapi Tak Tahu Siapa Yang Jaga

Isi Kandungan
ToggleRezeki Puan Khairunnisa Hamzah dan anaknya, dia dapat peluang memijak kawasan Raudhah, Masya Allah, katanya tak tergambar perasaannya!
Raudhah itu kawasannya segi empat, ada satu kawasan lorong yang berkarpet hijau juga yang menyambung Raudhah dengan kawasan biasa. Kalau boleh, cari peluang untuk ke kawasan Raudhah yang benar-benar Raudhah.
Asalkan kita jejak kaki ke Raudhah, insyaallah, doa akan diangkat. Jangan risau jika tak dapat berdoa dengan selesa sebab ramai orang berhajatkan yang sama.
Jadi, bila kita bantu orang melapangkan ruang, Allah akan bantu kita lebih lagi. Jika kita sama-sama berdiri, lebih banyak ruang boleh dimasuki orang dan kita bantu orang lain untuk turut menempatkan diri di Raudhah.
Inilah pengalaman yang dilalui wanita ini, nak tahu selebihnya gambaran di Raudhah, jemput baca perkongsiannya ketika dia berada di sana.
Peristiwa Di Raudhah
Sementara belum berangkat, saya kongsikan dahulu tentang pengalaman masuk ke Raudhah seperti yang dijanjikan tempoh hari.
Raudhah adalah tapak rumah Rasullullah dahulu yang ada dalam Masjid Nabawi. Antara mimbar nabi dan makam nabi, di situlah tapak Raudhah. Di dalamnya ada jasad kekasih Allah, ya rasullullah wahabibillah. Ada juga jasad sahabat baginda Saidina Omar Al khatab dan Saidina Abu Bakar As Siddiq sederet dengan baginda.
Dikhabarkan oleh ustaz bahawa ini adalah tapak terakhir yang akan Allah binasakan di hari kiamat. Sebelum itu adalah tanah perkuburan baqi’ yang terletak sebelah masjid nabawi.
Di sini solat , iktikaf dan doa di atasnya berlipat kali ganda pahala dan dimakbulkan oleh Allah.
Untuk mengenali kawasan Raudhah, di dalam masjid nabawi ada menandakannya dengan karpet hijau. Yang lain semuanya karpet merah. Bunga karpet hampir sama. Tapi warna berbeza.
Ulamak tidak benarkan menatap di makam rasullullah. Hadir di raudhah bukan untuk meratap di kubur rasullullah tetapi mengambil barakah atas tapak raudhah yang dikatakan nabi kepada sahabatnya bahawa tapak rumah baginda dan mimbarnya itu adalah bagaikan taman-taman syurga kecil yang Allah letakkan di dunia. Ya, sebaknya tak terkata bila berada di sini.
Kini muslimat dan muslimin diasingkan. Kawasan muslimat sangat kecil berbanding muslimin. Tempoh ziarah muslimat juga sangat terhad dan punya wakti-waktu tertentu sahaja ia dibuka.
Saya ada dengar tentang pengasingan muslimat timur tengah dan muslimat Asia. Tetapi tidak begitu kisah. Namun apabila sendiri mengalaminya, ya benar, kita diasingkan.
Dan muslimat Asia akan menjadi pelawat paling akhir. Di dahulukan muslimat tempatan dan timur tengah dahulu di mana mereka berbadan besar, lasak dan kebal. Merempuh satu sama lain.
Semasa dalam perjalanan ke Raudhah yang berliku-liku sekatannya, si kakak bertanya
“Mana raudhah ,mommy?”
“Mommy pun tak tahu. Punyalah besar masjid nabawi. Kita ikut je jemaah depan kita ni”
Nak dijadikan cerita kami pergi berdua saja kerana group kami dah pergi malam tadinya. Masa hari sampai di Madinah. Sedang mommy tak dapat ikut jemaah kerana sudah lewat malam, anak dah penat seharian perjalanan dalam kapal terbang.
Dalam kesedihan, akhirnya rasa lega bila pergi sendirian dengan kakak aisyah saja. Tiada aksi bekejar kejaran untuk mengikut kumpulan. Tak risau tercicir. Kami jalan berdua dengan perasaan penuh misteri kerana tanpa mutawif
“Ya Allah, kau bantulah aku. Kau berikanlah aku petunjukmu.”
Kemudian sedang kami berjalan kami di tahan.
“Ibuk, sobar!”
“Ibuk, sobar!”
Kata pengawal muslimat yang berlitup hitam yang hanya menampakkan mata. Dia mengarahkan saya dan asiyah ke hujung sana.
“Eh, kenapa orang depan saya tadi semua boleh jalan terus?” Bisik dalam hati
Apabila saya duduk di hujung kawasan yang disuruh, baru saya perasan yang semua kami adalah orang Melayu dan Indonesia sahaja.
Yang diberikan laluan tanpa sekatan ke stesen depan adalah orang timur tengah dan bangsa mereka.
Lama juga. Sejam ke dua jam lamanya untuk setiap satu stesen.
“Ibuk, duduk!”
“Ibuk, duduk!”
Pengawal menjerit bila ada yang tak sabar dan berlari ke stesen seterusnya secara curi-curi. Masing-masing rasa tak aci bangsa lain terus ke depan tanpa ikut stesen.
Sebelum tu saya ada terjumpa kakak angkat masa sekolah menengah. Terharu terserempak dalam perjalanan ke raudhah. Namun berkali kali dinasihatkannya,
“Nanti, bersabar banyak-banyak, ya.”
Saya tak faham pada mulanya.
Semasa menunggu di stesen saya pun masih kurang faham melainkan merasakan lama menunggunya.
Apabila kami dah sampai stesen terakhir. Keadaan mula jadi tegang. Masa duduk mula dihimpit. Kemudian sudah ramai yang bangun seperti bersedia untuk merempuh. Mereka mula menolak perlahan-lahan dari belakang walau di depan sekatan belum dibuka. Maka yang depan dan tengah semakin tersepit. Pengawal dah mula menjerit-jerit.
Beberapa kali di suruh duduk tapi tidak diendah lagi. Bagaikan sudah hilang sabar semuanya. Semua mahu segera masuk.
Kakak aisyah tersepit habis. Mommy try guna kudrat peluk kakak aisyah dan kebelakangkan badan untuk halang mereka tolak kakak aisyah. Akhirnya badan mommy seperti diurut oleh jentera yang kuat. Kuatnya kaki mommy menahan pijak dilantai agar tidak tersungkur.
Dalam kesusahan itu terdengar suara di sebelah kanan mula berselawat.
“Sallallahalamuhammad, sallallahalaiwasalam, sallallahalamuhammad, sallallahalaiwasalam”
Dua kali selawat saja akhirnya sekatan dibuka.
“Allahukahbar!”
Habis Aisyah dan mommy ditolak sehingga hampir jatuh. Namun terpeluk orang depan. Mereka masuk penuh tekanan. Berjalannya kita tidak melangkah tapi terheret heret ke depan. Apa yang jadi bukan usaha melangkah kaki tapi usaha menolak diri ke belakang untuk selamatkan diri dari terjatuh atas anak sendiri.
Allahuakhbar
Allahuakhbar
“Kakak, jangan marah ya. Ikhlas kan hati. Bayangkan saat semua berebut-rebut nak masuk syurga Allah. Mahal kan syurga Allah. Tak terus masuk, kita kena usaha dan banyak bertawakkal. Terlalu berat ujian diberi baru dapat kita masuk. Macam kita tengah selamatkan diri ni tapi kita still nak menuju ke syurga.” Mommy bebel je bisik di telinga kakak sambil memeluk kakak.
Sebelum tu habis dah mommy minta maaf pada kakak masa menunggu di stesen. Bila lama sangat nak dapat masuk, mommy sebak sangat. Masa terpandang muka kakak disebelah baru teringat mommy paling banyak buat dosa dengan kakak. Lalu mommy minta ampun dari kakak banyak-banyak.
First time seumur hidup kami teresak bersama.
“Kakak baby mommy yang pertama…..” Itulah yang banyak kali mommy sebutkan untuk pujuk hatinya.
Masa dihempet diseret, nampak orang menadah tangan. Orang depan tiba-tiba sujud. Lalu mommy tanya kakak aisyah “Kak, bawah ni karpet warna apa? Karpet apa kak?” Sungguh tapak kaki sendiri pun tak boleh nampak. Bayangkanlah macam mana kita tersepit antara badan satu sama lain.
Bila terkuak sikit dan nampak karpet hijau, tiba-tiba sebak yang amat. Dengan menggigil dan bergetar badan mommy cakap “Kak, kita dah sampai raudhah. Dah sampai kak. Allahuakhbar. Ya rasullullah. Ya Allah, terimalah doa kami..” lalu mommy mula bercakap dengan allah dan pesan pada kakak :
“Kak, doa kak. Doa apa saja. Akak nak hafal quran kan? Minta kak. Doa jadi muslimah solehah juga. Doakan mommy juga ya. Doakan mommy sihat dan jadi mak yang baik”
Kakak mengangguk. Mommy terkejut tengok kakak pun sedang teresak-esak. Ajaib sungguh. Kakak 9 tahun. Dah sampai raudhah. Allah memanggilmu, kak.
“Nanti kalau ada rezeki kita solat ya kak. Sekarang ni bahaya.” Orang masih tolak tolak belakang badan. Macam mana nak sujud.
Dapat Peluang Solat Di Raudhah
Akhirnya tiba-tiba seperti ada ruang kosong di belakang tiang.
“Kak, sini kosong. Solat kat sini kak”

Tengah sembahyang dengar suara dari belakang..
“Eh, ni orang kita. Tolong jaga dia dan anaknya. Kita kepung sama-sama. Dia tengah sujud.”
Alhamdulillah rezeki kami dijaga mereka. Habis solat tanpa cedera. Namun siapakah mereka wallahualam. Lepas solat tak tahu siapa yang jaga.
Allahuakhbar, mahalnya nak rasa nikmat dekat dengan Allah. Walau baru Terasa hanya sebesar tapak kaki sahaja ruang nikmat tersebut, sudah dasyat kenikmatan jiwa yang dirasa. Sebaknya masyaAllah tak terkata. Apatah lagi jika kita dianugerahkan masuk ke syurga di akhirat nanti. MasyaAllah!
Akhirnya kami keluar dari raudhah pada pukul 11 pagi walau masuk menunggu giliran bermula pukul 8 pagi. Cecah kaki sebentar saja, tak sampai 10 minit lamanya. Tapi puasnya tak terkata. Dalam hati berjanji untuk datang lagi. Teringat baby aiyraa tak ada sekali.
Semalam, sekali lagi allah takdirkan kami masuk ke raudhah lagi. Kali ini bersama baby aiyraa. Alhamdulillah lepas semua stesen tanpa perlu menunggu. Cuma di stesen terakhir saja kami menunggu. Tak lama sangat. Tapi baru perasan rupanya saya terus termasuk pada group timur tengah. Ya Allah, cepat-cepat minta Allah perrmudahkan. Besarnya mereka. Ramai yang tak sabar dan menolak serta melangkah sesama mereka.
Masa ini, tangan aiyraa ada yang terpijak. Terjerit mommy. Sedih masa ni Allah saja yang tahu. Kemudian mereka mula merempuh masuk. Awalnya mudah juga melangkah masuk tapi belum nampak lagi karpet hijau dibawah.
Saat nak mula melangkah kaki ke raudhah, sekali lagi kena himpitan yang lebih dasyat dari semalam.
“Baby, baby!” Jerit orang keliling.
Oh ada orang Malaysia juga. Mujur aiyraa tidur di bahu mommy. Setiap kali ada yang bengis bersungguh nak menolak dan merempuh , mommy tunjuk baby. Lalu beransur sikit. Tapi tak kurang yang tolak juga sehingga menyiku kepala aiyraa. Kakak aisyah dah menangis sakit sana sini.
Akhirnya tolakan ini membawa kami ke depan sikit demi sedikit.
“Solat di sini, nak. Kami jaga.” kata seorang makcik
“Tak apa makcik. Makcik solatlah. Saya dah dapat solat hari tu. Saya kalau solat disini bahaya, ada baby pula.”
“Baiklah, kau diri doa saja, ya.”
Habis berdoa semahu-mahunya dan sampaikan doa sahabat yang saya ingat, saya pun ajak kakak keluar
“Kita gerak lah kak. Tak apa lah tak dapat solat. Bahaya adik nanti.”
Sedang cakap begitu, saat tiada lagi pengharapan di situ, seorang pengawal yang berdiri di kaki tiang melompat ke bawah dan tangkap lengan mommy.
“Ibuk, sini!”
“Ibuk, sini!”
MasyaAllah! Dia cubit pipi aiyraa.
Dia bawa kami ke tepi raudhah.
Dihujung sekali. Sehingga sebelah saja tapak kakaki kanan saya adalah karpet merah. Betul-betul berdiri dan duduk di border.
Tapi dengan aman boleh duduk kan si kakak dan baby aiyraa yang masih tercengang.
Mommy baru angkat takbir tetiba teresak lagi bergetar badan “Ya allah, aku dihujung raudhahmu ini. Betul-betul di sempadan. Ya allah, betapa aku mahu masuk ke raudhahmu, syurgamu, dan betapa aku takut tergelincir ke karpet merah itu seperti takutnya aku tergelincir masuk ke nerakamu. Andai Bezanya tapak syurga dan tapak neraka sekecil begini juga, aku mohon kau letakkan aku di sempadan syurgamu. Takutnya aku jika tergelincir satu kaki ke situ.”
Ya Allah, insafnya mommy di raudhah.
Pergilah ke raudhah, maka kalian akan faham maksud dan perasaan ini. Mommy doa semua dapat pergi.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Bahagia Itu Tak Perlu Ditayang, Ini Rukun Rumah Tangga Paling Utama Laki Bini Kena Pegang

Isi Kandungan
ToggleAda orang, cukup bahagia bila dapat tayang apa yang dimilki. Cukup seronok bila kawan-kawan media sosial puji kehidupannya sempurna dan nampak indah.
Tetapi betul ke bahagia atau sekadar berlakon untuk nampak pasangan beruntung di mata orang ramai? Hakikatnya duit selalu tak cukup, sanggup pinjam duit orang semata-mata nak puaskan kehendak sendiri. Allah… kembalilah sebelum terlambat! Itu semua pinjaman dan tiada yang kekal abadi.
Baikilah situasi anda dan sedarkan diri dengan perkongsian saudara Shauqi Hasan ini…
Dalam hidup berumah tangga kadangkala bahtera yang dilayari bersama keluarga diuji dengan dugaan dari pelbagai sudut. Itulah qada dan qadar yang berlaku mengikut kemampuan diri setiap ahlinya.
Kebanyakkan masalah dan cabaran besarnya bermula dengan DUIT. Dari hari pertama diikat tali pertunangan. Isu duit dah pun bermula. Sebut saja duit, semua orang boleh agak, apa yang bermain dalam urusan sebuah majlis perkahwinan.
Si laki ada yang rasa kopak dibuatnya semata-mata nak dapatkan dara idaman.
Si wanita pula ada yang berhati lembut hulurkan bantuan, nak ringankan beban teruna impian.
Ada mak bapak pula yang jenis mengira darjat dan keturunan. Tak sekufu ditekannya sebagai cabaran. Yang tak padan diukurnya mengikut sijil. Habis punah duit simpanan anak teruna dan dara. Tak cukup yang disimpan, dipaksa dengan pinjaman. Hanya semata-mata nak BINA MASJID. Nak HALALKAN hubungan, nak upgrade dari awek kepada isteri, terpaksalah meng’halal’kan RIBA.
Bila rumahtangga dah disuntik riba (kerana pinjaman) . Yang jelas Allah HARAMKAN. Menjadikan masjid yang bakal menjadi tempat menghubungkan pasangan suami isteri ini telah tercemar dengan unsur riba.
Masjid itu tidak lagi dibina atas dasar TAQWA.
Maka hari demi hari selepas perkahwinan itu berlangsung, ujiannya berkisar tentang duit.
Duit, duit, duit. Itu tak cukup, bayar ini tak lepas. Kereta nak kena tarik. Pinjam sana, pinjam sini. Korek lubang sini, kambus lubang sana lepas tu kena korekk lagi.
Habis duit raya anak dan tabungnya dikorek si bapak. Nak ditanggung makan dan minum. Habis pusing, hilanglah seri rumahtangga. Syurga yang diharapkan.. hujungnya menderita kerana duit.
Nampak bahagia di luar. Senyum gembira. Tetapi lakonan semata-mata. Selfie di facebook. Tapi untuk jadi tempelan sementara.
Qada itu ada ketetapannya (pasti terjadi).
Bila cukup segala ujian, tekanan dan ukuran masanya. Apa yang sudah Allah tetapkan melalui perkiraannya, pasti akan berlaku. Kerana sunnah itu satu perkara yang berulang kali diceritakan di dalam al-quran.
CAUSE AND EFFECT.
Apabila ada SEBABNYA, pasti ada AKIBATNYA. Bila kita yang penyebabnya, maka kenalah tanggung akibat yang bakal berlaku. Bila-bila masa akan berlaku ujian, bencana, malapetaka, rezeki, nikmat dan sebagainya apabila cukup ukuran masanya.
Qadar itu ada haulnya (ukuran).
Sebagai contoh, kita semua masuk ke sekolah menengah untuk ambil sijil SPM. Ada sebab dan tujuannya. Ukurannya 5 tahun masa diberi, nak tak nak, tak dapat elak satu hari nanti kita akan duduk ambil peperiksaan SPM.
Dah tahu nak exam, kalau rajin dan kuat belajar pasti baik hasilnya. Kalau pemalas, selalu ponteng sekolah, buruklah resultnya. Kalau merempit, mati eksiden sebelum masuk dewan exam. Itulah akibatnya. Sampailah ajalnya.
Perkahwinan, ajal, jodoh, rezeki dan sebagainya ada kadarnya yang boleh kita sukat sejauh mana kita rasa bahagia, sedih, gembira. Semua itu sebenarnya ada perkiraannya.
Bahagia ada kira-kiranya. Tak cukup duit tapi tetap ‘happy’. Jadi duit bukan ukuran. Yang rasa nikmatnya hati. Anak bertambah, duit tak jadi isu.
Macam tulah dosa. Ada kadarnya. Sampai usia tertentu, mesti kita akan menyesal. Bila cukup haulnya. Yang menjadi beza, adakah masih sempat bertaubat atau sudah terlambat?
Dosa tu rasa tak tenang, tak tenteram. Itulah panas neraka. Duduk rumah ada anak isteri sekali pun, tapi kalau rezeki tak berkat. Tak rasa cukup.
Berkat itu cukup.
Jadi ukurannya rasa cukup itu bukan kerana duit banyak, isteri cantik, kereta besar, anak comel.. semua tu kira-kiranya pada rasa tenang itu. Kalau tak tenteram rumahtangga.. bergaduh, berkelahi, berasa panas memanjang.. itu tanda solatnya tak sempurna.

Silah (hubungan) sesama isteri dan anak tak cukup kadarnya..
Silah dengan manusia
Solat untuk Allah
Selawat pada Nabi
Jadi bila hubungan silah – solat – selawat tu tak sempurna, maka agamanya sudah tak sempurna.
Bolehkah rasa bahagia? Dapatkah syurganya?
Rumahku syurgaku?
Atau Rumahku NERAKAKU?
Suami dan isteri peliharalah solat. Hubungan dengan Allah itu akan menghadirkan kasih sayang di antara suami isteri. Isteri tahu suami bekerja kerana Allah dan suami tahu isterinya mengabdikan diri sebagai ibu kepada anak-anaknya adalah kerana Allah.
Puasa itu yang mendatangkan zakat, meyucikan diri dan harta seluruh isi rumah tangga. Puasakan diri dari pembaziran duniawi. Harta paling berharga ialah anak dan isteri. Itulah aset kita untuk mendapat syurga Allah, tetapi mereka jugalah penyumbang deposit ke neraka.
Perkongsian: Shauqi Hasan
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Suami On Off Kerja, Masih Salahkan Isteri Baru Habis Pantang Bila Kain Tak Berlipat

Isi Kandungan
ToggleSalah faham dalam rumahtangga ini boleh jadi besar, bila suami isteri tak nak faham peranan masing-masing. Saling menyalahkan, mencari salah, menegakkan benang basah.
Sudahnya, bila isteri baru je selesai berpantang.. suami masih tak nampak kesusahan isteri. Malah dituduhnya pemalas. Siap ambil bukti gambar, isteri malas lipat kain. Walhal semua itu bukan tanggungjawab isteri pun.
Sayang sungguh, sebab sesetengah lelaki lagi-lagi suami macam susah nak faham-faham tanggungjawab yang ustaz dah terang berkali-kali. Bab nafkah dan urus rumah tu suami punya peranan.
Itu salah satu kisah yang dikongsikan peguam syarie, Roslina Sabiyah & Co. ini tentang antara isu remeh jadi punca penceraian. Tapi jika yang remeh ini tak diambil peduli.. boleh jadi besar kesannya.
Suami Cabar Isteri, Nak Cerai Minta Sendiri Di Mahkamah
Orang lelaki ni nampak je muka dia macam garang. Badan tegap, nampak kuat dan kasar. Tapi sebenarnya, ada sisi lembut dalam diri dia. Dalam hati ada taman.
Banyak kali saya nampak lelaki macam ni akhirnya menangis tanpa segan silu sepanjang saya mengendalikan kes-kes cerai. Tak mampu saya nak tafsirkan air mata lelakinya kerana apa.
Yang pasti, mereka dah tersepit dalam keadaan yang mendesak mereka untuk buat keputusan yang paling penting dalam hidup akibat sikap dan perbuatan mereka sendiri.
“Saya dah ajak berbincang baik-baik tapi dia mengelak. Malah dia cabar saya, kalau nak cerai mintak sendiri kat Mahkamah. Tapi saya masih bertahan sebab anak-anak.. saya dah bagi peluang banyak kali tapi dia tetap tak berubah..“ antara luahan si isteri.
Bukan suka-suka kita nak galakkan pasangan bercerai. Tapi jika dalam rumahtangga tu dah tak ada lagi mawaddah (kasih sayang), rahmah (keberkatan) dan sakinah (ketenangan) apa lagi matlamat perkahwinan yang nak dipertahankan?
Masing-masing dah tak boleh menjalankan tanggungjawab sebagai suami isteri. Suami dah hilang peranan. Isteri dah hilang redha. Maka rumahtangga bukan lagi jadi ladang tempat mengumpul pahala tetapi dah jadi lubuk tempat mengumpul dosa pula.

Suami Tunjuk Gambar Kain Baju Tak Berlipat Atas Katil…
Pernah saya bagi peluang kepada seorang suami untuk pujuk isterinya yang dah failkan kes cerai. Yelah kita ni walaupun peguam, bukan suka sangat pun nak tengok orang bercerai. Selagi boleh diselamatkan, kita akan cuba nasihat untuk selamatkan.
Buatlah apa-apa perjanjian yang boleh mengingatkan tanggungjawab masing-masing. Kalau dah buat perjanjian pun masih langgar juga, memang nampak sangat tak bersungguh nak selamatkan rumahtangga sendiri. Barulah berbaloi nak teruskan cerai.
Berbalik pasal kisah tadi.. lepas saya offer macam tu, tau tak apa suami tadi buat? Dia tunjukkan saya gambar dalam telefon bimbit dia.
Macam nak pengsan saya tengok. Bukan sebab dia tunjuk gambar lucah.. tapi saya geram dan speechless.
Day 1 – Gambar kain baju tak berlipat atas katil.
Day 2 – Gambar kain baju tak berlipat atas katil makin bertambah.
Day 3 – Dah malas nak tengok gambar seterusnya.
Isteri baru lepas habis pantang. Anak baru 2 orang rapat-rapat pula tu. Suami pun sekejap kerja sekejap tak. Banyak isteri yang menanggung.
Itu pun tak boleh tolak-ansur. Bayangkanlah.. bukan banyak sangat pun kainnya, masih boleh dikira. Agaknya kalau saya tunjuk gambar kain baju kat rumah saya yang tak berlipat macam gunung tu mesti suami ni pulak yang pengsan tengok.
Suami Ini Nak Pujuk Isteri.. Tapi Masih Cari Salah Isteri
Bila saya tanya, agak-agak perkahwinan encik dan isteri ni masih boleh diteruskan tak? Dia jawab dengan konfiden, “boleh! kalau isteri saya boleh berubah.”
Amboi.. nak pujuk isteri tapi masih cari salah isteri. Tak nampak langsung salah sendiri. Kat situ pun dah nampak sikap selfish dan ego si suami. Patutlah si isteri tak tahan.
Apa salahnya kalau dia cakap, insyaAllah boleh diteruskan jika kami berdua sama-sama sanggup berubah. Sejuk sikit hati isteri tu dengar.
“Awak panggil saya bab*.. so anak-anak saya pun anak-anak bab*. Jadi awak janganlah sentuh saya dan anak-anak lagi. Bab* kan haram disentuh..” ini dialog isteri yang merajuk.

Patutnya masih boleh dipujuk. Tapi si suami dah sia-siakan peluang yang diberi. Si isteri nekad nak teruskan kes. Si suami merayu sambil menangis tak hiraukan sekeliling.
Mungkin baru tersedar, isteri yang selama ini disangka tak berani buat apa-apa, naif dan hanya menurut kata, sekarang dah berani ambil tindakan nekad tanpa menoleh ke belakang lagi.

Bila Isteri Masih Berleter, Merungut, Merajuk.. Itu Petanda Baik
Banyak lagi isu remeh-temeh yang boleh jadi punca perceraian. Yang sebenarnya, banyak berpunca dari masalah komunikasi. Suami cakap lain isteri faham lain. Isteri cakap lain suami faham lain.
Bila isteri masih boleh berleter, merungut dan merajuk.. itu petanda baik. Masih ada peluang nak betulkan keadaan.
Tapi kalau seorang isteri hanya diam dan dah hilang kata-kata serta tak ada lagi air mata, itu disaster. Hatinya mungkin dah beku dan tangisan air mata si suami pun tak mungkin dapat cairkan hatinya lagi..
Begitulah sebahagian daripada drama kisah benar seharian di Mahkamah. Hanya secebis yang mampu dikongsi, banyak lagi yang disimpan jadi rahsia peribadi.
Pengajarannya, hidup kita sebentar cuma maka hargailah setiap kesempatan bersama insan-insan yang disayangi. Apa yang baik jadikan tauladan, yang buruk jadikan sempadan.
Sumber/Foto : Roslina Sabiyah @ Co.
Makluman : Artikel ini diterbitkan dengan keizinan daripada penulis asal.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI