Bulan Ramadan telah dimuliakan oleh ALLAH dengan pelbagai keistimewaan berbanding bulan-bulan ALLAH yang lain. Dikatakan pada bulan ini, syaitan dan jin dirantai dan tidak dapat menghasut manusia melakukan kemungkaran. Tapi kenapa ada yang masih melakukannya? Ikuti perkongsian daripada Mohd Yaakub bin Mohd Yunus, Pendakwah Bebas. FB: https://www.facebook.com/yaakub73
Syaitan dan Jin Dirantai Di Bulan Puasa
Pada bulan Ramadan, syaitan dan jin dirantai untuk menghindari mereka dari mengganggu atau menghasut orang-orang yang beriman. Ada juga ulama mentafsirkan maksud syaitan dibelenggu ialah syaitan tidak dapat merosakkan ibadah manusia pada bulan Ramadan kerana ketekunan manusia melakukan ibadah puasa serta ibadah-ibadah lain.
Ini kerana, ibadah puasa itu dapat mengawal nafsu mereka dari terdorong melakukan perkara mungkar.
Sabda Rasulullah s.a.w: “Apabila tibanya malam pertama bulan Ramadan dibelenggu syaitan-syaitan dan jin yang derhaka.” – Hadis riwayat al-Tirmizi di dalam Sunan al-Tirmizi, Kitab al-Shaum, hadis no: 618.
Ads
Namun, persoalan yang timbul di sini bahawa sekiranya syaitan dan jin dibelenggu pada bulan Ramadan mengapa manusia masih melakukan kemungkaran pada bulan ini?
Puncanya
Menurut al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani, Imam al-Qurthubi r.h telah berkata: “Apabila semua syaitan terbelenggu tidak bermakna langsung tidak akan berlaku kejahatan dan kemaksiatan. Ini kerana, punca berlakunya kemaksiatan mungkin berpunca daripada faktor selain (hasutan) syaitan seperti diri manusia itu yang sememangnya berperangai buruk, sentiasa melakukan perbuatan mungkar serta manusia yang nafsunya masih terdorong mengikut hasutan syaitan.” – Rujuk Fath al-Baari Syarh Sahih al-Bukhari, Tahqiq oleh Syeikh Abdul Aziz bin Abdullah bin Baz, edisi terjemahan oleh Amiruddin, Pustaka Azzam, Jakarta (1997), jil. 11, ms. 43.
Ads
Mungkin ada yang akan tertanya-tanya tentang kebenaran fakta kewujudan syaitan mahupun jin daripada jenis manusia. Sebenarnya ALLAH sendiri telah memerintahkan kita agar berwaspada dan memohon perlindungan kepada-Nya daripada hasutan kelompok seperti ini.
Firman ALLAH S.W.T: “Katakanlah (wahai Muhammad): AKU berlindung kepada (ALLAH) Pemelihara sekalian manusia, yang Menguasai sekalian manusia, TUHAN yang berhak disembah oleh sekalian manusia, dari kejahatan pembisik yang timbul tenggelam, yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia, (iaitu pembisik) dari kalangan jin dan manusia.” – Surah al-Nas: 1-6.
Ads
Dalam Diri Manusia
Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya maksiat dan kemungkaran masih wujud pada bulan Ramadan yang mulia ini. Malah, pada bulan ini kita sebenarnya berkesempatan untuk ‘berkenalan’ dengan spesies syaitan atau jin dari kalangan kaum manusia.
Ya! kita dapat mengenali spesies ini melalui sikap mereka yang enggan mentaati perintah ALLAH. Semoga kita semua terhindar dari tergolong dalam kelompok yang hina ini.
Senja dan waktu Maghrib, tutuplah pintu, duduk dalam rumah, waktu ini syaitan berkeliaran. Ramai di kalangan kita mengambil ringan dengan beberapa panduan yang telah diajar oleh Nabi SAW berdasarkan hadis-hadis yang Baginda SAW tinggalkan.
Sememangnya kita tidak digalakkan untuk berada di luar rumah pada waktu senja disebabkan pada waktu syaitan sedang berkeliaran. Dinukilkan sebuah hadis sahih yang menunjukkan petunjuk atau panduan daripada Nabi SAW kepada kita apabila tibanya waktu senja.
Maksudnya: “Apabila kegelapan malam menjelma atau apabila sudah lewat petang, maka tahanlah anak-anak kamu. Ini kerana, pada waktu itu syaitan berkeliaran. Apabila telah berlalu beberapa ketika daripada malam, biarkanlah mereka dan tutuplah pintu-pintu serta sebutlah nama Allah kerana syaitan tidak akan membuka pintu yang tertutup.” [Riwayat al-Bukhari (3304) dan Muslim (2012)]
Perkara seperti ini, banyak dinyatakan oleh para ulamak ketika mereka mensyarahkan atau memahami hadis ini. Antaranya ialah, Imam Ibn Abd al-Bar (463 H) berkata bahawa hadis ini menunjukkan perintah (arahan) menutup pintu-pintu pada malam hari (apabila tibanya senja). Itu adalah sunnah yang diperintah akannya sebagai tanda kasih kepada manusia daripada (terkena kecelakaan atau keburukan) syaitan manusia dan jin. [Lihat: al-Istizkar, 363/8]
Selain itu juga, Imam al-Nawawi (676 H) berkata bahawa hadis ini mempunyai banyak faedah berkaitan kebaikan dan adab yang melibatkan maslahah akhirat dan dunia. Maka, Nabi SAW mengajar adab-adab ini yang merupakan sebab terselamatnya daripada kecelakaan syaitan dan Allah SWT menjadikan sebab-sebab ini agar menjadi penyebab terselamatnya kita daripada kecelakaan atau keburukan syaitan ini.
Di samping itu juga, maksud menahan anak adalah melarang mereka daripada keluar pada waktu. Ini kerana, dibimbangi anak tersebut terkena kejahatan syaitan itu disebabkan banyaknya mereka (syaitan).
Hal ini juga disebut oleh Imam Khatib al-Syarbini (977 H) bahawa sunat menutup pintu ketika masuknya senja. Antara hikmah mengapa dilarang melepaskan budak-budak pada waktu senja adalah disebabkan syaitan berkeliaran pada waktu itu dan pergerakan syaitan lebih aktif berbanding siang hari kerana kegelapan itu akan menambahkankan kekuatan syaitan berbanding waktu yang lain sebagaimana yang dinyatakan oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani (852 H).
Kesimpulannya, melihat kepada beberapa pandangan para ulamak di atas, maka disimpulkan bahawa kita dituntut atau disunatkan untuk menutup pintu atau tingkap apabila tibanya waktu senja dan perkara ini juga selalu dipesan atau diingatkan oleh orang-orang tua.
Ini kerana, syaitan-syaitan berkeliaran pada waktu tersebut serta dibimbangi akan terkena keburukan, kecelakaan atau kejahatan berpunca daripada syaitan tersebut kerana syaitan ini sifatnya adalah menyakiti manusia.
Berikut kata-kata daripada seorang ulamak berkaitan hadis di atas:
Maksudnya: “Pada perintah agar ditutup pintu-pintu adalah melibatkan maslahah agama dan dunia yang mana dengan itu akan memelihara diri dan harta daripada orang yang sia-sia dan merosakkan terutamanya syaitan-syaitan.” [Lihat: Fath al-Bari, 87/11]
Marilah sama-sama kita mengamalkan petunjuk Nabi SAW ini agar kita terselamat daripada fitnah syaitan yang terkutuk. Semoga Allah SWT sentiasa memelihara diri dan seluruh ahli keluarga daripada perkara-perkara yang tidak baik.
Waktu raya memang memerlukan banyak duit. Bila dah habis cuti raya, ramai mak ayah yang kesempitan duit. Salah satu, ‘peluang’ yang nampak depan mata adalah guna duit raya anak bagi menampung perbelanjaan keluarga pada bulan tersebut.
Pesanan buat mak ayah, jangan sewenang-wenangnya guna duit raya atau duit simpanan anak-anak. Ketahui hukum dan baca penjelasannya yang pernah dikongsikan oleh Dato’ Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri, bekas Mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ini.
HUKUM IBU BAPA MENGGUNAKAN HARTA ANAK-ANAK
Dalam kehidupan harian yang kian mencabar, sering kali terjadi perbelanjaan keperluan harian melebihi daripada pendapatan isi rumah. Ini mendorong kepada masyarakat untuk mencari alternatif dan menjadi lebih kreatif demi kehidupan yang lebih baik.
Di antara soalan yang sering diajukan kepada kami adalah berkenaan dengan penggunaan harta anak-anak seperti wang simpanan mereka oleh ibu bapa untuk memenuhi keperluan harian. Di sini kami kongsikan pandangan dan perbahasan ringkas para ulama’ bagi menjawab persoalan ini.
Jumhur (majoriti) fuqaha’ di dalam mazhab asy-Syafie, Hanafi dan Maliki berpendapat bahawa ayah tidak boleh mengambil harta anaknya kecuali dalam keadaan yang memerlukannya sahaja. Lihat Mughni al-Muhtaj (3/446), Hasyiyah Ibn ‘Abidin (4/513), Hasyiyah ad-Dasuqi ‘ala al-Syarh al-Kabir (2/522)
Mereka berhujah berdasarkan keumuman hadith Nabi SAW bahawa tidak boleh diambil harta seseorang dengan sewenang-wenangnya. Ini berdasarkan sabda Nabi SAW:
Maksudnya: “ Sesungguhnya darah-darah kamu, harta-harta kamu dan kehormatan di antara kamu adalah haram bagimu sepertimana kemuliaan pada harimu ini, di negerimu ini” Riwayat at-Tirmizi (2159)
Al-Mubarakfuri Rahimahullah telah berkata: “Sesungguhnya darah-darah kamu, harta-harta kamu dan kehormatan kamu haram bagimu iaitu haram untuk diambil sebahagian daripada kamu ke atas sebahagian yang lain pada hari-hari lain sepertimana kehormatan pada hari ini iaitu pada hari Arafah (pendapat lain: hari raya korban), di negeri ini iaitu Mekah” Lihat Tuhfat al-Ahwazi (8/382)
Para fuqaha’ dalam mazhab Hanbali pula berpendapat bahawa seorang ayah berhak untk mengambil harta anaknya secara mutlak, sama ada anaknya masih kecil mahupun sudah besar, namun dengan 2 syarat, iaitu:
Tidak memberi mudarat kepada anaknya dan tidak mengambil sesuatu yang menjadi keperluannya.
Tidak mengambil harta daripada salah seorang daripada anaknya dan memberikannya kepada anak yang lain.
Lihat al-Mughni (6/62)
Mereka berhujah dengan hadith Nabi SAW:
عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ رضي الله عنه, أَنَّ رَجُلا قَالَ: يَا رَسُولَ اللَّه, إِنَّ لِي مَالا وَوَلَدًا وَإِنَّ أَبِي يُرِيدُ أَنْ يَجْتَاحَ مَالِي, فَقَالَ رسول الله صلى الله عليه وسلم: أَنْتَ وَمَالُكَ لأَبِيكَ
Maksudnya: Daripada Jabir bin Abdullah RA, sesungguhnya seorang lelaki telah berkata: Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku memiliki harta dan anak, dan ayahku ingin mengambil hartaku, maka Rasulullah SAW bersabda: “Kamu dan harta kamu adalah milik ayah kamu” Riwayat Ibn Majah (2291)
Mengenai hadith ini, selepas menukilkan pandangan muhadithin seperti ad-Daruqutni, Ibn Qattan dan al-Munziri Rahimahumullah, al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani Rahimahullah telah memberi komentar: “Maka gabungan daripada jalan-jalan periwatan hadith ini tidak akan melemahkannya dan harus berhujah dengannya” Lihat Fath al-Bari Syarh Sahih Bukhari (5/211)
Al-Hafiz as-Suyuti Rahimahullah telah berkata: “Hadith ini sanadnya sahih, perawi-perawinya thiqah (dipercayai) atas syarat-syarat Imam al-Bukhari dan mempunyai syahid[1] daripada hadith riwayat ‘Aisyah RA” Lihat Misbah az-Zujajah fi Zawaid Ibn Majah (3/37)
Ulama’ juga berbeza pandangan adakah ibu dibolehkan untuk menggunakan harta anaknya jika keadaan memerlukan dan adakah ibu termasuk dalam makna hadith: “أَنْتَ وَمَالُكَ لأَبِيكَ” ataupun tidak.
Sebahagian ulama’ berpendapat bahawa ibu tidak termasuk dalam makna hadith tersebut. Telah berkata Ibn Qudamah al-Maqdisi Rahimahullah: “Tidak boleh selain daripada ayah untuk mengambil harta anaknya tanpa meminta keizinannya. Ini kerana hadith yang diturunkan telah ditujukan kepada ayah (أنت ومالك لأبيك), maka tidak sah untuk mengqiyaskan selain kepada ayah kerana ayah mempunyai kekuasaan ke atas anak serta hartanya jika anak tersebut masih kecil” Lihat al-Mughni (5/397).
Sebahagian ulama’ pula berpendapat bahawa ibu termasuk dalam makna hadith tersebut. Mereka bersandarkan kepada kata-kata sahabat, Abdullah bin Jabir RA:
Maksudnya: “Ayah dan ibu boleh mengambil harta anaknya tanpa perlu meminta keizinan daripadanya, dan tidak boleh anak lelaki dan anak perempuan mengambil harta kedua ibu bapanya tanpa mendapat keizinan daripada mereka berdua” Lihat al-Muhalla (6/385)
Mereka juga berhujah dengan riwayat daripada Atho’ bin Abi Rabah dan az-Zuhri yang membenarkan ibu mengambil harta anaknya sepertimana dibenarkan ke atas ayah. Lihat al-Mudawwanah (2/264)
Kesimpulan
Kami berpendapat bahawa pendapat jumhur (majoriti) ulama’, iaitu ayah tidak boleh mengambil harta anaknya dengan sewenang-wenangnya dan hanya dibenarkan jika dalam keadaan yang memerlukannya sahaja adalah lebih tepat dari segi penghujahan dan objektif syara’. Hukum ini juga terpakai untuk ibu kepada anak tersebut. Mengenai hadith (أَنْتَ وَمَالُكَ لأَبِيكَ), para ulama’ menjawabnya dengan dua jawapan:
Huruf lam pada perkataaan (لأَبِيكَ) bukan bermakna pemilikan penuh, tetapi ia membawa makna keharusan mengggunakannya. Ibn al-Qayyim al-Jauziah Rahimahullah telah berkata: “Huruf lam pada hadith (أَنْتَ وَمَالُكَ لأَبِيكَ) bukan bermakna pemilikan mutlak, sesiapa yang mengatakan bahawa ia membawa maksud keharusan menggunakannya, maka ia lebih menepati makna hadith. Jika tidak, maka hilanglah faedah dan makna hadith tersebut” Lihat I’lam al-Muwaqi’in ‘an Rabb al-‘Alamin (1/116)
Seorang anak apabila meninggal dunia, hartanya akan diwarisi oleh isteri, ibu, anak-anaknya serta ahli keluarga lain. Bukan hanya ayahnya sahaja yang mewarisi harta tersebut. Jika harta seorang anak dimiliki sepenuhnya oleh seorang ayah, maka waris lain tidak memiliki hak untuk mewarisi hartanya.
Imam asy-Syafie Rahimahullah telah berkata: “Sesungguhnya ketika mana Allah mewajibkan bagi seorang ayah mewarisi harta anaknya, Dia menjadikan ayah tersebut seperti waris-waris yang lain, iaitu berkemungkinan seorang ayah memperoleh bahagian yang lebih sedikit berbanding waris-waris yang lain. Ini menjadi bukti bahawa seorang anak memiliki sepenuhnya hak ke atas hartanya, bukan orang lain” Lihat ar-Risalah (hlm. 468)
Kesimpulannya, ibu bapa tidak boleh menggunakan duit anak-anak mereka dengan sewenang-wenangnya kecuali dalam keadaan yang memerlukan sahaja. Jika ibu bapa sudah menggunakan harta anak-anak dalam perkara yang tidak menjadi keperluan, maka WAJIB ke atas ibu bapa untuk menggantikannya kembali.
Semoga Allah SWT memberikan kita kebaikan dan kefahaman yang sahih dalam memahami syariat-Nya seterusnya memberikan kekuatan kepada kita untuk mengamalkannya. Amiin.
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat. Jadi buat mak ayah, berhemahlah dalam merancang perbelanjaan di musim perayaan.Jangan menggunakan duit anak-anak dengan sewenang-wenangnya kecuali dalam keadaan yang memerlukan sahaja.Malah jangan lupa menggantikannya kembali.
Jangan bersedih. Tiap orang yang hidup di dunia ini pasti menghadapi pelbagai jenis ujian. Namun, andai kita larut dalam kesedihan, diri sendiri yang akan lebih merana. Oleh itu, carilah penawar kesedihan itu.
Jangan Bersedih, Kaji Penyebab
Jika kita ditakdirkan merasai kekecewaan berpunca daripada perangai anak yang lebih banyak menghadap telefon berbanding berkhidmat kepada ibu bapanya, memang sedih! Mereka seolah-olah hanyut dalam dunianya sendiri. Abaikan orang tua, lupakan ilmu, lalai mengejar kesenangan dan hiburan.
Kesedihan lain yang kerap dirasai wanita adalah berpunca daripada suami mereka, berjodoh dengan lelaki miskin amatlah perit menanggung kesusahan tetapi dapat suami kaya pula suka menghinakan, memerli sesuka hati, egonya pula melangit tinggi. Kemudian tiba-tiba penyakit datang, bertambah lagi derita hidup yang mesti ditelan, seolah-olah dunia ini isinya hanya ujian.
Benarlah sungguh firman-Nya: “Allah, dialah yang menciptakan kematian dan kehidupan untuk menguji kalian siapa di antara kalian yang paling baik amalannya.” (Surah al-Mulk ayat: 2)
Ada insan yang tak dapat tidur berfikir tentang jalan keluar untuk mengakhiri ujian yang dideritai. Ada yang tak lalu makan, tak kering wajah daripada air mata, tak mampu tersenyum walau seketika. Akhirnya jika dia tak kuasa menasihati hatinya untuk bersabar boleh jadi penyakit jiwa akan menewaskannya. Kita berlindung kepada Allah SWT dari segala keburukan yang dideritai hati yang terlampau sedih.
Bagaimana Menasihati Hati Supaya Kekal Bersabar Sampai Ke Syurga?
PUJUK HATI LIHAT KEPADA UJIAN YANG DIDERITAI ORANG LAIN
Setiap hari ada saja deraan yang diterima hati kita, yang ringan hingga berat semuanya terpaksa diharungi dengan susah payah. Sedih ketika suami suka memerli dengan perkataan yang menyakitkan? Kecewa dengan isteri yang perangainya kasar dan tidak menghormati suami? Sakit hati melihat anak-anak yang wajahnya penuh kebencian apabila bermuamalah dengan ibu bapa? Dendam kepada majikan yang kejam memerah tenaga tanpa rasa prihatin?
Bila sedih, ubat pertama adalah lihat orang lain yang lebih teruk kesedihan dan ujiannya.
Sedangkan Nabi s.a.w kekasih Allah SWT juga disentuh kesedihan dan ujian yang berganda-ganda lagi sakitnya apatah lagi kita insan biasa yang jahil lagi miskin amal. Kita rasa susah tapi Nabi lebih hebat susahnya, dihina, diboikot, dirampas hartanya, diancam bunuh, sehingga mengorbankan isteri dan anak-anaknya dalam perjuangan dakwah baginda.
Tengoklah juga kehidupan orang-orang yang lebih teruk lagi diuji pada zaman sekarang. Insya-Allah kesedihan hati bertukar menjadi rasa syukur sebab kita lihat apa yang kita derita lebih ringan dari orang lain.
JANGAN SEDIH, TERIMA HAKIKAT DAN TAKDIR
Jangan bersedih. Segala jalan yang kita tempuh telah tergaris dalam catatan takdir yang Allah tuliskan sebelum Dia mencipta kita. Jadi jangan sedih kerana ia satu catatan yang perlu dijalani seorang hamba, tak payah salahkan orang lain jika kita rasa sedih.
Hadapinya dengan penuh kerelaan dan ketaatan seorang hamba kepada ketentuan Allah SWT. “Allah telah menulis segenap takdir manusia (di lauh mahfuz) 50.000 tahun sebelum Dia menciptakan langit dan bumi.” (Hadis riwayat Muslim)
Jika kita masih menyalahkan orang lain nescaya hati selamanya tidak akan tenang, namun berserah diri dan reda kepada Allah sememangnya menjadi senjata untuk mengakhiri segala kepiluan.
INGATLAH MATA AIR PAHALA YANG SENTIASA MELIMPAH
Ada pahala yang tak pernah kering sentiasa mengalir selagi kita diuji iaitu pahala sabar. “Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabar sahaja yang akan disempurnakan pahala untuk mereka dengan ukuran yang tak terkira.” (Surah al-Zumar ayat: 10)
Kalau isteri mengomel, suami dapat pahala sabar. Begitu juga suami yang cerewet menjadi sebab isteri dilimpahi pahala sabar. Bila pasangan berhenti menyakiti maka berhenti jugalah pahala sabar untuk kita.
Oleh itu reda dan bergembiralah dalam hati kerana pasangan anda sedang menghadiahkan pahala kepada anda. Apatah lagi yang diuji dengan musnahnya harta benda dan anak-anak, betapa penuh melimpah pahala yang diterima. Rasulullah s.a.w bersabda: “Ujian tetap menimpa atas diri orang mukmin dan mukminah, anak dan juga hartanya sehingga dia bertemu Allah dan pada dirinya tiada lagi dosa. (Hadis al-Tirmizi)
Kemudian sabda Nabi s.a.w lagi: “Tidaklah seorang mukmin ditimpa sakit, letih, demam, sedih, sehingga risau yang mengusiknya melainkan Allah mengampuni dosa-dosanya.” (Hadis Al-Bukhari dan Muslim)
JANGAN SEDIH, ASBAB DIANGKAT DOSA
Allah timpakan ujian dengan bersebab supaya diangkat dosa dan dilimpahinya si hamba dengan pahala yang mencurah-curah.
Tidak mengapalah hati diuji, sedih sesekali kerana nanti di syurga ramai malaikat yang mengucapkan selamat kepada kita: “Sedang malaikat masuk ke tempat-tempat mereka dari semua pintu sambil mengucapkan selamat ke atasmu kerana kesabaran kamu dahulu. Maka alangkah baiknya tempat kesudahan itu (syurga).” Surah al-Ra’ad ayat: 23-24
Sungguh dalam tangisan ada mata air syurga yang kita kumpulkan.
Artikel: Dato’ Dr. Haji Juanda Haji Jaya, Perunding Undang-Undang Keluarga Islam.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
“Saya Cuba, Bertahan, Usaha Tapi Gagal. Tiada Lagi Kita” itulah yang diluahkan oleh Aprena Manrose tentang rumah tangganya yang dikatakan sudah berantakan.Pelakon cantik, Aprena...