‘Bukan hanya golongan miskin, seluruh dunia terjejas.’ Bersediakah kita, bekalan makanan berkurang tahun depan. Adakah wujud jaminan bahawa keluarga terutamanya anak-anak kita cukup bekalan makanan tahun depan.
Sebagai mak, ayah pasti ini merunsingkan kerana situasi sekarang pun telah menunjukkan beberapa produk makanan berkurangan di pasaran. Jika keadaan bertambah buruk pada tahun hadapan, tentu ianya akan memberi impak besar kepada kita.
Pengarah Eksekutif Program Makanan Sedunia (WFP), David Beasley telah memberi amaran bahawa bekalan makanan berkemungkinan lebih sukar untuk diperoleh menjelang tahun depan ekoran pelbagai krisis seluruh dunia yang berlaku serentak, lapor Badan Penyiaran Jepun (NHK), baru-baru ini.
Malah menurut Beasley, dunia kini diselubungi situasi yang digambarkan sebagai konflik ‘ribut lengkap’ yang terdiri daripada kejutan iklim, perang Russia-Ukraine dan kemusnahan ekonomi selama dua tahun akibat Covid-19.
Seluruh Dunia Terjejas
Beliau menegaskan bahawa Ukraine yang digelar ‘bakul roti dunia’ telah berhenti membekalkan makanan.
Tindakan tersebut menimbulkan beberapa masalah tertentu yang diburukkan lagi dengan lonjakan kos bahan api dan baja, lantas mewujudkan ‘ribut kemelesetan ekonomi yang lengkap’.
Ads
“WFP berdepan kesukaran menetapkan harga makanan utama, yang telah menimbulkan cabaran buat golongan miskin.
“Menjelang tahun hadapan, disebabkan kemarau dan krisis baja, kita mungkin berdepan dengan masalah ketersediaan makanan yang lebih dahsyat,” ujar Beasley.
WFP sebelum ini memberi amaran bahawa sehingga 345 juta penduduk dunia diramal berada dalam keadaan ekonomi yang sangat teruk untuk mendapatkan bekalan makanan atau berisiko tinggi, merentasi 82 negara.
Tambahnya, kegagalan para pemimpin dunia dalam mencari jalan penyelesaian untuk membuka pelabuhan di wilayah Odesa, Ukraine dilihat sebagai pengisytiharan perang terhadap keselamatan makanan.
Namun begitu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Turki, Ukraine dan Russia sedang menjalankan rundingan dalam usaha untuk membolehkan makanan dieksport semula.
Bekalan Makanan Berkurang Tahun Depan
Setakat ini, sebanyak 26 negara telah pun mengharamkan eksport makanan bagi menjamin bekalan yang mencukupi bagi pasaran domestik.
“Jika rantaian bekalan makanan terganggu akibat keadaan panik dalam pasaran, orang ramai akan menghadapi kesukaran untuk mendapatkan makanan.
Ads
“Ia akan menjejaskan semua penduduk dunia, dan tidak terhad kepada golongan miskin semata-mata,” tegas Beasley. – Agensi
Mingguan Wanita : Semoga apa yang diramalkan tidak menjadi kenyataan kerana bukan mudah bila bekalan makanan tak mencukupi.
Setiap anak yang dikurniakan merupakan rezeki bagi pasangan suami isteri. Namun, gara-gara melahirkan 5 pasangan kembar, seorang isteri ditinggalkan suami sendiri atas alasan tak sanggup jaga dan terlalu ramai.
Seorang wanita dari Uganda ditinggalkan suaminya selepas melahirkan pasangan kembar kelima mereka dengan alasan keadaan tersebut adalah tidak normal, lapor akhbar Mirror UK, kelmarin.
Nalongo Gloria, telah ditinggalkan oleh suaminya, Ssalongo ketika dia melahirkan anak kesembilan dan kesepuluh mereka.
“Tiga hari selepas saya disahkan hamil anak kembar kelima kami, suami saya memberitahu dia tidak sanggup menjaga anak yang terlalu ramai dan menyuruh saya pulang ke kampung halaman.
“Namun, saya tiada tempat untuk dituju kerana saya datang ke Kampala untuk bekerja sebagai pembantu rumah,” kata Gloria.
Gloria dan anak-anaknya kini menyewa sebuah rumah kecil bersama sebahagian daripada anak-anaknya.
“Saya tidak menyesal melahirkan anak-anak ini walaupun kewujudan mereka dinafikan oleh bapa sendiri.
“Kini, saya perlu memikirkan ke mana mahu pergi apabila tuan rumah memaklumkan dia tidak suka saya dan anak-anak tinggal di sini,” katanya.
Tambah Gloria, beberapa anaknya yang sudah dewasa sudah membawa haluan hidup masing-masing dan dia tidak tahu lokasi mereka yang terkini.
Siapa sangka adat dan ritual tradisi masyarakat setempat di sesebuah kawasan mahupun negara adakalanya cukup unik. Buaya yang dianggap binatang berbahaya, dikahwinkan dengan pemimpin tempatan dipercayai mampu membawa ‘rezeki’ dan ‘tuah’.
Di Mexico, seorang Datuk Bandar melamar seekor buaya yang lengkap dipakaikan gaun pengantin demi meneruskan upacara tradisi di negeri itu.
Datuk Bandar San Pedro Huamelula, Victor Hugo Sosa ‘berkahwin’ dengan buaya itu sebagai sebahagian daripada ritual tradisi orang asli untuk membawa ‘rezeki’ ke kampung di barat daya Mexico.
Upacara itu turut dipercayai akan membawa ‘tuah’ kepada komuniti nelayan setempat.
Buaya betina yang dinamakan Little Princess dikenakan pakaian berwarna putih seperti pengantin dan kemudian dibaptiskan sebelum Sosa melafazkan ikrar perkahwinan.
Pengantin lelaki turut memberikan ciuman kepada isterinya.
Reptilia berusia tujuh tahun itu dipercayai sebagai dewa yang mewakili ibu pertiwi dan perkahwinan dengan pemimpin tempatan melambangkan penggabungan manusia dengan alam lain.
Majlis penuh warna-warni itu turut diserikan dengan persembahan muzik tradisional dengan tetamu bersorak kegembiraan.
“Kami meminta alam supaya hujan turun dengan cukup, makanan serta mempunyai sumber ikan di sungai,” kata datuk bandar itu.
Oaxaca terletak di selatan Mexico yang mempunyai ramai penduduk miskin.Mexico merupakan negara paling kaya dengan budaya orang asli dan masih mengekalkan bahasa serta tradisi mereka.
San Pedro Huamelula ialah sebuah perkampungan nelayan kecil di pantai Pasifik Oaxaca.
Naluri ibu, sesuatu yang dimiliki dan dianugerahkan oleh seorang ibu terhadap anak dan boleh jadi pada suaminya. Itulah yang boleh diceritakan oleh seorang ibu apabila anaknya tiba-tiba demam panas yang tinggi dan sawan sebaik bermain dengan seekor anak kucing yang sakit.
Dalam perkongsian oleh Nurli Isnin di Facebooknya turut memohon pembaca untuk mendoakan buat anaknya Anaqi, 5 tahun yang kini berada di hospital untuk rawatan lanjut.
Dari masa kesemasa, Nurli turut berkongsi perkembangan Anaqi. Alhamdulillah, keadaan semakin pulih tapi masih belum dapat kesan punca penyakit anaknya. Tapi naluri ibu mengatakan punca itu dari anak kucing yang sakit dan tidak terurus.
Saya dan suami berserah dan bertawakal Allah, moga dipermudahkan urusan.
Pada hari rabu lepas, doktor telah mengambil air tulang belakang dan keputusannya perlu tunggu 10 hari bekerja. Doktor beritahu sampel air tulang belakang akan di hantar ke makmal Hospital Kuala Lumpur untuk tahu virus apa yang menyerang otaknya.
Doktor masih tidurkan Anaqi dan diberikan antibiotik. Bacaan darah merah dah mula stabil dan bacaan tekanan darah juga dah menunjukkan stabil tapi ada ubat sokongan jantung lagi cuma dosenya direndahkan..
Kisahnya bermula bila Anaqi mula demam selepas main tanah di depan rumah. Dia guna peralatan ceduk dan masukkan tanah di botol dan saya perasan ada najis kucing di situ. Saya melarangnya terus dia masuk ke rumah.
.
Demam on off dalam beberapa hari dan dia sihat lepas makan ubat demam, aktif dan ceria.
Selepas baik demam dia ada pegang anak kucing yang sakit, berair mata, berlendir mulut dan kucing kurus itu tidak bermaya. Dia pegang dan main kucing itu di belakang rumah. Saya melarangnya dan dia masuk ke dalam rumah.
Selepas dari itu, dia demam lagi untuk beberapa hari. Bagi ubat demam ok dan kembali demam semula, sampailah muntah, tak lalu makan. Bila balik kampung, panas badan dah berkurang.
Tapi pada pagi Jumaat, badan dia mula lemah, tidur saja dan jalan tak betul, tak nak makan dan minum, apatah lagi bercakap. Kami bawa dia ke dua klinik swasta untuk tahu sakitnya.
Sedihnya, doktor tak dapat nak kesan Anaqi sakit apa sebab suhu badan tak panas sangat dan hanya ada tonsel, sebab kurang minum air.
Akhirnya, doktor meminta kami rujuk ke Hospital Baling, Sepanjang berada di situ, Anaqi menunjukkan reaksi badan yang pelik, muka terherot, kaki dia terangkat, tangan terherot-herot, air liur meleleh, kancing gigi. Tapi suhunya tak tinggi. Jururawat beritahu Anaqi kena sawan dan terus doktor masukkan ubat sawan.
Tapi kejadian sawan tue berulang lagi dan bacaan oksigen dah mula tak stabil, semakin menurun. Doktor ambil keputusan untuk tidurkan dia. Sebab ada 2 risiko jika tidak ditidurkan.
1. Bila oksigen tak sampai ke otak dia boleh lumpuh seumur hidup.
2. Dan bila oksigen tak sampai ke jantung dia boleh pergi buat selama-lamanya.
Alhamdulilah urusan Anaqi dimudahkan, doktor berjaya pasang tiup pernafasan dan tidurkan dia. Transfer Anaqi dari Hospital Baling ke Hospital Alor Star dan terus masuk PICU.
Doktor Bantu Selamatkan Anaqi
Doktor pakar mula berkumpul untuk bantu selamatkan Anaqi. Saya hanya tunggu di luar dengan bertemankan air mata. Sekarang ni rasa fobia bila nampak kucing sakit.
Alhamdulilah Allah datangkan kekuatan luar biasa, walaupun hati ummi umpama tisu.. ummi yakin Anaqi ummi akan sihat seperti dulu..
Berserah sepenuhnya kepadaMu ya Allah.
Keadaan Terkini
Tarikh: 15/7/2022 dan 16/7/2022
Syukur Alhamdulilah..sujud syukur..
the power of doa, bacaan yassin dan solat hajat.
Jururawat beritahu, doktor sudah buka saluran pernafasan di trakea Anaqi selepas buka mesin pernafasan besar dan dipakaikan alat pernafasan yang lebih kecil. Doktor perlu stabilkan pernafasan dia dengan dose yang lebih rendah.
15/7/2022
Ummi dan Abi melawat Anaqi, tetapi dia tidak menunjukkan tindak balas langsung, Ummi belai rambut dan ucapkan syafika Allah, baca al fatihah tiup di ubun rambut, baca yassin, dia tidak terjaga langsung walaupun Ummi dan Abi panggil.
Anaqi sudah tidak di tidurkan lagi, tetapi dia diberikan ubat tidur dengan dose yang rendah untuk memudahkan dia bernafas menggunakan mesin kecil dengan lebih baik.
Ubat sokongan jantung juga doktor dan hentikan sebab bacaan tekanan darah Anaqi dah stabil dan bacaan darah merah juga baik.
Doktor ada beritahu sepanjang berada di PICU Anaqi tidak mengalami sawan dan maklumkan ada pesakit sebelum ini, walaupun telah di tidurkan ada yang mengalami sawan lagi. Keadaan itu bermaksud jangkitan kuman di otak pesakit itu banyak.
16/7/2022
Seperti biasa melawat Anaqi di PICU. Bila dah sampai wad, katil yang Anaqi duduk kosong. Terkejut Ummi dan Abi dan pengawal keselamatan yang bertugas maklumkan yang Anaqi telah ditukarkan ke wad yang lain.
Dia telah dipindahkan ke unit rawatan rapi 2 iaitu wad paediatric high depency ward (PHDW), masa untuk melawat Anaqi di dalam wad itu juga berubah.
Bila tiba waktu melawat, nampak Anaqi tengah tidur dan saluran pernafasannya juga telah ditukar kepada yang lebih kecil. Dia masih diberikan ubat tidur tapi dose lebih rendah.
Alhamdulilah, banyak perubahan positif Anaqi hari ini. Seperti biasa Ummi baca yassin dan abi pegang tangan Anaqi. Alhamdulillah Anaqi mula sedar selepas itu.
Lama dia perhatikan Ummi dan pandang ke kanan perhatikan Abi pula.
Ya Allah..anak…dah lama Ummi tak tengok Anaqi buka mata, rindunya Ummi. Badan dia mula bergerak tetapi pergerakan terbatas sebab kaki dan tangan perlu di ikat sebab doktor bagitahu Anaqi nak buka jarum dan tarik wayar bila dia mula sedar sebelum ini.
Mula Bercakap
Belum Ummi habis baca yassin, tiba-tiba Anaqi bercakap sambil matanya melihat ke atas..perkataan pertama dia cakap.. air ada dekat atas.. mungkin sebab lali dengan ubat tidur dan lihat cahaya lampu bersinar di atas..
Abi tanya: Anaqi sakit tak? Dia tak menyahut dan tanya lagi.
Akhirnya Anaqi jawab tak sakit.
Lepas itu dia buat muka nak menangis dan dipujuk Abinya. Jururawat maklumkan Anaqi masih perlu diberikan 3 ubat antibiotik lagi dan anaqi minum susu 160ml untuk 4 jam sekali menggunakan saluran paip di hidung.
Masih guna ubat tidur dengan dose lebih rendah untuk lebih stabilkan dia, sebelum dia betul-betul sedar dan boleh bernafas sendiri.
Ada banyak perubahan yang positif dari Anaqi. Moga keadaan Anaqi selalu stabil dan sentiasa lebih baik. Ummi percaya ini adalah kuasa doa dari semua yang mendoakan Anaqi.
Terima kasih semua, moga Allah membalas segala kebaikan semua yang mendoakan untuk kesembuhan Anaqi..Sekarang ini Anaqi akan berada di wad PHDW dulu untuk beberapa hari dan masih dalam pantauan rapi.
Mingguan Wanita : Moga Anaqi diberi kesembuhan dan dapat bersama kembali dengan Ummi, Abi dan adik beradik yang lain seperti sediakala. Aamiin.