Baru semalam kita digemparkan dengan tragedi budak perempuan maut jatuh bangunan, hari ini dikejutkan pula dengan kematian budak lelaki 5 tahun akibat jatuh dari tingkat 16 sebuah kondominium.
Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun maut, dipercayai terjatuh dari tingkat 16 sebuah kondominium di Batu Caves, Gombak dekat sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi, ibu mangsa yang juga seorang ibu tunggal dikatakan tiada di rumah kerana keluar atas satu urusan dan mangsa ditinggalkan bersama adik lelaki yang berusia empat tahun bersama ibu saudara berusia 36 tahun.
Tiada Di Bilik
Ibu saudara kanak-kanak itu, Fauziah Hanum Cik Ros, 36, berkata kejadian berlaku pada 10.30 pagi apabila tiba-tiba beliau sedar mengenai kehilangan anak saudaranya itu selepas didapati tiada di biliknya.
“Semasa kejadian, saya sedang mandi dan dia (anak saudara) baru sahaja bangun tidur kerana dia tidur lewat semalam, namun sebaik siap mandi, saya tidak nampak kelibat dia (anak saudara) di rumah.
“Saya terus telefon Bella (ibu kanak-kanak itu) yang berada di luar semasa kejadian,” katanya kepada pemberita di ketika ditemui di lokasi kejadian.
Fauziah berkata, dia mendapat tahu anak saudaranya itu berada di tingkat dua kondominium itu selepas dihubungi Bella, yang dinaklumkan orang ramai bahawa ada kanak-kanak dikesan di tempat berkenaan.
Menurutnya, anak saudaranya itu adalah seorang yang aktif dan mempunyai seorang adik lelaki berusia empat tahun yang ketika kejadian turut berada di rumah.
Bakal Langsungkang Pernikahan
Sementara itu, teman lelaki Bella yang hanya mahu dikenali sebagai ‘Am’ berusia 20-an berkata, dia sepatutnya melangsungkan pernikahan dengan Bella, Jumaat ini.
Am berkata, beliau sedang tidur di rumahnya di Ampang semasa mendapat panggilan telefon daripada bakal isterinya itu yang memberitahu anaknya hilang.
Ads
Foto ihsan pembaca
Panjat Katil Main Tepi Tingkap
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal, berkata siasatan awal mendapati mangsa dipercayai bermain dan memanjat sebuah katil di tepi tingkap.
“Ketika kejadian, mangsa dalam jagaan ibu saudaranya. Kita percaya mangsa terjatuh daripada tingkap kediaman mereka.
“Siasatan mendapati tingkap berkenaan tidak dipasang jeriji, bagaimanapun siasatan lanjut sedang dijalankan oleh polis daerah Gombak,” katanya.
Kes Disiasat Seksyen 33 Akta Kanak-Kanak 2001
Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 33 Akta Kanak-Kanak 2001, kerana ada kaitan dengan kecuaian dan pengabaian terhadap kanak-kanak.
Kejadian itu juga adalah yang kedua berlaku membabitkan kanak-kanak jatuh dari kondominium di Lembah Klang, dalam tempoh dua hari berturut-turut.
Semalam, seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun maut selepas terjatuh dari tingkat 29 sebuah kondominium di Jalan Ipoh di sini.
Kejadian dilaporkan kepada pihak polis pada jam 2.41 petang selepas mayat mangsa ditemui seorang kakitangan pengurusan di kawasan koridor di tingkat lapan kondominium terbabit.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai, dipetik sebagai berkata ketika kejadian, bapa mangsa yang berusia 35 tahun keluar untuk membeli barang dan mangsa ditinggalkan bersendirian tanpa pengawasan dalam keadaan pintu rumah berkunci.
Mingguan Wanita: Salam takziah buat keluarga mangsa.Semoga dijadikan pengajaran dan mak ayah lebih berhati-hati, terutamanya bila tinggal di tempat tinggi.
Kalau anak batuk dan selesema, mak-mak pasti tak senang duduk dengan kesihatan anak-anak. Biasanya peyebab utama gejala selesema dan batuk ialah jangkitan kuman virus. Jadi tak bolehlah nak biar sembuh sendiri.
Ok, memang tidak dinafikan ubat-ubatan perlu untuk meredakan batuk dan kahak bagi mengelakkan semakin berlarutan tetapi mak-mak juga boleh cuba petua tradisional ini di rumah.
Orang kata, ubat bagi tapi petua pun boleh cuba. Andai kata nak cuba, mak-mak boleh cedok petua hilangkan batuk daripada Puan Ummu Umar Ali ini.
Petua Hilangkan Batuk Anak
Bismillahirrahmanirrahim.. Tengah hari tadi ada post pasal buat minyak bawang putih yang saya buat untuk anak batuk. Alhamdulillah… Memang mujarab. Sapu 2 kali kat tapak kaki dia, labu betis, belakang dan dada terus lega batuk.
Ramai juga yang pm tanya macam mana nak buat sebab sekarang memang ramai kan anak-anak yang sedang batuk. Ini saya kongsikan sedikit cara saya buat. Insyaallah boleh cuba.
Cara buat pun tak susah..
Langkah pertama
Mula-mula ambil selabu bawang putih dan dibakar dalam kuali dan tutup. Bakar agak-agak dah naik bau dia dan wrna kulit bawang menjadi kekuningan.
Langkah kedua
Ambil bawang tadi letakkan dalam mangkuk dan siram minyak atas bawang yang sudah dibakar tadi. Biarkan lebih kurang 10 minit.
(boleh guna minyak yang anak anda biasa guna. Minyak telon, minyak angin atau minyak zaitun dan minyak masak pun boleh juga)
Langkah ketiga
Picit bawang ke dalam minyak. Bawang sudah menjadi lembut. Sekarang dah boleh sapu kat tapak kaki anak, kat labu betis, belakang serta dada dia. Insyaallah anak-anak anda akan selesa daripada batuk dan batuk akan sembuh dengan izin Allah. Cuba lah.. Mudahkn?
Nota:
Saya guna minyak telon.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Tidak dinafikan ramai yang membeli emas sebagai perhiasan diri serta pelaburan pada masa akan datang kerana ia boleh digadaikan mahupun dijual ketika waktu susah. Bahkan nilai emas yang semakin meningkat saban tahun, memang boleh menjadi pelaburan yang menguntungkan kelak.
Susulan pengeluaran khas wang KWSP bermula 18 April baru-baru ini, menyebabkan pusat komersial dan beli belah di bandar raya ini menjadi sesak dan tumpuan orang ramai berbelanja.
Tinjauan di Pusat Komersial UDA, Tampoi mendapati kedai emas dan butik menjual pakaian raya antara premis yang menjadi tumpuan.Deretan kedai emas di pusat komersial di situ, dilihat dipenuhi orang ramai yang sanggup menunggu giliran di luar premis sejak ia dibuka jam 10 pagi tadi.
Bekas pekerja swasta, Emelda Bachok, 46, berkata beliau bersyukur dengan keprihatinan kerajaan yang meluluskan pengeluaran khas KWSP bermula kelmarin.
Beliau sekeluarga lega apabila mendapat wang tambahan bagi menyediakan persiapan Aidilfitri.
“Sebelum ini memang agak mencabar kerana saya mempunyai tanggungan besar, suami pula baru kehilangan kerja.
“Dengan pengeluaran khas KWSP ini dapatlah bernafas sikit beli apa yang patut. Separuh wang ini akan disimpan dan digunakan ketika kecemasan sahaja dan separuh lagi buat persiapan Aidilfitri.
“Saya memang dah berniat nak belikan dua anak perempuan berusia 15 dan 12 tahun barang kemas, sama ada gelang atau cincin emas dengan duit pengeluaran ini. Alhamdulillah niat ini tercapai hari ini,” katanya.
Juruteknik, Mohd Ashraf A Safar, 27, pula berkata beliau juga sangat bersyukur dan lega kerana permohonan mengeluarkan wang KWSP diluluskan.
“Alhamdulillah, saya hanya mengeluarkan separuh daripada jumlah had dibenarkan tetapi memang sangat lega dan bersyukur.
“Ada juga wang lebih selepas bayar hutang, bil dan keperluan lain. Hari ini saya bawa isteri, Nurul Nur Syafiqah Zuraimi, 26, beli barang kemas emas kerana banyak membantu saya ketika susah senang.
“Ini juga sebagai pelaburan juga ketika waktu susah kerana emas yang dibeli sama ada boleh dijual semula atau digadaikan ketika kami memerlukan wang nanti,” katanya.
Pertambahan Pelanggan Mendadak
Dalam pada itu, pemilik kedai emas De Aurora, Dayana Haironi, mengakui pelanggan ke kedainya bertambah secara mendadak bermula semalam.
“Sebelum ini, pelanggan ramai juga tetapi tidak seramai semalam dan hari ini. Rasanya pengeluaran khas KWSP memang mempengaruhi pertambahan pelanggan yang agak luar biasa.
“Saya jangkakan pelanggan akan terus bertambah dan memuncak pada hujung minggu ini berikutan pengeluaran khas akan mula dibelanjakan orang ramai dan kami sudah bersedia menambah stok barang kemas baharu selain menggunakan kakitangan sepenuhnya iaitu 30 pekerja pada Jumaat, Sabtu dan Ahad ini,” katanya.
Mingguan Wanita: Selain persiapan Aidilfitri, ramai rupanya yang membelanjakan pengeluaran khas KWSP untuk pembelian emas bagi tujuan pelaburan pada waktu terdesak. Apapun berbelanjakan dengan berhemah, utamakan keperluan dan manfaatkan sebaiknya pengeluaran khas KWSP ini.
Fattah Amin panggil Amira Othman ‘isteri syurga.’ Pelakon terkenal, Fattah Amin, tidak segan berkongsi panggilan mesra yang digunakan untuk isterinya, Amira Othman, selepas selamat disatukan dalam ikatan perkahwinan.
Fattah Amin Panggil Amira Othman ‘Isteri Syurga’
Menurut Fattah atau nama penuhnya Abdul Fattah Mohd Amin, 35, sejak sebelum bergelar suami lagi, dia sudah terbiasa memanggil Amira dengan gelaran “bakal isteri syurga”. Katanya, setiap panggilan yang dilafazkan itu diyakini sebagai doa yang baik untuk wanita yang kini sah menjadi suri hatinya.
“Sebelum ini, saya suka panggil dia bakal isteri syurga. Sekarang, isteri syurga pula.
“Kita jadikan itu satu doa,” katanya sambil tersenyum ketika ditemu bual pengacara majlis, Sissy Imann dan Awal Ashaari, sejurus selesai upacara ijab kabul pada Ahad lalu.
Amira turut meluahkan rasa syukur dan berterima kasih kepada semua pihak yang tidak putus mendoakan kebahagiaan mereka berdua.
“Terima kasih kepada semua yang meraikan saya dan Fattah serta doa baik-baik untuk kami. Semoga doa itu akan berbalik juga kepada anda,” ujar penyanyi Hati-Hati itu penuh sopan.
Majlis pernikahan pasangan selebriti ini berlangsung indah di Golden Palm Tree Resort, Sepang, dengan hanya sekali lafaz Fattah sah bergelar suami Amira.
Upacara akad nikah itu disempurnakan oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, di hadapan kira-kira 200 tetamu yang terdiri daripada ahli keluarga dan kenalan rapat.
Dengan mengetengahkan tema Islamik al-Zauj yang membawa maksud “dua jiwa dipertemukan oleh Allah”, majlis senja itu dipenuhi suasana sederhana namun penuh keberkatan, selari dengan harapan pasangan untuk menjadikan detik bersejarah itu sebagai lambang penyatuan yang dirahmati.
Menariknya lagi, hari bahagia mereka bertepatan dengan ulang tahun kelahiran Fattah yang jatuh pada 14 September. Tarikh itu dipilih sendiri oleh Amira sebagai hadiah paling berharga buat suaminya.
Dalam majlis berkenaan, Fattah turut menyerahkan mas kahwin berupa seutas gelang emas tunai, diiringi lima dulang hantaran berbalas tujuh daripada pihak pengantin perempuan.
Live TikTok Fattah, Amira raih lebih 50 juta ‘likes.' Pasangan baharu mendirikan rumah tangga, Fattah Amin, 35, dan Amira Othman, 32, sekali lagi menjadi perhatian ramai apabila sesi siaran langsung mereka di TikTok mencatatkan lebih 50 juta tanda suka selain ditonton lebih 150,000 kali setakat jam 10.40 malam, Isnin.