Siapa sangka pembedahan dalam perut yang disebabkan oleh ketumbuhan, turut ‘mengesan’ kehadiran bayi dalam perut wanita ini. Malah kehadiran bayi perempuan berusia lapan hari disifatkan keluarganya sebagai ‘anak ajaib’ kerana ibunya tidak pernah menyedari hamil bayi berkenaan sebelum ini.
Tiada siapa menyangka Sanisah Abu Bakar, 45, mengandung, Nur Iman Amani Widodo sebelum ini, malah wanita terbabit sendiri tidak menyedarimengandung hinggalah bayinya itu dilahirkan secara pembedahan pada 19 Jun lalu.
Segalanya bermula apabila keluarga Sanisah menyangka wanita terbabit menghidap ketumbuhan dalam perut yang menyebabkan perutnya sering berasa sakit.
Dua Ketumbuhan
Widodo Sinasim, 47, berkata, dia tidak menyangka isterinya hamil sehinggalah Sanisah mengadu mengalami kesakitan yang tidak tertanggung minggu lalu.
“Doktor di Hospital Melaka memang ada melakukan ujian imbasan, tetapi tidak dapat mengesan ada bayi dalam perut isteri saya sebelum ini. Apa yang dikesan hanyalah dua ketumbuhan.
Ads
“Doktor melakukan pembedahan dan mengeluarkan ketumbuhan seberat 500 dan 800 gram, tetapi doktor terkejut apabila mendapati ada bayi dalam perutnya lalu menyelamatkan anak itu daripada perkara tidak diingini,” katanya ketika menerima kunjungan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsuddin di kediamannya di Kampung Kuala Linggi di sini.
Widodo bagaimanapun berkata, beliau, isteri dan lima anak mereka berusia enam hingga 19 tahun menyambut kehadiran bayi itu dengan penuh kesyukuran dan menganggapnya sebagai keajaiban kerana tiada siapa menjangkakan kehadirannya.
Sementara itu, Mas Ermieyati berkata, setiap anggota komuniti harus mengutamakan aspek penjagaan kesihatan kerana ia nadi kehidupan manakala wanita harus tahu mengenai perihal kesihatan diri sendiri, terutama jika hamil.
Ads
“Amat penting untuk wanita hamil memahami aspek penjagaan kesihatan dan harus tahu sama ada mereka hamil atau sebaliknya kerana penjagaan bayi dalam kandungan berkait rapat dengan dua nyawa,” katanya.
Mas Ermieyati turut menyerahkan sumbangan peribadi kepada Sanisah yang dalam pantang dan mengingatkannya supaya menghabiskan waktu dengan berehat.
MW: Istimewa sungguh kelahiran bayi perempuan ini. Kelahiran yang tidak disangka-sangka apatah lagi tak pernah disedari ketika ibunya mengandung. Semoga bayi ini membesar dengan sihat dan sempurna.
“Saya tak cari pasangan kerana rupa atau harta. Tapi kerana hatinya… dan keperibadiannya yang memeluk tenang hidup saya.” — Mohd Shahril Tuah (Aril)
Di sebalik tawa mesra dan gurau manja yang tular di TikTok Mingguan Wanita, siapa sangka cinta mereka pernah dipandang serong. Kata orang, Aril “gilakan harta” kerana memilih untuk bernikah dengan wanita 18 tahun lebih berusia, bergelar doktor dan anak orang berada.
Namun bagi Aril, 38, seorang usahawan tudung dan bekas wadar penjara, cinta yang dipilihnya bukan berasaskan kekayaan atau fizikal semata.
Sebaliknya, keperibadian Dr Zahida Datuk Mohamad Zahudi, 56, menjadi magnet yang melembutkan hatinya.
Permulaan Yang Sederhana, Tapi Sarat Makna
Takdir mempertemukan mereka di sebuah klinik, bukan sebagai dua kekasih, tetapi sebagai anak yang membawa ibunya mendapatkan rawatan. Itulah detik pertama Aril melihat sisi sebenar wanita bernama Zahida, saat beliau memberi nasihat penuh lembut kepada ibunya.
“Waktu itu, saya nampak cara dia bercakap dengan emak. Sopan, jelas, dan menyentuh hati. Dari situlah, saya tahu… saya ingin mengenalinya lebih dekat,” ujar Aril tenang.
Ketika itu, Zahida baru sahaja kehilangan suami, manakala Aril pula baru putus tunang. Dalam kesedihan masing-masing, mereka mula berkawan, saling mengenali hati budi. Tiga tahun kemudian, mereka disatukan dengan restu penuh daripada kedua-dua belah keluarga.
Mendengar kisah dari sisi Dr Zahida pula, nyata wanita ini tidak melihat beza usia sebagai kekangan. Malah, dia sendiri tidak menyangka akan berkahwin semula selepas tiga tahun hidup solo.
“Waktu kahwin, saya 45, dia 27. Tapi cara dia bercakap… matang. Tak ada cakap kosong. Saya pula yang lebih kebudak-budakan,” selorohnya sambil ketawa kecil.
Dalam rumah tangga, Zahida tetap meletakkan hormat terhadap suami walau beza usia ketara.
“Walaupun dia muda, dia tetap imam saya. Saya tak fikir nak menang bila berbincang. Saya terima tegurannya. Dan dia pula banyak bimbing saya, terutama dalam soal agama.”
Cinta Yang Mendamaikan Jiwa
Kini selepas 11 tahun melayari bahtera rumah tangga, Aril bersyukur atas ketenangan yang diraihnya bersama wanita yang menjadi sandaran jiwanya itu.
“Dia hadir waktu saya jatuh, waktu orang luar tak terima saya, waktu saya mula bertatih sebagai pencipta kandungan. Dia tak pernah tinggalkan saya.”
Video-video mesra mereka yang tular bukan sekadar hiburan, tetapi menjadi inspirasi ramai — bahawa cinta sebenar tidak memandang usia, rupa atau status. Cinta sejati, katanya, berasaskan kejujuran, restu keluarga dan penerimaan tanpa syarat.
Dari Dua Dunia, Menjadi Satu
Aril dan Zahida, dua jiwa dari latar berbeza, usia berbeza, tetapi dipertemukan oleh Tuhan untuk saling melengkapi. Kisah mereka mengajar kita bahawa dalam dunia penuh penghakiman, masih wujud cinta yang murni, tulus dan suci.
“Apa orang kata, saya maafkan. Saya doakan semoga mereka belajar melihat dengan hati, bukan dengan syak wasangka,” kata Aril, sambil menggenggam tangan isterinya.
Semoga cinta pasangan ini terus mekar hingga ke syurga, menjadi inspirasi buat wanita-wanita yang sedang mencari harapan dalam cinta kedua atau mungkin, cinta yang benar.
Niat tidak menghalalkan cara. Walaupun niatnya baik iaitu mendermakan spermanya untuk membantu pasangan lain tetapi perkara ini menyalahi undang-undang.
Pada awalnya, lelaki Vietnam ini menderma spermanya untuk bantu pasangan yang inginkan cahaya mata, akhirnya setahun dia bergelar bapa kepada 23 anak.
Jadi Bapa Segera Kepada 23 Anak
Seorang lelaki Vietnam di Sdyney, Australia yang menjadi ‘bapa segera’ kepada 23 anak dalam tempoh setahun selepas mendermakan spermanya, kini disiasat pihak berkuasa.
Ini berikutan garis panduan agensi kerajaan di Victoria, sebuah negeri di negara itu, hanya membenarkan sperma seorang penderma digunakan untuk membantu 10 wanita sahaja.
Menderma Secara Sukarela
Alan Phan, 40-an, yang sudah berkahwin, sebelum ini mendermakan spermanya secara sukarela kepada wanita dan juga melalui beberapa klinik di Queensland dan Victoria.
Tetapi selepas mempunyai 23 anak dalam satu tahun, ada pihak membuat laporan terhadap lelaki itu kepada Lembaga Bantuan Kesuburan Victoria (VARTA) iaitu agensi kerajaan khusus bagi menyelaraskan penderma sperma.
Ketua Pegawai Eksekutif VARTA, Louise Johnson berkata, embrio lain yang terbentuk daripada sperma lelaki berkenaan yang masih dalam simpanan tidak lagi boleh digunakan.
“Selepas klinik rawatan mengetahui lebih daripada 10 bayi dilahirkan melalui sumbangan seorang penderma, mereka tidak boleh menggunakan sperma daripada penderma sama,” katanya.
Beliau berkata, VARTA perlu memastikan tidak ada lagi bayi yang lahir menggunakan sperma didermakan oleh Alan.
Bantu Pasangan Yang Inginkan Cahaya Mata
Dalam satu temu bual sebelum ini, Alan berkata, dia mendermakan spermanya bagi membantu individu atau pasangan yang mahu mempunyai anak.
“Saya tahu sperma saya sudah menyumbang kepada sembilan kelahiran. Kemudian, saya menerima mesej daripada seorang wanita mengatakan sperma ke-10 saya berjaya menghasilkan anak,” katanya.
Alan mendakwa menjadi orang Vietnam pertama menderma di kumpulan Facebook, Sperm Donation Australia dan ramai penerima mahukan benihnya kerana peratusan kadar kehamilan yang tinggi.
Alan sebelum ini menyifatkan sumbangannya sebagai hobi dan mengamalkan gaya hidup sihat dan mengambil makanan tambahan bagi memastikan ‘benihnya’ berkualiti.
Setiap negeri di Australia mempunyai undang-undang, peraturan dan garis panduan berbeza berhubung bantuan kesuburan membabitkan sperma didermakan daripada seorang penderma.
MW: Langkah ini perlu diambil, bayangkan jika terlalu ramai anak bakal lahir daripada benih tentu akan mengundang pelbagai kesan pada anak nanti. Tindakan yang diambil kerajaan Australia harus dipuji dalam membendung isu ini.
Menjadi seorang guru tugasnya bukan hanya sekadar mengajar. Bersikap prihatin dan ambil berat terhadap anak-anak murid juga salah satu tugasan yang harus digalas oleh mereka yang bergelar cikgu.Hatta, jika ada anak murid yang tak pandai memakai tudung mahupun berbaju comot ketika disekolah juga mampu terselit kisah yang menceritakan punca sebenar.
Perkongsian kisah menarik ini dikongsikan oleh cikgu yang prihatin, Mohd Fadli Salleh. Semoga mak ayah memperoleh manfaat daripada kisah ini.
Berikut antara perkongsian tersebut;
Tahun lepas, ada seorang murid tahun satu yang sangat pendiam. Perempuan. Aku perasan tudung dia selalu tutup dahi. Macam tak pandai pakai tudung. Baju pun selalu comot.
Tahun ini, dia masih tidak pandai pakai tudung. Masih begitu, bajunya juga masih comot-comot. Banyak kali aku bertanya tentang keluarga, tapi dia mendiamkan diri sahaja.
Tahun ini dia tidak keseorangan. Dia berteman. Ada adik lelaki di tahun satu. Adik dia ini sangat aktif. Hyperaktif aku rasa. Memang langsung tak boleh duduk diam dalam kelas, dewan atau perhimpunan.
Pakaian adik dia pun sama juga. Tidak terurus dan selalu comot.
Dua hari lepas, adik dia dengan sengaja pecahkan bangku kantin. Bangku buah-buahan yang aku beli dengan duit kiriman sahabat-sahabat aku yang baik hati.
Maka unit disiplin, guru kelas dan pentadbir berbincang. Perlu panggil ibu bapanya untuk bincang kelakuan anaknya yang hyperaktif ini. Mencari jalan terbaik bagi murid ini agak tidak ternafi haknya untuk belajar dengan sempurna.
Kerja Buruh
Hari ini, selepas habis kelas pertama ada pengawas datang menjemputku ke pejabat. Katanya pentadbir panggil. Aku dah agak, pasti si ayah murid itu telah datang.
Dengan tenang aku terus ke pejabat. Diluar pintu pejabat, ada sepasang kasut lusuh. Nampak comot dengan selut dan kotoran.
‘Ini kasut orang kerja buruh,’ getus hati aku.
Sebaik masuk, kelihatan lelaki lewat 40an duduk bersama barisan pentadbir. Mukanya kelihatan penat, malah peluh pun tidak sempat kering dari baju.
Kulitnya gelap. Nampak jelas kerjanya pasti dibawah terik mentari. Tangannya kasar dan kotor tanda kerja berat.
Aku bersalaman dan menegur dia dengan mesra. Duduk betul-betul disebelah dia dan sesekali aku bergurau mencuit paha dan memegang bahunya. Tidak sesekali aku merasa geli atau membuat muka tidak selesa walau bau badannya tidak sewangi orang kerja pejabat.
Aku tidak mahu dia resah dan rasa bersalah. Aku nak dia tahu, kami bukan hendak menyalahkannya. Sikap budak, memang begitu. Namun kami ada minta dia bawa anaknya ke Hospital Selayang unit Mekar untuk pemeriksaan.
Anak Kategori Istimewa ADHD
Pada pengamatan mata kasar aku dan guru-guru lain, anak dia ini kategori istimewa. ADHD mungkin. Sangat aktif hingga sukar dikawal.
Aku susun ayat sebaik mungkin, memberitahu dia dengan lembut. Dia terima dengan tenang, dan dia pun tahu anak dia memang tidak terkawal. Dia berjanji akan bawa anak lelakinya itu ke hospital secepat mungkin.
Bila disahkan, anak dia boleh masuk kelas pemulihan. Kelas yang layak dan sepatutnya anak itu duduk dan belajar. Lagi pun, murid pendidikan khas ini ada elaun.
Tunggu Dapat Gaji
Sebelum dia beredar, kami bagitahu kerosakan yang dibuat anaknya perlu diganti. Dengan serba salah dia cakap,
“Cikgu. Boleh. Tapi tunggu saya dapat gaji ya.”
Jantung aku seakan berhenti mendengar jawapan pendek itu. Gugur seketika. Nilai bangku itu yang tidaklah besar di zaman ini. Tapi masih ada yang perlu tunggu gaji.
Terus aku pegang bahu dan mengajaknya pergi. Aku bukakan pintu pejabat, aku tunggu dia sarung kasut buruk itu.
Aku iringi setiap langkah dia ke motor buruknya sambil bertanya tentang kehidupannya.
“Abang kerja kat mana?”
“Saya kerja kat Kuang. Kerja ukur jalan. Ni dari Kuang dapat telefon dari sekolah terus saya datang.”
Allah. Kuang ke Gombak bukan dekat. Dengan motor tengah panas terik pula tu. Terus tinggal kerja bila tahu anak buat angkara.
“Rumah abang kat mana? Isteri kerja apa? Anak berapa orang?” soalku bertalu-talu.
“Rumah saya di Batu 5. Anak saya empat. Yang paling kecil, kembar dua orang duduk dengan isteri saya. Yang sulung tahun dua dan tahun satu ini tinggal dengan saya. Dah tiga tahun kami berpisah,” balasnya tenang.
Aku hanya mengangguk-anggukkan kepala sahaja. Aku minta dia hubungi aku terus kalau ada apa-apa. Nombor telefon aku tinggalkan, dan dia berlalu pergi.
Berlalu pergi dibawah teriknya sinar mentari untuk mencari sesuap rezeki.
Dijaga Oleh Ayah
Patutlah. Patutlah anak perempuannya tidak pandai pakai tudung. Rupanya dijaga oleh ayah sejak sekian lama.
Ayah yang kerja buruh mana pandai hendak pakaikan anak perempuan tudung. Asal tersarung, asal tertutup rambut baginya dah cukup elok.
Pakaian patutlah selalu nampak comot. Tidak terjaga seperti orang lain yang punya keluarga. Rupanya tinggal bersama ayah.
Kelu. Aku kelu sebenarnya.
Terharu. Aku sangat terharu melihat pengorbanan seorang bapa. Jika aku ditempat dia, aku pun tidak tahu apa aku mampu menjaga anak aku sebaik dia.
Makan minum, sakit demam, duit belanja, basuh pakaian dan segala urusan rumah tangga seorang diri. Menguruskan anak bukan mudah. Tambah-tambah bagi kaum lelaki.
Sebaik dia jawab hendak ganti kerusi itu bila dapat gaji, terus aku niatkan dalam hati,
‘Bangku yang perlu diganti itu aku yang akan ganti. Bahkan apa keperluan anak-anaknya yang mampu aku bantu, aku cuba bantu.’
Esok aku akan settlekan hal bangku diam-diam. Esok juga aku nak jumpa ustazah guru kelas anak sulungnya, minta ustazah tolong ajar murid ini pakai tudung dengan betul.
Semoga anak-anak ini rajin belajar seterusnya menjadi insan yang berguna dan berjasa.
Kerana bangku pecah semuanya terdedah. Setiap apa yang berlaku pasti ada hikmah.
#MFS
– Kasih seorang bapa.
Semoga kisah ini bermanfaat! Benar, jaga anak tidak mudah. Selepas berlaku penceraian tidak mudah menguruskan anak-anak seorang diri, lebih-lebih lagi jika peranan tersebut digalas seorang lelaki yang bergelar bapa.
Apabila aku dengar DPP bagitahu terdapat kesan air mani di dalam dubur anak aku .YA ALLAH gelapnya dunia .Tergamak kau buat anak aku yang baru 9 bulan. Kau tak layak dipanggil manusia!!! Kau memang binatang!!!