Isteri pertama diceraikan. Dikatakan isteri kedua beri layanan lebih hebat, alasan itu menjadikan Imam Muda ini nekad berkahwin lain. Malahan kini sanggup menceraikan isteri pertamanya.
Imam Muda Syed Mohd Faris Syed Roslan, 34, menceraikan isteri pertamanya, Nur Hidayu Rosly, 33, selepas berkahwin kali kedua secara rahsia di Songkhla, Thailand pada 18 Mac lalu.
Syed Faris yang juga finalis program Imam Muda musim kedua pada 2014 itu menceraikan Nur Hidayu dengan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya pada 28 Mei lalu iaitu dua hari selepas menyambut ulang tahun ke-13 perkahwinan mereka.
Nur Hidayu ketika ditemui turut mendakwa dikasari isteri baru suaminya itu selepas suaminya bercadang untuk menceraikan salah seorang daripada mereka.
Isteri Pertama Dikasari Isteri Baru
Menceritakan kejadian itu, Nur Hidayu berkata, ketika itu dia baru habis menjalani tempoh berpantang selepas melahirkan anak kelima mereka.
“Kejadian berlaku di tempat kerja saya kira-kira jam 12 tengah malam. Wanita itu berang apabila suami memaklumkan dia mungkin akan menceraikan salah seorang daripada kami.
“Pada mulanya semua berlaku dalam keadaan baik. Namun, apabila suami bercakap mahu menceraikan salah seorang daripada kami, dia mula mengasari saya selain mendakwa suami saya tidak memberinya nafkah dan sudah dua hari tidak pulang ke rumah,” katanya.
Nur Hidayu berkata, wanita itu menendang, memijak kaki serta memulas tangannya.
“Saya tak tahu apa motif dia. Paling menyedihkan, suami langsung tak mempertahankan saya,” katanya.
Menurut Nur Hidayu, dia memang mengenali wanita itu ketika sama-sama menyertai misi dakwah di Sibu, Sarawak pada November 2018 yang turut disertai suaminya.
“Kami berada di sana selama seminggu. Ketika itulah saya berkenalan dengan wanita itu. Dalam penerbangan balik, saya pelik kerana dia menaiki penerbangan sama dengan suami, tetapi saya tidak. Dari situ, saya mula rasa ada yang tak kena,” katanya.
Ads
Nur Hidayu berkata, suaminya hanya memaklumkan dia sudah berkahwin dengan wanita itu pada hujung Januari lalu ketika dia baru melahirkan anak kelima mereka.
Sebelum itu dia juga mengesan perubahan mendadak suaminya apabila kerap pulang lewat termasuk tidak pulang ke rumah langsung.
Suaminya juga tidak lagi memberi wang nafkah dan jika diberikan hanya mengikut sesuka hatinya.
Wanita Itu Lebih Hebat Melayan Imam Muda
Nur Hidayu berkata, sebelum ini suaminya pernah bercerita hasratnya untuk berkahwin lagi tetapi dia meminta supaya berfikir mengenai anak-anak.
Bagaimanapun, dia tetap mahu meneruskan hasratnya itu termasuk mendakwa wanita itu boleh melayannya lebih hebat daripada Nur Hidayu.
Ads
“Malah, sebelum dengan wanita ini dia pernah berkenalan dengan lima wanita lain dan mengajak mereka berkahwin. Namun, tidak berjaya kerana mereka semua tidak mahu berpoligami.
Imam Muda Faris Mengelak Untuk Menjawab
Sementara itu, usaha Harian Metro untuk mendapatkan kenyataan daripada Syed Faris tidak berjaya apabila dia mengelak untuk menjawab pertanyaan diberikan.
“Maaf, saya ada kerja yang perlu diselesaikan dahulu,” katanya ketika dihubungi.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan lima anak iaitu Sharifah Aisyah, 12; Syed Husayn, 10; Sharifah Fatimah, 5; Syed Muawiyyah, 3; dan Sharifah Safiyyah, lapan bulan.
Malah, sepanjang perkahwinan itu juga, Nur Hidayu pernah empat kali mengalami keguguran.
MW: Semoga Nur Hidayu tabah menghadapi ujian ini dan kuat untuk terus membesarkan lima anak yang masih kecil. Semoga Allah SWT sentiasa menjaga dan melindungi keluarga ini. MW mengharapkan ada sinar di setiap apa yang menimpa Nur Hidayu.
Lelaki ini, Akhtar Syamir berkongsi panduan bagaimana mencipta peluang tambah simpanan emas dengan Ar Rahnu. Bahasa mudahnya, tempat untuk mak-ayah pajakkan emas secara Islam bagi mendapatkan pinjaman wang.
Macam mana melalui pajakan ini dapat menambahkan simpanan emas, lanjutkan bacaan untuk hadamkan info seterusnya.
Ar-Rahnu adalah sistem pajak gadai Islam yang menawarkan pinjaman mikro diatas gadaian barang kemas. Tetapi jangan pandang perkataan pajak itu sahaja. Kerana kita boleh gunakan Ar Rahnu untuk menambah simpanan emas sedia ada.
Sebelum saya teruskan, saya perlukan anda buang persepsi yang tidak baik terhadap pajakan atau Ar Rahnu. Tidak semua orang yang pergi Ar Rahnu ialah orang tidak mempunyai duit. Ada yang menggunakan Ar Rahnu untuk menyimpan emas dan menggandakan simpanan emas sedia ada.
Untuk simpanan emas dengan selamat, tak perlu pergi bank dan sewa peti besi, Ar Rahnu ialah tempat yang terbaik. Katakanlah anda mempunyai banyak emas atau terpaksa meninggalkan rumah dalam masa yang agak lama, simpanlah emas anda di Ar Rahnu. Sudah tentu selamat dan tidak perlu bimbang akan risiko kehilangan atau kecurian.
Ada banyak cawangan dan penyedia perkhidmatan Ar Rahnu yang menawarkan kadar yang berbeza-beza. Tetapi di dalam penulisan kali ini saya fokuskan kepada Ar Rahnu X’Change.
Untuk makluman dan meleraikan kebimbangan, pajakan di Ar Rahnu X’Change TIDAK AKAN direkodkan dalam CCRIS. Hanya Ar Rahnu yang di BANK sahaja yang akan meninggalkan kesan di CCRIS. Ar Rahnu X’Change adalah seperti satu francais yang menggunakan sistem Ar Rahnu dari Bank Rakyat tetapi bukan sebahagian dari Bank Rakyat. Ada yang kata, X’Change juga ada yang di bawah Bank Rakyat. Jadi, kenalah tanya dahulu jika tidak mahu ada rekod CCRIS.
Tetapi kepada orang yang tidak pernah mempunyai rekod pinjaman bank dan bercadang untuk memohon pinjaman di masa hadapan, gunakanlah Ar Rahnu yang di bawah Bank untuk mewujudkan rekod pinjaman di dalam CCRIS.
Berbalik kepada Ar Rahnu X’Change, kadar pinjaman adalah setinggi 80% dari nilai emas yang dipajak dan tempoh masa gadaikan maksimum ialah selama 6 bulan. Namun begitu, selepas 6 bulan, anda boleh membayar upah simpan dan menyambung tempoh pajakan selama 6 bulan lagi jika mahu.
Penyambungan ini boleh diulang sehingga 2 kali. Jadi, maksimum 18 bulan barang kemas itu boleh dipajak sehingga ianya dilelong.
Kemudian kita kena ambil tahu berapakah nilai harga emas di Ar Rahnu X’Change. Pada saat dan ketika penulisan ini dibuat, harganya ialah RM 269 untuk 1 gram.
Jom kita bermain dengan matemarik supaya boleh nampak jelas berapa boleh dapat dan berapa upah yang perlu dibayar.
Katakanlah emas yang ingin kita pajakkan seberat 10 gram. Berat Emas X Harga Emas X 80% = Amaun tunai yang kita akan dapat. 10 g X RM269 X 80% = RM2152 Kos upah simpan untuk Ar Rahnu X’change ialah 0.65% hingga 0.75% dari nilai emas yang digadaikan. RM2690 X 0.75% = RM20.17 Jika dikalikan selama 6 bulan = RM121.02 Inilah jumlah kos upah untuk menyimpan emas di Ar Rahnu X’Change. Jika ingin menebus kembali emas yang sudah dipajak, hanya perlu campur jumlah pinjaman tambah dengan jumlah kos upah. RM2152 + RM121.02 = RM2273.02.
Jika ingin menyambung lagi tempoh masa gadaian, hanya perlu sediakan RM121.02 untuk penambahan lagi 6 bulan berikutnya. Ini boleh buat 2 kali.
Dari informasi ini, banyak situasi boleh kita kaitkan.
Mana lagi bagus? Gadai atau jual di kedai?
Pada waktu dan ketika penulisan ini ditulis, Kedai Emas seperti Gull Jewellery menawarkan pembelian emas setinggi RM225 1 gram.
Jadi, jika anda nak jual emas di kedai emas, anda akan dapat RM2250 berbanding RM2152 di Ar Rahnu. Tetapi perbezaannya ialah, di Ar Rahnu, anda masih memiliki itu anda dan jika jual di kedai, emas itu bukan lagi milik anda. Satu lagi perbezaan ialah di Ar Rahnu, anda ada kos upah yang perlu dibayar nanti.
Dari RM2152, jika dibahagikan dengan RM267 1 gram di kedai emas, kita akan dapat membeli emas seberat 8.05 gram.
Cuba kita bandingkan pula dengan jika kita “trade in” (jual dan beli semula emas di kedai yang sama). Harga trade in di kedai seperti GULL Jewellery SHAH ALAM ialah setinggi RM228 1 gram.
RM228 X 10 g = RM2280. Dari ini, kita boleh dapat beli emas di kedai yang sama seberat RM8.53 gram.
Perbezaannya, di Ar Rahnu, emas masih lagi milik anda dan anda perlu bayar kos upah simpan manakala apabila “trade in”, emas sudah menjadi milik kedai tetapi anda akan dapat beli emas yang lebih berat.
Pajakkan emas seberat 10g itu di Ar Rahnu dan kemudian beli emas yang baru. Anda akan dapat beli 8.05 gram emas yang baru seperti yang kita kira di atas.
Mungkin dalam masa 6 bulan lagi duit simpanan akan mencukupi, bolehlah tebus emas di Ar Rahnu untuk menjadikan jumlah emas yang anda ada sebanyak 18.05 gram. Jika 6 bulan tidak mencukupi, sediakan sahaja RM121.02 untuk menyambung lagi 6 bulan.
Apa yang anda akan dapat dengan cara ini? Emas telah bertambah dari 10 gram ke 18.05 gram. Anda boleh membeli harga emas pada harga sekarang, yang kebarangkaliannya lebih rendah dari masa akan datang, tanpa menunggu simpanan duit yang cukup.
Konsep mudah emas ialah beli dahulu dan tunggu, bukannya tunggu dan beli.
Cara ini juga boleh dibuat jika anda mahu rekaan terbaru tetapi sayang untuk melepaskan emas sedia ada dengan cara “trade in”.
Namun, “trade in” juga ada kelebihannya iaitu anda boleh dapat beli emas yang lebih berat berbanding cara simpan di Ar Rahnu tadi.
Sama juga dengan menjual emas di kedai emas. Anda akan dapat tunai yang lebih dan tidak tertakluk kepada hari dan waktu pembukaan Ar Rahnu X’Change yang selalunya tutup pada hari Sabtu dan Ahad.
1. Jika mahu tunai tanpa simpan, jual emas di kedai emas.
2. Jika mahu tunai dengan niat mahu simpan lagi emas sedia ada, pajakkan di Ar Rahnu.
3. Jika mahu rekaan emas terkini tanpa mahu menyimpan emas yang lama, “trade in” di kedai emas.
4. Jika mahu rekaan emas terkini dan masih sayang emas yang lama, pajakkan di Ar Rahnu.
5. Jika tidak mahu beri kesan kepada rekod CCRIS, pajaklah di Ar Rahnu yang bukan di bawah Bank. (Ar Rahnu X’Change) bukan di bawah bank, mereka hanya seperti francais yang menggunakan sistem Ar Rahnu Bank Rakyat.
6. Jika mahu wujudkan rekod pinjaman untuk pinjaman di masa hadapan, gadaikan emas di Ar Rahnu bank seperti di AgroBank dan lain-lain. Cuma pastikan pembayarannya juga cantik.
7. Batu permata tidak boleh dipajak. Ia akan dipisahkan dan hanya emas sahaja yang akan dinilai. Samalah juga dengan batu-batu dan warna enamel di beads atau dangle contohnya. Ia akan dipisahkan atau dibersihkan terlebih dahulu sebelum dinilai beratnya.
8. Jadikan Ar Rahnu sebagai tempat simpanan emas dan simpanan duit secara paksa. Apabila duit Ar Rahnu digunakan untuk membeli emas, secara automatiknya kita kena mula menyimpan untuk menebus kembali emas yang dipajak. Ada pilihan simpan selama 6 bulan, 12 bulan atau 18 bulan.
9. Simpanan di Ar Rahnu tidak perlu bayar bulanan, hanya perlu bayar maksimum 6 bulan atau bergantung kepada bulan dan hari yang disimpan jika kurang dari 6 bulan.
10. Bila tebus, sediakan jumlah tunai yang dapat semasa pajak tambah dengan upah simpan.
11. Kadar pinjaman, nilai emas, tempoh pajakan berbeza di antara penyedia perkhidmatan Ar Rahnu. Ada yang bagi 70%, ada yang 80%, ada yang 6 bulan, ada yang 10 bulan, ada yang kos simpan mahal, ada yang mudah dan lain-lain. Carilah yang paling sesuai dengan anda.
12. Selalunya untuk kali pertama pajakan, anda akan dapat sebanyak RM65% dari nilai emas yang disimpan. Ia akan meningkat menjadi 70% atau 80% bergantung kepada penyedia perkhidmatan Ar Rahnu itu.
13. JANGAN PAJAK EMAS DI KEDAI BUKAN MUSLIM.
14. Di Ar Rahnu, hampir semua jenis emas 750 hingga ke 999 boleh dipajak.
15. Ada Ar Rahnu boleh terima kalau kita nak jual emas kita tu untuk ambil tunai. Kadarnya kurang sedikit dari harga pajak. Boleh tanya dan bandingkan dengan harga kedai.
16. Apabila emas tidak ditebus, ia akan dilelong mengikut harga emas semasa. Contohnya apabila anda gadai, pada waktu itu emas pada harga RM190 untuk 1 gram. 10 gram X RM190 X 80% = RM1520 Upah simpan selama 6 bulan : 10 gram X RM190 X 0.75% = RM14.25 sebulan atau RM85.50 selama 6 bulan.
Untuk tebus, anda perlu ada RM1520 + RM85.50 = RM1605.50
Selepas 6 bulan, katakanlah harga emas sudah naik ke RM267 dan anda tidak mampu untuk tebus. Ar Rahnu akan lelong dan katakanlah dapat dijual juga pada harga RM267.
10 gram X RM267 = RM2670. Setelah tolak apa yang sepatutnya Ar Rahnu dapat dari anda, bakinya anda akan dapat iaitu RM2670 – RM1605.50 = RM1064.50.
Hasilnya, yang tak mampu tebus pun akan dapat RM1064.50.
Nampak macam hebat kan? Ini sebenarnya hanya akan terjadi apabila harga emas naik mendadak di dalam masa 6 bulan. Suatu perkara yang tiada siapa mampu pastikan.
Itulah serba “sedikit” mengenai Ar Rahnu dan simpanan emas.
Jadi, bagaimana sekarang? Harga emas naik mendadak. Beli sekarang atau tunggu? Pada pendapat saya secara peribadi, belilah emas sekarang. Kita tidak akan tahu masa hadapan. Emas ialah emas, tidak kira berapa lama anda simpan. Jika 916, 916 lah ia walaupun anda simpan 20 tahun sekalipun.
1. Simpan di Ar Rahnu dan beli emas yang baru. 2. Trade in emas lama dan beli emas yang baru.
Buat antara dua benda ini, anda takkan silap. Kerana kedua-duanya melibatkan pembelian emas yang baru.
Ingat, emas bukan sekadar hiasan semata-mata, tetapi ianya adalah pelaburan hidup yang anda boleh lihat, belek, tidur dan bawa ke mana-mana juga yang anda mahukan. Ia juga bukti kepada kecekalan anda menyimpan serta menabung.
Jadilah orang yang membeli emas pada harga RM267 pada tahun ini. Jangan jadi orang yang membeli emas pada harga lebih dari RM300 pada tahun hadapan.
Kongsikan jika anda rasa penulisan ini bermanfaat. Jika ada apa-apa pembetulan atau penambahan, sila maklumkan di komen.
Sumber/Foto : Akhtar Syamir, yang selalu menulis mengenai hubungan suami isteri, kekeluargaan dan isu semasa. Jom join Supergroup Telegram BroOhsem Fans di mana anda boleh berinteraksi dengan lebih rapat lagi. http://t.me/broohsemfansBroOhsem
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Memang tak rugi berbudi pada tanah. Selain hasilnya boleh dijual dan dimakan sendiri, manalah tahu pokok-pokok ini juga boleh dijadikan ‘cagaran’ untuk pinjaman pembiayaan kewangan nanti.
Berita baik buat pemilik 58 spesies pokok yang mempunyai nilai ekonomi kini boleh mencagarkannya untuk mendapatkan pinjaman daripada institusi kewangan. Cagaran ‘pokok berharga’ ini merupakan inisiatif yang diumumkan oleh Kerajaan Thailand baru-baru ini.
Dasar baharu itu dimaklumkan oleh Jurucakap Kerajaan Thailand, Narumon Pinyosinwat, menerusi laman Facebook beliau.
“Dasar ini diusulkan Menteri Perdagangan sebagai pendekatan bagi membantu orang ramai mendapatkan pembiayaan kewangan dan mempromosikan penanaman pokok-pokok berharga dari segi ekonomi dalam kalangan masyarakat.
“Justeru, kementerian mengeluarkan peraturan mengenai jenis jaminan lain yang dapat digunakan di bawah Undang-Undang Jaminan Perniagaan BE 2558.
Pada masa sama, jenis pokok berharga dari segi ekonomi akan disesuaikan dengan Undang-Undang Perladangan Hutan BE ,” katanya.
Pinyosinwat turut memuat naik gambar dan senarai 58 jenis pokok berharga itu dengan nama yang dikenali dalam bahasa Thai diikuti nama saintifiknya dalam Bahasa Inggeris.
Antaranya ialah pokok jati, mangga, durian, asam jawa dan semua jenis buluh. – AGENSI
MW: Beruntungnya jika ada menanam pokok-pokok berharga ni. Boleh juga dijadikan cagaran untuk pinjaman pembiayaan kewangan di Thailand.
Tiga tahun menjadi pekerja yang setia, dari seorang pembantu rumah, kemudian memegang jawatan pembantu peribadi syarikat dan akhirnya menjadi Life Planner. Tanpa diduga, dia diuji kanser tahap 2.
Dalam sebak berkongsi kisah Sara Sukardi ini, majikannya, Zul Ariff memohon doa agar pekerja setianya ini dipermudahkan urusan pembedahan pekerjanya itu dipermudahkan.
Hari ni saya nak share dengan semua kawan dan followers fb saya. Berkenaan long service staff saya yang sorang ni Siti Maisara .
Detik perkenalan 2017 selepas saya dapat anak pertama saya ( remain as anak pertama la sebab apak dia duda dah ). Saya ambil sara kerja dengan saya untuk jadi peneman my wife ( ex wife ) di rumah untuk jaga anak dan ada teman berbual.
Sara ni ada diploma ye, tapi sanggup kerja as pembantu kepada wife saya masa tu, gaji dia RM 800.00 je sebulan. Tapi dia sanggup je terima sebab nak kerja dan berdikari kata nya.
First interview di capsquare, punya la dia bawa file bagai dengan make up pakai tudung ( walaupon tudung senget ). Lepas interview terus join karoke session di Redbox low yat ( dah arwah dah red box ni). Suara perghhh dasyat wooo ada lunak lunak Sharifah Aini ( walau lenggok asli dia kelaut ).
Mula la sesi Sara mula bekerja dengan saya sebagai pembantu di rumah. Tapi Sara ni memang langsung tak tahu kerja rumah. Jangan cakap la nak potong ikan ke ayam, masak maggi pon tak reti.
Mula la episod dia kena belajar buat segala benda kerja rumah. Kena bebel tu tak yah cakap lah, suruh keluarkan halia dia bagi kunyit.Tapi satu jela dia memang jenis tak give up, dan nak belajar.
Baru kerja dalam satu bulan di rumah, episod kerjaya sara berubah sebab kena masuk office ganti staff yang MIA tiba tiba. Kerjaya Sara pon bertukar dari pembantu kepada P.A saya.
Walaupon badan Sara ni bukan persis model, tapi berjaya juga la dia buat bekas isteri saya cemburu, rasa nak guling guling gelak bila teringat. Gaji Sara pon naik jadi RM 1,200.00.
Kerjaya di opis banyak gak la peristiwa. Minta sara switch investment client dia boleh redeem semua. Rugi client belas ribu, nasib la bos dia baik hati cover kan dulu.
Tak sudah dengan tu, pernah sekali agensi ada sales trip ke Sabah, dia boleh salah booking flight return sampai sebulan jarak nya. Melayang RM 4,000. Kena la potong gaji Sara. Sebab duit bos dah habis cover ganti investment client.
Tapi tak salah kan dia gak, sebab A – Z semua Sara yang buat. Dari jaga schedule, teman bini bos, order makanan, set appoinment dan lain lain lagi. Maka dinaikan lagi gaji Sara kepada 1,500.00 untuk kenaikan kali ke 3 dalam masa 3 bulan.
Banyak lagi la hal si Sara ni buat nak dijadikan cerita. Sara ni dia kerja dari saya nothing sampai la jadi someone. Dari zaman laki orang sampai lah duda. Dari agency kecil sampai la agency dah besar.
Benda yang agak kelakar terjadi, bila Sara kena tuduh jadi punca penceraian saya. Down seminggu sampai menangis sambil makan nasi goreng sorang sorang kat kedai mamak ( terliur pulak teringat nasi goreng mamak sedap kat area rumah lama ).
Setiap kali saya warded, Sara la yang tukang register dan uruskan claim. Lebih dari 5 kali rasanya dia tolong register kan bos dia masuk hospital. Dari gaji 800 sampai lah naik ke 2000 tetap setia bekerja.
Hujung tahun lepas Sara nak tukar kerjaya nak jadi Life Planner sebab terpengaruh tengok semua gaji gaji ejen. Dia pon mula la buat part time, habis sedara mara bos dia closed sales.
Awal tahun Sara nak buat full time, join Elite Program AIA. Masa ni lah kisah duka Sara bermula. Sara kena refer hospital sebab period dia tak stop. Setelah didesak dan dipaksa, maka dia pon pergi ke hospital sambil kakak bos dia teman.
Lepas tu, sempat la dia merayap ikut bos ke Bandung, dalam sakit sakit tu ( nasib tak sangkut kat Bandung masa MCO ). Sara makin sakit dalam tempoh MCO, urusan hospital agak terbatas masa tempoh MCO.
Lepas raya tempoh hari, berita duka telah kami terima bila Sara di diagnose ada Kanser tahap 2. Sedaya upaya kami cuba untuk positif kan Sara. Tapi 1 benda la tak dapat buat, KAROKE! Kami ni kaki karoke. Maka mula lah Sara mulakan sharing ” Sing & Sharing ” di fb beliau.
Sekarang Sara dah warded, dan akan menjalani pembedahan pada hari khamis ni. Saya dengan rendah diri, memohon rakan fb dan semua follower saya yang berjumlah 7K lebih untuk sama sama berdoa agar urusan Siti Maisara Binti Mohd Sukardi di permudah kan.
Tolong doakan dan share status ini agar lebih ramai yang mendoakan beliau. Semoga dengan doa kita boleh memberi kesembuhan kepada Sara.
Kepada Sara, cepat sihat! Kami warga ISG Dan ISG AL AFFAN menunggu kepulangan Sara. We love you Sara!
MW : Mendoakan semoga Sara segera sembuh dari penyakitnya.
Tak sedar berlaku dalam diam, niat nak bahagiakan anak tetapi sebaliknya pula yang berlaku. Ini satu 'penyakit' senyap dalam kalangan mak ayah berkerjaya zaman sekarang yang kita jarang nak mengaku.