
Jangan ambil remeh tentang bilik tidur, sepatutnya bukan orang sahaja tak boleh masuk tetapi anak-anak kita pun tak boleh masuk bilik utama tanpa kebenaran mak ayah.
Ajar anak dari rumah, kalau pergi rumah orang jangan masuk bilik tidur orang lain tanpa kebenaran. Walau ahli keluarga sendiri, kena minta izin sebelum masuk bilik tidur orang. Hormati hak privasi orang lain.
Dan ini pula pandangan dari seorang wanita berstatus isteri, Puan Syida Musa, bila berjalan ke rumah orang, tidak sesuka hati redah masuk bilik tuan rumah tanpa izin.
Ajar Tak Masuk Bilik Tidur Rumah Orang
Bilik tidur adalah PRIVACY SUAMI ISTERI. Even anak pun sebenarnya tak boleh suka-suka masuk, kena minta izin, apatah lagi orang luar.
Malah pakar perunding keluarga seperti Dr Fadzilah Kamsah pun berpesan, bahawa kamar tidur suami isteri adalah kawasan NO ENTRY. Hanya untuk suami isteri sahaja sebab di sanalah segala aktiviti sulit dilakukan bersama pasangan.
Orang lain boleh guna bilik tetamu / bilik anak. Tapi bukan bilik utama suami isteri. Kalau suami tak faham atau tak boleh terima, bawa dia jumpa pegawai kaunseling di JKM atau mana-mana pejabat agama.
Islam memberikan HAK PRIVACY kepada suami isteri, apatah lagi dalam rumah sendiri. Orang luar tak boleh suka-suka masuk ke mana-mana bahagian dalam rumah, tanpa izin tuan rumah. Haram hukumnya.
Lebih-lebih lagi, dalam bilik tidur itulah, terdapat pakaian tidur milik isteri yang tak sepatutnya menjadi tontonan org luar, walaupun mak ayah mertua sendiri. Jangan anggap ini benda remeh. Bilik tidur yang selalu dimasuki orang luar, lama kelamaan akan hilang serinya.
Pandangan Netizen
Rata-rata netizen bersetuju dengan pendapat saudari Syida Musa. Ini antara komen-komen netizen di ruangan komen…
“Rumah saya sendiri, saya sediakan bilik untuk ibu ayah saya. Walaupun ibu ayah tak selalu datang tapi saya pun jarang-jarang masuk dalam bilik tu sebab privasi diorang walaupun rumah saya sendiri. Agak kurang ajar juga kalau masuk bilik orang lebih-lebih lagi suami isteri.”
Alhamdulillah memang dididik dari kecil, jika pergi ke rumah orang, malahan rapat sekali pun, bilik kelamin dilarang masuk. Tq mak.
Islam itu indah, memang dalam Islam pun dah diajar bab adab-adab.
Adab nak masuk bilik mak ayah pun kena mnta izin dan ada waktu yang dilarang masuk. Waktu subuh, waktu tengah hari, lepas isyak, kecuali dengan izin tuan bilik.
Memang itulah yang telah dididik oleh ibu saya sejak dari kecil, pantang tok nenek masuk bilik mak ayah tanpa kebenaran.
Bilik memang hak privacy sebab itu saya sampai sekarang nak masuk bilik mak dan abh mesti ketuk pintu dan bagi salam.
Tanya dulu boleh masuk ke tidak dan cuba ajar anak-anak saya buat benda yang sama. Larang anak-anak saya main dalam bilik bila sampai rumah orang.
Jadi selepas ini kita boleh didik anak-anak menghormati bilik tidur kita. Andai ada tetamu datang pun, jangan sesekali bagi masuk bilik tidur.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Tiga Sifat Isteri Yang Menjemput Rezeki Suami, Moga Kita Mampu Membuat Pilihan & Rebut Peluang Ini

Dalam hidup ini semua orang mengidam nak sifat isteri yang baik-baik, rupa paras yang menyedapkan mata dan cukup berharap kekal bahagia hingga ke Jannah. Apa yang pasti hidup kaum suami akan berjaya bila bahagia bersama isterinya. Namun saat kaum lelaki mula menipu, menyakitkan, menyusahkan pasangan, hidup bertukar jadi serba tak kena.
Sesekali bertikam lidah itu normal tetapi kalau setiap hari bergaduh sebab perkara kecil dan akhirnya melarat sampai lebih 3 hari, anda patut semak balik dan betulkan mana yang silap. Jom kita baca nota yang dikongsi oleh Mutawwif Anass ini…
Ramai suami yang mungkin tidak tahu bahawa isteri yang dikahwininya merupakan perantara yang menjemput rezeki suami. Berhati-hatilah dalam memilih isteri dengan memerhatikan 3 Sifat Wanita Yang Menjemput Rezeki Suamisebelum anda mendirikan rumahtangga.
Yang telah berumahtangga, berusahalah bersungguh-sungguh mengubah isteri anda supaya memenuhi Sifat-sifat Wanita Yang Menjemput Rezeki Suami ini.
Sememangnya formula menarik rezeki ini tidak mampu dilihat dengan mata kasar, tetapi ianya dapat dibuktikan secara spiritual yang isteri dapat jadi pemangkin magnet rezeki bagi suami.
1. Isteri yang pandai bersyukur
Wanita yang bersyukur atas segala nikmat kurniaan Allah secara kerohaniannya sedang rezeki rezeki dan mengundang lebih banyak nikmat kepada suaminya.
Mempunyai suami ia bersyukur, menjadi ibu kepada anak-anak ia bersyukur, anak-anak dapat ke sekolah ia bersyukur, suami menghulurkan nafkah dia bersyukur, suami memberikan hadiah dia bersyukur, suami memenuhi keperluan suami isteri dia pun bersyukur.
وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِنْ شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ وَلَئِنْ كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ
“Dan ingatlah ketika Tuhanmu mengatakan: jika kalian bersyukur, pasti Kami akan menambahkan (nikmat) kepadamu dan jika kamu mengingkari (nikmatKu) maka sesungguhnya adzabku sangat pedih” (QS. Ibrahim: 7)
2. Wanita Yang Tawakal Kepada Allah
Pada waktu seseorang hamba bertawakal kepada-Nya, Allah mencukupkan rezekinya.
وَمَنْ يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُ
“Dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya.”(QS. Ath Thalaq: 3)
Jika seorang wanita bertawakal kepada Allah sedangkan dia hanya duduk di rumah melayani anak-anak dari manakah sumber rezekinya? Allah mencukupkan rezekinya melalui sumber yang tidak disangka-sangka melalui suaminya dengan memudahkan rezeki itu.
3. Wanita Yang Baik Agamanya
Rasulullah SAW telah menyebutkan kahwinilah wanita atas empat perkara. Kerana hartanya, kerana kecantikannya, kerana keturunannya dan kerana agamanya.
فَاظْفَرْ بِذَاتِ الدِّينِ تَرِبَتْ يَدَاكَ
“Pilihlah kerana agamanya, nescaya kamu akan beruntung” (HR. Al Bukhari dan Muslim)
Sangat beruntung seseorang lelaki mengahwini wanita yang baik agamanya selain dari mendapat keredhaan Allah, wanita yang taat agama juga dapat mengundang rezeki buat suami.
Cuba kita renung-renungkan, jarang sekali kita melihat keluarga yang keseluruhan ahlinya taat pada agama hidup menderita dan mati kelaparan. Setiap hari ada sahaja sumber rezeki yang dibuka oleh Allah untuk mereka.
Jika demikian bagaimana pula dengan seorang suami yang sentiasa berbuat maksiat kepada Allah yang kelihatannya murah rezeki sepanjang kehidupannya? Mungkin saja rezeki yang diperolehinya hasil keberkatan isterinya yang bertaqwa kepada Allah. Allah memudahkan rezeki si isteri melalui tangan suaminya.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Lebih Baik DIAM, Dari Bertanya Soalan Remeh Tapi Melukakan Orang Lain

Ramai yang tak sedar, ada pertanyaan yang diajukan itu rupanya melukakan hati orang lain. Daripada tak ada apa-apa, jadi haru biru hanya disebabkan kata-kata itu.
Pesan Ustaz Asrulnizam Abas ini banyak benarnya. Fikir-fikirlah jika pertanyaan itu akan memberi kesan yang lebih besar kepada hidup orang yang ditanyakan, lebih baiklah DIAM.
Sekilas Dengar Macam Biasa, Tapi Sebenarnya Sangat Melukakan
Seorang teman bertanya, “Berapa gaji kau sebulan kerja di kedai tu?”
Dia menjawab, “RM900.00 sahaja.”
“RM900.00 sahaja? Sedikit sekali boss hargai keringat. Cukup ke nak hidup sebulan?”
Sejak saat itu temanmu jadi membenci pekerjaannya. lalu dia meminta kenaikan gaji pada majikannya, dan pihak majikan tidak dapat mempertimbangkannya. Kini temanmu tidak lagi bekerja bahkan menjadi penganggur.
Saat seorang ibu bertanya;
“Rumahmu ini bukankah agak sempit? Bukankah anak-anakmu ramai?”
Rumah yang tadinya terasa lapang, sejak saat itu mulai dirasa sempit oleh penghuninya. Ketenangan pun hilang saat keluarga ini mulai berhutang untuk mendapatkan rumah yang lebih besar.
Seorang abang bertanya saat kunjungan seminggu setelah adik perempuannya baru sahaja dapat melahirkan baby baru.
“Hadiah apa yang diberikan suamimu setelah engkau melahirkan?”
“Tidak ada.” Jawab adiknya pendek.
Abangnya bertanya lagi: “Apakah suamimu fikir kamu ini tidak berharga? Aku selalu memberi hadiah isteriku walau tanpa alasan yang istimewa.”
Keesokannya, ketika suaminya lelah pulang dari tempat kerja dan pulang, kelihatan isterinya merajuk dan meminta hadiah. Mereka bertengkar. Sebulan kemudian, antara suami isteri ini terjadi perceraian.
Kerana apa? Kerana kalimah sederhana yang diucapkan seorang abang kepada adik perempuannya.
Sebab Itu Kena Ada ‘Insurans’ Mulut..
Seseorang bertanya pada nenek tua itu,
“Berapa kali anakmu mengunjungimu dalam sebulan?”
Si nenek menjawab, “Sebulan sekali.”
Yang bertanya membalas balik,
“Wah keterlaluan sekali anak-anakmu itu. Diusia senjamu ini seharusnya mereka mengunjungimu lebih kerap.”
Hati si nenek menjadi sedih padahal awalnya ia amat rela dan memahami situasi anak-anaknya. Maka menjangkakan si nenek dan kesihatannya pun bertambah buruk.
APA SEBENARNYA KEUNTUNGAN YANG KITA DAPAT DENGAN BERTANYA SOALAN-SOALAN BEGITU?
Ada masanya mulut kita perlu ada ‘insuran’ untuk tidak bertanyakan benda yang dianggap remeh tapi sebenarnya sangat melukakan orang lain.
MW : Sebab itulah sebelum nak membawang bertanyakan soalan ‘makan dalam’, sebaiknya cuba letakkan diri dalam ‘kasut’ mereka. Jika anda pun rasa sukar nak terima, apatah lagi yang ditanya itu. Pedih weh!
Sumber/Foto : Asrulnizam Abas, Baik diam dari terkeluar soalan sensitif.
Makluman : Artikel ini diterbitkan dengan keizinan daripada penulis asal.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Yang Beraya Rumah Mentua, Jaga Adab Biar Tak Dicop Menantu Derhaka

Bila tahun ini tiba giliran beraya di rumah mentua, janganlah merungut bermasam muka. Berayalah dengan tenang dan selesa. Mak ayah mentua itu pun sebenarnya pengganti mak ayah kita. Layanlah mereka sama rata adil, kasih sayangnya.
BroOhsem, Akhtar Syamir berkongsi 17 panduan untuk menantu yang nak balik beraya di rumah mentua. Kadang tak sengaja, kita terbuat juga perkara kurang manis itu. Agar keluarga mentua sayang lebih, cubalah jadi menantu yang pandai bawa diri.
Jadilah Menantu Yang Pandai Bawa Diri Di Rumah Mentua
Setiap tahun, pasti banyak keluarga yang akan beraya di kampung. Sama ada di kampung suami atau isteri, sudah semestinya salah seorang akan menjadi menantu.
Perkara ini nampak mudah. Takkan beraya pun nak kena ada garis panduan? Untuk orang yang biasa, betul. Tak perlu baca pun mereka sudah pandai bawa diri di rumah mertua apabila beraya di sana.
Tetapi, penulisan ini saya tujukan kepada kita semua yang masih keliru bagaimana nak bawa diri atau mainkan peranan di rumah mertua pada musim perayaan.
Penulisan ini ditujukan untuk pihak suami dan pihak isteri. Ya, jangan kita ingat suami sahaja yang perlu ilmu ini, ramai juga para isteri yang masih terlepas pandang tanggungjawab mereka semasa di rumah mertua.
Adab Semasa Beraya di Rumah Mentua
1. Jangan Banyak Alasan, Tolong Mentua Tu Di Dapur
Nampak seperti mudah, tapi ramai yang tak endahkan. Ramai yang mengelat. Tak kurang juga yang duduk berkurung dalam bilik. Ada juga yang buat-buat sibuk jaga anak walaupun anak tu dah besar dan tak perlu penjagaan 24 jam pun.
Yang mana tak begitu pandai masak, jangan jadikan tu sebagai alasan. Proses memasak tu bukan hanya campak benda dalam kuali je. Penyediaan bahan-bahan masakan tu pun penting.
Potong bawang, blender cili, potong ayam, daging, basuh pinggan, siapkan tempat makan, tolong kacau lauk dan macam-macam lagi boleh dibuat untuk membantu. Pokok pangkalnya nak dengan tak nak je.
Jadikan diri tu berguna. Percayalah yang banyak mata memerhati setiap gerak geri anda. Nanti tak pasal-pasal jadi bahan umpatan.
2. Rumah Mentua Pun Rumah Kita Juga.. Kemaskanlah!
Perkara paling utama ialah mengemas tempat tidur selepas bangkit dari tidur. Di kampung, selalunya akan ramai tidur di ruang tamu.
Selepas bangun tidur tu, kemaslah tempat tidur korang sekeluarga. Takkan nak tunggu Tuan Rumah kemaskan kot?
Tak manis la macam tu. Nampak rumah bersepah, tolong la kemas sekali, atau tolong sapu ke. Kita balik kampung ni umpama kita menumpang rumah orang. Orang berbudi, kita berbahasa la. Tak gitu?
3. Nampak Isteri Sibuk, Suami Bantu Jaga Anak
Para suami, bila isteri sedang membantu mertua atau ipar mereka di dapur, tolong la jagakan anak tu. Jangan la sibuk sangat dengan urusan lain sehingga mengganggu isteri. Bagi ruang untuk dia jalankan peranan dia.
Memang la ada ketika perlu panggil mamanya untuk menyusu, tapi kalau bab salinkan pampers dan basuh kencing dan berak anak tu, rasanya sepatutnya takde masalah kot kalau nak buat sendiri?
4. Tolong Bawa Keperluan Asas Sendiri
Berus gigi, ubat gigi, sabun, syampu, pencukur dan lain-lain tu tolong bawa sendiri punya. Takkan la nak habiskan semua yang tuan rumah punya? Kalau satu keluarga tak mengapalah. Tapi kalau dah yang baliknya 4-5 keluarga? Botak kepala mentua nak topup tu semua.
Benda yang selalu orang tak terfikir nak bawa ialah extension plug. Benda ni sangat-sangat penting. Nak pulak kalau satu keluarga tu ada 4-5 telefon. Sebut pasal telefon, charger pun bawa la sekali.
Orang lain nak cas telefon diorang sendiri. Kan dah menyusahkan je kalau asyik nak pinjam charger orang lain?
5. Bermesralah Dengan Mentua Dan Ipar
Masa inilah sepatutnya kita manfaatkan untuk merapatkan silaturrahim. Bukan selalu jumpa pun. Tanyalah khabar, berboraklah, cerita la pasal apa pun. Asalkan jangan terlebih-lebih cerita pasal politik. Memang akan menjadi satu perkara yang teramat bosan.
Walaupun satu keluarga tu sokong satu pihak sahaja, tapi pasti akan penuh dengan kecaman dan lain-lain sedangkan masa itu sepatutnya digunakan untuk cerita pasal keluarga, bukannya ahli politik itu ini.
6. Bertenanglah, Tinggalkan Kejap Kerja Tu..
Kepada yang kaki bisnes tu, tinggalkanlah kerja di rumah. Jangan datang rumah mertua, asyik sibuk dengan kerja. Memanjang bergayut, telefon orang itu, orang ini. Cakap pulak kuat-kuat. Sembang kencang semacam. Orang lain pulak yang jadi tak selesa dengan kita.
7. Berhenti Membanding-banding
Tolong la, berhentilah membanding-banding sesama keluarga. Nak muntah rasanya dengar anak orang tu degree sini, anak orang ni diploma sana, anak orang ni Doktor sini, anak orang tu Peguam kat sana.
Stop it ! Berhenti riak, berhenti berbangga-bangga, menunjuk-nunjuk dan berlagak. Tak semua orang mampu, tak semua orang ditakdirkan berjaya dan tak semestinya kita perlu menilai orang dari segi tahap pembelajaran, pekerjaan dan duit semata-mata. Hargailah orang di hadapan kita tu sebagai saudara kita. Susah sangat ke?
8. Aurat Tu Jaga Iya
Aurat sendiri wajib jaga. Wajib bertudung dan pakai baju lengan panjang. Tak boleh la pakai baju lengan pendek je. Lengan tu aurat jugak. Banyak sangat mata bukan mahram yang nampak.
Bapa dan mak saudara sebelah pasangan bukan mahram ye. Tak perlu salam cium tangan. Sepupu bukan mahram, tak perlu laga-laga pipi la. Buat dosa je. Orang tua yang berlainan jantina pun bukan mahram kecuali mak, bapa saudara atau nenek dan datuk sendiri. Mertua tu sendiri memang mahram. Rasanya tak perlu bagitau.
Cara nak elak mudah je, senyum dan letak tangan kat dada. Yang penting tu senyum, supaya orang tu tahu yang anda hormat dia cuma anda tak boleh salam je.
Satu lagi benda yang sangat-sangat penting tapi orang tak endahkan atau pandang ringan. Aurat anak kecil.
Terlalu ramai orang yang salin pampers anak depan orang lain. Walaupun baby, itu tidak memberi lesen untuk anda pamerkan kemaluan anak kepada orang lain.
Lagipun, kita di zaman yang tenat sekarang, banyak kes pedofilia yang bernafsu terhadap budak kecil. Bayangkanlah, anda jamu nafsu dia dengan anak sendiri macam tu je.
Situasi mandi juga perlu diambil perhatian. Jangan la pergi berkemban depan ipar duai, mentua, sanak saudara. Perempuan satu hal, lelaki pun sama. Selamba pakai seluar pendek, nampak pusat depan isteri abang atau adik. Tutup la sikit. Anak-anak lepas mandi pun, janganlah dibiarkan mereka berbogel dari bilik air sampai ke bilik. Memang tak patut macam tu.
9. Buli Mentua.. Eh! Jangan Tak Tau, Ada Menantu Buat
Ada yang dah hantar anak awal-awal kerana cuti raya kali ini didahulukan dengan cuti sekolah. Kononnya untuk bagi anak bergembira main dengan sepupu-sepapat. Lepas hantar anak, mak ayahnya pun balik. Tinggalkan anak dengan baju seluar je.
Yang lain tak peduli pun. Anak nanti nak makan ape, anak nanti nak mandi, nak berak. Semua siapa yang nak buat? Dah sah-sah la mentua yang kena buatkan semua. Ingat mertua dah takde keje lain nak basuh berak cucu je setiap hari? Fikirlah sikit. Mentua pun kebanyakannya dah tua. Bukan tugas diorang nak jaga anak kita.
Anak tu pulak kalau yang dah besar darjah 1 ke atas kira ok la jugak, reti mandi berak sendiri. Ini dengan anak umur 3 – 4 tahun pun ditinggalkan macam tu je. Dah jadi keje mentua nak masakkan anak-anak yang tak puasa ni, bagi makan pagi, tengahari, malam. Bagus sangat jadikan mertua sebagai orang gaji.
Kalau bayar gaji betul pun belum tentu diorang larat nak buat. Memang pentingkan diri betul. Fikir sikit, kita nak seronok berjalan pergi beli belah baju raya, anak ditinggalkan macam tu je.
10. Jangan Malukan Pasangan
Manusia tak lepas dari perbalahan atau salah faham. Bila terjadinya kat rumah mentua, tolong la simpan masalah tu. Jangan ditunjuk depan orang ramai. Kalau malam tadi bergaduh dengan suami kat dalam bilik, jangan esoknya dok hempas itu ini depan suami.
Kalau tadinya bergaduh dengan isteri, janganlah marah dia tengking dia depan mak ayah atau adik beradik dia. Jagalah air muka pasangan. Diorang mesti malu kalau dibuat begitu.
Bila bersama dengan keluarga lain, amat penting untuk jaga air muka atau aib keluarga dan pasangan. Jangan sekali-kali buat hal dalam rumah orang. Itu tandanya anda tak hormat kat pasangan dan tak hormat kat mentua yang juga tuan rumah.
11. Jaga Harta Benda Mentua
Tolong awasi anak-anak anda. Janganlah merosakkan harta benda mentua. Memang kalau terjadi apa-apa mereka akan cakap, “tidak apa” atau “biasalah budak-budak”, tapi siapa yang tak marah kalau barang berharga kita orang rosakkan?
Lepas tu, nak guna atau nak pakai apa-apa milik mertua tolong la minta kebenaran dulu. Jangan gatal tangan guna set pinggan Corell atau set Tupperware mentua dengan selamba je. Kita tak tahu benda tu dibeli untuk pakai je atau perhiasan dan koleksi. Jadi, jangan memandai-mandai sebelum meminta kebenaran.
12. Basuh, Sidai Dan Lipat Baju Sendiri
Yang mana balik beberapa hari tu dah tentu ada yang basuh baju sendiri. Jangan la dilonggok je mengharapkan mertua yang basuhkan. Dah la orang tua tu tolong basuh, dia jugak yang kena sidai dan lipat. Kalau balik nak menyusahkan, baik jangan balik. Tak kesian langsung kat mentua.
Paling penting, bawa plastik untuk buang pampers anak. Jangan selamba je buang tepi toilet atau dalam tong sampah biasa. Bau tu menyengat, bila campur jumlah 5 6 orang budak, memang busuk. Bila dah penuh pulak, rajin-rajinkanlah diri buang. Kesian mentua nak kena buangkan pulak taik anak kita.
13. Peka Dengan Barang Dapur Mentua
Jangan balik tangan kosong. Bawa sekali barang dapur atau beli kat sana. Tolong bantu dan topupkan barang dapur tu. Bukan murah-murah bahan mentah sekarang. Bayangkan memasak untuk 5 keluarga, ayam je dah berapa ekor habis sekali masak tu. Kalau duduknya pun 3, 4 hari dah berapa banyak habis tu?
Konsepnya mudah je. Permudahkan urusan mereka, jangan menyusahkan. Tak semua orang mampu untuk tanggung makan minum 5 keluarga sekaligus. Mertua di kampung bukannya kerja gaji ribu-ribu. Ada yang menoreh lepas sahur lagi. Kita sedap-sedapnya perabihkan duit diorang.
Buka mata, tanya mentua atau tanya isteri apa yang tak cukup. Lepas tu pergi beli. Tak perlu tunggu sampai mentua sendiri terpaksa pergi sendiri.
14. Jangan Bangun Lambat
Kat kampung tu ramai orang. Melainkan ada bilik khas sendiri, kalau tidur kat ruang tamu tu, bangun la awal. Jangan dah pukul 10, dah terang- benderang, budak-budak dah berlari sana sini, orang pun dah mula menyapu rumah semua, masih lagi terbongkang kat tengah rumah tu. Karang dengan yang tidur tu sekali orang sapu, baru ada akal.
15. Bonus. Khas Untuk Anak-anak Mertua Tu (ipar)
Jangan ambil kesempatan, bila ipar duai dah balik, jangan nak rasa macam tuan rumah sangat. Tak boleh la semua nak mengharapkan diorang je buat. Anda sebagai anak pun kena sama bantu dan list ini juga untuk anda baca dan amalkan.
16. Adab Melayan Baby
Bila berkumpul tu selalunya akan ada ipar atau biras yang baru melahirkan. Jadi, ada la baby comel yang ramai geram nak pegang, dukung, cium. Kena tahu yang baby ni antibodi dia tak kuat mana. Pakcik yang baru lepas merokok tu tak payah la nak pegang cium baby. Yang mak saudara pulak, kalau baru lepas potong ayam ke, sapu rumah ke, tak perlu la nak gomol baby orang. Habis semua kekotoran, bakteria tu kena kat baby. Bahaya.
Lepas tu, kalau anak tu baru umur 6, 10 tahun, tak perlu la bagi diorang pegang baby. Keselamatan baby tu sangat penting. Kalau jatuh sapa yang susah? Nak marah budak tu ke mak budak?
17. Bil Elektrik Dan Bil Air
Kipas on 24 jam. Aircond kalau ada pun on selalu. TV jarang tutup. Lampu pun sentiasa banyak yang bukak. Belum masuk lampu lip lap lagi. Air pun banyak guna. Berbelas, berpuluh orang mandi setiap pagi.
Sebelum pulang tu, hulurlah sedikit buat bantu bayar bil elektrik dan air. Lega sikit hati mentua.
Takde la mereka rasa terbeban dengan kehadiran kita sekeluarga.
Semua Usaha Di Atas Untuk Kebaikan Kita Juga
Sebagai menantu ni, walaupun anda dah berkahwin dengan suami atau isteri, tak semestinya anda tak perlu lagi ambil hati mentua. Mentua ni sama sahaja dengan mak ayah kita, layan mereka dengan sebaiknya. Mereka yang melahirkan pasangan kita. Itu jasa yang kita takkan mampu balas sepenuhnya. Tapi kita boleh berusaha untuk meringankan beban mereka.
Semoga dengan penulisan ini dapat membuka mata kita semua. Janganlah terlepas pandang lagi.
Tolong SHARE supaya satu Malaysia lebih peka tentang adab beraya di rumah mentua.
Apa pendapat anda semua? Setuju tak dengan pandangan saya ni? Ada lagi perkara yang perlu saya tambah? Sila nyatakan di komen.
Sumber/Foto : Akhtar Syamir, yang selalu menulis mengenai hubungan suami isteri, kekeluargaan dan isu semasa. Serta mengendalikan grup telegram ‘Supergroup Telegram BroOhsem Fans’ di mana kita boleh berinteraksi dengan lebih rapat lagi di http://t.me/broohsemfans
Makluman : Artikel ini diterbitkan dengan keizinan daripada penulis asal.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!